Resepi Nasi Ayam Hainan Khairy KJ – Cubalah!

nasi ayam hainan kj
Nasi ayam bermitos!

Resipi nasi ayam saya memang lejen, tetapi saya jarang ke dapur untuk memasaknya, dan ini telah naikkan hidangan khusus saya ini hingga ke tahap mitos! Strategi saya ini telah memastikan masakan saya rasa lebih sedap bila saya dapat meluangkan sedikit masa di dapur untuk memasaknya. Jika anda ingin mencipta hidangan lejen bermitos seperti saya, ikutilah langkah-langkah berikut. Dan ingat, jangan memasaknya terlalu kerap.

Bahan-bahan
Untuk ayam
  • 1.5kg ayam bulat segar (lebih kurang 1 ekor ayam)
  • 1 sudu besar garam
  • Air
  • 4-5 potongan halia 2”, dihiris kepingan nipis
  • 5 batang daun bawang
  • 1 bungkus ais (yang biasa dibeli di kedai runcit)
Untuk nasi ayam
  • Lemak ayam, dari bahagian belakang rongga ayam
  • 1 sudu besar mentega
  • 4 ulas bawang putih, dicincang
  • 3 cawan nasi putih Jasmine Rice, dibasuh dan dibuang air
  • Sup pati ayam, hasil dari merebus ayam
  • 2 1/2 sudu kecil garam
Untuk sos cili bestintheworld 
  • 6 biji cili hidup merah
  • 3” kerat halia
  • 3 ulas bawang putih
  • ½ sudu kecil minyak bijan
  • 1 sudu kecil garam
  • ½ sudu kecil gula pasir
  • 1 biji limau nipis, diperah dan diambil jusnya sahaja
  • 1 sudu kecil cuka putih
  • 3 sudu besar sup pati ayam dari ayam yang direbus
Untuk sos kicap manis darkandhandsome
  • 1/3 cawan air
  • 3 sudu besar gula pasir
  • 1/3 cawan kicap pekat
Untuk sos halia kawkaw
  • 4” kerat halia, dipotong kasar
  • 1 ulas bawang putih
  • 3 sudu besar minyak sayuran
  • 1/3 sudu kecil garam
Untuk hiasan
  • 1 biji timun, dipotong halus
  • 1 sudu besar daun bawang, dipotong halus
Kaedah
Cara Menyediakan Ayam

Ayam
  1. Bersihkan ayam. Di dalam pembukaan rongga ayam, terdapat ketulan lemak yang terletak berdekatan dengan ekor/bontot ayam (bukan bontot ayam ya!). Potong lemak tersebut dan simpan (untuk nasi).
  2. Masukkan ayam yang sudah dibasuh ke dalam periuk yang besar. Isi air sehingga menutupi seluruh ayam. Jumlah air yang diperlukan bergantung kepada saiz periuk anda. Yang penting, ayam anda ditutup air sepenuhnya.
  3. Keluarkan ayam dan letak di atas pinggan. Gunakan tuala kertas untuk lap kering.
  4. Sapukan garam pada keseluruhan permukaan luar/kulit ayam. Ketepikan seketika.
  5. Masukkan halia dan daun bawang ke dalam periuk yang sama dan masak hingga air mendidih pada suhu api yang tinggi.

  1. Sebelum memasukkan ayam ke dalam periuk, bilas ayam dengan air mengalir untuk hilangkan garam. Masukkan ayam dengan hati-hati ke dalam air yang mendidih. Pastikan bahagian dada ayam menghadap ke atas. Jika air sudah berkurangan dan bahagian dada ayam tidak ditutup air, tambah air secukupnya supaya majoriti ayam tidak terdedah dan menjadi kering.

  1. Biarkan air mendidih semula. Angkat ayam dengan berhati-hati untuk keluarkan air di dalam rongga ayam. Masukkan ayam semula. Biar air mendidih sekali lagi.

  1. Tutup periuk dengan tudung dan padamkan api. Biar periuk ditutup selama 45 minit. Gunakan timer, jangan main agak-agak. Jika anda tiada timer, dekat handphone ada.
  2. Bila sudah hampir 45 minit, sediakan periuk besar yang dipenuhi air sejuk dan ais.
  3. Pastikan ayam sudah masak. Ambil cungkil gigi dan cucuk di bahagian isi drumstick – kalau airnya jernih, ayam sudah cukup masak.
  4. Bila ayam sudah masak, angkat dengan perlahan-lahan dan tuangkan air dari bahagian rongga ke dalam periuk panas. Masukkan ayam ke dalam ais. Berhati-hati dan pastikan kulit ayam tidak rosak. Biar selama 15 minit untuk sejukkan ayam. Ini akan hentikan proses memasak dan memastikan ayam yang juicy.
  1. Buang air dan ais. Tutup periuk dengan balut plastik sehingga sampai masa untuk ayam dipotong dan dihidang.
Nasi
  1. Sementara ayam menyejuk, siapkan nasi untuk dimasak. Pertama, panaskan kuali.
  2. Masukkan lemak ayam yang dipotong tadi ke dalam kuali panas. Kacau selama 1 1/2 minit pada suhu sederhana panas sehingga minyak ayam keluar dari potongan lemak tersebut.
  3. Tambah bawang putih dan goreng sambil memastikan bawang putih naik baunya tetapi tidak hangus atau menjadi garing.

