8 Variasi Resepi Masakan Berasaskan Telur

Bagi penggemar tegar telur dan sukakan masakan yang mudah, anda pasti akan tercari-cari sesuatu yang hanya menjadikan telur sebagai bahan utama. Betul kan?

Terdapat pelbagai jenis masakan berasaskan telur yang boleh kita buat.  Dalam artikel ini, kami sertakan 8 resepi telur yang bukan sahaja enak malah menjadi kegemaran setiap rakyat Malaysia. Sebelum itu, bacalah dahulu beberapa kelebihan telur terhadap kesihatan anda.

 

Trivia Telur

Menu yang menggunakan telur sebagai bahan utama sangat mudah dan juga cepat untuk disediakan. Tambahan pula, telur yang telah direbus juga mempunyai pelbagai nutrisi tersendiri seperti vitamin A, B1, C dan mengandungi sumber tenaga serta protein yang baik kepada tubuh badan.

Selain itu, telur kuning juga mempunyai kebaikan dalam menyuburkan pertumbuhan rambut. Telur putih  dapat membantu memulihkan kulit yang terbakar dan berparut serta beruam. Banyak sebenarnya khasiat yang boleh kita dapat dalam sebiji telur.

 

Mari Memasak!

Jadi, adakah anda sudah bersedia untuk melihat resepi-resepi telur pilihan kami? Ayuh pakai apron dan ke dapur!

 

1. Sambal Telur

Kredit: Pinterest.co.uk

Bahan-Bahan

  • Cili kering, dikisar
  • 4 ulas bawang putih, ditumbuk
  • 3 biji telur
  • Jus asam jawa
  • Gula dan garam secukup rasa
  • Minyak masak
  • 3 cawan air

Cara-Cara

  1. Tumis bawang putih sehingga naik bau.
  2. Masukkan cili kering yang telah dikisar ke dalam kuali. Tumis sehingga garing.
  3. Masukkan jus asam jawa, gula dan garam secukup rasa.
  4. Biarkan sehingga rasa menjadi rata dan sebati. Kemudian masukkan air.
  5. Kemudian, masukkan telur satu per satu. Biarkan seketika sehingga masak.

 

Tip

  1. Telur yang dimasukkan boleh direbus terlebih dahulu atau dijadikan telur goreng sebelum dimasukkan ke dalam sambal.

 

2. Kari Telur

Kredit: jalanjalancarimakan.com.my

Bahan-Bahan

  • 6 biji telur, direbus
  • 3 biji kentang, dibelah 6
  • Sepaket kecil Serbuk kari daging, dibancuh bersama sedikit air
  • ½ – 1 cawan Santan
  • ½ sudu kecil campuran halba
  • 2 tangkai daun kari
Bahan tumbuk
  • 2 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2cm halia

 

Cara-Cara

  1. Panaskan kuali dan masukkan minyak masak lebih kurang secawan untuk menggoreng telur yang telah direbus. Kemudian, ketepikan ia seketika.
  2. Untuk menumis pula, panaskan minyak masak secukupnya. Tumis bahan-bahan yang telah ditumbuk bersama, daun kari dan campuran halba sehingga naik bau dan kekuningan.
  3. Masukkan serbuk kari. Biarkan sehingga pecah minyak. Masukkan kentang supaya ia lebih cepat empuk dan masak.
  4. Apabila bahan tumisan tadi dah pecah minyak, masukkan santan dan sedikit air.
  5. Letakkan garam secukup rasa.
  6. Setelah bahan tersebut telah mendidih, masukkan telur dan ratakan bersama.

 

Tip

  1. Cara terbaik untuk mengupas telur rebus adalah dengan merendam telur yang baru mendidih ke dalam air sejuk seketika. Apabila telur telah sejuk, kulit boleh dikupas dengan mudah.
  2. Kepekatan kuah adalah mengikut kehendak dan citarasa sendiri.

 

 

3. Telur Bistik

Kredit: mediasosialkini.blogspot.com

Bahan- Bahan

Telur
  • 3 biji telur
  •  3 sudu makan daging kisar
  • Garam secukup rasa
  • Minyak masak

 

Sos
  • 2 ulas bawang merah, dicincang
  • 2 ulas bawang putih, dicincang
  • 1 cm halia, dimayang
  •  batang lada merah, dihiris halus
  • ½ cawan sos cili
  • ½ cawan sos tomato
  • ¼ cawan sos tiram
  • 1 kiub ayam
  • 2 batang jagung muda, dipotong serong
  • 1 batang Lobak merah, dihiris nipis
  • 1 biji tomato, dibelah 8
  • 1 sudu besar tepung jagung, bancuh bersama sedikit air
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak masak
  • Daun sup. dihiris
  • Daun bawang, dihiris

 

Cara-Cara

Telur
  1. Masukkan telur, daging cincang dan garam ke dalam mangkuk. Gaul bersama sehingga rata.
  2. Panaskan minyak masak dan goreng adunan telur tadi seperti menggoreng telur dada sehingga masak. Angkat dan biarkan seketika.

