5 Jenis Ayam Goreng Kegemaran Rakyat Malaysia

Siapa yang anti-ayam goreng? Mustahil nak jumpa orang yang tak sukakan hidangan ini. Setiap kali sesiapa menyebut ‘ayam goreng’ kepada saya, saya sudah boleh membayangkan ayam yang disalut tepung dan digoreng hingga keemasan.

Tiada siapa di sana kecuali anda, ayam goreng dan bunyi ‘krup krap’ apabila gigitan pertama menembusi kulit rangup sebelum sampai ke isi ayam yang lembap dan berjus. Uih, nak kena cari ayam goreng lepas ini!

Hubungan Rakyat Malaysia dan Ayam Goreng

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, hubungan mereka dengan ayam goreng adalah sesuatu yang cukup sinonim dengan jamuan keluarga, keraian mahupun sekadar makan untuk puaskan keinginan anda untuk makan sesuatu yang selesa sambil menonton rancangan kegemaran anda.

Pada masa buruk mahupun baik, ayam goreng sentiasa ada bersama kita dan sudah tiba masa untuk kita ataupun dalam hal ini, saya memberikan perhargaan yang selayaknya untuk makanan selesa kegemaran rakyat Malaysia. Oleh itu, saya ingin kongsikan dengan anda 5 jenis ayam goreng yang sebenarnya ada di Malaysia. Apa? Anda terkejut? Itulah kita, makanan semudah ayam goreng pun ada 5 variasinya.

Jadi, tanpa berlengah lagi, ayuh kita lihat apakah kelima-lima variasi ayam goreng ini. Lebih baik kalau anda melihat senarai ini dengan seketul ayam goreng di tangan anda.

1.Ayam Goreng Krup Krup

Variasi ayam pertama ialah ayam goreng rangup yang saya suka gelar sebagai ayam goreng ‘krup krap’. Namanya datang dari bunyi yang dihasilkan apabila anda mengigit kulit ayam yang digoreng rangup, terhasillah bunyi ‘krup krap’ itu.

Ramai orang mempunyai resepi berbeza untuk hasilkan ayam goreng ‘krup krap’ ini tapi tiada yang sebaik ayam goreng anda boleh dapati dari restoran-restoran makanan segera seperti ‘Kepci’ dan ‘Mekdi’. Meskipun begitu, anda boleh saja mencuba resepi ayam goreng kegemaran saya.

Bahan-Bahan:

  • 5 ketul ayam goreng, bahagian paha dan dada
  • 1 sudu besar garam
  • 2 sudu besar serbuk cili
  • 1 sudu besar serbuk kari daging
  • 1 sudu teh lada hitam
  • 1 sudu teh serbuk bawang putih
  • 1 sudu teh serbuk biji sawi
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 cawan tepung serbaguna
  • 1 biji telur ayam, dipukul
  • 1/2 cawan nestum atau oat atau serbuk roti
  • 1 cawan dadih

Cara-Cara:

  1. Cuci ayam dengan 1 sudu teh garam kasar dan 1sudu besar asam jawa. Bilas dua kali dan perap ayam dalam 1 cawan dadih. Perap selama 3 jam dalam peti sejuk.
  2. Dalam satu mangkuk, masukkan garam, serbuk cili, serbuk kari daging, lada hitam, serbuk bawang putih, serbuk biji sawi dan serbuk kunyit. Gaul hingga rata.
  3. Dalam satu mangkuk, masukkan tepung serbaguna dan nestum, Gaul hingga rata.
  4. Setelah ayam sudah diperap, keluarkan dari peti sejuk. Pecahkan telur dan pukul dengan secubit garam.
  5. Ambil ayam, satu per satu, dan gaul dalam campuran rempah, kemudian masukkan dalam telur yang dipukul sebelum dimasukkan dalam campuran tepung dan nestum. Pastikan ayam disalut sebati.
  6. Sementara anda menyalut ayam dengan campuran rempah dan tepung, panaskan 2 cawan minyak dalam kuali atas api sederhana besar hingga berbuih. Goreng ayam selama 5 minit atau hingga keemasan. Nikmati dengan sos cili pedas.

