10 Resepi Lempeng Mudah, Cepat & Lazat

Resepi lempeng tradisional terbaik dan dijamin menjadi untuk anda cuba di rumah.

Kalau anda tidak pernah atau jarang-jarang menikmati lempeng tempatan, anda perlu cepat-cepat simpan artikel ini dan cuba setiap satu resepi lempeng yang saya sediakan.

Bukan senang untuk kumpul kesemua resepi lempeng yang kebanyakannya terdiri daripada sajian lempeng tradisional yang diwarisi dari generasi ke generasi.

 

Lempeng: Krep atau Penkek?

Sebelum kita ke bahagian resepi, saya rasa saya perlu menjawab persoalan yang pasti sudah lama bermain dalam minda anda. Persoalan yang saya sebutkan ini adalah sama ada lempeng yang ada di Malaysia ini sama seperti krep atau penkek.

Jawapannya ialah krep. Bagi yang sudah biasa memanggil atau mendengar lempeng digelar sebagai ‘penkek’ anda pasti berasa sedikit terkejut, keliru dan hairan dengan jawapan saya. Hal ini demikian kerana lempeng yang disediakan ala Melayu adalah lebih nipis, padat dan leper berbanding penkek yang lebih gebu dan ringan.

Namun begitu, itu tidak bermakna anda tidak boleh menggunakan adunan atau bater yang sama untuk sediakan lempeng mahupun penkek. Kalau anda nak sediakan penkek, masukkan sedikit soda bikarbonat. Itu sahaja! Tepuk dada tanyalah selera.

 

Lempeng Tradisional Wajib Cuba!

Pada zaman serba moden ini, kita mempunyai pelbagai pilihan makanan yang ditawarkan untuk kita cuba. Sebagai contoh, kita gunakan lempeng. Di mana-mana sahaja kita berada, baik di luar mahupun secara dalam talian, anda akan dapati terdapat lambakan kedai, restoran, bakeri dan blog resepi yang berkongsi pelbagai jenis lempeng. Dari yang ringkas sampailah ke yang paling unik, pelik dan melampau.

Sayangnya, untuk dapatkan resepi lempeng yang klasik, susah untuk dapatkan yang betul-betul boleh dipercayai menjadi. Maklumlah, nak buat lempeng bukannya mudah. Perlukan praktis dahulu baru menjadi!

10 resepi lempeng di bawah dapat membantu anda menghasilkan lempeng yang cantik dan menyelerakan untuk anda nikmati di rumah.

Jadi, jangan berlengah lagi dan ayuh cuba mana-mana resepi yang anda mahu!

 

1. Lempeng Pisang

Kredit: epicurious.com

Bahan-Bahan:

  • 125g tepung gandum, diayak
  • 3 biji pisang, dilenyekkan
  • 2 sudu besar gula
  • 50ml susu
  • 2 sudu besar mentega, dicairkan

Cara-Cara:

  1. Masukkan tepung, gula dan mentega cair ke dalam sebuah mangkuk besar. Kacau rata.
  2. Masukkan pisang yang dilenyekkan dan kacau hingga sebati.
  3. Masukkan susu sedikit demi sedikit hingga mencapai konsistensi yang diingini.
  4. Panaskan kuali pada suhu sederhana besar dan minyakkan permukaan kuali. Pastikan anda tidak masukkan terlalu banyak minyak.
  5. Cedok adunan hingga 1/4 senduk dan masukkan ke dalam kuali. Terbalikkan setelah 2-3 minit ataupun selepas adunan berhenti berbuih. Anda boleh alihkan sedikit untuk lihat sama ada adunan di bawah sudah masak.
  6. Setelah masak, angkat adunan dan letak di atas pinggan. Ulang hingga semua adunan habis.

2. Lempeng Sardin

Bahan-Bahan:

a) Adunan tepung
  • 2 cawan tepung gandum, diayak
  • 1 sudu teh serbuk penaik
  •  2 cawan air
  • 1 sudu teh garam
B) Inti
  • 1 tin sardin, dicuci dan tapis
  • 6 biji cili padi, dihiris
  • 2 biji cili merah, dihiris
  • 3 biji bawang merah, dihiris
  • 3 sudu besar puri tomato
  • 2 biji limau nipis, dibelah dua
  • 3 helai daun limau nipis, dicarik
  • Garam dan gula secukup rasa

 

Cara-Cara:

  1. Satukan semua bahan adunan dan kacau rata. Kawal konsistensi adunan dengan masukkan air sedikit demi sedikit. Ketepikan adunan.
  2. Dalam kuali, masukkan sedikit minyak dan atas api sederhana besar, masukkan bawang dan tumis hingga wangi.
  3. Masukkan sardin dan kacau hingga masak. Masukkan cili api, cili merah, puri tomato dan daun limau nipis. Kacau rata.
  4. Perahkan sedikit jus limau nipis dan perasakan dengan garam dan gula hingga cukup rasa.
  5. Dalam kuali berasingan, panaskan sedikit minyak. Ratakan minyak di seluruh permukaan kuali.
  6. Sendukkan 1/3 adunan dan masukkan ke dalam kuali. Ratakan adunan. Masak hingga permukaan lempeng kelihatan hampir masak. Terbalikkan dan letakkan sedikit inti sardin di atas.
  7. Terbalikkan dan masak lagi hingga sedikit garing, angkat. Ulang hingga adunan habis.

