Bawa Pulang Warisan Melayu Sebenar dari KitaKita

Warisan Melayu cukup kaya dengan tradisi dan adat yang sukar untuk ditemui di mana-mana tempat di seluruh dunia. Sayangnya, adat dan budaya masyarakat Melayu ini semakin dilupakan apabila kemodenan yang dikejar-kejar. Oleh itu, lokasi-lokasi yang cuba menghidupkan semula warisan Melayu ini seperti KitaKita adalah satu permata yang perlu dipelihara dengan baik.

Terletak di Bukit Damansara, tiada sesiapapun yang dapat menyangka bahawa bangunan kolonial KitaKita yang berwarna putih di situ menyimpan seribu satu khazanah Melayu yang dicari-cari oleh pelancong luar mahupun rakyat tempatan yang ingin merasai pengalaman warisan Melayu sebenar yang diperoleh menerusi produk-produk yang dipamerkan di butik kecil tersebut.

Sebaik sahaja kami melangkah masuk ke dalam KitaKita, alunan lembut lagu-lagu klasik yang dimodenkan menyapa kami. Walaupun dekorasi dalaman KitaKita ialah moden tetapi kami janji di setiap sudut butik tersebut, elemen-elemen tradisi Melayu cukup menonjol sehingga membuatkan mata anda tidak lepas daripada menatap hiasan-hiasan batik, cawan-cawan teh klasik bercorak kebaya dan sebagainya.

Credit: eatdrinkkl.blogspot.sg

Usaha Murni KitaKita

Puan Ivy, pengurus KitaKita membawa kami ke kafe Siti Li Food Studio untuk menikmati minum petang sambil berbual-bual tentang produk KitaKita. Sementara menunggu hidangan khas Puan Siti Li disediakan, Puan Ivy berkongsi sedikit sejarah penubuhan KitaKita.

Menurut beliau, KitaKita ditubuhkan sebagai usaha untuk menghidupkan semula warisan-warisan Melayu menerusi produk-produk yang dihasilkan pereka atau pengusaha tempatan seperti koleksi pakaian, beg tangan, bantal, set pinggan-mangkuk, perhiasan diri dan juga produk-produk kraftangan seperti bakul-bakul.

“Produk-produk yang dijual di KitaKita adalah unik, berkualiti dan sukar untuk ditemui di tempat lain”, Puan Ivy, KitaKita

 

Berdasarkan penelitian kami, terdapat begitu banyak produk yang dipamerkan di butik KitaKita yang pastinya menyebabkan pengunjung yang datang berasa sedikit keliru untuk memilih barangan cenderahati yang ingin dibawa pulang atau diberi sebagai hadiah.

Kami suarakan kebimbangan kami ini kepada Puan Ivy dan dengan ketawa kecil, beliau menjawab, “Setiap pengunjung yang datang ke sini sentiasa bertanya kepada kami barangan atau produk kami syorkan untuk dijadikan sebagai hadiah atau cenderahati yang unik dan pendapat kami, set teh Nori Collection kami merupakan pilihan yang terbaik kerana kami merasakan set teh inilah yang paling menonjolkan elemen Melayu yang kebanyakan daripada pengunjung kami cari untuk dibawa pulang.”

 

Set Teh Nori Collection 

Set Teh Nori Collection ini merupakan set teh yang diilhamkan daripada minat Alharyamah Tun Endon Mahmood terhadap motif-motif tradisi Melayu dan peranakan serta usaha beliau untuk terus hidupkan tradisi Melayu sebagai fesyen bertaraf dunia.

Puan Ivy menerangkan bahawa ilham disebalik set tersebut sebagai satu bentuk warisan peninggalan yang diwarisi secara turun-temurun dari satu generasi ke generasi lain. Seperti mana yang kita semua tahu, warisan dan tradisi Melayu mampu kekal sehingga ke hari ini kerana adat peninggalan warisan ini, baik dari segi pakaian, pinggan-mangkuk atau barang kemas, masih diamalkan supaya susur-galur keturunan Melayu sesebuah keluarga tidak dilupakan walaupun era demi era sudah berlalu.

“Set Teh Nori Collection ialah contoh penerusan budaya dan tradisi Melayu yang menurunkan barangan keluarga yang signifikan supaya kekal terpelihara dalam sesebuah keluarga. Itulah yang ingin KitaKita ketengahkan menerusi set teh ini.” – Puan Ivy, KitaKita 

 

Set teh ini terdiri daripada:

  • empat cawan;
  • empat piring;
  • teko teh;
  • bekas gula; dan
  • teko susu

Selain itu, set ini juga boleh didapati dalam pelbagai warna berbeza seperti warna merah, biru muda, hijau dan merah jambu serta dihasilkan dalam dua bentuk rekaan yang berbeza iaitu satu rekaan cawan bulat yang lebih moden dan rekaan bibir cawan luas yang lebih klasik.

Apabila ditanya tentang keistimewaan set teh ini, Puan Ivy hanya tersenyum kecil dan berkata, “Keistimewaan set teh ini adalah pada bahan yang digunakan. Set teh ini diperbuat daripada tanah kaolin halus berkualiti tinggi yang memastikan set teh ini kekal elegan dan cantik walaupun dimakan zaman.

Perkara seterusnya yang menarik tentang set teh ini ialah corak atau motif kebaya yang terdapat pada setiap set teh ini. Corak ini merupakan motif yang diinspirasi daripada koleksi kebaya peribadi alyarhamah Tun Endon Mahmood yang juga menjadi sebahagian daripada koleksi Nori Kebaya kami.”