2. Ayam Goreng Berempah

Tak sahlah bila makan nasi lemak kalau tak ada hidangan ayam goreng berempah ini. Keunikan ayam goreng ini ialah ia melambangkan citarasa Malaysia dalam satu hidangan. Ada rasa pedas rempah, kriuk-kriuk keraknya, bau wangi daun kari. Kalau itu tak cukup untuk menaikkan selera anda, saya tak tahu nak kata apa-apa lagi kecuali cubalah sediakan resepi ayam goreng berempah Butterkicap yang pasti buat anda nak buat lagi dan lagi.

Berbeza dengan ayam goreng ala Kepci dan Mekdi aka ayam goreng krup krap, ayam goreng berempah lebih berperisa dan menyelerakan, khususnya apabila dimakan dengan nasi lemak.

3. Ayam Goreng Mamak

Kredit: Simple Recipes

Kalau pergi kedai nasi kandar dan anda tak pesan ayam goreng mamak ini, aduh, ruginya! Gabungan antara ayam goreng ‘krup krap’ dan ayam goreng berempah, ayam goreng mamak memberikan kerangupan dan juga perisa berempah yang anda sukakan.

Untuk menyediakan ayam goreng ini mudah saja. Anda cuma perlu tunggu masa untuk ayam diperap. Lepas itu, tinggal goreng saja!

Bahan-Bahan:

  • 5 ekor ayam, bahagian paha dan dada
  • 1 sudu besar tepung jagung
  • 1 sudu besar tepung beras
  • 2 tangkai daun kari
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 biji bawang besar
  • 2 inci halia
  • 2 sudu besar pes cili
  • 1 sudu besar serbuk kari daging
  • 1 biji telur
  • 1/4 sudu teh garam
  • 1 sudu teh serbuk kunyit

Cara-Cara:

  1. Kisar bawang besar, bawang putih dan halia hingga menjadi pes.
  2. Cuci ayam dan buang lebihan lemak lalu letak di dalam mangkuk. Masukkan bahan kisar, pes cili, serbuk kunyit, serbuk kari daging, garam, tepung jagung, tepung beras dan tepung jagung. Gaul rata.
  3. Carikkan daun kari dan masukkan dalam mangkuk perapan. Perap selama 1 jam di dalam peti sejuk.
  4. Setelah sedia untuk digoreng, panaskan 2 cawan minyak dalam kuali atas api sederhana besar hingga berbuih.
  5. Masukkan ayam ke dalam kuali dan goreng hingga 5 minit atau hingga perang keemasan. Pastikan ayam disalut dengan bahan perapan untuk perisa tambahan dan kulit rangup.

4. Ayam Goreng Kunyit

Kredit: encikshino.com

Ayam goreng kunyit ialah hidangan kegemaran orang bujang buat makan tengah hari atau makan malam. Ayam goreng kunyit merupakan variasi ayam goreng paling ringkas tetapi cukup sedap hingga boleh membuat anda ketagih. Kalau anda nak tahu di mana nak dapat ayam goreng kunyit yang sedap, anda boleh ketahui 10 lokasi tersedap dan termurah untuk ayam goreng kunyit di sini.

5. Ayam Penyet

Kredit: goblock.com

Akhir sekali, variasi kelima dan terakhir ialah ayam goreng penyet. Ayam goreng penyet, kalau anda tanya saya, tak boleh dimakan begitu saja kerana anda boleh terasa jelak. Namun begitu, tak bermakna tiada siapa menyukai variasi ayam goreng ini. Ayam goreng penyet merupakan ayam yang lebih ringkas dari segi perisa kerana ayam penyet mendapat perasa daripada sambal pedas. Jadi, ia perlulah tak begitu berperisa agar tak menenggelamkan rasa sambal penyet tersebut. Saya tiada resepi untuk dikongsi setakat ini tapi jika anda ada resepi ayam penyet anda sendiri dan ingin kongsi bersama saya, bolehlah hubungi saya di laman Instagram atau Facebook Butterkicap.

Apa Lagi Ayam Goreng Kita Ada?

Jadi itu saja variasi ayam goreng yang ada di Malaysia. Jangan fikir ayam goreng hanya sekadar diperap garam kunyit saja ya. Tapi, jika ada ayam goreng lain yang anda tahu dan saya terlupa nak senaraikan, jangan segan untuk beritahu saya, ya. Ruginya, kalau maklumat ini tak dikongsi!

print
Azrene Jasmine
Azrene Jasmine

Azrene Jasmine is a Penangite with a stomach of gold. Though currently she is in a love/hate relationship with the weighing scale, Azrene truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Something is wrong.
Instagram token error.
Load More