Resepi Yee Sang ala Jepun yang Pasti Mengagumkan Mertua Anda

yee sang
Jom yee sang!

Dalam banyak-banyak makanan yang rakyat Malaysia tunggu-tunggu untuk dinikmati semasa Tahun Baru Cina, Yee Sanglah yang menjadi dambaan ramai. Hidangan yang juga dikenali dengan nama seperti ‘yusheng’ atau ‘lo hei’, memaparkan bahan-bahan dengan warna, rasa dan tekstur yang kontra seperti rangup, lembut, manis, masam, segar, bergoreng, hijau dan merah. Walaupun kontra, setiap bahan yang digunakan dalam penyediaan sepinggan yee sang mempunyai tujuan yang khusus. Sebagai contoh, ikan menandakan kemewahan sementara lobak merah menandakan tuah.

Yee sang klasik yang popular di Malaysia pada era 1960-an merupakan hidangan yang terdiri daripada keropok, lobak putih, lobak merah, daun parsli Cina, sos plum, serbuk panca-rempah, halia, kacang tumbuk, sashimi ikan salmon atau obor-obor. Sejak belakangan ini, hidangan klasik ini telah mengalami perubahan apabila restoran-restoran menyediakan versi masing-masing agar kelihatan lain dan unik. Dari buah pir ke muruku dan juga rumpai laut, rakyat Malaysia benar-benar berusaha keras untuk memberikan perubahan pada hidangan komuniti ini.

Pada Tahun Baru Cina, yee sang boleh didapati di mana-mana restoran Cina dan jarang sekali disediakan di rumah. Senarai bahan-bahan yang diperlukan agak merenyahkan jadi kebanyakan daripada kita lebih suka membelinya dari restoran atau yang sedia dijual di pasar raya. Kami ada penyelesaian untuk anda! Anda hanya perlu ke pasar raya dan mungkin ke restoran makanan Jepun. Sebenarnya, lebih dari separuh bahan yang diperlukan sudah siap dijual tapi apabila anda hidangkan hasil akhir anda, kami jamin para tetamu anda pasti akan berasa terpukau.

Resipi kami untuk yee sang ala Jepun ini agak berbeza tetapi masih dekat di hati anda. Seperti yang dijanjikan, resipi ini bukan sahaja cantik dihidang malah sedap dimakan juga. Sudah tentu ibu mertua atau makcik-makcik anda berasa terpegun nanti.

Ayuh kita lo hei! Anda sudah kesuntukan masa!

 

Bahan-bahan

Untuk diparut
  • 230g (1) lobak putih daikon
  • 84g (1) lobak merah

 

Untuk kuah
  • 100g sos plum
  • 80g madu
  • 20g kicap Jepun/shoyu
  • 13g minyak zaitun ekstra dara
  • 1 sudu kecil kulit lemon (bahagian kuning sahaja), kira-kira ½ biji lemon
  • 35g jus lemon

 

Bahan siap
  • 250g ikan salmon gred sushi
  • 250g kaki ketam yang dikupas & dimasak (Kanifumi crab stick atau filamen berperisa ketam)
  • 100g sotong kurita kecil masak (chuka idako)
  • 100g salad rumpai laut Jepun (chuka wakame)
  • 150g kacang disalut wasabi
  • 100g kacang badam panggang
  • 100g kacang gajus panggang
  • 1kg (1) limau gedang
  • 312g (1 tin) limau mandarin

 

Untuk keropok
  • 15 keping kulit gyoza
  • minyak masak
  • 3g (½ sudu kecil) garam laut

 

Hiasan
  • 2g (½ sudu kecil) serbuk panca rempah
  • 15g biji bijan putih
  • 28g (2 sudu besar) minyak zaitun ekstra dara
  • 50g (½) limau

 

Peralatan khas
  • pemarut dengan sambungan bilah mata halus

 

Cara-cara

 

