Resepi Kek Latte Chai Gula Melaka Asin Dengan Krim Mentega Meringue Swiss

Sepertimana minuman coklat panas kayu manis yang menjadi minuman selesa di Barat, teh chai masala juga mempunyai tempat yang istimewa di hati peminat teh di negara seperti India dan Malaysia.

Walau di mana jua anda berada, dengan mudahnya anda dapat menikmati secawan teh chai panas, baik semasa waktu panas mahupun hujan di mana-mana kedai mamak berdekatan. Memang cukup menyelesakan!


Teh itu Chai!

Chai, dalam bahasa hindi bermaksud teh. Lazimnya, di India, teh chai ini disediakan dengan bancuhan teh hitam, susu, rempah ratus seperti kayu manis dan buah pelaga yang dimaniskan dengan gula ataupun diminum begitu saja.

Bagi saya, saya sukakan teh chai saya dibancuh dengan sedikit buah pelaga, halia, bunga lawang, cengkih dan parutan buah oren. Memang cukup menyegarkan! Jika anda tak suka campuran rempah yang saya gunakan, silakan untuk ubah suai dan letakkan rempah yang anda suka.


Teh Dalam Bentuk Kek

Untuk resepi kali ini, saya bercadang untuk menyediakan satu hidangan pencuci mulut yang diinspirasi oleh minuman kegemaran saya ini.

Ya, saya tahu sudah ramai orang telah berkongsi resepi kek berperisa chai ini. Oleh itu, saya bercadang untuk membuat sedikit perubahan dengan menggabungkan perisa kegemaran rakyat Malaysia iaitu gula melaka dalam resepi kak chai ini.

Rasa gula melaka yang lemak manis menaikkan lagi perisa chai dalam kek ini dan paling penting, rasanya tidak terlalu manis hingga membuatkan anda rasa muak dan jelak.

Bahan-Bahan:

a) Adunan Kek Span A

  • 2 buah kulit, parutan
  • 90g susu segar
  • 4 uncang teh chai
  • 140g tepung kek, diayak
  • 1 1/4 cawan gula pasir
  • 1 sudu besar serbuk penaik
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 sudu teh serbuk kayu manis
  • 1/4 sudu teh serbuk halia
  • 1/4 sudu teh serbuk pelaga
  • 1/4 sudu teh serbuk cengkih
  • 60g mentega asin, dicairkan pada suhu bilik
  • 4 telur kuning, saiz sederhana
  • 2 sudu teh ekstrak vanila

b) Adunan Kek Span B

  • 4 telur putih, saiz sederhana
  • 55g gula kastor
  • 1 sudu teh krim tartar

c) Karamel Gula Melaka

  • 50g gula melaka, diparut atau dipotong menjadi ketulan
  • 2 daun pandan, disimpul
  • 1/8 cawan (25ml) air

d) Krim Mentega Meringue Swiss

  • 3 telur putih, saiz besar
  • 80g gula kastor
  • 150g mentega, suhu bilik
  • ¼ sudu teh ekstrak vanila
  • ¼ sudu teh garam


Cara-Cara:

a) Adunan Kek Span A

  1. Lapik dulang kek 3 x 8 inci dengan 1 lapisan kertas bakar. Jangan griskan dulang kek.
  2. Panaskan ketuhar 175 darjah Celsius.
  3. Didihkan susu dalam periuk atas api sederhana dan padamkan api. Masukkan uncang teh dan rendam selama 30 minit. Keluarkan uncang teh dan tapiskan teh. Perah keluar sebanyak mana cecair boleh daripada uncang teh. Buang uncang teh. Ketepikan bancuhan teh dan biar menyejuk.
  4. Pukul gula kastor dan telur kuning hingga sebati. Masukkan mentega cair dan kacau rata. Masukkan latte chai. Pukul hingga rata.
  5. Masukkan semua bahan serbuk.Masukkan tepung kek yang diayak bersama serbuk penaik ke dalam adunan. Masukkan garam. Kacau hingga halus dan rata.

b) Adunan Kek Span B

  1. Dengan pengadun elektrik, pukul telur putih hingga kembang. Masukkan krim tartar. Pukul hingga buih tebal terbentuk. Perlahan-lahan masukkan gula kastor. Teruskan memukul hingga adunan memuncak.

