Teh Tarik: Sejarah Ringkas Minuman Kebangsaan Malaysia

Teh tarik merupakan sejenis minuman yang tidak asing lagi bagi  rakyat Malaysia. Rasa teh bersusu yang manis berkrim bersama kecapan pahit di hujung membuatkan teh tarik menjadi minuman yang mampu menambat hati sesiapa sahaja, khususnya apabila kita sedang melepak bersama teman-teman di kedai mamak dan perbualan menjadi lebih rancak apabila ditemani secawan teh tarik panas.

Teh tarik digelar sedemikian kerana proses untuk membuat minuman ini betul-betul menggunakan kaedah ‘tarik’. Komponen asas untuk membuat segelas teh tarik ialah serbuk teh, susu pekat manis dan air panas. Serbuk teh akan ditambah ke dalam air yang panas menggelegak dan dibiar seketika untuk larut, sebelum susu pekat manis ditambah masuk ke dalam bancuhan teh tersebut. Kemudian, bancuhan tersebut akan ditapis ke dalam (biasanya) bekas atau cawan besi menggunakan penapis khas yang diperbuat daripada jaringan kain yang nipis.

Teh bersama susu yang telah ditapis kemudiannya akan dituang ke dalam dua cawan secara bergilir-gilir sehingga membentuk buih yang memekat diatasnya. Segelintir pembancuh teh akan menambah sedikit gula untuk menjadikan teh menghasilkan lebih banyak buih apabila ditarik. Terdapat teknik yang khusus diperlukan untuk membuat teh tarik bagi memastikan teh tersebut adalah sempurna. Lazimnya, jarak ketinggian teh  ditarik adalah sekurang-kurangnya satu meter dan dilakukan dengan pantas. Proses ‘menarik’ teh tersebut dikatakan mampu membuatkan rasa teh bersama campuran susu dan gula menjadi lebih bersebati dan meningkatkan rasa. Selain itu, dengan kaedah tarik ini, teh akan menjadi sejuk lebih cepat dan boleh terus dinikmati apabila dihidangkan. Teh tarik juga boleh dinikmati secara sejuk dengan menambah ketulan ais ke dalam teh tarik dan menjadi ‘teh ais’.

Kredit: www.curiousnut.com

Terdapat sedikit perselisihan pendapat tentang asal-usul teh tarik, sama ada Malaysia ataupun Singapura. Namun begitu, teh tarik ini sebenarnya ialah minuman dan dibawa oleh para imigran India-Muslim yang berasal dari Selatan India yang berhijrah ke Tanah Melayu selepas Perang Dunia Ke-2 bagi mencari peluang pekerjaan di sini. Keperluan tenaga kerja yang besar di Selatan Timur Asia ketika itu membuatkan ramai imigran dari India dan China berhijrah ketika itu untuk bekerja, termasuklah ke kawasan Tanah Melayu dan Temasik (hari ini dikenali sebagai Singapura). Membawa bersama tradisi mereka, populasi India-Muslim ini mula membuka sarabat, atau gerai minuman di pintu masuk ladang-ladang getah untuk dijual kepada para pekerja di sana. Setelah berpecahnya Malaysia dan Singapura pada tahun 1965, sarabat masih boleh ditemui di kawasan-kawasan ladang getah Malaysia pada hari ini, dan bagi yang berada di Singapura, mereka dipindahkan ke kawasan yang dikhaskan untuk berniaga.


Jika di India, susu lembu segar digunakan untuk membuat minuman seakan-akan teh tarik yang pada asalnya, menggunakan herba seperti cengkih, halia dan buah pelaga sebagai tambahan perisa dan aroma ke dalam teh tersebut. Pada hari ini, teh tarik yang terdapat di Malaysia hanya menggunakan debu teh dan susu pekat manis dalam pembuatannya.

Bagi mendapatkan teh tarik yang pekat dan kaya dengan rasa, hanya teh yang berbentuk debu digunakan berbanding daun teh (debu teh yang terbaik dikatakan berasal dari Sri Lanka). Hal ini demikian kerana debu teh lebih pekat, gelap dan rasanya lebih pahit. Debu teh diperbuat daripada lebihan daun teh yang dikisar halus. Dengan ini, rasanya akan menjadi seimbang apabila dicampur susu pekat manis ke dalam. Terdapat pelbagai kaedah yang digunakan bagi memaksimumkan rasa teh tarik seperti menggabungkan beberapa jenis teh bersama, menggunakan susu pekat manis dan susu sejat, menambah gula serta sebagainya. Teh tarik yang sedap pula akan dinilai berdasarkan jenis debu teh yang digunakan, sukatan susu dan teh, teknik serta masa yang digunakan untuk menarik teh dan sebagainya. Perkara ini ternyata tidak semudah yang disangkakan kerana terlebih atau terkurang teh atau susu akan mempengaruhi rasa teh tarik itu kelak.

Kredit: www.thebeijinger.com

Rasa teh bukan sekadar sedap di lidah, teknik membuat teh tarik juga ternyata menjadi begitu menarik untuk dilihat. Tidak hairanlah apabila wujud pertandingan membuat teh tarik yang mana para peserta mahir akan mempamerkan kemahiran yang hebat dan mengagumkan. Dengan rasa yang sedap, teh tarik kini diminum oleh semua rakyat Malaysia dan boleh didapati di mana-mana warung Melayu, kopitiam Cina dan pastinya, di kedai mamak.

 

print
Bibi Mokrat

Fresh-from-the-oven writer who actually takes pride in the quote 'Women belongs in the kitchen' because that's exactly where she wants to be - most of the time

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.