10 Pick-Up Line Raya untuk Hari Lebaran Ini

Team Butterkicap dah sediakan 10 pick-up line edisi Raya untuk memikat hati si dara dan teruna idaman anda. Sudahkah anda bersedia? Mari kita pergi pancing hati!

Kredit: Pinterest

Eh, sebelum itu, baca amaran di bawah dulu…Almaklumlah, kita kena bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan ditolak, dihalau mahupun diberi pandangan krik…krik…

Amaran: Setiap ayat pancing di sini boleh membuatkan anda terkena kencing manis, karies gigi dan sakit mata Tiada jaminan 100% bahawa setiap ayat pancing di bawah pasti membawa anda dan pasangan idaman hingga ke jinjang pelamin. Itu bergantung pada kepakaran dan kemahiran anda menggunakan konteks ayat pancing tersebut. Selamat Hari Raya dan semoga berjaya!

Butterkicap kembali lagi dengan ayat pancing yang pasti meletupkan perut, hati dan juga mata sesiapa yang baca atau menerima ayat-ayat pancing ini!

Sudah sebulan menjaga hati, perut, mata dan perasaan anda sepanjang bulan Ramadhan, kini tibalah masa untuk anda mengambil kesempatan untuk meluahkan perasaan yang sudah terbuku lama kepada buah hati anda sambil menziarahi bakal mertua anda. Oleh itu, jangan ditunggu lagi. Nanti melepas baru nak menangis cari kami.

 

Pickup Line Raya #1

Kredit: vlad studio via boboiboy

Adat menunggu ketibaan Hari Lebaran adalah melihat anak bulan di langit. Jika anak bulan kelihatan, barulah pengumuman rasmi di televisyen akan dibuat. Jadi, kalau nak tunjukkan betapa bermaknanya kekasih atau buah hati atau individu pujaan anda itu kepada diri anda, tunjukkanlah bahawa dia sama penting seperti anak bulan untuk umat Islam. Nak tahu cara terbaik untuk luahkan perasaan anda? Lihatlah ayat pancing Raya khas Butterkicap untuk anda gunakan.

Raya kena tunggu anak bulan muncul, tapi
I Raya hari-hari sebab you ada depan mata I

Pick-up Line Raya #2

kredit: sbs.com.au

Baiklah, kalau anda tak sempat nak sampaikan hajat untuk si dia pada malam Raya (maklumlah sibuk jadi anak yang mithali membantu ibu dan ayah mengemas rumah, mengacau dodol dan sebagainya), ambillah kesempatan untuk datang  awal-awal pagi dengan alasan nak beraya untuk bertemu kekasih hati. Namun begitu, janganlah tunjuk secara terang-terangan niat anda itu. Kita kan orang Timur. Sopanlah sikit. Sambil-sambil cedok rendang itu, masa itulah anda guna ayat hebat ini:

Rendang dah siap tapi bila lagi
pohon cinta dalam hati awak nak rendang?

Pick-up Line Raya #3

Kredit: Pinterest

Bagi anak-anak teruna di luar sana yang sudah mempunyai kekasih hati tetapi hubungan anda masih lagi tidak halal di mata ibu bapa, masyarakat, dan juga agama, anda pasti sedang berusaha keras untuk memastikan hubungan tersebut menjadi halal. Semestinya bagi golongan muda yang baru bekerja dan sedang mengumpul duit, musim perayaan begini pasti membuatkan poket anda terkoyak, rabak dan kosong. Jadi, apabila buah hati anda yang kurang peka dengan keadaan anda yang tidak berduit itu dengan gembiranya menunjukkan muka yang cantik dengan make-up “on fleek” oleh Kak Phora meminta duit raya, pandanglah muka dia dengan penuh perasaan sambil berkata;

I tak ada duit raya untuk you
sebab I tengah kumpul duit hantaran you

 

 

Pick-up Line Raya #4

Kredit: dehephotography

Jika anda seseorang yang kurang gemar bercakap banyak dan sebaliknya, lebih suka menunjukkan rasa cinta anda dengan tindakan anda, inilah dia ayat pancing untuk anda! Kenapa? Anda cuma perlu main mercun saja dan pandang dengan penuh bermakna pada si dia sebelum mercun itu meletup sambil berkata;

You main mercun tak?
Sebab you memang meletup

 

Dengan kesan bunyi dan cahaya bunga api di latar, pasti membuatkan si dia terkesima dengan melihat gaya anda ala-ala Shah Rukh Khan yang cukup “Woww!” Tak percaya? Cubalah dulu~~

 

 

Pick-up Line Raya #5

Kredit: sweetjourneycateringandevents.com.au

Bagi peminat-peminat kuih, jangan risau. Kami tidak melupakan anda. Kami tahu kuih ialah bae tapi takkan sampai ke tua nak berkepit dengan balang kuih? Anda juga perlukan peneman hidup yang bukan sekadar membahagiakan perut anda sahaja. Jadi, apabila anda sudah menemui calon idaman anda, sambil menyuap kuih semperit ke mulut, cakaplah:

I tak kisah kalau tak ada kuih semperit,
tapi I rasa perit kalau you tak ada

Pastikan mulut tak penuh. Nanti mandi serdak kuih pula dia.

