Resepi Ayam 10 Minit Penyelamat Ibu-Ibu Bekerja

Kredit: Cooking Light

Setelah lama bercuti, sudah tiba masanya untuk anda kembali bekerja dan anak-anak anda ke sekolah. Rutin anda bukan lagi sekadar menguruskan rumah dan anak-anak. Memang memeningkan kepala dan meletihkan badan apabila anda perlu suaikan diri semula dengan rutin ini.

Meskipun anda mula bekerja, itu tidak bermakna anda mahu membeli makanan dari luar setiap hari. Anak-anak dan anda masih memerlukan makanan yang sihat dan berkhasiat untuk pastikan diri masing-masing kekal bertenaga, khususnya sekarang. Kalau asyik beli dari luar, sakit perut pula sebab manalah kita tahu tentang kualiti penyediaan makanan dari luar, betul tak?

 

Sekejap Sahaja Nak Masak!

Rata-rata ibu bapa yang bekerja memilih untuk membeli makanan dari luar adalah disebabkan anda terlalu penat untuk memasak setelah seharian bekerja ataupun rasa malas nak masak kerana lama juga masa yang perlu anda luangkan untuk memasak.

Apabila anda dah siap masak, selera nak makan pun dah tiada, betul tak? Masalah anda tidaklah begitu besar. Anda cuma tak jumpa resepi cepat dan ringkas untuk anda sediakan sebelum ini. Nasib anda baik kerana kami bukan sahaja ada satu, dua malah lapan resepi ayam 10 minit untuk anda cuba!

Seperti yang dinyatakan pada tajuk artikel ini, kesemua resepi ini dapat disiapkan dalam masa 10 minit sahaja. Perlu kami nyatakan di sini bahawa tempoh memasak ini tidak termasuk waktu penyediaan ya. Kalau nak buat persiapan, buatlah pada awal pagi sebelum anda ke tempat kerja.

 

1. Ayam Masak Hitam

Kredit: kokicilik.com

Sajian ini boleh disediakan dalam masa yang singkat. Ia boleh dijadikan menu utama sebagai bekal anda dan boleh juga dihidangkan sebagai makan malam juga. Bak kata pepatah, sambil menyelam, minum air, betul tak?

Bagi peminat sajian berkicap, masakan ini memang sesuai untuk anda dan tak kurang juga, cukup diminati oleh anak-anak kecil.


Bahan-Bahan:

  • 1/2 ekor ayam , potong 8
  • 1 sudu besar serbuk kunyit
  • Garam & gula secukup rasa
  • 1 biji tomato, dibelah empat
  • 1 biji bawang besar, dimayang
  • Kicap manis secukup rasa
  • Buah pelaga, bunga lawang, kulit kayu manis, rempah untuk tumis
  • Air  secukupnya

Bahan kisar

  • 10 tangkai cili kering
  • 3 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • Halia – besar ibu jari

Cara-Cara:

  1. Gaulkan ayam dengan serbuk kunyit dan garam secukup rasa. Gorengkan sehingga separuh masak. Setelah itu, angkat dan biarkan seketika.
  2. Dalam kuali yang lain, panaskan minyak dan tumiskan rempah dan bahan kisar yang telah disediakan. Biarkan sehingga pecah minyak.
  3. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi dan tambahkan kicap secukup rasa mengikut citarasa anda.
  4. Kemudian, tambahkan air 1/2 cawan dan biarkan sehingga mendidih.
  5. Masukkan gula, garam secukup rasa, tomato, dan bawang besar. Apabila kuah sudah pekat, tutup api dan siap untuk dihidangkan.

 

2. Ayam Goreng Popcorn

Kredit: delish.com

Saian kedua yang disenaraikan dalam artikel resepi ayam 10 minit ialah ayam goreng popcorn. Hidangan ini ringkas dan cukup popular dalam kalangan kanak-kanak. Untuk menyediakan sajian ini, saiz ketulan ayam ini boleh disesuaikan menurut citarasa anda. Namun begitu, janganlah terlalu besar potongannya, nanti tercekik pula!

