7 Resepi Golongan Muak Daging Wajib Cuba

Kredit: thespruceeats.com

Siapa yang sudah bosan makan daging, sila angkat tangan!

Walaupun Hari Raya Aidiladha baru sahaja berlalu, tetapi jumlah daging yang anda sudah makan cukup untuk membuatkan anda ingin berubah selera buat sementara waktu.

 

Muaknya Makan Daging

Dalam tempoh dua hari sahaja, anda sudahpun menikmati segala hidangan berdaging yang sebelum ini anda idamkan. Daripada masakan rendang hinggalah ke daging goreng berempah, anda sudah merasa kesemuanya.

Sebelum anda betul-betul jelak dengan daging dan berhenti makan apa-apa sajian berdaging seumur hidup anda, lebih baik anda cepat-cepat betulkan selera anda dengan 7 resepi bukan daging yang pasti dapat mengembalikan selera anda.

 

1. Gulai Nangka

Kredit: archanaskitchen.com

Bahan-Bahan

  • 500g tulang lembu (direbus untuk stok)
  • 2 ulas nangka, dipotong kecil, direbus dan ditos
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 cawan air stok daging
  • 1/2 paket rempah kari daging
  • 1 asam keping
  • 1/4 cawan minyak masak
  • Garam dan gula secukup rasa
Bahan Tumis
  • 3 ulas bawang merah, dihiris
  • 2 ulas bawang putih, dihiris
  • 1 tangkai daun kari
  • 1/2 sudu teh jintan manis

 

Cara-Cara

  1. Masukkan tulang, nangka rebus, air stok, santan dan rempah kari ke dalam periuk dan biar mendidih di atas api sederhana besar.
  2. Apabila kuah sudah mendidik, masukkan asam keping, garam dan gula secukup rasa.
  3. Biar kuah masak sehingga mendidih.
  4. Dalam kuali berasingan, panaskan minyak atas api sederhana besar dan masukkan bahan tumis. Biar bahan tumis masak sehingga kekuningan.
  5. Keluarkan bahan tumis yang sudah masak dan masukkan ke dalam periuk. Kacau rata selama 1-2 minit dan padamkan api.

 

 

2. Pajeri Nenas Ikan Masin

Kredit: helen1960.blogspot.com

Bahan-Bahan

  • 1/2 biji nenas, dibuang kulit, dibelah 4, dibuang empulur dan dihiris pada ketebalan 2 inci
  • 2 keping tulang ikan masin, dicuci dan direndam
  • 1 potongan isi ikan masin, dicuci dan direndam
  • 1 batang serai, diketuk
  • 1 helai daun kunyit, dicarik
  • 1 keping asam gelugor
  • 500ml santan cair
  • 200ml santan pekat
  • Garam dan gula secukup rasa
Bahan Kisar
  • 4 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 biji cili merah
  • 1/2 inci kunyit hidup
  • 1/4 inci belacan, dibakar
  • 2 keping hirisan nenas
Cara-Cara
  1. Rendamkan tulang dan isi ikan masin selama 30 minit.
  2. Masukkan 2 sudu besar minyak ke dalam periuk dan panaskan di atas api sederhana besar. Masukkan bahan kisar dan serai yang telah diketuk ke dalam periuk.
  3. Apabila sudah wangi, masukkan santan cair, kacau dan biar kuah masak mendidih.
  4. Keluarkan tulang ikan masin yang direndam, toskan dan masukkan ke dalam periuk. Masukkan nenas.
  5. Kacau rata dan biar hingga nenas separuh lembut. Jika kuah terlalu pekat, masukkan 1/4 cawan air.
  6. Apabila kuah sudah mendidih, masukkan asam gelugor dan santan pekat. Kacau perlahan-lahan dan masukkan isi ikan masin.
  7. Masukkan daun kunyit dan  gula secukup rasa. Biarkan selama 2 minit dan masukkan garam secukup rasa.
  8. Kecilkan api dan kacau selama 2-3 minit.

 

3. Gulai Telur Mangga

Kredit: archanaskitchen.com

Bahan-Bahan

  • 3 biji telur ayam
  • 1/2 biji mangga muda, dipotong
  • 1 helai daun kunyit
  • 1 batang serai
  • 1/2 mangkuk santan cair
  • Garam dan gula secukup rasa
Bahan Kisar
  • 5 biji cili padi
  • 1 biji cili merah
  • 1 biji bawang merah
  • 1/2 inci kunyit hidup

 

Cara-Cara

  1. Masukkan 2 sudu besar minyak ke dalam periuk. Panaskan di atas api sederhana besar.
  2. Masukkan bahan yang dikisar ke dalam periuk dengan sedikit air.
  3. Ketuk serai dan masukkan ke dalam periuk bersama daun kunyit.
  4. Masukkan santan. Perlahankan api. Tunggu sehingga mendidih.
  5. Masukkan mangga muda dan pecahkan telur satu persatu hingga habis. Kemudian,masukkan garam dan gula secukup rasa.
  6. Setelah telur masak,padamkan api.

