10 Makanan Yang Jadi Ekstra Sedap Dengan Mentega

Mentega sememangnya antara bahan yang terpenting dalam dunia masakan. Baik savouri mahupun dalam pencuci mulut juga, mentega memberikan rasa lemak yang melazatkan lagi makanan yang disediakan. Siapa sangka, bahan makanan yang sentiasa dipandang enteng adalah suatu komoditi komersial penting yang menggerakkan pelbagai industri.

Mentega wujud beribu-ribu tahun lalu, tetapi mentega yang wujud dahulu tidak seperti mentega yang kita beli di pasar raya. Berbanding susu lembu, mentega dihasilkan menggunakan susu kambing biri-biri, kambing hutan mahupun unta melalui satu kaedah purba yang masih dipraktikkan di Timur Dekat seperti Turki, Iran dan negara-negara Balkan serta Afrika. Susu akan disimpan di dalam kantung yang diperbuat daripada kulit haiwan, lazimnya kambing, dan angin akan dipam ke dalam kantung itu sebelum menutupnya. Kantung itu akan digantung dan digoncang hingga susu tersebut memejal lalu bertukar menjadi mentega.

Ciptaan mentega, pada awalnya, bertujuan untuk memastikan susu yang diperah dapat disimpan lebih lama lagi, khususnya di negara-negara beriklim panas tetapi secara tidak sengaja, membantu mentransformasi dunia kulinari hingga ke hari ini.

Mentega vs Marjerin

Oleh sebab kedua-duanya berwarna kuning dan mempunyai tekstur yang hampir sama, ramai dalam kalangan kita tidak dapat membezakan antara mentega dan marjerin. Malah, kebanyakan daripada kita memikirkan marjerin ialah sejenis variasi mentega yang lebih murah. Tambahan pula, mentega dan marjerin keluaran pelbagai jenama diletakkan bersama di rak-rak pasar raya tanpa meletakkan pembahagian atau label yang jelas. Oleh itu, memang tidak menghairankanlah ada pengguna marjerin yang berasa terkejut selepas mendapat tahu bahawa mereka tidak membeli mentega selama ini.

Walaupun mempunyai ciri-ciri fizikal yang hampir sama, tetapi mentega dan marjerin diperbuat daripada bahan berbeza. Marjerin ialah mentega buatan yang biasanya, diperbuat daripada minyak sayur tetapi kadang kala, diperbuat daripada minyak haiwan juga. Namun begitu, marjerin mempunyai bahan tambahan seperti garam, susu saringan dan juga pengemulsi. Bahan tambahan ini menjadi marjerin mempunyai kandungan lemak yang lebih tinggi daripada mentega asli dan secara tidak langsung, boleh membawa masalah kesihatan jika dimakan secara berlebihan.

Khasiat Mentega

Pandangan umum ialah mentega adalah salah satu bahan makanan yang tidak menyihatkan dan patut dielakkan. Tetapi benarkah begitu? Menurut penyelidikan terbaharu yang dijalankan untuk mengkaji khasiat mentega, tanggapan awal kita ternyata tidak benar dan mentega sebenarnya, kaya dengan zat dan vitamin larut lemak yang diperlukan oleh tubuh badan kita.

Antara kelebihan mentega yang ditemui melalui kajian-kajian yang dijalankan, mentega ialah sumber kalsium yang bagus. Hal ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana mentega ialah produk sampingan susu! Kalsium yang diperolehi melalui mentega merupakan jenis kalsium dipanggil sebagai K2 yang dihasilkan dalam kuantiti yang kecil dalam badan kita. Kenapa K2 ini penting? Kebanyakan kes melibatkan kemerosotan jisim tulang dan masalah tulang lain berpunca daripada kekurangan K2 dalam badan.

Selain itu, mentega juga dikatakan mampu merendahkan lagi risiko menghidapi beberapa jenis kanser seperti kanser paru-paru dan kanser prostat. Hal ini demikian kerana mentega mempunyai kandungan beta keroten, suatu sebatian yang bertukar menjadi vitamin A di dalam tubuh badan anda. Selain itu, beta karoten juga bagus untuk penglihatan anda dan didapati boleh melengahkan proses penuaan mata dan mencegah penyakit degenerasi makular berkaitan umur.

Tambahan pula, mentega juga bagus untuk kesihatan kulit. Kandungan vitamin E dalam mentega mengurangkan kerosakan akibat sinaran UV, mengurangkan kemerahan, dan mempercepatkan proses penyembuhan kulit. Terdapat pelbagai manfaat mentega yang lain tetapi daripada bercakap tentangnya sahaja, apa kata anda mencuba sendiri hidangan bermentega di bawah dan terus mengalami sendiri manfaat-manfaat yang diomong-omongkan di sini.

