Rahsia Nama Kuih-Kuih Raya Unik Dibongkar!

Rahsia nama kuih-kuih raya yang unik bakal dibongkar. Anda mungkin terkejut, hairan dan pelik dengan asal-usul nama tersebut tetapi inilah realiti yang Butterkicap ingin dedahkan…

Kredit: seasongroup.com.my

Malaysia merupakan negara yang mempunyai pelbagai jenis kuih, biskut dan manisan untuk dipilih. Mana tidaknya, penduduk negara ini terdiri daripada pelbagai kaum yang menganut berbagai-bagai agama. Oleh sebab itulah, variasi kuih-muih yang ada begitu banyak sehinggakan timbullah kuih, biskut, manisan unik dengan nama-nama yang cukup aneh berserta sejarah kewujudan yang cukup luar biasa kerana rakyat Malaysia sudah kehabisan nama-nama yang sedap untuk diletakkan.

 

Rahsia Nama Kuih-Kuih Raya: Penemuan Butterkicap

Jadi, sepanjang bulan Ramadhan ini, Butterkicap menjejaki beberapa kuih dan biskut raya yang mempunyai nama yang unik dan sejarah yang sama pelik sehingga membuatkan biskut dan kuih-kuih ini menjadi rebutan ramai kerana, yalah, siapa tak nak tetamu-tetamu mereka tertanya-tanya tentang kuih unik yang tiada di rumah terbuka orang lain? Boleh dianggap juga sikap kiasu orang Malaysia yang menyebabkan wujudnya kuih-kuih ini. Namun begitu, timbul juga persoalan sama ada kuih-kuih sekadar satu trend atau akan mampu bersaing dengan kuih-kuih klasik lain…Itu akan terjawab SELEPAS kita menyelami rahsia 5 kuih dan biskut raya yang dikenal pasti di bawah:

 

Senarai Kuih Raya Unik dan Pelik

1. Teratai Layu di Tasik Madu

Kredit: najahbakery.com

Kuih pertama dalam senarai kuih unik Butterkicap ialah Kuih Teratai Layu di Tasik Madu. Ya…kami faham persoalan yang bermain dalam minda anda. Apakah yang layu mahupun madu tentang kuih ini? Sejujurnya, kami pun tidak tahu. Dikatakan sejarah namanya adalah hasil inspirasi daripada tajuk lagu penyanyi Fauziah Latif yang mempunyai tajuk sama seperti nama kuih tersebut. Dikatakan kuih tersebut dibentuk seperti teratai yang layu tetapi pada pendapat kami, pencipta kuih tersebut sebenarnya ialah peminat tegar Kak Jee. Entah betul atau tidak, tetapi itulah misteri kuih ini…

 

2. Bahtera Diraja

Kredit: ummi giftshop

Kuih seterusnya tidaklah begitu pelik sebaliknya, cukup unik dan lambang kesetiaan rakyat Malaysia kepada raja dan juga negara. Kuih Bahtera Diraja ini dicipta khas sempena pertabalan Sultan Perak, Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah (semestinya pencipta kuih ini adalah seorang rakyat negeri Perak). Bentuk kuih ini adalah seperti sebuah kapal dan dihiasi dengan manik gula dan parutan keju.  Jadi, sesiapa yang ingin berasa seperti seorang bangsawan atau kerabat diraja pada pagi raya, inilah kuih untuk anda hidang dan nikmati nanti.

 

3. Dilwale

Kredit: twitter.com

 

Biskut Dilwale? Kuih apa itu? Adakah ‘dilwale’ itu merupakan singkatan tiga perkataan dalam bahasa Melayu? Oh, tidak. Sebenarnya, Dilwale bermaksud orang yang berani dalam bahasa Hindi. Kuih ini diinspirasi daripada filem Bollywood yang digilai ramai kaki Hindustan di Malaysia tahun lalu yang bertajuk, Dilwale. Ya. filem hindi ini cukup meletup di Malaysia kerana membawa kembali gandingan hebat pelakon terkenal Kajol dan Shah Rukh Khan di layar perak setelah bertahun mereka tidak berlakon bersama. Kebahagiaan dan keterujaan peminat pelakon-pelakon ini ditonjolkan dengan jumlah kutipan pecah panggung dan juga kuih unik ini. Teringin nak menari ala-ala hindustan dengan pasangan anda di pagi Raya? Jangan lupa bawa biskut ini sekali!

 

4. Jalinan Keju

Kredit: kopi susu hitea

Apabila kita bercakap tentang merapatkan dua hati bersama, pastinya ada tali perhubungan yang perlu dijalinkan. Persoalannya, bagaimana atau apa yang perlu digunakan untuk menjalinkan tali perhubungan ini, khususnya pada hari Raya apabila ramai pasangan muda memilih untuk mendirikan masjid pada bulan Syawal yang berbahagia ini? Pastinya, dengan kuih Jalinan Keju ini, segala yang perlu dirapatkan dan ditautkan dapat dilakukan.

Sejarah di sebalik nama kuih ini adalah sangat menarik. Parutan keju di atas kuih melambangkan hubungan dan tali persaudaraan yang kita ada dan kuih itu sendiri melambangkan asas prinsip dan pegangan yang mengukuhkan tali persaudaraan yang terjalin. Jadi, apabila anda bersengketa dengan ahli keluarga, berilah kuih ini dan saling bermaafanlah.

 

5. Tatahan Nilam Sari

Kredit: Kuih Pilihan Apogee

Kuih terakhir dalam senarai kuih unik Butterkicap ialah kuih tatahan nilam sari. Cukup klasik dan puitis nama kuih ini kan! Kuih ini diberi nama klasik ini bukanlah kerana kuih ini diinspirasi oleh puteri kayangan mahupun cerita klasik Nordin Ahmad kegemaran ramai,  Sebaliknya, kuih ini diberi nama tersebut kerana bentuk kuih itu sendiri kelihatan batu permata yang dilekatkan pada mahkota diraja. Ceri dan kacang hiasan pula kelihatan seperti batu delima dan batu bernilai lain. Oleh itu, nama kuih tersebut diberi sebegitu rupa….Ha, tengok, ayat pun dah semakin klasik dah.

 

Kesimpulannnya…

 

Kuih-kuih unik ini adalah satu trend yang cukup sinonim dengan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam kalangan masyarakat di Malaysia dan cukup memberikan kesan kepada diri mereka sehingga dizahirkan dalam bentuk kuih-kuih perayaan seperti kuih-kuih di atas. Walau bagaimanapun, kuih-kuih tradisional lain tidak dilupakan dan masih dihidangkan pada hari Lebaran. Jika anda ingin menjadi gosip utama makcik-makcik pada hari Raya nanti, hidangkanlah kuih-kuih unik ini dan biarlah rahsia nama di sebalik kuih-kuih ini….kekal rahsia.

 

Biarlah tetamu anda diselubungi misteri….

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.