Ayam Masak Bali Salam Perantau

Ayam Masak Bali merupakan masakan yang cukup viral pada bulan Ramadan tempoh hari hinggakan di mana-mana saja anda akan melihat resepi masakan ayam ini dikongsi, baik oleh rakan-rakan mahupun makcik-makcik anda. Bayangkan, saya sampai di bumi Glasgow sekalipun dapat tahu tentang resepi ini.

Sebelum ini, apabila saya dengar nama ‘ayam masak bali’, saya terus membuat kesimpulan bahawa masakan ini ialah masakan dari Indonesia yang menggunakan banyak rempah ratus dan cili kerana apalah masakan Indonesia tanpa cili yang banyak, betul tak? Entah bagaimana, dalam fikiran saya, saya bayangkan masakan ini seakan-akan gabungan masakan kurma dan sambal. Saya tahu memang pelik, tetapi itulah hakikatnya.

Namun begitu, sangkaan saya itu tidaklah terlalu jauh menyimpang. Ayam Masak Bali boleh dikatakan merupakan ‘anak’ masakan ayam masak merah dan ayam masak kicap. Kalau ‘ibu bapa’nya dah enak, si ‘anak’ mestilah lagi sedap. Apa yang berbeza ialah Ayam Masak Bali menggunakan lebih banyak serai dan daun kari. Tujuannya adalah untuk memberikan aroma yang kuat hingga semerbak satu dapur nanti. Lazimnya, sajian ini dihidang bersama nasi minyak tetapi saya syorkan anda untuk mencubanya bersama nasi tomato. Kalau pinggan anda tak licin, anda boleh beritahu saya nanti.

Sebelum itu, marilah kita sama-sama sediakan resepi Ayam Masak Bali ini.

Bahan-Bahan

  • ½ ekor ayam, dipotong 8, diperap dengan garam dan kunyit lalu digoreng
  • 2 biji bawang besar, dibelah 4
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 sudu besar belacan
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • Garam secukup rasa
  • 4 batang serai, dititik
  • 1 inci gula melaka
  • 1 genggam daun kari
  • 4 sudu besar cili kisar
  • 3 sudu besar kicap
  • 1 cawan air

Cara-Cara:

  1. Kisar bawang besar, bawang putih dan belacan dengan sedikit air, lebih kurang 4 sudu besar air. Kisar hingga halus.
  2. Dalam kuali, panaskan 1/2 cawan minyak atas api sederhana besar. Masukkan serai dan daun kari. Tumis hingga naik wangi. Masukkan bahan kisar dan cili kisar. Biar masak hingga kering dan pecah minyak.
  3. Masukkan gula melaka, kicap dan garam. Jika rasa manis dan masam masih tak mencukup, anda boleh tambah lagi hingga kena dengan citarasa anda.
  4. Masukkan air dan biar kuah mereneh selama 5-10 minit. Kecilkan api agar kuah tidak terlalu kering.
  5. Masukkan ayam dan gaul rata. Anda boleh hias dengan hirisan cili hijau dan daun ketumbar.

Boleh Teringat-Ingat Sampai Seminggu

Itulah cara-cara untuk sediakan Ayam Masak Bali. Caranya memang mudah dan menggunakan bahan-bahan yang ringkas. Kalau saya di Glasgow pun boleh sediakannya, anda di Malaysia lagilah tiada alasan untuk tak sediakan resepi ini. Bagi yang terlepas ‘kereta api’ dan baru nak mencuba resepi Ayam Masak Bali ini, jangan lupa untuk berkongsi hasil dan komen anda bersama saya dan Butterkicap. Kalau anda nak menghubungi saya ataupun nak mengikuti pengembaraan saya masak masakan Malaysia di bumi Glasgow, anda boleh ikuti laman Instagram saya.

Jika anda nak lebih banyak resepi menarik daripada saya, baik resepi Inggeris olahan saya ataupun resepi masakan Malaysia yang diringkaskan atau ‘made easy’, jangan segan-segan untuk menghantar permintaan anda kepada Butterkicap, baik menerusi profil Instagram atau Facebook mereka. Apapun, selamat mencuba dan jangan lupa untuk terus bereksperimen masakan-masakan baru!

print
Ezzah Nor
Ezzah Nor

Even in Glasgow, I eat nasi lemak #ezzahmasakapa

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Access Token is invalid, please get it again