20 Variasi Nasi Goreng yang Rakyat Malaysia Mesti Tahu

Variasi nasi goreng di Malaysia adalah terlalu banyak sehingga kita tidak tahu berapa banyak nasi goreng yang ada di Malaysia sebenarnya. Memeningkan betul!

Dalam banyak-banyak makanan jalanan yang digemari  rakyat Malaysia seperti roti canai, nasi lemak, kuey tiaw goreng dan naan, tiada yang lebih mengenyangkan dan menjimatkan duit berbanding nasi goreng.

Nasi goreng ialah nasi masak disejukkan yang dimasak dengan sedikit minyak masak atau mentega, lazimnya diperisakan dengan kicap manis, bawang merah, bawang putih, pes belacan, asam jawa, cili dan ditambah bersama telur, ayam atau udang.

Untuk senaraikan kesemua variasi nasi goreng yang ada, memang takkan boleh. Jadi, kami hanya akan nyatakan 20 variasi nasi goreng paling biasa yang biasa dimakan oleh rakyat Malaysia. Mari kita tengok berapa banyak yang anda sudah cuba dalam senarai di bawah:

 

1. Nasi Goreng Kampung

nasi goreng kampung

Nasi goreng ialah nasi goreng kicap yang biasanya adalah pedas kerana diletakkan cili padi dan juga ikan bilis goreng serta sedikit sayuran seperti lobak merah dipotong dadu atau kobis.

 

2. Nasi Goreng USA

Kredit: afzalsukasuki.com

Nasi goreng USA bukanlah nasi yang berasal dari Amerika Syarikat (USA). USA merupakan akronim bagi frasa “Udang, Sotong, Ayam). Hal ini bermaksud, nasi goreng ini dimasak dengan diletakkan udang, sotong dan juga ayam. Nasi goreng ini juga biasanya dihidangkan bersama telur mata.

 

3. Nasi Goreng Pattaya

Walaupun nasi goreng ini diberi nama “Pattaya”, nasi goreng ini sebenarnya berasal dari Malaysia. Hidangan ini dihidangkan dengan membalut nasi goreng dengan lapisan nipis telur dadar. Nasi goreng ini biasanya, dimasak terlebih dahulu dan barulah lapisan telur yang membalut dimasak.

 

4. Nasi Goreng Ikan Masin

Kredit: mediasosialkini.blogspot.my

Nasi goreng ikan masin menggunakan bahan-bahan yang sama seperti nasi goreng kampung. Istimewanya, terdapat bahan tambahan yang diletakkan untuk menghasilkan variasi nasi goreng ini ialah ikan masin. Ikan masin memberikan rasa lemak yang susah untuk didapati daripada variasi nasi goreng lain.

 

5. Nasi Goreng Seafood 

Kredit: tawanrestaurant.com

Nasi goreng seafood ialah nasi goreng yang dimasak menggunakan makanan laut. Biasanya, nasi goreng ini diletakkan sambal dan bukannya kicap sebagai perisa. Makanan laut yang digunakan dalam nasi goreng ini ialah sotong dan udang.

 

6. Nasi Goreng Belacan

Kredit: Pinterest.com

Nasi goreng belacan merupakan nasi goreng paling ringkas dan paling melambangkan rakyat Malaysia. Nasi goreng ini mengetengahkan belacan yang digunakan sebagai bahan utama dalam variasi nasi goreng ini.

 

7. Nasi Goreng Biasa

Kredit: cara-membuatnasigoreng.blogspot.my

Nasi goreng biasa lazimnya ialah nasi goreng yang tidak ditambah dengan bahan lain seperti daging, ayam ataupun makanan laut dan hanya dimasak menggunakan bahan asas seperti bawang, kicap serta sayur.

 

8. Nasi Goreng Tomyam

Kredit: zaralovebaking.blogspot.my

Nasi goreng tomyam dimasak dengan meletakkan perencah tomyam semasa menggoreng nasi. Untuk mendapatkan rasa tomyam yang lebih asli, sediakan pes tomyam anda sendiri dan pekatkan kuah supaya nasi anda tidak lembik dan hancur apabila digoreng nanti.

 

9. Nasi Goreng Paprik

Kredit: Azhan.co

Nasi goreng paprik berasal daripada nasi pad prik di Thailand. Nasi goreng ini disediakan dengan digoreng bersama pes cili yang digoreng kilas. Dalam bahasa Thai, pad bermaksud ‘goreng’ dan prik pula merujuk pada ‘cili’.

 

10. Nasi Goreng Sardin

Kredit: hanizahomerecipes.blogspot.my

Nasi goreng sardin merupakan nasi goreng yang tidak asing lagi daripada golongan bujang dan juga pemalas. Nasi ini dimasak dengan memasukkan setin sardin di dalam kuali dan digoreng bersama nasi. Jangan lupa letakkan bawang merah, bawang putih dan juga cili api untuk menambah wangi dan kepedasan nasi ini.