 

Bahan-Bahan:

  • 500gm dada ayam, dipotong dadu
  • 2 ulas bawang putih, dihiris halus
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1/4 sudu teh serbuk lada hitam
  • 1/2 cawan tepung
  • 2 1/2 cawan emping jagung, diramas
  • 1/4 sudu teh serbuk paprika
  • 1/4 sudu teh serbuk lada sulah
  • 1/4 cawan mentega
  • 2 biji telur, diukul
  • 3 cawan minyak masak

Cara-Cara:

  1. Masukkan ayam, bawang putih, garam dan serbuk lada hitam ke dalam mangkuk.
  2. Gaulkan rata dan perapkan ayam selama 30 minit. Biarkan seketika.
  3. Dalam mangkuk berasingan, gaulkan bersama empingan jagung, serbuk paprika, garam dan serbuk lada sulah secukup rasa. Gaulkan semua bahan serata.
  4. Ambil ayam dan gaulkan ke dalam mangkuk berisi tepung sehingga rata.
  5. Kemudian, celupkan ayam ke dalam bancuhan telur dan sadurkan dengan bancuhan empingan jagung tadi.
  6. Panaskan minyak masak dan tambahkan mentega. Biarkan sehingga mentega cair.
  7. Apabila minyak telah panas, gorengkan ayam sehingga warna keemasan. Ulangi proses sehingga ayam habis.
  8. Goreng ayam sehingga masak. Angkat ayam dan toskan minyak. Ayam goreng sedia untuk dihidangkan.

 

3. Ayam Goreng Lada Hitam

Kredit: youtube..com

Sajian ayam goreng lada hitam ini adalah resepi ayam 10 minit yang paling senang dan pantas untuk disediakan. Bagi kami sajian ini dapat disediakan dengan  lebih pantas jika anda dapat melakukan penyediaan pada waktu malam sebelum anda masuk tidur.

Sajian ini hanya memerlukan anda untuk perapkan ayam dengan bahan perasa lain. Lebih lama diperap, lebih sedap hasilnya. Apa lagi alasan anda nak beri kalau kerja anda hanyalah memerap ayam sahaja?


Bahan-Bahan:

  • 5 ketul isi ayam saiz sederhana
  • 2 sudu besar lada hitam, ditumbuk halus
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar kicap pekat
  • 1 sudu teh gula
  • Minyak masak

Cara-Cara:

  1. Campurkan ayam bersama lada hitam, sos tiram, kicap pekat dan gula dalam satu mangkuk. Gaulkan sehingga sebati. Perapkan ayam tersebut selama 1 jam.
  2. Gorengkan ayam sehingga masak. Siap untuk dihidangkan.

 

4. Tomyam Ayam

Kredit: Jamie Geller

Anda mungkin berasa agak ragu-ragu apabila melihat sajian ini dalam senarai resepi auam 10 minit ini. Ramai yang salah sangka bahawa tomyam merupakan sajian yang merenyahkan. Sebenarnya, memasak tomyam sama sahaja seperti masak sup. Tumis rempah, masukkan air dan tunggu sampai masak, senang!

Bahan-Bahan:

A)

  • 500g ayam, dipotong mejadi ketulan kecil
  • 1 batang lobak merah, dihiris panjang
  • 1 biji bawang besar, dihiris
  • 2 batang serai – ketuk
  • 8 biji cili api, dibelah dua
  • 1 inci lengkuas. diketuk
  • 1 ulas bawang putih, diketuk
  • 1 sudu besar pes tomyam
  • 1 batang daun saderi, dihiris kecil
  • 3 helai daun limau purut, dicarik
  • air dan garam secukupnya

 

B)

  • 100g kubis bunga
  • 2 biji tomato, dibelah empat
  • 2 biji limau nipis, perahkan jus
  • 1 pokok daun ketumbar, dicincang

 

Cara-Cara:

  1. Masukkan semua bahan A yang telah disediakan ke dalam periuk bersaiz bersesuaian bersama air menggunakan api sederhana. Masakkan sehingga mendidih dan tunggu sehingga ayam betul-betul lembut dan empuk.
  2. Masukkan kubis bunga dan tomato. Biarkan ia mendidih sekali lagi dan tutup api.
  3. Masukkan jus limau nipis yang telah diperah tadi bersama daun ketumbar ke dalam kuah. Siap untuk dihidangkan.

5. Ayam Masak Halia

Kredit: craftlog.com

Untuk hidangan ayam masak halia, saiz ayam yang digunakan adalah mengikut citarasa anda. Jika anda tidak suka dalm potongan yang kecil, anda potong dalam saiz yang sederhana.