 

Sos
  1. Panaskan minyak masak dan tumiskan bawang merah, bawang putih, halia dan lada merah sehingga naik bau. Kemudian masukkan pula sos cili, sos tomato, sos tiram dan kiub ayam. Kacau sehingga rata.
  2. Setelah bahan sudah rata, masukkan jagung muda, bunga kobis dan lobak merah. Kacau sehingga sebati dengan bahan tumisan tadi.
  3. Masukkan sedikit air, garam dan gula secukup rasa.
  4. Masukkan tomato, kacau sos sehingga sayur masak. Setelah sos siap, tuangkan sos tersebut diatas telur dadar yang telah digoreng sebentar tadi dan taburkan daun sup dan daun bawang bersama. Siap untuk dimakan!

 

Tip

  1. Kalau nak telur goreng yang lebih gebu, anda boleh masukkan sedikit mayonis dan sedikit soda bikarbonat.

 

4. Telur Dadar

Bahan-Bahan

  • 3 biji telur
  • 50 gm isi ayam, dicincang
  • 8 biji tomato ceri, dihiris halus
  • 6 biji cendawan, dihiris halus
  • 1 biji lada benggala – merah/kuning/hijau, dipotong dadu
  • 1 biji bawang besar, dicincang
  • 2 sudu teh minyak masak

 

Cara-Cara

  1. Pecahkan telur satu persatu ke dalam mangkuk bersama secubit garam dan lada sulah. Kacau sehingga telur kembang. Biar seketika.
  2. Panaskan minyak masak dan tuangkan telur ke seluruh permukaan kuali. Biarkan dalam beberapa minit.
  3. Kemudian, masukkan isi ayam, bawang besar, lada benggala, cendawan dan tomato ceri.
  4. Lipatkan telur menjadi dua bahagian. Tunggu sehingga masak sepenuhnya.
  5. Siap untuk dimakan!

 

Tip

  1. Untuk variasikan bahan, anda boleh menggunakan sahaja sayur campur yang sedia untuk warna yang menarik pada sos.

 

 

5. Telur Masak Kicap

Kredit: Youtube.com

Bahan-Bahan

  • 5 biji telur
  • Rempah ratus – kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga (secukupnya)
  • 3 biji cili merah, dimayang
  • 1 biji bawang besar, dimayang
  • ¼ cawan kicap pekat
  • 1 ketul kiub ikan bilis
  • Garam/ bahan perasa secukup rasa
  • Sedikit jus asam jawa
  • Air secukupnya
Bahan kisar
  • 10 biji cili kering
  • 5 biji bawang besar
  • 1 bawang putih
  • 1 cm halia

 

 

Cara-Cara

  1. Panaskan minyak masak dalam kuali dan goreng telur sebiji demi sebiji terlebih dahulu dan biarkan seketika.
  2. Tumiskan bahan yang dikisar bersama rempah ratus sehingga naik bau.
  3. Kemudian, masukkan jus asam jawa, kicap, gula dan kiub ikan bilis beserta air secukupnya.
  4. Setelah bahan semua sudah rata, masukkan telur yang telah digoreng tadi bersama.
  5. Masukkan cili merah dan bawang merah. Gaul sebati sehingga mendidih. Siap untuk dihidang!

 

Tip

  1. Kalau tiada jus asam jawa, masukkan tomato untuk dapatkan rasa yang masam manis.

 

 

6. Kurma Telur

Kredit: zulfadreamland.blogspot.my

Bahan-Bahan

  • 6 biji telur
  • 2 ½ sudu besar rempah kurma, dibancuh bersama sedikit air
  • 1 mangkuk santan pekat
  • 1 mangkuk santan cair
  • 1 batang lobak merah
  • 2 biji kentang
  • 1 keping asam gelugor
  • 2 biji cili merah/ hijau
  • 1 biji tomato, dibelah 4
  • 1 biji bawang besar, dipotong 6
  • 1 senduk minyak masak
  • Daun ketumbar/ bawang goreng
Bahan tumis
  • 1 batang kayu manis
  • 4 biji bawang merah
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 4 ulas bawang putih
  • 4 biji buah pelaga
  • 1 inci halia