 

11. Nasi Goreng Cendawan

Kredit: alinaughtygurl.blogspot.my

Bagi bukan pemakan daging, nasi goreng cendawan pasti menjadi pilihan anda. Nasi goreng cendawan merupakan satu variasi nasi goreng cina yang ditambah cendawan. Memang enak dan mengenyangkan.

 

12. Nasi Goreng Ayam/Daging Kunyit

Kredit: rebeccasaw.com

Nasi goreng ini dimasak menggunakan ayam atau daging yang diperap dengan kunyit dan digaul dalam kuali bersama nasi sehingga sebati. Nasi goreng ini berwarna kuning dan lazimnya, diletakkan juga sayuran seperti lobak dan kacang panjang. Satu tip untuk nasi goreng berkunyit yang sedap, lebih banyak bawang besar, lagi sedap!

 

13. Nasi Goreng Ayam/Daging Merah

Kredit: azlinaazis.blogspot.my

Variasi nasi goreng ini merupakan masakan ala Thai yang menjadi menu utama di kebanyakan restoran di Malaysia. Untuk menyediakan nasi goreng yang sedap, pilih bahagian daging yang tidak terlalu kenyal atau liat. Barulah senang nak makan. Jika tidak, penat mengunyah sahajalah!

 

14. Nasi Goreng Cina

Kredit: masakannasigoreng.blogspot.com.my

Nasi goreng cina diberi nama sebegitu kerana hasil nasi yang dimasak berwarna cerah (seperti kulit leng lui dan leng chai). Nasi goreng ini sering dimasak menggunakan sayur-sayuran seperti kacang pis, lobak merah, telur dan juga udang. Nasi ini biasanya dimasak tidak pedas. Jika anda mahu nasi goreng cina anda pedas, sediakan cili padi berkicap untuk menikmati nasi goreng ini.

 

15. Nasi Goreng Cili Padi

Kredit: selerakampungkitchen.blogspot.com

Berdasarkan namanya, tiada misteri tentang bahan yang digunakan untuk menyediakan nasi goreng ini. Variasi nasi goreng ini boleh dimasak dengan ringkas seperti sedikit daging ayam atau ikan bilis, bahan wajib seperti bawang besar dan bawang putih serta, semestinya, cili padi yang banyak!

 

16. Nasi Goreng Ayam

Kredit: authenticworldfood.com

Nasi goreng ayam boleh disediakan secara berasingan; maksudnya, nasi dan ayam digoreng secara berasingan ataupun ayam dimasak separa masak dan dimasak sepenuhnya apabila dicampur dengan nasi  yang sedang digoreng dalam kuali. Bahan penyediaan nasi goreng tak pelu begitu banyak kerana kita mahu menonjolkan ketulan ayam di dalam nasi.

 

17. Nasi Goreng Daging

Kredit: mammadanish.blogspot.my

Cara penyediaan variasi nasi goreng ini adalah sama seperti nasi goreng ayam. Bezanya ialah anda akan lebih nikmat makan nasi goreng ini kalau anda merupakan peminat daging yang tegar.

 

18. Nasi Goreng Ulam

Kredit: illyariffinmasak.blogspot.my

Jika anda mahu makan nasi goreng yang lebih sihat, nasi goreng ulam adalah untuk anda. Masukkan pelbagai jenis ulam seperti bunga kantan, daun selom, daun selasih, kacang botor dan bermacam lagi ulam yang anda suka dalam nasi yang anda sedang goreng. Mudah dan senang sahaja untuk disediakan. Bahagian yang sukar adalah mencari ulam!

 

19. Nasi Goreng Telur Kicap

Kredit: resepisedap-nennie.blogspot.my

Untuk anak-anak kecil yang cerewet, nasi goreng telur kicap tidak akan menghampakan mereka. Rasa nasi yang ringkas dan lazat, membuatkan anak yang paling cerewet pun akan tergoda untuk makan. Penyediaan nasi ini juga mudah dan tidak memerlukan kos yang mahal. Anda hanya perlukan nasi, telur dan kicap!

 

20. Nasi Goreng Petai

Kredit: dprlezat.blogspot.my

Bagi bukan peminat petai, ini bukan variasi nasi goreng untuk anda. Nasi goreng untuk variasi nasi goreng ini boleh disediakan secara ala kampung, cina mahupun belacan. Perkara paing penting adalah meletakkan petai-petai ranum dan wangi untuk ada nikmati. Beringat-ingat semasa letak petai, tak nak anda jadi mesin buang angin 24 jam pula nanti.

 

 

Rasanya, kami sudah senaraikan variasi nasi goreng yang cukup banyak untuk anda. Bagi yang tidak biasa makan variasi nasi goreng yang kami senaraikan, gunalah senarai ini sebagai panduan anda melengkapkan misi nasi goreng anda.

Apa? Ada yang tertinggal?

Kongsi dengan kami! Tinggalkan komen di bahagian komen di bawah.

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.