1. Nasi Putih dengan Kicap

Inilah salah satu makanan kegemaran saya semasa membesar di Pulau Pinang. Tiada makanan yang rasa seenak nasi panas-panas digaul dengan kicap dan mentega. Setiap kali musim hujan, arwah nenek saya akan sediakana nasi mentega ditambah kicap ini berserta sepinggan telur goreng mata kerbau dan semangkuk ikan bilis goreng kicap. Memang makan bertambahlah hari itu! Keunikan sajian ini ialah gabungan perisa yang lemak masin, manis dalam suatu suapan dan memberikan perasaan menyenangkan kepada sesiapa sahaja yang mencubanya.

Saya yakin, pasti ramai mula rindukan zaman kanak-kanak mereka sekarang. Cubalah resipi Pan-Seared Siakap Masak Kicap ini.

2. Ketam (Makanan Laut)

Kredit: asianinspirations.com.au

Antara sebab utama makanan laut menjadi salah satu sajian popular di setiap kedai makanan adalah kerana dimasak bersama mentega. Oleh itu, di seluruh dunia, terdapat pelbagai resipi makanan laut berasaskan mentega yang dicipta. Namun begitu, tiada yang boleh menandingi masakan laut ala Cina. Mungkin bahan-bahan yang digunakan menyerlahkan lagi aroma dan kemanisan makanan laut, tetapi suatu perkara memang pasti; sekali kita makan, memang tak berhentilah jawabnya.

Jika anda dalam mood nak makan makanan laut, cubalah resipi ketam mentega Cef Anis Nabilah. Cukup sesuai untuk dijadikan sajian keluarga waktu-waktu hujan begini.

3. Roti Bakar

Kredit: tokopedia.org

Kita ada pelbagai sajian sarapan yang lebih menarik dan mengenyangkan daripada roti bakar seperti nasi lemak, roti canai, tosai dan sebagainya, tetapi kepuasan yang diperoleh dengan sekeping roti bakar panas-panas rangup yang disalut sapuan kaya yang ;emak manis berserta secawan kopi’o atau chai masala panas. Fuh, memang berkecur air liur dibuatnya! Oleh itu, memang tak menghairankanlah bila ramai pelanggan berpusu-pusu ke kedai kopitiam kegemaran mereka semata-mata nak menikmati sepinggan roti bakar pada waktu hujung minggu.

4. Kopi

Kopi dengan mentega?! Sedapkah? Jangan buat apa-apa andaian selagi tak mencubanya. Ya, memang betul, idea membancuh kopi dengan mentega memang agak pelik dan unik tetapi percayalah, rasanya memang cukup sedap! Tahu tak. kopi mentega memberikan tenaga berkekalan sepanjang hari, membantu anda fokus dan menahan lapar? Kopi mentega ataupun kopi ‘bulletproof’ juga kaya dengan nutrien seperti nntioksidan, asid lemak omega-3, beta-karotin, vitamin larut lemak; A, D, E, dan K serta CLA sejenis asid lemak yang membantu anda menurunkan berat badan).

Teringin nak mencuba kopi ‘bulletproof’? Cubalah resipi kopi jamu ‘bulletproof’ Roslina Manaf.

5. Telur Goreng

nasi goreng kampung

Siapa yang tak bersetuju bahawa telur yang dimasak dengan mentega tak sedap, nampaknya kita tak boleh berkawan lagi sehingga dia mencubanya. Apa yang boleh dikritik tentang gabungan ini? Tiada hidangan selemak telur goreng yang digoreng dengan mentega. Kalau anda tak pernah cuba lagi, gorenglah telur dengan mentega, letak atas nasi panas-panas, patahkan beberapa biji cili padi dan tuanglah kicap manis/masin secukup rasa. Kalau anda tak tambah nasi tiga kali, maksudnya, anda kena cuba lagi!

6. Kek Marmar

Masih segar lagi dalam ingatan saya, membesar di rumah arwah nenek saya adalah antara memori zaman kanak-kanak saya yang terindah. Setiap waktu petang, selepas puas tidur petang, saya akan dikejutkan dengan suatu aroma yang cukup wangi dan indah; bau kek mentega marmar yang baru siap dibakar. Bukan sekadar mata, perut pun terjaga juga!

