Perut tak Sedap? Ini Cara Tradisional Ubati Perut Sakit

Perut tak sedap, semuanya tak menjadi. Kalau ikut cara tradisional, sekejap saja perut anda lega.

Kredit: NetDotcor

Bulan Syawal ialah bulan kemenangan bagi umat Islam di seluruh dunia. Setelah sebulan berpuasa sepanjang bulan Ramadhan yang mulia, setiap yang beribadah dengan tekun berhak mendapat ganjaran menikmati kegembiraan bulan Syawal sepuas hati mereka. Namun begitu, kebanyakan dari kita lupa bahawa kunci untuk kepuasan diri adalah dengan bersikap sederhana. Sederhana dalam keraian, sederhana dalam kegembiraan dan sederhana dalam pemakanan juga. Juadah istimewa hari Raya yang berlemak dan berkalori tinggi seperti rendang, ketupat, lemang dan kuah kacang, jika dimakan tanpa kawalan, pasti akan membawa padah. Padahnya ialah kembung perut, perut berangin yang membuatkan anda berasa tidak selesa. Apabila anda mula berasa kurang senang selepas menghadiri beberapa rumah terbuka, jangan lupa untuk amalkan beberapa kaedah tradisional untuk menghilangkan perut tak sedap anda itu.

 

1. Cuka Sider Epal

Kredit: health.com

Eh, bukan cuka masam dan tak elok untuk perut? Itu satu salah faham! Sebenarnya, cuka sider ini bersifat alkali dan mampu meneutralkan kandungan asid tinggi dalam perut yang menyebabkan perut anda berasa kurang selesa. Cara untuk makan cuka sider ini mudah sahaja. Hanya perlu:

  • Masukkan satu sudu besar cuka sider epal ke dalam secawan air.
  • Tambah satu sudu besar madu.
  • Minum air ini 2-3 kali sehari untuk kelegaan segera.

 

2. Jintan Hitam

Kredit: Herbs Natura

Mungkin tidak ramai dalam kalangan anda yang akan memilih jintan hitam sebagai bahan makan yang boleh melegakan perut anda yang sakit tetapi percayalah, jintan hitam mempunyai kadar keberkesanan yang lebih tinggi berbanding bahan-bahan lain yang disenaraikan di sini. Hal ini demikian kerana jintan hitam mempunyai minyak yang boleh mengurangkan masalah angin dalam perut dan rasa loya. Ada beberapa cara untuk anda makan jintan hitam sebagai bahan pelega perut anda. Anda boleh:

  • Telan jintan hitam
  • Hancurkan jintan hitam dan buat teh
  • Kunyah jintan hitam itu terus

Selepas dua tiga kali, anda pasti akan berasa lega.

 

3. Halia

Kredit: Herbal Remedies Advice

Semua orang sedia tahu bahawa halia merupakan ejen pembuangan angin yang berkesan. Sifat halia yang panas menekan angin yang terperangkap di dalam perut untuk keluar, baik dengan bersendawa atau melalui kentut. Angin yang terperangkap ini wujud akibat sifat makan secara berlebihan atau tidak terkawal. Jadi, jika anda mendapati perut anda terasa berangin dan kembung selepas anda mengunjungi rumah terbuka rakan anda, cepat-cepat buat teh halia supaya angin yang mula bertukar menjadi ribut dalam perut dapat dikeluarkan segera.

 

4. Teh Herba (Kamomil)

Kredit: Life Book AZ

Dalam beberapa rencana kesihatan Butterkicap, teh herba kamomil disebut-sebut dan disyor sebagai bahan pelega perut tak sedap. Hal ini demikian kerana sifat kamomil yang sejuk dan alkali dapat mengawal kadar keasidan dalam perut yang melampau khususnya selepas makanan pedas, berempah dan panas seperti daging rendang dan kuah kacang. Seperti halia, kamomil bukan sahaja enak diminum dalam campuran teh anda malah dapat memberikan kelegaan segera yang didamba oleh anda.

 

5. Serbuk Penaik

Kredit; Organic Lifestyle Magazine

Jika anda seorang yang tidak kisahkan rasa yang kurang enak demi mendapatkan kelegaan pantas, bahan inilah yang paling sesuai untuk anda. serbuk penaik atau soda bikarbonat mempunyai sifat yang sama seperti antasid. Serbuk penaik boleh dilarut dalam air untuk membantu anda menurunkan kadar keasidan dalam perut dan mengelakkan anda mengalami rasa pedih ulu hati yang ekstrem sehingga membuatkan anda berguling-guling di atas lantai. Jika anda rasa larutan soda bikarbonat ini sangat tidak sedap, tambahkan sedikit jus lemon untuk membantu anda menelan larutan tersebut. Daripada membeli Eno yang mahal, anda boleh dapatkan kelegaan pada kadar yang sama tanpa perlu mengeluarkan duit pun!

 

Jadi, jika anda dalam keadaan kecemasan perut yang tidak boleh diselesaikan dengan membuat pelaburan besar di dalam tandas, inilah beberapa ramuan tradisional yang mudah didapati dan tersedia di rumah anda untuk membantu anda berasa lega dan meneruskan misi mengunjungi rumah terbuka sanak saudara serta sahabat handai tanpa masalah. Apapun, makan kenalah beringat dan janganlah makan secara ekstrem sehinggakan penyelesaian yang saya beri ini tidak mampu untuk membantu anda.

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.