7 Minuman Kopitiam Anda Boleh Sediakan di Rumah

Kredit: honeykidsasia.com

Kopitiam, kedai kopi, warung kopi, atau apa saja anda gelar premis perniagaan ini, memang cukup sebati dengan gaya hidup rakyat Malaysia.

Setiap pagi, khususnya sewaktu hujung minggu, kopitiam-kopitiam di seluruh negara akan penuh sesak dengan pelanggan-pelanggan dari segenap isi masyarakat yang datang untuk menikmati secangkir kopi.

Tarikan Kopitam

Bagi golongan yang tak pernah atau jarang sekali mengunjungi kopitiam atau kedai kopi, mungkin anda tak dapat memahami kepentingan kopitiam kepada pelanggan setia mereka.

Jika anda bertanya kepada mana-mana ‘kaki kopi’, jawapan mereka ringkas saja. Kopi yang disediakan di kopitiam, termasuk minuman-minuman klasik yang disediakan di sana mempunyai rasa dan aroma yang lain.

Lazimnya, kedai-kedai kopitiam merupakan legasi atau warisan dalam sebuah keluarga. Setiap hidangan yang disediakan dipilih dan disediakan menggunakan resepi yang telah diperbaiki dan ditambah baik dengan sentuhan pemilik kedai sendiri.

Berbanding pilihan kopi yang lebih moden dan mewah, satu-satunya kopi yang anda boleh jamin rasanya tidak akan berubah walau bertahun pun!

Kopitiam di Rumah, Bolehkah?

Oleh sebab kita semua kini mempunyai masa terluang yang agak banyak, apa kata kita sama-sama ambil peluang ini dan cuba satu kemahiran baru.

Jadi, apa kemahiran yang kita patut pelajari dulu? Bagi saya, tiada kemahiran yang patut dipelajari sekarang berbanding menyediakan minuman-minuman kopitiam kegemaran anda.

Apa manfaatnya, anda tanya? Anda dapat sediakan minuman kopitiam kegemaran anda dan anda mendapat kemahiran baru. Walau apapun, anda takkan rugi!

Jadi, mari kita mulakan kelas membuat minuman kopitiam dengan 7 minuman yang cukup popular di kopitiam. Ayuh, kita mulakan kelas!

Teh Tarik

Kredit: Livinglocal.triip.me

Bahan-Bahan:

  • 1 liter air
  • 1 1/2 sudu besar serbuk teh
  • 1 uncang teh hitam tempatan
  • 1/4 cawan susu pekat manis
  • 2 sudu besar susu cair
  • 1/4 sudu teh garam

Cara-Cara:

  1. Dalam periuk sederhana besar, masukkan air dan didih sampai air menggelegak. Pastikan api sederhana besar.
  2. Masukkan teh dan kacau. Biar terseduh selama 3 -5 minit.
  3. Masukkan susu pekat manis, susu cair dan garam. Kacau dan biar mendidih selama 3 minit.
  4. Rasa dan suaikan menurut citarasa anda.

Kopi Cham

Kredit: openrice.com

Kopi Cham merupakan minuman yang cukup unik. Minuman klasik kopitiam ini dihasilkan dengan menggabungkan rasa teh (cham) dan kopi.

Rahsia untuk menyediakan kopi cham yang enak ialah keseimbangan antara rasa teh dan kopi serta jenama kopi dan teh yang anda gunakan. Untuk resepi kopi cham mudah dan enak, cuba resepi yang dikongsi dalam blog mysweetthots.

Kopi Peng

Kredit: busy.org

Bahan-Bahan:

  • 250ml air
  • 1 paket kopi kampung atau 2 sudu besar kopi kampung
  • 3 sudu besar susu pekat manis

Cara-Cara:

  1. Dalam periuk, didihkan air atas api sederhana besar. Tunggu hingga menggelegak kira-kira 2 minit.
  2. Masukkan serbuk kopi. Kalau anda nak rasa kopi yang lebih lemak, masukkan 1/4 sudu besar mentega cair panas dan kacau dengan serbuk kopi hingga sekata. Biar serbuk kopi terseduh selama 1-2 minit. Kalau anda nak kopi anda lebih pekat, masukkan 1/2 sudu besar serbuk kopi lagi. Padamkan api.
  3. Masukkan air kopi panas ke dalam cawan.
  4. Masukkan susu pekat manis dan kacau. Jika anda puas dengan kepekatan dan rasa manis, masukkan ais dan siap!

Sirap Bandung

Kredit: Free Malaysia Today

Sirap bandung merupakan minuman yang mempunyai kumpulan peminatnya yang tersendiri.

Rasa manis sirap dan lemak susu cair minuman ini mungkin boleh menjadi agak keterlaluan tetapi jika dibancuh dengan betul, minuman sirap bandung bukan saja dapat menghilangkan dahaga malah memuaskan tekak anda juga.

Untuk resepi air sirap bandung yang betul-betul ‘padu’, anda boleh cuba resepi yang dikongsikan di blog hairul.com.

Soya Cincau

Bahan-Bahan:

  • 250ml air soya
  • 50g ketul cincau, dihiris panjang atau dipotong dadu

Cara-Cara:

  1. Tuang soya ke dalam cawan besar.
  2. Masukkan cincau yang dipotong. Kalau nak air cincau anda lebih manis, sediakan sedikit air gula dengan mencampur 100ml air dengan 2 sudu besar gula. Masukkan ketulan cincau yang dipotong ke dalam air gula. Rasa manis air gula pada cincau akan memaniskan lagi minuman ini.

Neslo

Kredit: Deliciously Haute

Rakyat Malaysia memang cukup menggemari minuman-minuman kopitiam ‘hybrid’ seperti neslo. Neslo merupakan minuman ‘hybrid’ kopi dan coklat. Dalam erti kata lain, neslo ialah ‘mocha’ di kedai-kedai kopitiam.

Untuk resepi neslo ais yang betul-betul kaw, anda boleh mencuba resepi yang dikongsi di blog chefonezeroone.

Milo Tabur

Milo. Apakah identiti kita sebagai rakyat Malaysia tanpa Milo? Milo merupakan sebahagian daripada nostalgia zaman persekolahan kita semua. Jadi, tidak sahlah kalau resepi minuman klasik ini tak dikongsi.

Oleh sebab pemilik-pemilik kopitiam tempatan tahu kepentingan Milo dalam hidup kita, mereka telah menambah baik resepi minuman Milo sedia ada dengan meningkatkan tahap ‘kaw’ Milo dengan menyediakan minuman dipanggil ‘Milo Tabur’.

Untuk resepi Milo Tabur betul-betul kaw, pekat dan enak, cubalah resepi Milo Dono Baby versi Butterkicap di sini.

Boleh Buka Kopitiam Sendiri Lepas Ini!

Nah, itu dia 7 minuman kopitiam yang anda boleh sediakan di rumah. Tak susah pun, kan?

Butterkicap cukup menyokong perpaduan dalam komuniti dan tiada cara yang lebih baik daripada menunjukkan kesatuan kita menerusi makanan.

Saya membuka peluang kepada anda untuk berkongsi resepi dan masakan kegemaran anda, keluarga mahupun masakan yang membawa nostalgia kepada anda bersama Butterkicap. Anda boleh memberi perkongsian anda kepada kami menerusi laman Instagram, Facebook atau emel kami, sembang@butterkicap.com.

Jangan malu-malu! Bancuh secawan kopi dan marilah kita bersembang.

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.