Namun begitu, menurut Puan Ivy, keunikan set teh ini bukanlah atas sebab kedua-dua faktor yang dinyatakan di atas. Sebaliknya, set teh ini menjadi lain daripada yang lain kerana motif kebaya tersebut dicat tangan dan hal inilah yang menjadikan set teh ini lebih berharga daripada set teh yang lain.

 

Kenangan Minum Petang Terindah

Walaupun rakyat Malaysia sibuk mengejar arus pemodenan, terdapat satu perkara yang masih lagi mengikat rakyat Malaysia pada tradisi dan budaya generasi lama. Perkara tersebut ialah amalan minum petang.

Dengan peredaran masa, kebanyakan makanan dan juadah tradisional yang menjadi kegemaran ramai sudah lagi tidak dapat dinikmati lagi. Hal ini demikian kerana tidak banyak rakyat Malaysia yang menyedari kepentingan untuk mempelajari resipi-resipi kuih tradisional ini. Oleh itu, perkara ini dilihat sebagai satu kelebihan jika terdapat individu atau kafe yang mampu menyediakan kuih-muih ini seasli yang mungkin, khususnya di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur.

Berbalik pada amalan minum petang, Puan Ivy mempunyai pendapat beliau yang tersendiri dan inilah yang disuarakan oleh beliau, “Aktiviti minum petang memang sesuatu yang cukup sinonim dengan rakyat Malaysia. Dari dahulu sehingga sekarang, minum petang dijadikan sebagai waktu untuk rakan-rakan dan ahli keluarga untuk duduk berkumpul serta bertanya khabar setelah sibuk bekerja seharian.

Perkara yang menyatukan mereka? Pastilah kuih-muih yang dihidangkan. Walaupun kuih-kuih ini ringkas, tidak elegan atau cantik untuk dipandang, tetapi jika diberi pilihan, sesiapapun akan memilih kuih bingka yang tidak seindah skon Inggeris yang comel pada bila-bila masa.”

Oleh itu, sangat bersesuaianlah untuk kita memiliki set teh klasik bertemakan warisan Melayu seperti set teh Nori Collection untuk menambahkan lagi kelazatan kuih-muih tradisional kita.

 

Siti Li Food Studio

Siti Li Food Studio sememangnya syurga makanan tradisi yang masih lagi tidak diketahui ramai. Terletak di Bukit Damansara, kafe ini berkongsi ruang dengan KitaKita dalam bangunan kolonial berwarna putih di Bukit Damansara.

Suasana kafe yang sunyi dan intim ini pasti memberikan anda satu pengalaman minum petang yang membuatkan anda merindui kampung halaman anda dengan hidangan juadah minum petang unik dan sukar didapati di tempat lain dalam kota metropolitan Kuala Lumpur ini.

Setelah berbual-bual tentang koleksi set teh istimewa KitaKita dan signifikan di sebalik set tersebut, Puan Ivy telah menjamu kami dengan tiga hidangan klasik minum petang hasil air tangan Puan Siti Li. Bau kuih yang menyelerakan betul-betul menaikkan selera kami untuk mencubanya.

 Hanya di Siti Li Food Studio para pengunjung KitaKita dapat merasai pengalaman menikmati hidangan makanan Melayu klasik dalam suasana yang elegan, dari tengah hari sehinggalah ke malam. Lazimnya, restoran-restoran makanan Melayu hanya menyediakan menu makan tengah hari dan makan malam yang banyak tetapi melupakan waktu makan paling penting iaitu minum petang. Seperti yang saya katakan tadi, waktu minum petang adalah masa yang paling dinanti-nantikan rakyat Malaysia kerana pada ketika itulah mereka dapat makan kuih-muih tradisional seperti kek lapis, kuih lopeh dan cekodok.” kata Puan Ivy dari KitaKita

Tanpa membuang masa lagi, kami menikmati hidangan epok-epok sayur, cekodok mini dan pilihan karipap beraneka perisa sambil menghirup teh panas daripada set teh Nori Collection istimewa KitaKita.

Sejujurnya, kami terasa bagai dibawa kembali ke era 50-an apabila alunan lagu-lagu P.Ramlee menemani waktu minum petang kami ini. Benar sekali segala yang dikatakan Puan Ivy. Food Siti Li sememangnya sebuah kafe kontemporari yang menonjolkan elemen tradisi Melayu yang tidak dapat ditemui di kafe-kafe lain di Kuala Lumpur.

Oleh itu, sempena penutupan acara SEA Games 2017 di Kuala Lumpur pada 30 Ogos dan sambutan kemerdekaan negara yang ke-60, apa kata kita sama-sama mengunjungi KitaKita dan Siti Li Food Studio untuk sama-sama menelusuri lorong kenangan serta warisan tradisi Melayu yang dilupakan dengan juadah minum petang ringkas yang hanya boleh didapati di KitaKita.

A: G1.10, 1, Jalan Medan Setia 1, Bukit Damansara,
50490 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia

T: +60 3-2095 1323
FB: KitaKita
W: KitaKitaMy
print
Butterkicap Team

We're just a small group of friends who love food, culture and Malaysia. We saw the rise of mediocre food, deteriorating relationships and missed the good old days of Malaysia where food was good, homes were warmer and full of friends and family. So we rolled up our sleeves, and made Butterkicap with the hope that it will bring people and flavors home.

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.