Lobak putih & merah parut
  1. Kupas lobak putih daikon dan buang bahagian hujung atas dan bawah. Lakukan yang sama pada lobak merah.
  2. Sediakan air rendaman berais dalam mangkuk besar.
  3. Dengan menggunakan pemarut bermata halus, cuba lakukan beberapa hirisan ujian pada lobak putih anda. Anda mahu memotong lobak putih secara pepenjuru untuk dapatkan parutan lebih panjang. Betulkan kedudukan sambungan pemarut yang digunakan sehingga anda mendapat parutan rata selebar 1mm.
Saiz sasaran parutan lobak putih
  1. Jangan risau kalau parutan lobak putih anda melekat bersama. Anda tak perlu ceraikan untuk dapatkan parutan berindividu. Apabila anda sudah habis memarut, letakkan parutan lobak putih di dalam air rendaman (tidak mengapa kalau ais sudah mencair) dan parutan tersebut akan tercerai dengan sendirinya.

Parutan lobak putih yang membukit

Masuk ke dalam air…magis!

  1. Gunakan pemarut untuk memarut lobak merah menurut cara yang sama.
Parut lobak merah pula
  1. Masukkan parutan ke dalam air rendaman yang sama dan kacau untuk agihan yang sama rata.

 

Kuah masyuk
  1. Untuk sediakan kuah, masukkan sos kicap shoyu dan sos plum ke dalam sebuah mangkuk dan kacau sehingga rata.
  2. Seterusnya, masukkan minyak zaitun dan kacau rata. Minyak zaitun akan mencairkan kuah tersebut.
Kuah sedang disediakan
  1. Masukkan kulit lemon dan jus lemon lalu kacau rata. Rasa kuah anda. Kuah anda sepatutnya berasa masam dan manis yang membuatkan anda ingin menjilat sudu. Pelbagai jenis lemon dan madu mempunyai tahap masam dan manis yang berbeza. Jadi, tambahlah sedikit madu dan lemon, jika perlu, untuk dapatkan perisa yang anda suka. Walau bagaimanapun, terdapat kepentingan untuk pastikan keseimbangan perisa agar berpadanan dengan rasa bahan yang lain.
Parut halus kulit lemon, bahagian kuning sahaja
  1. Hidangkan kuah dalam mangkuk atau jag kecil.

 

Keropok yee sang
  1. Potong kepingan gyoza pada 6 bahagian. Anda boleh tindan beberapa keping sekali untuk dipotong.

Pertama sekali, belah menjadi dua

Potong pada 6 bahagian

  1. Isi periuk kecil dengan minyak masak kira-kira 2.5cm dalam dan letakkan di atas api besar.
  2. Apabila minyak sudah cukup panas untuk menggoreng, kira-kira 185°C, cuba letakkan satu bahagian gyoza yang dipotong. Jika gyoza naik ke permukaan dengan cepat dan mula menjadi rangup, minyak anda sudah cukup panas. Jika tidak, biarkan minyak dipanaskan untuk beberapa minit lagi.
  3. Goreng kepingan gyoza dalam dua atau tiga kumpulan. Anda mahu keropok rangup yang mengembung sedikit dan berwarna keperangan. Proses ini mengambil masa kira-kira 1 minit.
Goreng kepingan gyoza yang dipotong
  1. Pindahkan kepingan gyoza ke dalam bakul penapis dan tabur sedikit garam laut. Goncang bakul untuk pastikan garam ditabur secara sekata.
Sedap dan rangup
  1. Letakkan keropok gyoza ke dalam mangkuk yang dilapik dengan tisu dapur untuk menyerap minyak berlebihan.

 

Memanggang biji bijan
  1. Panaskan kuali leper berdasar berat pada suhu tinggi. Masukkan biji bijan.
Panggang biji bijan
  1. Panggang sehingga agak perang, kira-kira 3 minit. Jangan lupa untuk terus kacau atau goncang biji bijan supaya tidak hangit.
Biji bijan dianggang dengan sempurna
  1. Pindahkan kira-kira 2 sudu besar biji bijan ke dalam mangkuk kecil. Simpan baki biji bijan untuk resipi lain atau pinggan berisi yee sang yang lain.

