Pulut serunding merupakan satu sajian tradisional yang semakin dilupakan. Meskipun sajian ini begitu ringkas dan mudah untuk disediakan tetapi keenakan dan kelazatan rasa pulut serunding ini merupakan contoh keunikan sajian Melayu. Kelazatan sesuatu sajian bukan bergantung pada jumlah bahan yang digunakan tetapi gabungan perisa bahan-bahan digunakan.
Sebagai seorang cef, saya perlu menguasai pelbagai masakan moden berbeza seperti masakan Perancis, Itali dan sebagainya. Namun begitu, pada pendapat saya, kemahiran sebenar seorang cef atau tukang masak diuji dengan pengetahuan masakan tradisi tempatan, khususnya yang semakin dilupakan.
Oleh itu, setelah menamatkan pengajian kulinari profesional saya, saya kembali ke kampung untuk belajar resepi-resepi kampung yang kita biasa makan sewaktu membesar. Semasa di kampung, saya menyedari sesuatu yang mungkin dipersetujui oleh rakan-rakan cef saya yang lain. Masakan kampung, walau seringkas mana pun bahan-bahan yang digunakan, tetapi gabungan perisa yang terhasil cukup rumit dan unik. Oleh itu, untuk mempopularkan lagi hidangan-hidangan tradisi yang semakin dilupakan, saya bercadang untuk berkongsi resepi pulut serunding kegemaran saya yang saya selalu sediakan untuk para tetamu yang datang bertandang ke rumah saya.
Bahan-Bahan:
a) Pulut:
- 3 cawan beras pulut, direndam
- 1 cawan santan pekat
- 2 sudu besar gula
- secubit garam
- 1 cawan air
b) Serunding:
- 1 biji kelapa parut
- 60g bawang merah
- 20g bawang putih
- 1 inci halia
- 2 inci kunyit hidup
- 2 batang serai
- 1 sudu besar jintan manis
- 1 sudu besar jintan putih
- 3 sudu besar cili boh
- 2 sudu besar udang kering
Cara-Cara:
- Kisar semua bahan untuk buat serunding kecuali kelapa parut dengan 10ml air.
- Panaskan kuali, masukkan 6 sudu besar minyak masak dan tuang kesemua bahan kisar tadi.
- Tumis bahan kisar sehingga betul-betul kering.
- Setelah bahan tumis kering, perasakan dengan gula dan garam.
- Akhir sekali masukkan kelapa parut kedalam tumisan dan tumis lagi sehingga benar-benar kering. Setelah kering, tutup api dan ketepikan.
- Untuk pulut, campur dan sebatikan semua bahan dan tuang di dalam loyang yang berisi beras pulut dan kukus selama 30 minit. Selepas siap, ketepikan dulu pulut supaya tak panas semasa nak bentukkan pulut.
- Ambil sedikit pulut dan bentukkan pulut menjadi bebola kecil dan golekkan pulut tersebut diatas serunding tadi dan tekan sedikit supaya serunding melekat. Siap untuk dihidang.
Pulut Gebu, Serunding Menyelerakan
Saya rasa, anda semua pasti sudah tidak sabar lagi untuk mencuba resepi pulut serunding saya ini. Meskipun resepi ini tidak segah atau sehebat resepi-resepi masakan yang lain tetapi percayalah, sajian ini adalah antara yang paling dicari di hotel-hotel terkemuka.
Kalau anda menyukai resepi ini, jangan lupa untuk mengikuti Butterkicap dan ikuti profil media sosial Butterkicap di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi-resepi terbaru saya yang dikongsi di sini.