Bubur Lambuk Utara Buat Tambah Bermangkuk

Bubur lambuk sememangnya juadah paling istimewa di Malaysia khususnya apabila tiba bulan Ramadan yang mulia. Bagi kita, juadah ini tak memelikkan atau aneh tapi bagi yang tidak biasa dengan budaya Malaysia, mungkin mereka akan berasa pelik kenapa juadah kosong dan membosankan seperti bubur begitu bermakna untuk rakyat Malaysia?

Mungkin saya tidak dapat beri jawapan yang tidak berat sebelah. Mana tidaknya, saya membesar dengan juadah bubur lambuk ini sejak kecil lagi, betul tak? Apapun, kalau dilihat dari segi logik, bubur lambuk cukup lembut dan ringan untuk diterima perut setelah seharian berpuasa.

Di samping itu, kandungan karbohidrat yang tinggi membuatkan anda lebih tahan lapar dan tidak terlebih makan. Tambahan pula, bubur lambuk Malaysia memang enak, tak macam bubur lain. Jadi, memang tiada siapa kisahlah kalau kena makan bubur saja sepanjang bulan Ramadan.

Variasi Bubur Lambuk

Anak jati Malaysia yang tak pernah cuba bubur lambuk memang cukup rugi. Sepanjang 28 tahun saya hidup, hari yang saya paling nanti-nantikan sepanjang bulan Ramadan ialah hari masjid akan menyediakan bubur lambuk beramai-ramai.

Memang ‘syok’ tengok orang ramai bergotong-royong menyediakan bubur lambuk ini. Baik yang muda mahupun tua, semua berebut-rebut nak menyumbang kudrat. Mungkin semangat kerjasama inilah yang membuatkan bubur lambuk di masjid terasa lebih enak dan menyelerakan.

Namun begitu, sepanjang saya mengenali juadah bubur lambuk ini, saya tak pernah sangka bahawa ada variasi bubur lambuk lain menurut kawasan. Sebagai contoh, di kawasan tengah semenanjung, rasa bubur lambuk lebih lemak manis manakala di kawasan pantai timur, bubur lambuk di sana lebih berkhasiat kerana ulam-ulaman yang dimasukkan.

Kenali Bubur Lambuk

Oleh itu, saya berazam untuk belajar kesemua jenis bubur lambuk yang ada di Malaysia dengan harapan saya dapat memberi maklumat baru tentang bubur lambuk yang mungkin anda tak tahu sebelum ini.

Bagi yang tidak pernah cuba merasa sajian bubur lambuk ini, saya syorkan anda untuk mencuba resepi bubur lambuk utara terlebih dulu. Hal ini demikian kerana bubur lambuk utara lebih bersifat savouri. Dalam erti kata lain tidak begitu manis atau lemak. Rasanya lebih berempah dan berperisa berbanding variasi bubur lain. Untuk memudahkan anda, saya memutuskan untuk kongsi resepi bubur lambuk utara kegemaran saya, Ayuh kita lihat cara menyediakannya.

Bahan-Bahan:

a) Bubur

  • 1 cawan (200 g) beras
  • 7 cawan (1500 ml) air

b) Bahan Perasa

  • 1 inci halia, ditumbuk atau dihiris
  • 1batang serai, dititik
  • 1 batang lobak merah, dipotong dadu
  • 200g daging tenderloin, dicincang (boleh diganti dengan ayam cincang atau bahagian rusuk)
  • 200g udang (saiz sederhana atau besar), buang kepala dan kulit
  • 1 cawan santan
  • 2 sudu besar udang kering, dicuci dan tos hingga kering
  • 1 sudu besar halba
  • 1 sudu besar lada hitam
  • 1 sudu besar lada sulah
  • 4 sudu besar lobak putih asin, direndam, dibilas dan dipotong dadu
  • 2 sudu teh garam

c) Tumis Darat

  • 3 sudu besar minyak masak atau minyak sapi
  • 8 biji bawang merah, dihiris nipis

d) Hiasan

  • segenggam daun sup, dihiris
  • segenggam daun bawang, dihiris

Cara-Cara:

  1. Dalam periuk besar, didihkan beras dengan air, serai, halia, lobak merah dan daging cincang hingga beras memecah dan menjadi daging menjadi empuk. Kacau sesekali untuk elakkan bubur melekat pada periuk.
  2. Masukkan santan, udang kering, halba dan lada sulah. Teruskan mereneh bubur atas api sederhana besar.
  3. Masukkan udang dan lobak asin. Perasa dengan garam dan lada hitam secukupnya.
  4. Dalam kuali, panaskan minyak masak atau minyak sapi atas api sederhana besar. Masukkan hirisan bawang merah dan goreng hingga wangi dan bertukar perang keemasan. Setelah siap, tuang ke dalam periuk bubur.
  5. Hias dan hidang.

Bubur Warisan Kita

Walaupun bubur lambuk merupakan juadah yang membosankan dan tidak begitu berperisa seperti juadah kita yang lain, bubur lambuk merupakan peninggalan tradisi nenek moyang kita yang mesti diteruskan hingga ke generasi seterusnya.

Bermula sebagai aktiviti gotong-royong, kini bubur lambuk menjadi sebahagian daripada nostalgia kita berpuasa bersama keluarga dan orang tersayang di kampung. Saya harap perkongsian saya ini sedikit sebanyak membuka mata anda tentang variasi bubur lambuk yang lain dan saya harap resepi keluarga saya ini dapat membantu anda menghidupkan semula kenangan manis berpuasa di kampung di rumah anda.

Jika anda rindukan rumah dan mahu masakan rumah dihantar di pintu rumah anda, anda boleh ikuti profil laman sosial saya di Facebook dan Instagram untuk anda rasa air tangan saya sendiri menyediakan makanan kegemaran anda. Mungkin tak sama seperti mak anda sediakan tapi bolehlah untuk menghilangkan kerinduan.

Bagi anda yang nak ikuti lebih banyak resepi keluarga, warisan dan resepi klasik kegemaran anda, ikuti Butterkicap untuk perkembangan terkini.

print
Izzat Adha

Cooking is my passion, baking is my form of expression. Thus, I opened Ijadbakes and fall in love with cooking all over again!

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.