Tetapi cara penyediaan tetap sama walaupun saiz bertukar. Jangan masukkan tepung jagung terlalu banyak, ia akan menyebabkan kuah terlalu likat dan pekat.

Bahan-bahan:

  • 500gm ayam, dipotong menjadi ketulan kecil
  • 3 sudu besar sos tiram
  • 1/2 cawan air
  • 1 sudu kecil tepung jagung, dibancuh dengan sedikit air
  • 1 sudu kecil serbuk lada hitam
  • 1 pokok daun bawang, dihiris
  • 1 biji buah tomato, dibelah empat
  • 1/2 batang lobak merah
  • Minyak masak secukupnya
  • Garam secukup rasa
  • 5cm halia, dihiris
  • 3 ulas bawang merah, dihiris
  • 3 ulas bawang putih, dihiris
  • 3 tangkai cili merah, dihiris

Cara-Cara:

  1. Panaskan minyak dalam kuali. Tumiskan bawang merah, bawang putih, halia dan cili merah sehingga layu.
  2. Kemudian, masukkan ayam dan kacau sehingga bahan dan ayam rata. Masukkan sedikit air.
  3. Apabila bahan tadi sudah rata, masukkan bancuhan tepung jagung dan sos tiram. Biarkan sehingga kuah menjadi pekat.
  4. Tambahkan tomato dan daun bawang bersama. Kacaukan sehingga rata. Apabila sudah siap, tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

 

 

6. Ayam Masak Kunyit

Kredit: encikshino.com

Siapa tak sukakan ayam  masak kunyit? Baik dimakan dengan nasi putih mahupun nasi goreng, sajian ini memang cukup menyelerakan! Tambahan pula,  penyediaan sajian ini ringkas dan mudah sahaja. Anda tidak perlu terburu-buru untuk memasak kerana sajian ini tidak melibatkan  begitu banyak komponen.

Tak percaya? Cubalah!

Bahan-Bahan:

  • 4-5 keping dada ayam – potong kecil
  • 3 batang kacang panjang – potong panjang
  • 1 biji kuning telur
  • 1 sudu makan tepung gandum
  • 1/2 sudu teh garam, perasa, gula
  • 1/2 batang lobak merah – potong kecil
  • 1 biji bawang besar – potong/ mayang
  • 3 ulas bawang putih – ketuk/ cincang
  • 1-3 cili merah & hijau – mayang
  • Minyak masak – secukupnya

 

Cara-Cara:

  1. Masukkan isi ayam yang telah dipotong bersama garam, kunyit, kuning telur dan tepung ke dalam mangkuk. Gaulkan semua bahan sehingga sebati.
  2. Kemudian, panaskan minyak masak dan goreng semua bahan yang telah digaul tadi sehingga hampir garing. Angkat dan toskan ayam itu. Diingatkan supaya tidak menggoreng terlalu lama, takut ayam keras.
  3. Keluarkan lebihan minyak dan tinggalkan sedikit untuk menumis. Tumiskan bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau. Kemudian, tambahkan bahan lain; kacang panjang, lobak merah, dan cili. Tumis bersama garam, gula dan perasa seperti sos tiram.
  4. Gaulkan semua bahan sehingga sebati dan naik bau. Masukkan ayam yang telah digoreng dan gaul sekali lagi sehingga semua bahan sebati bersama ayam. Jangan goreng terlalu. Apabila semua bahan sudah masak, tutup.
  5. Hidangan sedia untuk dihidangkan.

 

7. Ayam Masak Merah

Ayam Masak Merah

Sajian ayam masak merah sangat sesuai jika dihidangkan bersama nasi putih ataupun nasi tomato. Ia merupakan sajian wajib bagi masyarakat Malaysia dalam apa juga perayaan atau sambutan. Ia mudah dan ringkas disediakan pada bila-bila masa.

Rahsia kelazatan sajian ini adalah memastikan sambal  yang disediakan masak sepenuhnya. Hal ini demikian kerana sambal yang masak dapat mengelakkan sajian ini daripada menjadi rosak dan basi dengan cepat.  Anda tahu tak pasal tip ini?