c) Menggabungkan Adunan Kek Span A & B

  1. Kaup perlahan-lahan adunan telur putih ke dalam adunan telur kuning dalam 4 bahagian. Kaup hingga rata.
  2. Tuang adunan perlahan-lahan ke dalam dulang bakar kek. Goncang dari sisi ke sisi secara perlahan-lahan hingga adunan sekata. Hentak dulang perlahan-lahan di atas permukaan meja untuk mengeluarkan gelembung udara.
  3. Letakkan dulang bakar di bahagian tengah ketuhar dan bakar selama 20 minit hingga bahagian atas kek menjadi perang keemasan atau hingga tiada adunan melekat pada lidi uji.
  4. Keluarkan kek dari ketuhar dan biarkan menyejuk. Gunakan pisau mentega untuk tanggalkan sisi kek dari dulang bakar untuk memudahkan anda keluarkan kek.
  5. Letakkan kek di atas pelapik kek dan keluarkan kertas bakar. Potong kulit kek di permukaan kek. Potong kek untuk dapatkan 3 lapisan kek.

d) Karamel Gula Melaka

  1. Satukan gula melaka, daun pandan dan air dalam periuk dan didihkan semua bahan atas api sederhana.
  2. Teruskan mengacau hingga gula larut dan cecair memekat. Angkat periuk, tapis cecair dan keluarkan daun pandan. Ketepikan karamel untuk menyejuk. Karamel akan makin memekat semasa proses menyejuk.

e) Krim Mentega Meringue Swiss

  1. Potong mentega menjadi ketulan kiub. Ketepikan dan biarkan pada suhu bilik.
  2. Gabungkan telur putih dan gula dalam mangkuk kalis haba yang diletakkan dalam periuk berisi air panas. Pastikan dasar mangkuk tidak menyentuh air dalam periuk. Kacau gula secara manual hingga larut. kesat antara ibu jari dan jari telunjuk untuk lihat jika ada gula yang tidak terlarut.
  3. Pindahkan adunan telur putih ke dalam mangkuk pengadun. Dengan menggunakan sambungan pemukul, pukul pada kelajuan tinggi hingga adunan memuncak. Biarkan adunan menyejuk ke suhu bilik sebelum masukkan mentega untuk mengelakkan mentega mencair. Untuk mempercepatkan proses ini, anda boleh simpan meringue dalam peti sejuk.
  4. Pada kelajuan rendah, masukkan kiub mentega yang dipotong dan perlahan-lahan, tukarkan kelajuan ke kadar tinggi. Pukul adunan hingga rata. Kaup mangkuk jika perlu, Jika pada satu tahap, adunan kelihatan mendadih, teruskan memunkul hingga adunan menjadi krim mentega halus.
  5. Masukkan garam dan ekstrak vanila dan kacau hingga rata.
  6. Perlahankan kelajuan dan masukkan karamel gula melaka satu sudu teh pada satu masa. Kaup mangkuk menggunakan pelepa dan pukul hingga sekata.

f) Menyiapkan Kek

  1. Sapu satu lapisan meringue swiss krim mentega gula melaka di atas kek.
  2. Kemudian letakkan lapisan kek kedua di atas dan sapu lapisan meringue. Letakkan lapisan kek ketiga di atas.
  3. Letakkan permukaan atas kek dengan lapisan meringue. Sapukan sedikit lapisan meringue di sisi kek, jika mahu.
  4. Tabur sedikit potongan kacangdan parutan buah oren sebagai hiasan.

Nikmati Bersama Secawan Kopi!

Pasti bau chai semerbak di dapur anda selepas anda keluarkan kek ini dari ketuhar. Untuk meningkatkan lagi pengalaman anda menikmati kek latte chai ini, jangan lupa untuk bancuh secawan kopi o panas. Memang cukup ‘gu’ gabungan perisa kek chai yang lemak manis dengan kopi hitam pahit.

Seperti biasa, jangan lupa untuk berkongsi gambar hasil anda bersama saya di @justinescakesandkueh dan @butterkicap di mana-mana laman media sosial pilihan anda. Jangan lupa untuk ikuti kami juga untuk resepi-resepi tradisional dan resepi kegemaran Malaysia anda perlu cuba di dapur anda!

Jika anda nak resepi pencuci mulut yang sama enak seperti resepi kek latte chai yang saya kongsi di sini, anda boleh cuba kek lof cempedak saya ataupun kek lapis pandan gula melaka untuk hidangan minum petang sekeluarga. Apapun selamat mencuba!

print
Justine Lim

With love for the freshest and natural ingredients, Justine Lim aspires to recreate heritage Malaysian recipes into modern, elegant-looking delicacies. Catch more of her delicious creations on her Instagram profile, @justinescakesnkueh

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.