Makan Sambil Beramal dengan Chef Muda, Syafiq Shahrom

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang cukup mulia dan ditunggu-tunggu oleh semua orang, tanpa mengira sama ada anda menganuti agama Islam ataupun tidak. Hal ini demikian kerana bulan inilah kita dapat beramal sambil diberi peluang untuk menikmati pelbagai juadah kegemaran yang jarang sekali ditemui pada bulan-bulan lain.

Namun begitu, kedatangan bulan Ramadhan juga menyaksikan pembaziran besar-besaran yang berlaku tanpa kita sedari. Sebenarnya, di setiap restoran, bazar dan buffet Ramadhan yang kita kunjungi, hanya sebahagian kecil sahaja makanan yang habis dijual sementara yang lain dibuang begitu sahaja.

Hal ini bukanlah berlaku semalam atau seminggu yang lalu. Fenomena pembaziran makanan ini sudah lama berlaku sehinggakan purata makanan yang dibuang mencapai jumlah yang membimbangkan iaitu kira-kira 3 ribu tan metrik sehari seperti yang dilaporkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Pasti hilang selera makan anda apabila melihat jumlah tersebut. Bayangkanlah, dengan 3 ribu tan makanan itu, berapa ramai keluarga atau individu yang dapat dibantu?

Sinar Food Aid Foundation

Kredit: hati.org

Masalah pembaziran makanan yang berlaku di Malaysia ini tidak dipandang enteng. Terdapat banyak agensi dan badan kerajaan serta bukan kerajaan yang berusaha untuk mengatasi dan mengurangkan kadar makanan yang dibuang setiap hari. Salah satu badan ini merupakan Food Aid Foundation (FAF).

Yayasan ini berfungsi sebagai sebuah bank makanan yang menyalurkan makanan lebihan, lazimnya barangan runcit kering seperti beras, yang disumbang oleh orang perseorangan mahupun organisasi kepada golongan miskin.

Berdasarkan prinsip FAF yang berteraskan ketelusan, layanan sama rata dan penghargaan terhadap makanan. Yayasan ini berazam untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat awam tentang hak semua manusia, tanpa mengira bangsa dan agama.

Matlamatnya ialah untuk mendapatkan makanan yang berkhasiat dan berzat di samping menggalakkan penerapan apresiasi terhadap makanan dengan memastikan setiap bahan digunakan sebaiknya.

Untuk memastikan kesedaran ini disampaikan dengan meluas, FAF mempunyai duta-duta mereka sendiri yang cuba menyebarkan pandangan dan konsep penghargaan makanan FAF kepada masyarakat umum. Salah satu daripada duta FAF ialah perintis baru dalam dunia kulinari tempatan, Chef Syafiq Shahrom.

 

Kenali Duta Muda, Chef Syafiq

Walaupun baru menginjak usia 21 tahun, pemuda yang berasal dari Shah Alam, Selangor in sudah berjaya menempa nama dalam pentas kulinari tempatan dan juga Singapura. Beliau memulakan karier beliau dalam bidang kulinari dengan majalah Nourish. Dari situ, beliau mendapat tawaran menjadi hos rancangan memasak untuk produk Kenwood di Singapura.

Apabila bertanya tentang inspirasi beliau untuk belajar memasak, beliau berkata, “Inspirasi saya ialah mak saya. Saya mula memasak pada umur 13 tahun. Dari usia semuda itu, saya sudah bercita-cita untuk menjadi seorang chef. Oleh itu, saya melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur Metropolitan University (KLMU) dalam asas kulinari dan sebenarnya, saya baru selesai latihan industri dengan St. Regis Hotel.

Sebenarnya, bukan mak saya sahaja yang mempengaruhi saya untuk menjadi seorang chef. Saya belajar memasak daripada dua nenek saya, satu di Perak dan satu di Kelantan. Merekalah yang mengajar saya memasak masakan kampung, masakan yang diwarisi turun-temurun dalam keluarga saya.”

Walaupun baru setahun jagung dalam dunia kulinari, Chef Syafiq mendapat kesedaran untuk menghargai makanan setelah melihat betapa banyaknya makanan yang dibazirkan, khususnya di hotel-hotel besar dan restoran. Oleh itu, beliau memutuskan untuk menjadi sebahagian daripada Food Aid Foundation.

Sebagai seorang chef, anak sulung dari tiga beradik ini, beliau berharap untuk menyebarkan kepentingan untuk menggunakan bahan makanan sepenuhnya tanpa perlu membazir makanan.

Timbalan Pengerusi Youth Chef Malaysia ini berkata, “Saya baru sahaja menyertai Food Aid Foundation sebagai duta yayasan ini. Perkara yang menarik saya untuk menjadi sebahagian daripada FAF adalah semangat perpaduan yang ditunjukkan.

Maksud saya, pengasas FAF itu sendiri adalah berbangsa Cina, iaitu Encik Rick Chee tetapi usaha beliau untuk menyediakan makanan kepada golongan yang memerlukan tidak memandang agama mahupun bangsa. Bagi saya, itu cukup kerana semua orang berhak mendapat makanan yang berkhasiat, berkualiti dan elok, tiga kali sehari.”

Meskipun sibuk membina kerjaya beliau sendiri, Chef Syafiq tidak pernah melepaskan peluang untuk meluangkan masa untuk memasak, berinteraksi dan berjumpa sendiri dengan golongan yang dibantu Food Aid Foundation. Bagi beliau, itulah yang memberikan kepuasan kepada diri beliau apabila mereka menikmati makanan yang disediakan.

 

Peluang Beramal Sambil Makan

Bulan Ramadhan ini akan menjadi lebih bermakna untuk anda dengan sumbangan serendah RM 5. Sepertimana anda berasa teruja untuk menyambut Ramadhan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan meriah bersama keluarga dan orang tersayang, begitu jugalah individu-individu dari keluarga yang tidak berkemampuan.

Bawa arus perubahan dalam kehidupan mereka menjelang lembaran akan datang dengan membuat sumbangan kecil menerusi e-buku resepi khas dari Butterkicap dan Chef Syafiq Sharom sebagai duta Food Aid Foundation. E-buku resepi ini memuatkan 18 resepi mudah, ringkas, menyelerakan dan pastinya tidak membazir makanan anda seperti  onde-onde cip coklat, nasi tiga benua, bubur lambuk dan sebagainya.

Dengan setiap pembelian e-buku resepi ini iaitu sebanyak RM7, 50% daripada pembelian anda akan disalurkan ke Food Aid Foundation untuk membantu golongan yang memerlukan. Bukan sahaja anda anda dapat menikmati pelbagai makanan yang enak sebagai juadah berbuka mahupun dihidang kepada tetamu anda semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri malah anda memberikan sinar harapan baru kepada keluarga lain juga.

Untuk membuat pembelian e-buku resepi ini, anda boleh ke Butterkicap.com/shop.

Selamat memasak dan beramal!

print
Butterkicap Team

We're just a small group of friends who love food, culture and Malaysia. We saw the rise of mediocre food, deteriorating relationships and missed the good old days of Malaysia where food was good, homes were warmer and full of friends and family. So we rolled up our sleeves, and made Butterkicap with the hope that it will bring people and flavors home.

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.