 

 

Pick-up Line Raya #6

Kredit: inovasee.com

Ya, ya, kami tahu ada dua ayat pancing mercun tapi ayat pancing mercun pertama untuk golongan yang baru nak kenal-kenal, nak suwit-suwit. Ayat pancing ini pula untuk golongan yang sudah bersedia untuk menuju ke jinjang pelamin. Yalah, takkanlah dah lama bercinta tak boleh nak bersuwit-suwit macam awal-awal bercinta dulu, betul tak? Ayat ini bagi hasil yang paling memberansangkan semasa pasangan anda merajuk/marah/tak puas hati/saja nak marah anda. Sebab sekali anda bagi ayat ini, terus dia senyum-senyum manja sambil tumbuk-tumbuk malu di bahu anda.

You jangan main mercun tau, nanti putus jari,
macam mana I nak sarung cincin nanti?

Tapi ingat, kalau dia memang marah sangat, jangan pula bagi ayat ini. Ada pula yang hilang jari betul-betul.

 

 

Pick-up Line Raya #7

Kredit: foodtolove

Peminat kuih, kalau percubaan pertama gagal, tak mengapa! Kami di Butterkicap ada disampingmu. Cuba sekali lagi. Kalah tak bererti mengalah. Pintu rumah sentiasa dibuka sepanjang minggu pertama Raya. Jadi, pergilah pada hari seterusnya selepas anda gagal menyampaikan isi hati anda pada cubaan pertama. Pandang tepat anak matanya dan katakan dengan penuh perasaan;

I tak nak makan kuih makmur you
sebab kehadiran you dah cukup makmurkan hati I

Kalau dia tak membuat muka pelik dan menjauhkan diri, tahniah, kerana anda bukan lagi seorang forever alone yang asyik berkepit dengan balang kuih. Tapi, jika respon negatif, sila berundur dan faham-fahamlah apabila orang dah tak nak. Tiada paksaan dalam percintaan, ya!

 

 

Pick-up Line Raya #8

Kredit: qiuuing

Bagi yang sudah berkahwin, yang sudah halal, Hari Raya ialah hari pergaduhan besar banyak tercetus dalam kalangan pasangan, baik yang baru berkahwin mahupun yang sudah lama berumah tangga. Biasalah, semua nak balik kampung masing-masing. Itulah ada yang tarik muka di kala pagi Raya yang indah. Jadi, jika pasangan anda bercadang untuk membuatkan hari Raya anda seteruk hari Raya dia juga, janganlah berperang mulut. Sebaliknya, ambillah tart nenas di meja dan suaplah ke mulut pasangan anda terus sambil berkata;

Abang tak tahu nak makan kuih tart
ke atau nak dakap sayang ketart-ketart?

 

 

Pick-up Line Raya #9

Kredit: ya akhiii

Solat raya adalah aktiviti pertama yang kita semua akan lakukan pada pagi Raya pertama. Jangan memonteng pula, mentang-mentang perut kenyang makan ketupat, rendang, nasi impit semua. Pasangan anda pasti mahu seorang imam yang boleh membimbingnya nanti. Jika anda lelaki, bangunlah dan solatlah supaya nanti pasangan anda akan lebih jatuh hati kepada anda. Jika anda perempuan, katalah ayat di bawah dan nescaya, cahaya keimanan dan taubat akan bersinar di wajah pasangan anda nanti:

Kenapa you tak pergi solat raya?
Nanti siapa nak imamkan I?

Pick-up Line Raya #10

Kredit: photobucket

Isu untuk memilih kampung siapa untuk balik beraya adalah satu isu yang anda akan hadapi setelah anda berkahwin. Namun begitu, sebelum anda mendirikan rumah tangga, isu tersebut tidak akan menghantui hidup anda lagi. Maklumlah, masa bercinta semuanya wangi, indah dan kesanggupan untuk berkorban itu cukup tinggi. Oleh itu, pasti ada golongan yang sanggup tidak beraya di kampung halaman semata-mata ingin menemani pasangan mereka yang tidak menyempat beli tiket pulang supaya dia ada teman untuk menangisi nasibnya. Di hari Raya, anda pasti tidak mahu bersedih. Jadi, jika pasangan anda masih mengalir air mata seperti air sungai Pahang pada musim hujan, janganlah berkata, “Sudahlah buang air mata itu. Bukan dapat balik kampung pun, kalau menangis” tetapi tuturlah bait-bait indah di bawah:


I tak balik kampung sebab
I dah lama berkampung dalam hati you

 

Kalau dia tak berhenti menangis juga,  baliklah ke kampung. Lepas Raya, sambunglah pujuk balik.

 

Itulah dia 10 ayat pancing Raya khas Butterkicap untuk indahkan lagi  Hari Raya anda dan elakkan persengketaan untuk perkara-perkara kecil. Buang yang keruh, ambillah kuih. Sekali lagi, Butterkicap ingin ingatkan, ibu bapa dan juga golongan tua tidak berminat untuk bersuwit dengan anda di pagi raya. Minta maaflah dengan ikhlas, Jika tidak segala duit raya akan ditarik balik.

SELAMAT HARI RAYA DAN MAAF ZAHIR BATIN!

 

 

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.