8 Jenis Lauk Nasi Minyak yang Paling Sedap

Nasi minyak merupakan hidangan yang cukup istimewa kepada rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana nasi minyak merupakan simbol rasmi keraian dan kegembiraan. Oleh sebab itu anda sering melihat nasi minyak dihidang ketika kenduri-kendara.

Nasi minyak ialah nasi berperisa yang dimasak dengan rempah-rempah dan sedikit minyak sapi. Nasi ini tidak sesukar mana untuk disediakan. Jika anda tidak tahu cara yang terbaik untuk sediakan nasi minyak, lihatlah resipi nasi minyak ala Butterkicap di laman sesawang kami, butterkicap.com.

 

Lauk Nasi Minyak yang Sesuai dan Sedap

Apabila bercakap tentang nasi minyak, pastinya anda tahu lauk nasi minyak yang paling sesuai untuk dinikmati bersama nasi istimewa ini. Antara lauk yang lazim dihidang bersama ialah  ayam goreng rempahdalca dan sambal pudina untuk kombinasi yang hebat.

Namun begitu, adakah anda tahu apakah lauk nasi minyak yang terbaik untuk dipasangkan bersama nasi minyak? Di sini, kami senaraikan 8 jenis lauk nasi minyak yang anda boleh pertimbangkan lain kali.

 

 

Kurma Kambing

Lauk Nasi Minyak
Kredit: wheelsondbus.blogspot.sg

Lauk kurma merupakan salah satu hidangan yang seringkali dihidangkan dengan nasi minyak atau nasi tomato.

Kurma ialah sajian yang berasal dari India. Lazimnya, kurma dimasak menggunakan daging atau sayur-sayuran yang ditumis reneh dengan yogurt atau krim, air atau stok dan rempah ratus sehingga menghasilkan kuah pekat.

Memang merecik air liur apabila membayangkan kuah kurma yang melimpah di atas nasi minyak yang gebu. Nak resipi kurma terbaik? Lihatlah di bawah.

 

Bahan-Bahan

  • 500g daging kambing
  • 2 sudu minyak
  • 350g santan pekat
  • 1 biji cili hijau, dibelah dua
  • 1 biji cili merah, dibelah dua
  • 2 biji kentang, potong dadu besar
  • 1/2 batang lobak merah. potong dadu besar
  • 1 biji bawang besar, belah 4
  • 1/4  cawan air asam jawa
  • gula dan garam secukup rasa

 

Bancuhan pes (dengan air)

  • 3 sudu besar rempah daging kurma
  • 1/2 sudu besar jintan manis
  • 1/2 sudu besar serbuk ketumbar

 

Bahan tumbuk

  • 4 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang bawang putih
  • 1 inci halia

 

Bahan tumis

  • 1 batang kayu manis
  • 3 biji buah pelaga
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 2 batang cengkih
  • 1 tangkai daun kari

Cara-Cara

  1. Panaskan minyak di dalam periuk dan masukkan bahan tumis dan bahan tumbuk. Tumis sehingga wangi.
  2. Masukkan pes, kacau dan masak sehingga pecah minyak. Masukkan sedikit air jika bahan tumis terlalu kering.
  3. Masukkan kambing dan gaul sebati. Biarkan masak selama 5 minit dan tambah sedikit air hingga 1/4 periuk. Masak sehingga daging menjadi empuk dan lembut.
  4. Apabila daging sudah lembut, masukkan santan, air asam jawa, lobak merah, kentang, cili hijau, cili merah dan bawang besar. Masak sehingga empuk.
  5. Masukkan gula dan garam secukup rasa.

 

Ayam Masak Merah

Lauk Nasi Minyak
Ayam Masak Merah

Ayam masak merah merupakan salah satu masakan Melayu yang paling digemari seluruh rakyat Malaysia.

Hidangan ini cukup mudah untuk disediakan tetapi memang cukup kaya dengan rasa. Jika anda mahu resepi ayam masak merah yang betul-betul menyengat, bolehlah mencuba resepi ayam masak merah ala Butterkicap oleh Cef Nik Michael Imran.

 

Daging Masak Hitam

Lauk Nasi Minyak
Kredit: delimazamrud.my

Salah satu lauk nasi minyak yang wajib anda cuba ialah daging masak hitam ataupun daging pedas mamak. Negeri-negeri di sebelah utara semenanjung Malaysia sering kali menyediakan sajian ini semasa kenduri-kendara seperti majlis perkahwinan.

Sajian daging masak hitam ini cukup sesuai untuk dinikmati dengan nasi minyak kerana rasa masakan daging ini mempunyai kombinasi rasa pedas dan lemak kicap yang cukup menyelerakan.

Tak percaya? Cubalah resepi daging masak hitam ala Mamak kami di sini.

 

Gulai Daging

Lauk Nasi Minyak
Kredit: ainkaswa.blogspot.my

Jika anda perasan, dalam banyak-banyak lauk yang sering dipasangkan dengan nasi minyak, tiada yang lebih sesuai daripada gulai daging. Rasa gulai daging yang tidak begitu menjelakkan boleh membuatkan anda bertambah-tambah nasi.

