Tip Aqiqah yang Setiap Ibu Bapa Baru Perlu Tahu

Aqiqah ialah satu adat menyambut kelahiran baru di setiap rumah keluarga beragama Islam yang diamalkan dari generasi ke generasi. Secara umumnya, aqiqah ialah upacara mengorbankan ternakan seperti lembu atau kambing dan daging tersebut akan dimasak serta diagihkan kepada jiran tetangga.

Tetapi, tidak ramai yang tahu tentang sejarah, signifikan, kepentingan mahupun adat serta pantang-larang adat aqiqah ini, khususnya dalam kalangan ibu bapa baru.

Kami memahami kekusutan dan kepeningan yang golongan ibu bapa ini hadapi. Yalah, dalam zaman moden ini, kebanyakan generasi moden tidak begitu ambil pusing atau kisah tentang adat-adat lama ini. Jadi, untuk memudahkan anda di samping berkongsi maklumat dengan anda, inilah panduan adat aqiqah yang padat dan ringkas untuk anda lebih memahami apa itu aqiqah sebenarnya.

 

Sejarah Aqiqah

Aqiqah merupakan satu adat yang sudah lama wujud dalam kalangan penganut agama Islam. Ada yang mengatakan bahawa amalan aqiqah ini sedia wujud sejak zaman nabi Adam lagi (Wallahualam).

Aqiqah merupakan satu amalan yang digalakkan untuk dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi. Menurut sabda Rasulullah S.A.W.:  “Seorang bayi yang diadakan aqiqah, iaitu upacara korban yang diadakan untuknya pada hari ketujuh kelahirannya, kepala bayi tersebut perlu dicukur dan diberikan nama kepadanya”.

Hukum upacara aqiqah ini ialah sunat muakad yang meletakkan amalan aqiqah ini sebagai satu amalan yang sangat digalakkan. Oleh itu, andai kata anda tidak mampu untuk melaksanakan upacara aqiqah pada hari ketujuh kelahiran anak anda, anda boleh adakan upacara aqiqah pada hari keempat belas, kedua puluh satu ataupun pada bila-bila masa sebelum anak anda mencapai akil baligh.

 

Signifikasi Aqiqah

Kredit: wajibbaca.com

Amalan aqiqah dipercayai mengelakkan anak-anak yang baru lahir daripada mengalami malapetaka atau kecelakaan akibat gangguan syaitan. Oleh itu, untuk memastikan kehidupan bayi baru lahir tersebut diberkati dan dilindungi oleh Allah S.W.T., korban diakukan.

Benarkan justifikasi tersebut?

Sebenarnya, terdapat banyak manfaat dalam melaksanakan upacara Aqiqah ini. Salah satu daripadanya adalah mengumumkan kelahiran bayi. Tak perlu lagi nak mengadakan parti “baby shower” yang mahal. Lebih berkat melaksanakan upacara aqiqah ini.

Hal ini demikian kerana anak ialah keberkatan yang dikurniakan oleh Yang Maha Esa kepada kita. Selain itu,  kenduri aqiqah juga menjadi satu alasan untuk mengumpul ahli keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai bagi sama-sama memeriahkan lagi peristiwa penuh keberkatan ini.

Kenduri aqiqah juga boleh menjadi salah satu cara untuk anda memberikan sedekah kepada golongan miskin dengan menawarkan mereka makanan dan daging aqiqah untuk dinikmati bersama.

 

Tip Aqiqah

Jadi, dengan sedikit pengetahuan dan maklumat yang dikongsi di atas tentang upacara aqiqah, anda yang baru saja bergelar ibu bapa pasti sudah lebih bersedia untuk menjalankan ibadah aqiqah ini demi kesejahteraan anak anda.

Tetapi, tunggu dulu!

Kami ada beberapa tip aqiqah untuk dikongsi dengan anda. Yalah, kami mahu upacara aqiqah anda ini dapat dilakukan dengan jayanya. Mari kita lihat apakah perkara yang anda perlu pertimbangkan untuk kenduri aqiqah anak anda.

 

Tip Aqiqah #1 – Hukum atau Syarat Aqiqah

Sebelum anda mula merancang majlis aqiqah anak anda, anda perlu mengetahui hukum ataupu syarat aqiqah yang ditetapkan. Untuk anak lelaki dan perempuan, syarat aqiqahnya adalah berbeza.

Bagi anak perempuan, syarat aqiqah adalah seekor kambing. Bagi anak lelaki pula, syarat aqiqah adalah dua ekor kambing.

“Kenapa lelaki dua ekor dan perempuan seekor?”

Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa kenduri aqiqah bagi anak lelaki meletakkan syarat untuk dua ekor kambing untuk dikorbankan kerana kononnya anak lelaki lebih mudah untuk dipengaruhi hasutan syaitan akibat tugas dan peranan anak lelaki yang lebih pelbagai serta sebagai bakal pemimpin umat nanti.

Kami tidak begitu pasti sama ada pendapat tersebut adalah kukuh ataupun tidak tetapi cukup untuk membuatkan anda berfikir dengan lebih mendalam lagi. Sebaiknya, anda dapatkan khidmat nasihat para ulama dan guru bertauliah tentang hal ini ya.

 

Tip Aqiqah #2 – Keadaan Binatang Korban Aqiqah

Kredit: solehaqiqah.org

Untuk mengadakan majlis aqiqah, binatang korban yang dipilih tidak bolehlah diambil secara sembarangan. Anda perlu ingat, tujuan aqiqah ini adalah untuk mendapat keberkatan Allah S.W.T. kepada anak anda. Oleh itu, anda perlu memastikan ciri-ciri berikut dalam pemilihan binatang korban tersebut:

  1. Binatang korban mestilah kambing, lembu atau unta
  2. Untuk unta, binatang tersebut mestilah berusia lebih dari 6 tahun
  3. Untuk lembu, binatang tersebut mestilah berusia lebih dari 3 tahun
  4. Untuk kambing, binatang tersebut mestilah berusia lebih dari 2 tahun
  5. Binatang korban mesti bebas daripada menyakit dan kecacatan seperti buta, sakit, kurus kering atau tempang.
  6. Binatang korban mesti disembelih dengan cara berperikemanusiaan dan menurut cara penyembelihan Islam.

 

Itulah sedikit sebanyak perkara asas yang anda perlu tahu tentang adat aqiqah. Adat ini masih diamalkan sehingga kini dan diharap dapat terus berkekalan di generasi akan datang.

Kini, anda tak perlu lagi mengikut gaya masyarakat Barat yang mengadakan “baby shower” untuk menyambut kelahiran bayi anda kerana kenduri aqiqah ini lebih berkat dan lebih bermakna, bukan saja secara peribadi, malah dari aspek agama, bangsa dan juga negara.

 

 

Bagi golongan bukan Islam, adakah anda mempunyai upacara sambutan kelahiran bayi baru seperti kenduri aqiqah menurut adat mahupun tradisi agama anda sendiri? Jika anda bolehlah berkongsi cerita, kisah dan pengalaman anda sendiri dengan kami di Butterkicap.

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.