 

4. Terung Balado

Kredit: veroathome.com

Bahan-Bahan

  • 2 biji terung ungu segar, dipotong baji
  • 1 biji tomato, dibelah 4
  • Minyak goreng (secukupnya)
Bahan Kisar
  • 8 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 10 biji cili api
  • 2 biji cili merah, dibuang biji
  • Garam dan gula secukupnya
  • Serbuk pati ayam, secukupnya

 

Cara-Cara

  1. Kisar semua bahan kisar sehingga halus.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali atas api sederhana besar. Apabila sudah panas, tumis bahan kisar sehingga wangi.
  3. Apabila sudah naik minyak, masukkan terung yang telah dipotong dan kacau rata.
  4. Masak terung hingga layu. Masukkan buah tomato untuk memberikan rasa masam.
  5. Setelah terung dan tomato menjadi lembut, padamkan api.

 

5. Tauhu Sumbat

Kredit: saucy-spatula.com

Bahan-Bahan

  • 4 biji tauhu, dipotong tiga segi, dikeluarkan isi bahagian tengah dan diketepikan
  • 250g ayam cincang
  • 1 biji bawang besar, dicincang
  • 1 biji bawang putih, dicincang
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1 genggam daun sup, dihiris nipis
  • 1/2 sudu besar serbuk lada hitam
  • 1 biji telur
  • Garam secukup rasa

 

Cara-Cara

  1. Panaskan minyak di dalam kuali atas api sederhana besar. Apabila minyak sudah panas, tumis bawang besar dan bawang putih.
  2. Tumis bawang sehingga wangi. Kemudian, masukkan ayam cincang.
  3. Masukkan bahagian isi tauhu hancur yang telah dikeluarkan tadi setelah ayam menjadi tengah masak.
  4. Apabila daging sudah masak sepenuhnya, masukkan sos tiram.
  5. Masukkan lada hitam dan daun sup.
  6. Masukkan garam secukupnya jika kurang masin.
  7. Gaul semua bahan sehingga rata dan padamkan api.

 

 

6. Ikan Kimchi

Kredit: Pearl Ishizaki

Bahan-Bahan

  • 2 ekor ikan bawal, dicuci dan dibelah tengah
  • 150g Kimchi
  • segenggam daun kesum
  • sekuntum bunga kantan
  • 1/2 cawan air
  • 1 sudu besar cili kisar
Bahan Kisar
  • 6 biji bawang merah
  • 1 biji bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 inci halia

 

Cara-Cara

  1. Panaskan minyak masak di dalam kuali atas api sederhana besar. Kemudian, masukkan bahan kisar dan tumis hingga naik minyak.
  2. Masukkan daun kesom dan bunga kantan
  3. Masukkan segelas air. Biarkan kuah mendidih selama 2-3 minit.
  4. Masukkan 150g kimchi dan dua sudu besar kuah kimchi.
  5. Masukkan ikan dan goreng hingga ikan masak.
  6. Apabila ikan sudah masak, padamkan api dan hidangkan.

 

7. Lala Masak Pedas

Kredit: Resepi Malaysia

Bahan-Bahan

  • 250g lala, direndam selama 20 minit dan dicuci bersih
  • 1/2 inci halia
  • 2 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 3 biji cili padi
  • 1 biji cili merah
  • 1 sudu besar cili kisar
  • 1 batang serai, dititik
  • 1/2 biji bawang besar, dihiris nipis
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menumis

 

Cara-Cara

  1. Panaskan minyak di dalam kuali atas api sederhana besar.
  2. Sementara menunggu minyak panas, tumbuk cili padi, cili besar, bawang merah, bawang putih dan halia sehingga lumat.
  3. Masukkan bahan tumbuk dan tumis hingga garing. Masukkan serai dan hirisan bawang besar. Kacau rata dan biar kuah mendidih selama 1 minit.
  4. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Jika kering, tambahkan sedikit air.
  5. Masukkan lala dan tutup kuali selama 3-5 minit sehingga cangkerang terbuka.
  6. Gaul rata dan padamkan api.

 

Bagaimana? Adakah selera anda sudah kembali? Jika ya, jangan lupa untuk berkongsi hasil masakan anda bersama kami di laman sosial dengan meletakkan #butterkicap supaya kami juga dapat menjamu mata juga.

Jangan biarkan diri anda diselubungi dengan rasa muak daging Hari Raya Aidiladha ini!

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.