3. Lempeng Kelapa

Kredit: meghanbirt.com

Bahan-Bahan:

  • 3 cawan kelapa parut putih
  • 2 cawan tepung gandum, diayak
  • 2 sudu teh serbuk penaik
  • 2 cawan air
  • 1 sudu teh gula halus
  • 1 sudu teh garam

 

Cara-Cara

  1. Satukan semua bahan dan kacau hingga rata. Masukkan air sedikit demi sedikit untuk mengawal konsistensi adunan.  Ketepikan.
  2. Panaskan kuali yang diminyakkan atas api sederhana besar.
  3. Sendukkan 1/4 cawan adunan dan ratakan. Masak hingga permukaan lempeng kelihatan pucat.
  4. Terbalikkan dan masak lagi hingga sedikit garing, angkat. Habiskan semua adunan.

4. Lempeng Bawang

Kredit: Masak Makan

 

Bahan-Bahan:
  • 1 biji telur
  • 50ml cawan susu
  • 120g tepung gandum
  • 2 biji bawang merah, dihiris nipis
  • 1 biji bawang merah, dihiris nipis
  • 1 tangkai daun bawang, dihiris nipis
  • 1 biji cili merah, dihiris nipis
  • 1 sudu kecil garam
  • Minyak masak
Cara-Cara:
  1. Satukan kesemua bahan dan kacau sebati. Masukkan air sedikit demi sedikit untuk mendapatkan konsistensi adunan yang diingini.
  2. Minyakkan permukaan kuali dan panaskan atas api sederhana besar.
  3. Sendukkan 1/4 adunan dan ratakan. Tutup kuali selama 2 minit dan terbalikkan. Sapu sedikit minyak untuk garingkan lempeng.
  4. Ulang hingga adunan habis.

 

5. Lempeng Biji Sagu

Kredit: Priya’s Versatile Recipes

Bahan-Bahan:

  • 150g biji sagu, direndam
  • 250g tepung gandum, diayak
  • 2 biji telur
  • 2 1/2 sudu besar gula
  • 50ml air
  • Garam secukup rasa

Cara-Cara:

  1. Masukkan biji sagu, tepung, telur dan gula di dalam mangkuk dan bancuh bahan dengan air sehingga sebati. Masukkan air sedikit demi sedikit untuk mengawal konsistensi adunan.
  2. Perasakan dengan garam secukupnya.
  3. Panaskan kuali leper yang diminyakkan atas api sederhana besar.
  4. Sendukkan 1/4 adunan dan masukkan ke dalam kuali.
  5. Terbalikkan lempeng apabila tiada lagi buih kecil di permukaan lempeng.
  6. Paling-palingkan sehingga lempeng masak sempurna.
  7. Ulang sehingga bancuhan habis.

6. Lempeng Oat Madu

Kredit: Pinterest

Bahan-Bahan:

  • 120g tepung gandum, diayak
  • 1/2 sudu teh serbuk penaik
  • 1/4 sudu teh garam laut
  • 2 biji telur Gred A
  • 1 cawan susu
  • 3 sudu besar madu
  • 1 sudu besar mentega cair, disejukkan
  • 1/4 cawan oat
  • 1/2 sudu teh serbuk kayu manis

 

Cara-Cara:

  1. Dalam sebuah mangkuk, masukkan tepung, serbuk penaik, serbuk kayu manis dan garam.
  2. Dalam mangkuk kecil, masukkan susu, madu dan telur. Pukul selama 1 minit atau hingga madu terlarut sepenuhnya.
  3. Masukkan bahan bahas ke dalam bahan kering dan kacau rata. Adunan akan mempunyai ketulan kecil atau sederhana besar.
  4. Masukkan oat sedikit demi sedikit ke dalam adunan. Perlahan-lahan, kacau hingga sebati.
  5. Panaskan kuali atas api sederhana besar. Sapukan 1 1/2 sudu teh mentega atau 1 sudu teh minyak sayuran di permukaan kuali.
  6. Sendukkan adunan sebanyak 1/4 senduk dan masukan ke dalam kuali.
  7. Biarkan adunan masak selama 2-3 minit atau hingga buih kecil terbit di permukaan lempeng. Terbalikkan. Biar lempeng masak selama 1 minit. Angkat lempeng yang sudah masak.
  8. Ulang hingga adunan habis.