 

Menyediakan bahan utama
  1. Kupas kulit limau gedang dan belah pada beberapa bahagian, keluarkan semua bahagian putih.
  2. Leraikan isi limau gedang pada ketulan kecil.
  3. Belah kaki ketam secara pepenjuru.
Tonjolkan kreativiti anda dengan memotong kaki ketam secara pepenjuru
  1. Hiris sotong kurita secara memanjang, dari kepala ke sesungut.
Hiris sotong kurita dari kepala ke sesungut
  1. Jika anda membeli sekeping ikan salmon gred sushi, gunakan pisau yang sangat tajam untuk tanggalkan kulit.
Tanggalkan kulit ikan salmon
  1. Kadang kala, terdapat tulang di dalam daging ikan salmon. Gunakan penyepit untuk keluarkan tulang tersebut.
  2. Anda boleh hiris ikan salmon nipis atau tebal, tetapi oleh sebab anda menyediakan hidangan ini di rumah, hirisan yang lebih tebal memberikan tekstur dan gigitan yang lebih memuaskan.
Potong hirisan sashimi salmon sekata dan cantik
  1. Lipat hirisan sashimi menjadi separuh dan susun dalam bentuk corong agar mudah untuk diangkat nanti.
Lipat menjadi separuh dan susun dalam bentuk corong

 

Penyusunan
  1. Apabila anda sudah bersedia untuk menghidangkan yee sang, tapiskan air rendaman lobak merah dan putih yang diparut. Goncangkan penapis untuk keluarkan air berlebihan.
  2. Keluarkan pinggan besar dan bulat.
  3. Bayangkan pinggan anda dibahagikan pada segmen seperti gambar di bawah.
Segmen hidangan
  1. Di tengah-tengah pinggan, letakkan lobak putih dan lobak merah yang diparut. Ambil segenggam (atau lebih) lobak putih dan merah lalu susun bahan tersebut secara membukit. Anda perlu letakkan lebih banyak lobak putih dan sedikit lobak merah untuk berikan variasi warna.
Parutan lobak merah dan putih yang menggunung
  1. Letakkan di tengah-tengah pinggan. Yee sang adalah seperti salad dan lobak putih merupakan komponen utama salad ini. Bahagian terbesar dalam pinggan hidangan mestilah terdiri daripada lobak putih.
Letakkan di tengah-tengah pinggan
  1. Seterusnya, letakkan kacang. Letakkan kacang badam di salah satu segmen pinggan. Kemudian, selang dua bahagian lagi dan letakkan kacang gajus. Akhir sekali, selang dua lagi segmen untuk letakkan kacang disalut wasabi.
Kacang!
  1. Letakkan baki bahan utama anda seperti limau gedang, buah oren, kaki ketam, chuka idako dan ikan salmon – di segmen pinggan yang kosong. Untuk cantikkan lagi hidangan anda, susun bahan anda di sebelah bahan yang mempunyai warna yang kontra (sebanyak mana yang boleh).
Warna-warna kontra menyedapkan lagi mata yang memandang!
  1. Akhir sekali, letakkan banyak keropok gyoza dalam bulatan di sekeliling lobak putih. Yee sang anda sedia dihidang!
Disusun cantik

 

Menyediakan hiasan
  1. Letakkan minyak zaitun di dalam mangkuk atau jag kecil.
  2. Letakkan serbuk panca rempah di dalam mangkuk kecil.
  3. Jangan lupa letakkan separuh limau di dalam mangkuk kecil juga.
  4. Hidang bersama-sama kuah yang anda sediakan sebelum ini dan yee sang anda.
Sedia dihidang!

 

Lo hei!
  1. Sebelum anda menikmati hidangan anda, tabur sedikit biji bijan yang dipanggang di seluruh yee sang. Kemudian, tabur serbuk panca rempah. Seterusnya, tuang sedikit minyak zaitun diikuti dengan kuah. Akhir sekali, perah limau di atas salmon.
Tabur, tuang, perah
  1. Ambil kayu penyepit dan tus yee sang sambil membuat ucapan sempena sambutan tahun baru. Lebih kotor, lebih baik, kerana lebih tinggi yee sang anda ditus, anda akan menjadi lebih bernasib baik. Kononnyalah.