Apa istimewanya kek mentega marmar? Keistimewaanya ialah keringkasannya. Bak kata pepatah Inggeris, ‘Less is more’, kek mentega adalah sebahagian daripada memori kita semua. Walaupun tiada bahan lain diletakkan seperti kacang atau buah, kek ini tetap sedap, lembut dan mencair di mulut. Teringin nak mengimbau kembali kenangan lama? Sediakanlah kek marmar Nescafe istimewa Salwa.

7. Pisang Goreng

Terdapat dua faktor yang membuatkan pisang goreng enak. Faktor pertama ialah jenis pisang yang dipilih, lazimnya kita menggunakan pisang emas kerana rasanya yang manis. Faktor kedua pula ialah adunan tepung yang disediakan. Kalau salah satu tak menjadi, memang kuranglah ‘oomph’nya.
Oleh sebab itu, kebanyakan penjual goreng pisang menggunakan satu bahan rahsia yang menyerlahkan lagi kemanisan pisang goreng mereka dan bahan itu ialah, mentega.

Kalau anda rasa nak mengunyah sesuatu sambil menonton rancangan TV kegemaran anda, sediakan pisang goreng ala Aunty Zah. Kalah gerai pisang goreng kegemaran anda!

8. Krim Aising

Oleh sebab saya dibesarkan dengan prinsip “tiada makanan bergula kecuali pada hari-hari istimewa”, jadi saya sentiasa dalam keadaan bersedia untuk makan kek, khususnya yang dihias dengan krim aising mentega berperisa vanila yang halus dan mencair di dalam mulut. Bagi saya, krim aising yang dipaip di atas kek berfungsi sebagai bahan tambahan yang memberikan tekstur dan menyerlahkan lagi perisa kek. Oleh itu, krim mentega atau buttercream sentiasa menjadi pilihan utama saya khususnya apabila nak disapu di atas kek. Krim yang dihasilkan menggunakan gula saja sedap juga tetapi boleh membuatkan kita cepat jelak dan muak.

Kalau anda merancang nak membuat kek hujung minggu nanti, saya cadangkan anda mencuba resipi kek cawan red velvet Sugarlou beserta resipi krim kejunya. Saya yakin, anda takkan mencari resipi lain lagi selepas ini!

9. Dal

Kredit: .honeywhatscooking.com/

‘Mentega dalam dal?! Sedapkah?’

Kalau soalan ini terdetik dalam fikiran anda, maksudnya dal yang anda makan ialah dal ‘ceroi’ yang diberikan sekali dengan roti canai di kedai mamak.

Sebenarnya, terdapat banyak variasi resipi dal yang anda boleh jumpa di internet tetapi kalau anda nak nak dal yang pekat dan berlemak, carilah resipi dal makhani, iaitu suatu sajian moden yang diolah daripada resipi dal tradisional masyarakat Punjabi di India yang menggunakan kacang dal hitam atau urad dal.

Jadi, siapa sangka, dengan menambah sesudu mentega di atas dal yang panas boleh membuatkan satu makanan yang biasa menjadi kegilaan peminat makanan India di seluruh dunia!

10. Bergedil

Kredit: gedungresepi2u

Saya memang hantu bergedil. Saya boleh makan bergedil dengan apa-apa saja dan sebagai hantu bergedil, semestinya saya mahukan bergedil impian saya; isi kentang yang lemak mencair dan kulit yang rangup di luar. Jadi, selepas beberapa kali mengolah resipi, akhirnya saya dah jumpa rahsia untuk menyediakan bergedil saya dan rahsianya ialah, ya, betul tekaan anda, mentega.

Tak perlu letak banyak-banyak pun. Letak dalam 2 sudu besar mentega semasa melecek kentang dan dalam bater telur yang akan menyalut bergedil nanti. Memang tak boleh berhenti makan! Kalau nak tahu rasanya, cubalah sendiri tapi, ingat, jangan letak banyak-banyak mentega, tahu.

Lemak-Lemak Mentega!

Mentega memang suatu bahan yang sangat versatil tetapi dipandang rendah dan disamakan dengan marjerin. Ya, marjerin lebih murah tetapi rasanya tidak seenak mentega. Cubalah buat biskut menggunakan mentega dan marjerin, tengok yang mana satu akan habis dulu. Bagi saya, mentega sepenting garam dan gula. Ada kalanya, sesudu kecil mentega boleh membawa perbezaan yang besar.

Jadi, apa lagi makanan yang bertambah-tambah sedap bila diletakkan mentega? Kongsilah dengan saya!

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.