7 Resepi Ayam Paling Unik untuk Nikmati Bersama Keluarga

Resepi-resepi warisan yang dipaparkan dalam rencana kali ini ialah beberapa pilihan resepi ayam paling unik yang melambangkan kepelbagaian citarasa Rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia cukup sukakan ayam sehinggakan kita mempunyai pelbagai jenis lauk berasaskan ayam untuk kita cuba. Tambahan pula, warisan rakyat Malaysia yang cukup luas dan menjadikan resepi-resepi yang diminati sehingga sekarang adalah sangat unik dan sukar untuk ditemui di tempat lain.

Jadi, marilah kita lihat 7 resepi ayam paling unik untuk anda cuba (jika anda belum pernah lagi mencuba) di rumah.

 

1. Resepi Ayam Mentega Susu

Kredit: cookinglight.timeinc.net

Resepi ayam paling unik pertama dalam senarai ini merupakan resepi masakan dari India iaitu buttermilk chicken yang telah disesuaikan menurut citarasa masyarakat Malaysia. Hidangan ini cukup enak untuk dimakan dengan roti mahupun nasi, khususnya ketika baru habis dimasak. Ayuh kita lihat apakah bahan-bahan dan cara menyediakan masakan ayam mentega susu ini.

Bahan-Bahan

  • 1 keping dada ayam (potong dadu)
  • 2 sudu besar mentega
  • 1/2 cawan susu segar
  • 1 /2 lada benggala (dipotong dadu)
  • 3 biji cili padi (dihiris)
  • 1 tangkai daun kari (leraikan dari tangkai)
  • 1/4 cawan keju parut
  • 1/2 sudu teh stok ayam
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • Minyak masak secukupnya

Bahan Perap:

  • 1/4 cawan tepung gandum
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu besar serbuk kari
  • 1 biji telur

Cara-Cara

  1. Gaulkan ayam dengan semua bahan perapan. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, Kemudian, goreng ayam sehingga kekuningan. Angkat dan ketepikan.
  3. Menggunakan kuali lain, panaskan mentega, tumis cili, daun kari sehingga wangi.
  4. Masukkan susu cair dan masak sehingga mendidih dan masukkan keju.
  5. Seterusnya, perasakan dengan garam, serbuk perasa ayam dan sedikit gula.
  6. Masukkan ayam yang telah digoreng, kacau rata.
  7. Angkat dan hidangkan panas-panas.

 

2. Ayam Pandan Thai Istimewa

Makanan Thai sememangnya enak. Oleh sebab itu, rakyat Malaysia cukup sukakannya. Mana tidaknya, masakan Thai sangat sebati dengan citarasa rakyat Malaysia yang sukakan rasa masam dan pedas yang ada pada makanan Thai. Oleh itu, tidak hairanlah jika kita mempunyai versi masakan ayam pandan Thai kita sendiri.

Bahan-Bahan

  • 400 g daging ayam (bahagian dada)
  • 18 – 20 helai daun pandan
  • Lidi
  • Minyak

 

Bahan Perap

  • 1 sudu besar bawang putih (dicincang)
  • 1/2 sudu besar halia (dicincang)
  • 2 sudu besar santan
  • 2 sudu besar sos cili
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar kicap pekat
  • 1 sudu teh minyak bijan
  • 2 sudu teh gula
  • 2 sudu teh serbuk lada sulah

 

Bahan Sos

  • 160g gula melaka
  • 100ml cuka
  • 1 sudu teh kicap pekat
  • 1 1/2 sudu teh bawang putih (dicincang)
  • 5 – 6 cili padi (hiris halus)
  • 1 sudu besar sos ikan
  • 1/2 sudu teh bijan, (tumis darat hingga wangi)

 

Cara-Cara

  1. Cuci daging ayam, potong kiub 1 x 1 inci dan gaul bersama bahan-bahan perap. Perap dalam peti sejuk selama 1 jam.
  2. Kemudian keluarkan ayam dan bungkus menggunakan daun pandan. Ketepikan.
  3. Panaskan minyak dan goreng hingga masak (goreng 5-6 bungkus sekali) selama  4-5 minit.
  4. Angkat, toskan dan letak atas tisu dan biar minyak lebihan terserap.
  5. Untuk sos,  cairkan gula melaka dengan sedikit air dan tapis. vi. Masukkan semua bahan-bahan sos lain kecuali bijan.
  6. Kacau rata dan sesuaikan rasa, jika suka boleh tambah sedikit gula.
  7. Taburkan bijan sebelum dihidangkan bersama ayam pandan.