 

Bahan-Bahan

Perapan

  • 500g daging – dipotong menjadi ketulan kecil
  • 1/2 sudu besar serbuk kunyit
  • 1/2 sudu besar gula
  • 1/2 sudu besar bahan kisar (rujuk bawah)

 

Kisar halus

  • 1 biji bawang besar
  • 6 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 2 inci halia
  • 3 biji buah keras

 

Bahan tumis

  • 1 batang kulit kayu manis kecil
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 1 biji buah pelaga
  • 3 kuntum cengkih
  • 2 batang serai, dititik
  • 1 biji bawang besar, dihiris nipis
  • 2 tangkai daun kari
  • 1/2 sudu besar cili giling

 

Pes kari

  • 1 sudu besar serbuk kari daging babas
  • 1 sudu besar serbuk kari daging adabi
  • 1 sudu besar serbuk kurma daging tarbus
  • 100ml air

 

  • 150ml santan cair
  • Garam dan gula
  • Air asam jawa
  • 2 biji ubi kentang, dibelah 4
  • 2 cili hijau, dibelah

 

Cara-Cara

  1. Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan minyak lebih supaya masakan tidak hangus.
  2. Tumis campuran rempah sehingga wangi. Kemudian, masukkan bahan kisar. Kacau sehingga bawang masak dan garing.
  3. Masukkan bahan tumis dan kacau rata menggunakan api sederhana. Kacau selalu supaya campuran kari tidak hangit. Anda boleh tambahkan sesudu besar minyak jika kelihatan kering.
  4. Setelah tumisan kari pecah minyak dan pekat masukkan perapan daging tadi dan kacau rata.
  5. Kacau dan biarkan daging masak sehingga pecah minyak dan kuah memekat.
  6.  Masukkan santan cair. Biarkan daging mereneh selama 30 minit lagi sehingga empuk.
  7.  Masukkan ubi kentang, cili hijau, gula dan garam secukup rasa.

 

 

Acar/Jelatah

Lauk Nasi Minyak

Jelatah biasanya dihidang sebagai sajian sampingan nasi briyani, nasi minyak atau nasi tomato. Acar timun-nenas ini mudah dibuat dan hanya memerlukan beberapa bahan-bahan.

Tidak seperti jeruk biasa, jelatah tidak perlu disimpan berjam-jam atau semalaman dan sedap dimakan serta-merta.

Walau bagaimanapun, jelatah boleh disimpan untuk beberapa hari jika perlu. Dengan rasanya yang segar dan rangup, jelatah boleh dimakan dengan pelbagai cara hidangan nasi. Anda boleh dapatkan resipi jelatah yang rangup dan segar butterkicap di sini.

 

Dalca

Lauk Nasi Minyak
Kredit: Youtube.com

Dalca merupakan salah satu sajian yang wajib disediakan apabila anda ingin menikmati sepinggan nasi minyak. Kuah dalca yang pekat, wangi dan cukup berempah mampu membuatkan selera sesiapa sahaja naik.

Dalca merupakan sejenis kari yang menggunakan kacang dal sebagai ramuan utama dan berasal dari India. Dalca cukup sinonim dengan negeri-negeri di Utara, khususnya di Pulau Pinang dan Kedah yang mempunyai majoriti penduduk India-Muslim di sana.

Jika anda ingin tahu rahsia dalca yang cukup memukau dan membuatkan anda teringatkan nasi kandar kegemaran anda di Pulau Pinang, cubalah resepi dalca butterkicap.

 

 

Rendang Minang

Lauk Nasi Minyak

Rendang bukan sekadar hidangan istimewa yang sering disediakan pada hari keraian malah dilihat sebagai identiti masyarakat nusantara termasuklah di Malaysia.

Rendang lazimnya dinikmati bersama pelbagai jenis hidangan karbohidrat seperti nasi himpit, ketupat, nasi putih dan pulut tetapi sajian ini paling sedap dimakan dengan nasi minyak.

Kurang yakin dengan pernyataan kami? Bolehlah cuba resepi rendang minang Butterkicap yang pasti membuatkan anda berubah pendirian.

 

 

Ayam Goreng Berempah

Lauk Nasi Minyak

Rakyat Malaysia gemar makan ayam, terutamanya ayam goreng! Kita akan mencari berbagai-bagai alasan untuk menikmati ayam goreng dan salah satu alasan yang terbaik untuk diberi ialah ayam goreng cukup lazat dinikmati dengan sepinggan nasi minyak.

Bagi yang sukakan nasi anda dibanjiri kuah, anda mungkin tidak akan puas menikmati nasi minyak dengan ayam goreng sahaja tetapi percayalah, kombinasi ayam goreng berempah dan nasi minyak adalah antara kombinasi yang cepat, mudah dan menyelerakan  khususnya ketika anda sudah lapar.

Jika kebetulan anda mempunyai nasi minyak di rumah, bolehlah sediakan hidangan lauk nasi minyak yang ringkas ini menggunakan resepi ayam goreng berempah butterkicap yang rangup ini.

 

 

Dengan lapan lauk nasi minyak yang dicadangkan di atas, adakah kami telah membuatkan anda mengidamkan nasi minyak?

Jangan lupa untuk cuba sediakan lauk-lauk tersebut dan lihatlah betapa nikmatnya rasa nasi minyak tersebut.

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.