Resepi Kandi Kelapa Aunty Margaret Gerenti Laku

Siapa yang masih ingat kandi kelapa ini? Kebanyakan daripada kita sudah pasti melihat manisan ini sebagai sebahagian daripada zaman kanak-kanak kita. Salah seorang rakan kerja kami berkongsi kisah bagaimana dia akan sentiasa mengejar pakcik menjual roti pada waktu petang semata-mata untuk mendapatkan kandi kelapa ini. Begitu juga, anda pasti ada kisah yang sama sepertinya juga.

Pada zaman ini, sudah semakin sukar untuk menjumpai manisan ini kecuali semasa hari-hari perayaan besar masyarakat India seperti Deepavali dan Thaipusam. Mungkin hal ini berlaku kerana kemahiran untuk menyediakan kandi ini sudah semakin pupus dan hanya dipelajari oleh mereka yang menjual kandi ini secara komersial.

Malangnya, kandi ini tak seperti yang kita ingati dahulu. Yang mana kita jumpai sekarang semuanya keras seperti batu dan rasa manis gula sahaja. Kadangkala, terdetik juga di hati, di mana nak dapat balik kandi kelapa yang lembut dan lemak seperti yang pakcik roti jual dulu?

Aunty Margaret Datang Berkongsi!

Anda tak perlu berkeluh-kesah lagi seperti kami kerana nasib anda baik kami telah berjumpa dengan seorang aunty yang tinggal jauh di Alor Setar, Kedah yang berbesar hati untuk berkongsi resepi dan cara untuk menyediakan kandi ini.

Apabila berjumpa Aunty Margaret, beliau mengatakan sudah banyak manisan tradisional India semakin dilupakan sekarang hinggakan tak ramai generasi baru yang tahu untuk menyediakan manisan-manisan tersebut sedangkan cara-cara untuk menyediakannya adalah begitu mudah!

Sebelum turun ke dapur bersama Aunty, beliau mula-mula sekali berikan kami rasa dulu hasil kandi yang dibuat oleh beliau dan jawapan kami;
Hasil tangan ibu mana yang tak sedap? Begitu juga, kandi yang dihasilkan oleh Aunty Margaret cukup lemak, tak begitu manis dan semestinya lembut bila digigit.

Oleh itu, kami memutuskan untuk berkongsi resepi Aunty Margaret ini bersama anda setelah mendapat kebenaran daripada beliau.

Bahan-Bahan:

  • 1kg kelapa parut, puth saja
  • 500g gula kasar
  • Setengah tin susu pekat manis
  • 1/4 tin susu sejat
  • Pewarna ros

Cara-Cara:

  1. Goreng kering kelapa parut dalam kuali atas api sederhana besar. Goreng hingga kelapa parut kering selama 10-15 minit. Pastikan kelapa parut tak memerang.
  2. Masukkan kelapa parut dalam pengisar dan gunakan fungsi ‘pulse’ untuk haluskan lagi tekstur kelapa.
  3. Masukkan semula kelapa parut yang dikisar ke dalam kuali bersama-sama gula, susu pekat, susu sejat dan pewarna.
  4. Gaul hingga sekata. Teruskan mengacau selama 20-30 minit hingga gula terlarut dan susu pekat serta susu sejat diserap sepenuhnya oleh kelapa parut. Untuk tahu kandi sudah siap atau tak, anda akan berasa susah untuk menggaul kandi tersebut kerana proses kristalisasi gula berlaku. Tekstur kandi sudah mengering berbanding sebelum digaul dan warna menjadi sedikit gelap.
  5. Gunakan kertas pembakar untuk melapik dulang, Anda boleh sapukan sedikit mentega di atas kertas tersebut. Masukkan kandi dan ratakan dalam dulang.
  6. Biarkan kandi mengeras semalaman dan potong menjadi ketulan bersaiz 1 inci x 1 inci untuk menghidang.

Lembutnya, Lemaknya!

Kami berharap anda menyukai resepi ini dan akan berulang kali melakukannya untuk diri sendiri, keluarga mahupun sahabat handai anda. Kandi kelapa ini sesuai untuk dijadikan sebagai hadiah, pencuci mulut, snek mahupun hidangan perayaan. Apa saja! Anda cuma perlu risau kalau kandi anda hasilkan mencukupi ataupun tak.

Kalau anda nak lagi resepi-resepi tradisional masakan India daripada Aunty Margaret, jangan lupa untuk komen banyak-banyak di bawah ataupun tinggalkan pesanan di DM Instagram ataupun Facebook kami. Selamat mencuba!

print
Butterkicap Team

We're just a small group of friends who love food, culture and Malaysia. We saw the rise of mediocre food, deteriorating relationships and missed the good old days of Malaysia where food was good, homes were warmer and full of friends and family. So we rolled up our sleeves, and made Butterkicap with the hope that it will bring people and flavors home.

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.