 

 

3. Ungkep Ayam

Kredit: anakbrunei.org

Resepi ayam paling unik yang ketiga disenaraikan ialah resepi ayam goreng pedas dari Jawa Tengah. Ayam Ungkep ini sedikit berbeza dengan resepi lain kerana disalut dengan halia dan cili untuk memberikan rasa pedas yang cukup menyengat. Hidangan ini sering dinikmati pada waktu musim sejuk atau monsun apabila cuaca sedikit sejuk.

Bahan-bahan

  • 1 kg ayam – potong 10 (perap dengan garam & kunyit)
  • 2 batang serai (dititik)
  • 3 cawan air
  • 1/4 kotak santan
  • Garam dan gula sebagai perasa
  • 1/2 keping asam keping (opsyenal)
  • Minyak masak
Bahan tumbuk/kisar:
  • 5 ulas bawang putih
  • 10 biji bawang merah
  • Secubit serbuk ketumbar
  • Secubit serbuk jintan manis
  • Secubit serbuk jintan putih
  • 3cm kunyit hidup
  • 3cm halia
  • 15 biji cili padi
Cara-cara
  • Panaskan sedikit minyak. Tumis semua bahan kisar sehingga terbit minyak.
  • Masukkan  serai dan ayam yang telah diperap dan kemudian gaul rata hingga ayam kelihatan kecut atau berubah warna.
  • Tambahkan air, garam/gula/perasa pilihan. Tutup kuali rapat-rapat. Kacau sekali-sekala untuk memastikan ayam tidak hangus kekeringan atau hancur.
  • Apabila kuah kering (jika suka kuahnya tak perlu masak sampai kering), dan ayam empuk, matikan api.

4. Bergedil Ayam

Kredit: helen1960.blogspot.my

Bergedil ayam mungkin bukan resepi ayam paling unik dalam senarai ini, tapi tak kurang hebatnya dalam rasa dan tekstur kerana isi ayam dicarik-carik dan disatukan dengan ubi, cili, lada sulah dan bawang dan dibulatkan. Bergedil ayam sedap dimakan bersama nasi dan sup, atau diratah saja.

 

Bahan-Bahan
  • 1/2 kg ubi kentang
  • 200g daging ayam kisar
  • 2 sudu teh lada sulah (tumbuk lumat)
  • 1 sudu besar bawang goreng
  • 2 tangkai daun sup (dihiris halus)
  • 1/2 labu bawang besar (dipotong dadu)
  • 2 biji telur ayam
  • Garam secukup rasa
Cara-Cara
  • Kupas kentang dan potong sederhana nipis. Cuci dan toskan.
  • Goreng sehingga masak, angkat dan toskan. Lenyek/tumbuk sehingga lumat semasa masih panas. Ketepikan dulu.
  • Tumiskan bawang besar dan masukkan daging ayam kisar. Masak sehingga separuh masak.
  • Satukan kesemua bahan kecuali telur di dalam satu bekas.
  • Ambil sedikit adunan dan bentukkan bulat. Buat hingga habis.
  • Dalam bekas lain, pecahkan telur dan pukul.
  • Celupkan setiap ketulan begedil tadi dengan telur terlebih dahulu sebelum digoreng dengan minyak yang betul-betul panas sehingga berwarna keemasan.

 

5. Kari Ayam Berkerisik

Kredit: Maunika Gowardhan

Anda mungkin sudah biasa mendengar atau melihat orang memasak kari ayam tapi pasti anda tidak pernah lihat mahupun tahu tentang kewujudan kari ayam berkerisik. Resepi ini sedikit berbeza daripada kari ayam yang biasa kerana kari ini mengandungi kerisik dan lebih pekat. Kari ini lazimnya dimakan dengan pulut atau ketupat kerana kepekatan kuah kari tersebut sesuai dengan rasa lemak pulut dan ketupat.

Bahan-Bahan

  • 1/2 ekor ayam (cuci dan ditos)
  • 2 biji kentang (dipotong bulat)
  • 3 sudu besar serbuk kari daging
  • 1/2 cawan santan
  • 1 paket kecil kerisik
  • 1 kiub stok ayam
  • garam
  • 3@4 tangkai daun kari (asingkan daun dan tangkai)
  • air
  • 1 biji bawang besar (dihiris)
  • 4 ulas bawang putih (dihiris)
  • 1 inci halia (dihiris)

Cara-Cara

  1. Tumis bawang besar, bawang putih halia dan daun kari sehingga wangi.
  2. Masukkan serbuk kari dan sedikit air. Biarkan sehingga pecah minyak.
  3. Masukkan ayam, kentang dan sedikit lagi air. Biar mereneh sehingga kentang empuk.
  4. Masukkan kiub stok ayam & kerisik. Kacau sehingga larut.
  5. Masukkan santan dan garam. Masak hingga mendidih.