Kalau anda nak resepi ayam masak merah yang dapat disediakan dengan pantas, cuba resepi di bawah. Jika anda mahu yang lebih rumit, cubalah resepi versi Butterkicap. ini.

Bahan-Bahan:

  • 1/2 ekor ayam, dipotong lapan
  • 2 sudu besar sos tomato
  • 2 sudu besar sos cili
  • 1 sudu besar sos tiram
  • Minyak masak secukupnya
  • 250g Cili kering, dididih dan dikisar
  • Air secukupnya
  • 1 biji besar Bawang besar, dimayang
  • 2 cili merah, dimayang
  • Garam secukup rasa

 

Bahan Kisar

  • 1 biji bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 1/2 inci halia

 

Cara-Cara:

  1. Gorengkan ayam dalam kuali sehingga separuh masak.
  2. Dalam kuali berasingan, panaskan minyak masak. Tumiskan bahan yang telah dikisar (bawang merah, bawang putih, halia) sehingga naik bau. Masukkan cili kering yang telah dikisar. Biarkan sehingga mendidih. Jangan bagi hangit. Kacau perlahan.
  3. Masukkan air sekiranya terlalu kering. Tambahkan sos tiram, sos cili dan sos tomato serta garam secukup rasa.
  4. Kemudian, masukkan ayam dan bawang besar serta cili yang telah dimayang. Gaulkan sehingga sebati. Apabila ayam sudah masak sepenuhnya.
  5. Tutup api dan ia siap untuk dihidangkan.

 

8. Sup Ayam

Sup ayam ini mudah disediakan pada bila-bila masa anda inginkan sesuatu yang menyelesakan perut dan memanaskan badan anda. Sup sesuai disajikan bersama nasi putih ataupun mee kuning dan bihun. Seperti memasak tomyam, sup juga tidak memerlukan perhatian anda sepenuhnya untuk anda sediakan. Hanya tumis rempah, masukkan air dan biar sup anda merenah dan masak!

Jangan lupa untuk sediakan sambal kicap bersama sup ayam ini. Barulah sedap. Kalau anda nak resepi yang ringkas, cubalah resepi di bawah. Jika nak yang lebih mudah, cubalah resepi sup ayam versi Butterkicap. Dijamin siap masak bawah dari 10 minit!

 

Bahan-Bahan:

  • 1/2 kg ayam, dipotong 12
  • 2 biji bawang besar, dimayang
  • 3 ulas bawang putih, dimayang
  • 1 inci halia, dihiris
  • Sedikit minyak masak, untuk menumis
  • 2 liter air masak
  • 3 biji kentang, dibelah empat
  • 2 liter air masak atau secukupnya
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Daun bawang & daun sup, dihiris untuk hiasan

 

Bahan Tumis:

  • 1 biji Bunga lawang
  • 1 biji buah pelaga
  • 1/2 kulit kayu manis
  • 1 biji bunga cengkih

 

Cara-Cara:

  1. Panaskan minyak masak dalam periuk. Tumiskan bunga lawang, bunga cengkih, kulit kayu manis dan buah pelaga bersama bawang besar, bawang putih dan halia sehingga naik bau.
  2. Masukkan air ke dalam periuk secukupnya. Biarkan sehingga mendidih.
  3. Kemudian, masukkan ayam bersama kentang. Masak sehingga kentang dan ayam masak sepenuhnya dan empuk.
  4. Tambahkan garam dan gula secukup rasa. Biarkan seketika sehingga masak.
  5. Tutup api dan hidangkan. Taburkan daun sup dan daun bawang ketika dihidangkan.

 

 

Tetapkan Jam dan Mula Masak

 

Adakah anda bersetuju dengan kesemua resepi ayam 10 minit kami ini? Tak? Tak mengapa. Anda boleh cuba sendiri di rumah dan lihatlah betapa cepatnya nak sediakan kelapan-lapan resepi yang kami senaraikan dalam artikel ini.

Anda boleh rakam video sambil rekod masa anda memasak. Jangan lupa untuk tag kami pada video anda supaya kami tahu sendiri sama ada kami memang betul atau tidak. Kalau betul, senanglah hidup anda selepas ini!

print
Sakinah Ahmad

Everyday we start a day with positive minds and ends it in peaceful. Just be yourself and treat people good if we want people treat us well. Just love yourself and care the others and also love fooooooddddddd! Chill yo! ;)

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.