Ke garisan

Sedia

Mula!

Kotor tetapi berbaloi

 

Tip tambahan

  1. Anda boleh menggunakan mana-mana 3 jenis kacang termasuklah kacang walnut bergula, kacang pekan atau kacang pain. Kacang hazel mempunyai rasa yang agak kuat, jadi tidak sesuai untuk digunakan dalam resipi ini.
  2. Jika anda boleh dapatkan buah yuzu segar, anda boleh gunakan yuzu sebagai ganti untuk buah lemon. Buah yuzu akan membuatkan yee sang anda lebih sedap.
  3. Salmon gred sushi perlu dikendali dengan hati-hati. Simpan di dalam peti sejuk sehingga sedia untuk digunakan. Jangan guna ikan tersebut selepas tarikh/masa yang dicadangkan kerana boleh menyebabkan keracunan makanan. Tambahan pula, apabila sushi berada pada suhu bilik, ia perlu dimakan dalam tempoh 4 jam. Beli ikan salmon anda pada hari yang anda ingin gunakan tetapi jika anda tidak sempat makan ikan tersebut, jangan buang. Ikan tersebut masih selamat dimakan apabila dimasak dengan syarat anda tidak bekukan ikan itu sekali lagi.
  4. Cari buah limau gedang yang sudah dikupas kulit. Kerja anda akan menjadi lebih mudah!
  5. Anda juga boleh menggunakan oren mandarin segar. Walau bagaimanapun, anda perlu sediakan buah oren tersebut dengan merendam kepingan oren di dalam pektin. Kami cadangkan anda untuk menggunakan sahaja buah yang di dalam tin.
  6. Anda juga boleh sediakan kacang panggang anda sendiri tetapi anda ada banyak kerja yang perlu dilakukan! Kalau anda ada masa lebih, bolehlah sediakan.
  7. Kebanyakan bahan di atas boleh disediakan lebih awal dan ada yang tidak perlu disediakan langsung. Jika anda akan sibuk, anda boleh membuat persiapan lebih awal dan simpan mana yang perlu.
  8. Sukatan di atas adalah mencukupi untuk menyediakan satu pinggan besar yee sang dengan sedikit lebihan di tepi. Walau bagaimanapun, kami mengesyorkan anda untuk buat lebih dari satu pinggan untuk tetamu anda. Merekapasti mahu menambah nanti.

 

Tip pembekal

  1. Kami dapatkan kaki ketam, ikan salmon gred sushi, chukka idako dan salad rumpai laut dari Focal Marketing Sdn Bhd di Kepong.
  2. Anda juga boleh dapatkan kaki ketam dan ikan salmon dari pembekal borong lain, restoran makanan Jepun atau pasar raya seperti Isetan dan Aeon. Anda juga boleh dapatkan ikan salmon yang sudah dihiris siap.
  3. Chuka idako dan salad rumpai laut juga boleh dibeli dari restoran makanan Jepun kegemaran anda atau di bahagian makanan Jepun di pasar raya.
  4. Semua bahan lain di atas boleh didapati dengan mudah di pasar raya berdekatan anda.

Adakah anda akan menyahut cabaran untuk menyediakan sepinggan yee sang yang menyelerakan ini? Ikuti arahan yang kami berikan dan anda pasti mendapat hidangan yang cukup cantik untuk dikongsi di laman sosial. Jangan lupa untuk letakkan hashtag #butterkicap pada gambar anda supaya kami juga dapat melihat hasil akhir anda. Jika anda mahu tahu dengan lebih lanjut lagi tentang sejarah yee sang di Malaysia, bacalah artikel Where did Yee Sang Come From, Actually?

 


 


print
Butterkicap Team

We're just a small group of friends who love food, culture and Malaysia. We saw the rise of mediocre food, deteriorating relationships and missed the good old days of Malaysia where food was good, homes were warmer and full of friends and family. So we rolled up our sleeves, and made Butterkicap with the hope that it will bring people and flavors home.

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.