 

6. Ayam Masak Bali

Kredit: taste.com.au

Resepi ayam paling unik seterusnya pernah menjadi viral pada satu ketika dahulu di laman media sosial. Ayam masak Bali merupakan sejenis masakan yang berasal dari Pulau Bali, Indonesia.

Kelainan masakan ni terletak pada bahan utama yang digunakan iaitu jumlah serai yang banyak dan juga daun kari yang dimasukkan semasa menumis. Aroma serai dan daun kari memang membangkitkan bau dan rasa istimewa hidangan ini.

Bahan-Bahan

  • 1/2 ekor ayam (dipotong  dan dicuci)
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • 3/4 sudu teh garam
  • 6 batang serai, diketuk
  • 4 tangkai daun kari
  • 1 sudu besar kicap lemak manis
  • 1/3 cawan cili kisar
  • 1 sudu besar gula (atau secukup rasa)
  • Garam secukup rasa
  • 1/2 cawan air
  • 4 biji bawang besar (dikisar halus)
  • 8 ulas bawang putih (dikisar halus)
  • 1 inci halia (dikisar halus)
  • 1/2 inci belacan (dikisar halus)
Cara-Cara
  1. Goreng ayam hingga masak. Goreng dengan api sederhana selama 15 minit sambil dibalik-balikkan.
  2. Cedok keluar minyak dan tinggalkan lebih kurang 1/4 cawan. Tumis serai hingga harum, iii.Masukkan daun kari dan masak sekejap. Masukkan bahan-bahan kisar halus dan cili kisar.
  3. Kacau rata, Masak hingga garing dan naik minyak.
  4. Masukkan gula dan garam secukup rasa.
  5. Tambah ayam, gaul rata dan tuang air. Masak hingga pekat. Kacau sekali sekala.
  6. Masukkan kicap lemak manis, gaul rata dan masak sekejap.

 

7. Ayam Kuzi Istimewa

Kredit: spice-queen.com

Resepi ayam terakhir ini ialah resepi ayam dari Negeri Kelantan. Salah satu resepi ayam paling unik di Malaysia ini selalunya dimasak untuk hari-hari istimewa sahaja kerana masakan ini agak merenyahkan. Selain itu, ayam kuzi tidak boleh dimakan selalu kerana bimbang akan berasa jelak kerana begitu berlemak.

Bahan-Bahan:

Bahan untuk diperap:
  • 1 ekor ayam, potong 12 bahagian
  • 3 ulas bawang putih
  • sedikit garam
Bahan untuk digoreng:
  • 250 ml minyak masak
  • 15 ulas bawang merah, dihiris nipis
  • 2 biji bawang besar, potong dadu
  • 1/2 cawan kepingan badam (almond slices)
  • 1/2 cawan kismis
  • hati dan pedal ayam, potong kiub
  • garam dan gula secukup rasa
Bahan untuk kuah:
  • 5 ulas bawang merah, ditumbuk halus
  • 4 ulas bawang putih, ditumbuk halus
  • 3 sudu besar rempah briyani, bancuh dengan air menjadi pes
  • 125 ml air
  • 3/4 tin susu cair
  • 120 gram (1 tin kecil) tomato puri
  • 2 batang serai, dititik
  • 2 helai pandan, carik dan simpul

Cara Penyediaan:

  1. Tumbuk bawang putih bersama garam, dan lumurkan pada ayam. Perap seketika dan ketepikan.
  2. Beralih pula kepada bahan untuk digoreng. Panaskan minyak dan goreng bawang merah yang dihiris nipis tadi. Angkat dan toskan. Kemudian dalam minyak yang sama, goreng pula badam cukup sekadar kekuningan dan angkat. Goreng pula kismis selama 4-5 saat. Goreng bawang besar sehingga lembut dan diikuti pula pedal dan hati sehingga masak. Teruskan pula dengan menggoreng ayam hingga separuh masak. Angkat dan toskan.
  3. Dalam minyak yang sama, tumis bawang putih dan bawang merah yang ditumbuk halus sehingga naik bau. Masukkan daun pandan, serai dan rempah briyani. Kacau sehingga rempah masak dan pecah minyak.
  4. Masukkan tomato puri, ayam, pedal dan hati, bawang goreng, kismis, badam, air dan susu cair. Masak selama 20-30 minit. Tambahkan sedikit air jika kuah kering. Kacau sehingga kuah pekat. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  5. Hidangkan bersama taburan badam, daun ketumbar dan bawang goreng.

 

 

Adakah anda merasakan ketujuh-tujuh resepi ini menarik? Jika ya, bolehlah anda cuba salah satu dari resepi ayam paling unik dalam senarai ini untuk ahli keluarga dan sahabat handai. Jika tidak, berikan komentar anda di bawah dan beritahu jenis masakan ayam yang lebih unik dan gempak daripada yang disenaraikan di atas.

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.