  1. Masukkan beras yang belum dimasak ke dalam kuali. Kacau selama 2 1/2 minit secara berterusan.
  2. Padamkan dapur. Masukkan beras yang baru digoreng dengan lemak ayam dan bawang putih tadi ke dalam periuk nasi untuk dimasak.
  3. Biasanya kita guna air biasa sahaja, tetapi untuk nasi ayam, nasi perlu dimasak dengan sup pati ayam. Gunakan 3 cawan sup pati ayam (sebagai pengganti air) untuk memasak 3 cawan beras. Tambahkan 2 1/2 sudu kecil garam, kacau sedikit, tutup periuk nasi dan masak seperti biasa.
Sos cili bestintheworld
  1. Gabungkan cili, halia dan bawang putih ke dalam blender atau pengisar makanan. Kisar hingga sebati. Jika perlu, hentikan blender seketika dan gunakan sudip untuk menolak ke tengah bahan-bahan yang kadangkalanya melekat di tepi.
  2. Masukkan minyak bijan, garam, gula, jus limau nipis serta cuka ke dalam blender atau pengisar makanan dan kisar (bukan purée) sehingga sebati tetapi masih kasar untuk memastikan bahan-bahan dicampur elok.
  3. Tuangkan campuran ke dalam mangkuk kecil. Masukkan sup pati ayam sesudu demi sesudu, dan gaulkan selepas setiap sudu. Inilah yang akan menghasilkan sos nasi ayam ‘bestintheworld’, kerana mempunyai pati ayam sekali dengan cili.
Sos kicap manis darkandhandsome
  1. Panaskan air dan gula dalam periuk kecil pada suhu sederhana panas. Kacau secara berterusan sehingga gula cair dan sebati, menjadi simple syrup. Padamkan api.
  2. Tambahkan kicap dan kacau. Itu sahaja yang perlu. Masukkan ke dalam mangkuk hidang.
Sos halia kawkaw 
  1. Kisar halia dan bawang putih sehingga menjadi pes yang halus.
  2. Dengan api yang sederhana kecil, panaskan minyak dalam periuk kecil dan, dengan berhati-hati, tumiskan pes sehingga naik wanginya. Warnanya akan menjadi gelap sedikit. Anda mahu pes yang tidak lagi mentah, tetapi tidak dimasak sehingga garing – lightly caramelized seperti dikatakan orang barat. Tambahkan garam, gaul seketika dan masukkan dalam mangkuk hidang. Jangan lupa padamkan api.
Tips hidangan
  1. Nasi ayam ini perlu dihidang dengan ayam yang dibelah empat, dan setiap bahagian ini pula dikerat secara menyerong. Gunakan pisau atau parang yang tajam kerana tulang ayam perlu dikerat sekali.
  2. Seeloknya, nasi masih panas bila dihidang, tetapi ayamnya panas suhu bilik pula.
  3. Lebih baik lagi jika potongan ayam dihidangkan di atas timun yang juga dipotong secara menyerong. Susunkan timun pada pinggan hidang, letakkan sahaja ayam di atas timun.
  4. Selain dari tiga sos wajib di atas, sup pati ayam tadi boleh juga dihidangkan. Taburkan daun bawang pada sup supaya kelihatan siap. Sup ini boleh dijadikan hidangan sampingan dalam mangkuk berasingan untuk setiap orang, ataupun sendukkan sahaja ke atas nasi sebagai kuah.
  5. Saya paling suka bila setiap suap nasi mengandungi sedikit ayam dan juga ketiga-tiga sos tadi. Barulah betul-betul sedap.

 

Jadi? Berani anda cuba membuat hidangan lejen bermitos saya ini? Jangan lupa tag saya dan juga #butterkicap!

 


Artikel Lain

Sup Ayam: Resepi Gaya Malaysia yang Enak, Berkhasiat dan Menenangkan Hati

Resepi Ayam Goreng Berempah: Rangup dan Sedap Sangat!

10 Resepi Nasi Paling Senang, Cepat dan Sedap

print
YB Brig Gen Khairy Jamaluddin

YB Brig Gen Khairy Jamaluddin is probably Malaysia’s most health and fitness-conscious Minister, but that doesn’t mean he doesn’t know how to enjoy a good meal. Having travelled the breadth and depth of our country on his many duties, KJ, as he is most fondly known, has always wanted to start a foodlogue chronicling his favourite eats. He’s also been known to step foot in the kitchen and flex his cooking muscles occasionally.

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.