 

7. Lempeng Susu Manis

Kredit: Deskgram
Bahan-Bahan:
  • 120g tepung gandum
  • 1 biji telur gred A
  • 2 cawan susu cair
  • 1/2 sudu teh serbuk bawang
  • Garam secukup rasa

 

Cara-Cara:
  1. Satukan semua bahan kecuali garam. Kacau rata dan masukkan garam secukup rasa. Tapis adunan dan rehatkan adunan sebentar.
  2. Panaskan kuali yang diminyakkan di atas api sederhana besar. Sendukkan adunan memenuhi 1/4 senduk dan masukkan ke dalam kuali. Ratakan adunan.
  3. Apabila permukaan lempeng kelihatan pucat dan renggang, terbalikkan dan masak selama 1-2 minit.
  4. Ulang hingga adunan habis.

 

8. Lempeng Coklat

Kredit: biggerbolderbaking.com

Bahan-Bahan:

    • 100ml susu
    • 2 biji telur
    • 1 cawan tepung gandum
    • 2 sudu besar serbuk koko
    • 1/4 cawan gula

Cara-Cara:

  1. Masukkan susu, telur, tepung, serbuk koko dan gula ke dalam mangkuk mengikut turutan yang dinyatakan. Kacau hingga adunan menjadi halus. Anda boleh menggunakan pengisar juga.
  2. Panaskan kuali yang diminyakkan di atas api sederhana besar. Masukkan 1/4 senduk adunan ke dalam kuali. Ratakan adunan dengan menggerakkan kuali perlahan-lahan.
  3. Biarkan adunan masak selama 1 minit atau hingga buih-buih terbit di permukaan adunan. Terbalikkan dan masak selama 1 minit.
  4. Ulang hingga semua adunan habis.

9. Lempeng Telur

Kredit: nutritiouslife.com

Bahan-Bahan:

  • 2 biji telur
  • 50ml susu
  • 2 cawan gandum
  • 3 sudu besar gula
  • secubit garam jika perlu

 

Cara-Cara:

  1. Pukul telur dengan gula hingga kembang, masukkan secubit garam jika perlu.
  2. Masukkan tepung gandum sambil kacau hingga sebati.
  3. Tambah susu jika perlu. Kacau hingga sebati.
  4. Minyakkan kuali dan panaskan atas api sederhana besar.
  5. Masukkan 1/4 senduk adunan ke dalam kuali. Ratakan adunan dengan menggerakkan kuali perlahan-lahan.
  6. Biarkan adunan masak selama 1 minit atau hingga buih-buih terbit di permukaan adunan. Terbalikkan dan masak selama 1 minit.
  7. Ulang hingga semua adunan habis.

 

10. Lempeng Sayur

Kredit: Copy Me That

 

Bahan-Bahan:
  • 2 cawan tepung gandum
  • 4 sudu besar tepung jagung
  • 2 sudu teh serbuk penaik
  • 1 biji telur
  • 1 1/2 cawan air
  • 4 batang kucai, dipotong pada bahagian-bahagian
  • 2 biji cili merah, dihiris nipis
  • 1 sudu teh garam

 

Cara-Cara
  1. Satukan tepung gandum, tepung jagung, serbuk penaik dan garam ke dalam mangkuk dan gaul sampai sebati.
  2. Masukkan telur ke dalam adunan tepung dan pukul sedikit.
  3. Masukkan air sedikit demi sedikit dan kacau sampai sebati dan mencapai konsistensi anda mahu.
  4. Masukkan kucai dan cili merah. Kacau rata.
  5. Panaskan kuali yang diminyakkan atas api sederhana besar.
  6. Masukkan 1/4 senduk adunan ke dalam kuali. Ratakan adunan dengan menggerakkan kuali perlahan-lahan.
  7. Biarkan adunan masak selama 1 minit atau hingga buih-buih terbit di permukaan adunan. Terbalikkan dan masak selama 1 minit.
  8. Ulang hingga semua adunan habis.

 

Lempeng untuk Semua

Adakah anda suka resepi-resepi lempeng yang saya cadangkan di atas? Kalau anda nak lempeng anda sentiasa cantik, anda boleh gunakan acuan untuk jadikan lempeng anda cantik.

Jangan lupa untuk kongsi resepi-resepi lempeng ini dengan kawan-kawan dan ahli keluarga. Jika tidak, simpan dan kagumkan mereka dengan skil memasak lempeng anda.

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.