8 Tip Dapur Untuk Dicuba Agar Dapur Anda Lebih Efisien

Kredit: Tefal Blog

Bagi setiap individu yang memiliki dapur dan betul-betul gunakan dapur yang dimiliki, mereka tahu betapa susahnya untuk pastikan dapur anda kekal bersih, kemas dan paling penting, tidak membazir bahan makanan yang dibeli dan disimpan.

Jadi, kalau anda dapat peroleh tip atau petua untuk mudahkan kerja anda di dapur di samping menjadikan dapur anda lebih efisien, anda pasti akan ambil dan cuba amalkan, betul?

Saya ada 8 petua dan tip dapur yang mungkin dapat membantu anda. Namun begitu, saya tidak begitu pasti jika semua petua ini memang betul-betul berkesan. Tetapi, apa salahnya mencuba? Mana tahu, nasib anda baik dan petua ini berguna untuk anda.

 

Tip 1 – Cili Kering Dalam Beras

Kredit: seriouseats.com

Ramai mungkin fikir beras lebih baik disimpan dalam bekas plastik. Alasan untuk berbuat begitu memang praktikal. Bekas plastik lebih cantik, lebih kemas dan lebih menjimatkan ruang. Mudah untuk anda ubah kedudukan juga.

Malangnya, bekas plastik tidak dapat menghalang kutu beras daripada bersarang dalam beras anda. Sekali kutu bersarang, habislah beras anda. Penat-penat beli beras mahal, beras rosak akibat gigitan kutu.

Jawapan untuk selesaikan masalah ini ada beberapa cara tetapi cara paling mujarab adalah dengan meletakkan cili kering di dalam bekas beras. Sifat cili kering yang panas akan membuatkan kutu-kutu lari daripada bahang cili. Senang sahaja, kan?

 

Tip 2 – Gantung Bawang=Tahan Lama

Kredit: Cleaning – LoveToKnow

Masalah kedua yang sering kali membuatkan anda sakit kepala semestinya berkaitan dengan bawang. Bawang merupakan bahan makanan yang sangat cepat menjadi rosak. Hal ini demikian kerana bawang merupakan bahan makanan yang perlu ‘bernafas’.

Saya tidak maksudkan anda letak topeng pernafasan pada stok bawang anda. Lawak hambar diketepikan, cara terbaik untuk elakkan bawang anda daripada layu, tumbuh pucuk mahupun menjadi lesu adalah dengan menggantung bawang anda atau simpan dalam raga yang mempunyai lubang-lubang kecil.

 

Tip 3 – Air Sejuk Menyegarkan Sayur

Kredit: epicurious.com

Ramai pasti mengalami masalah sayur layu dalam peti sejuk setelah tinggal sayur tidak terusik dalam peti sejuk. Siapa yang tak sakit hati melihat sayur-sayuran yang baru dibeli menjadi busuk? Beli sayur gunakan duit, bukannya angin.

Untuk elakkan anda asyik kecewa berkali-kali, anda dua cara untuk anda selamatkan sayur dan duit anda. Cara pertama adalah dengan membalut sayuran berdaun dengan tisu dan dimasukkan dalam bekas kedap udara.

Cara yang kedua ialah cara yang lebih menjimatkan. Rendam sayur berdaun anda yang kelihatan tidak begitu layu dalam bekas berisi air sejuk. Rendam dalam 15 minit dan lihatlah daun-daun yang kelihatan separuh mati kembali segar. Keberkesanan cara kedua ini tidak dapat dibuktikan lagi tetapi bolehlah anda cuba bereksperimen dan maklumkan kami.

 

Tip 4 – Tangan Berbau

Kredit: Youtube

Makanan Malaysia selalunya berbau. Eh, saya tidak menghina kerana yang berbau itulah memang sedap dimakan. Bau-bau ini datang daripada bahan-bahan masakan yang digunakan seperti bawang dan cili.

Semasa memasak, mungkin anda tidak kisah ada bau-bau itu di tangan atau di sekitar badan anda tetapi katakan anda mempunyai mesyuarat atau temu janji, anda pasti tidak mahu bau bawang mengalahkan bau minyak wangi Dioq atau Lenkum anda.