 

Cara-Cara

  1. Rebus telur sehingga masak dan kupaskan kulit. Kelar sedikit di permukaan telur.
  2. Panaskan minyak dan tumiskan bahan rempah serta bahan yang ditumbuk sehingga berubah menjadi warna kekuningan dan naik bau.
  3. Masukkan pes kurma. Masak sehingga garing dan pecah minyak. Untuk elakkan bahan tumis hangit, tambahkan sedikit air.
  4. Kemudian, masukkan santan cair, telur, kentang, lobak merah dan asam gelugor bersama. Masak sehingga semua bahan menjadi empuk.
  5. Setelah itu, masukkan pula santan pekat, cili, bawang besar dan tomato. Masak sehingga mendidih. Jika mahukan kuah yang pekat, biarkan. Kalau tidak, tambahkan sedikit air ikut citarasa anda.
  6. Tambahkan garam dan gula secukup rasa. Untuk rasa yang lebih enak, tambahkan bawang goreng dan daun ketumbar ke dalam kuah. Dan ia pun sedia untuk dihidangkan!

 

Tip

  1. Bagi memudahkan mengupas telur, masukkan sedikit cuka semasa merebus telur tersebut.
  2. Anda boleh juga menggunakan santan kotak jika tiada santan segar. 1 kotak santan adalah bersamaan dengan semangkuk air.

 

 

7. Telur Goreng Masak Asam

Kredit: zaralovebaking.blogspot.com

Bahan-Bahan

  • 5 biji telur
  • 2 biji bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 4 biji cili padi
  • Lada hitam, ditumbuk halus
  • Jus asam jawa
  • Minyak masak
  • Garam secukup rasa

 

Cara-Cara

  1. Goreng telur sebiji demi sebiji terlebih dahulu. Ketepikan.
  2. Potong bawang besar, halia dan bawang putih.
  3. Panaskan minyak masak dan tumiskan bahan yang dipotong tadi.
  4. Apabila bahan sudah naik bau, masukkan jus asam jawa, cili padi dan lada hitam.
  5. Masukkan garam secukup rasa. Kacau sehingga mendidih dan masukkan telur yang digoreng tadi. Apabila kuah sudah mendidih, tutup api dan hidangkan.

Tip

  1. Kuantiti air untuk menyediakan kuah masakan ini mengikut citarasa anda.

 

 

8. Telur Masak Lemak

Kredit: anymz-mykitchen.blogspot.com

Bahan-Bahan

  • 6 biji telur, direbus
  • 2 kotak kecil santan pekat
  • 2 kotak kecil air
  • 2 batang serai, dititik
  • 2 helai daun kunyit, dihiris halus
  • 10 biji belimbing buluh, dibelah dua
  • Garam secukup rasa
Bahan tumbuk
  • 15 biji cili api
  • 2 inci kunyit hidup
  • 2 biji bawang besar

 

Cara-Cara

  1. Masukkan bahan-bahan yang ditumbuk, serai dan secawan air.
  2. Kacau bahan tersebut dan masak sehingga mendidih dan air sedikit kering.
  3. Kemudian, masukkan pula santan dan tambahkan sedikit air lagi. Gunakan api yang sederhana dan kacau perlahan supaya santan tidak pecah minyak.
  4. Bila kuah sudah mendidih, masukkan belimbing buluh, daun kunyit dan garam secukup rasa. Kacau sehingga kuah sekali lagi. Pastikan kuah sentiasa dikacau perlahan.
  5. Perlahankan api dan masukkan telur satu persatu. Biarkan seketika sehingga kuah dan telur masak serata. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

 

Tip

  1. Anda boleh menggunakan telur ayam kampung atau telur itik.
  2.  Kalau anda tidak menggemari belimbing, anda boleh gunakan timun atau kentang.

 

Ini adalah antara resepi-resepi kegemaran ramai yang menggunakan telur. Untuk penggemar telur di luar sana yang ingin mencuba variasi rasa dan menu telur ini, 8 resepi masakan berasaskan telur ini mampu membuatkan anda terliur apatah lagi kalau dimakan bersama nasi panas pada waktu makan tengah hari atau makan malam!

Jadi, apa tunggu lagi. Selamat mencuba daripada Butterkicap!

print
Aisya Khairain

Aisyatul is an adventurous eater who eats pretty much anything and everything except for nasi lemak burger. With that said, she is a nasi lemak purist but feel free to change her mind. If she goes missing, she's probably hiding out in a mamak with a plate of maggi goreng and a glass of teh o ais. When she's not busy eating food, she writes about them.

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.