Cara paling mudah adalah dengan menggosok tangan anda di sinki atau apa-apa barangan besi. Namun begitu, sinki dan barangan besi anda itu hendaklah yang tahan karat ya. Nanti tak berkesan pula!

 

Tip 5 – Serbuk Penaik Pencuci Versatil

Kredit: Cleaning- Now You Know

Tip kelima ini pasti anda sudah biasa dengar. Dengan sedikit air dan serbuk penaik, anda mempunyai pencuci yang cukup berkesan. Lebih berkesan daripada pencuci jenama Encik Otot!

Dengan bahan lain seperti cuka dan jus lemon, serbuk penaik dapat melakukan apa sahaja, daripada menanggalkan kesan degil di bekas plastik, mengilau permukaan yang kusam hinggalah menyerap bau-bau yang tidak menyenangkan dalam peti sejuk anda.

Terdapat banyak lagi kegunaan serbuk penaik dan untuk senaraikan kesemuanya memang tidak cukup satu artikel. Bakar biskut cip coklat dan duduklah bersama Mr. Google untuk ketahui dengan lebih lanjut.

 

Tip 6 – Tiada Lagi Minyak Meleting

Kredit: VideoBlocks

Walau apa jua umur, jantina dan saiz badan anda, setiap kali minyak meleting di dalam kuali, anda pasti akan menjerit lari. Terkena minyak yang meleting tersangatlah sakit. Jadi, apa yang anda lakukan?

Ada yang pakai baju lengan panjang, ada yang memakai sarung tangan, ada juga yang sampai tahap memakai topi keledar! Saya ada cara penyelesaian yang lebih efisien dan mudah sahaja.

Panaskan kuali anda pada suhu yang rendah dahulu dan perlahan-lahan tingkatkan suhu. Pastikan juga bahan yang ingin dimasukkan kering sekering-keringnya (jika menggunakan bater, kurangkan lebihan adunan sebelum masuk ke dalam kuali).

 

Tip 7 – Tak Nak Ladu Melekat

Kredit: bhg.com.au

Siapa yang tak suka makan dimsum, ladu (dumpling) atau pau? Memang sedap apabila makan panas-panas. Tetapi, bagi tukang pembuat, sajian ini memang merenyahkan. Sudahlah anda perlu berhati-hati semasa proses menggelek doh dan membungkus isi, anda juga perlu pastikan ladu atau dimsum tidak melekat dengan satu sama lain semasa mengukus.

Cara untuk mengelakkan ladu atau dimsum anda melekat memang mudah, tabur sedikit garam di kulit ladu atau dimsum agar tidak melekat.

Dimsum atau ladu melekat kerana kelembapan yang ada pada kulit ladu akan mengering dan jika disusun rapat-rapat pasti melekat. Garam dapat mengekalkan kelembapan kulit ladu. Namun begitu, jangan letak terlalu banyak garam nanti terlalu masin.

 

Tip 8 – Hilangkan Bau Mulut

Kredit: GQ

Seperti saya nyatakan di tip 4, makanan Malaysia memang berbau. Kalau anda fikir anda dapat singkirkan bau itu di tangan anda, jangan terlalu yakin kerana bau itu juga ada dalam mulut anda juga.

Bau makanan Malaysia memang betul-betul kuat sehinggakan anda berus gigi sekerap manapun, bau itu pasti ada, khususnya bau bawang putih. Cara terbaik adalah dengan makan kobis atau salad. Kobis dan salad mempunyai bahan kimia yang dapat memusnahkan partikel-partikel berbau.

Tak percaya? Cuba baca laporan kajian dari Universiti Ohio. Kalau malas nak membaca, cuba sahaja tip ini!

 

Cuba dan Dapatkan Hasil

Bagaimana dengan 8 tip dapur di atas? Dalam usaha untuk anda menjadikan dapur anda lebih efisien, anda tidak boleh berhenti daripada bereksperimen. Walau apapun hasilnya, jangan berputus asa dan berusaha sehinggalah anda mendapat tip dapur yang paling berkesan untuk diri anda.

Jangan lupa untuk maklumkan kami betapa berkesannya tip yang saya kongsi ini. Jika tidak berhasil, maklumkan saya dan saya akan cuba cari tip lain untuk anda cuba.

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.