Bagaimana Nak Mulakan Perniagaan Food Truck?

Budaya trak makanan atau foodtruck kini di sekitar KL.Pernah dengar tentang food truck? Kepada sesiapa yang suka menonton Asian Food Channel atau TLC di Astro, mesti sudah biasa mendengar tentang budaya trak makanan atau foodtruck di sekitar bandar- bandar besar di Amerika seperti New York dan Chicago. Ianya merupakan satu konsep perniagaan yang baru di Malaysia dan amat diminati terutamanya oleh golongan muda. Jenis perniagaan food truck yang mula berkembang setahun yang lalu telah menjadi semakin popular kerana penjimatan kos berbanding dengan jenis perniagaan lain.

Kebanyakan peniaga trak makanan ini dahulunya menjalankan perniagaan secara sambilan kerana masih mempunyai pekerjaan tetap. Namun setelah menerima sambutan yang hangat dari pelanggan, ada yang tekad melakukan perniagaan ini secara sepenuh masa. Bagi mereka, perniagaan seperti ini adalah lebih jimat dan praktikal kerana tak perlu membayar sewa permis dan hanya fokus kepada kaedah pemasaran untuk menarik pelanggan. Modal pula dikeluarkan untuk perkara- perkara penting seperti minyak kenderaan, bahan mentah, dan pembantu.

Pada masa yang sama, berkaitan pemasaran, mereka hanya mempamerkan reka bentuk trak yang menarik sebagai tarikan orang ramai. Kata mereka, disebabkan trak makanan bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain, cara itu sudah memadai untuk memberitahu pelanggan berkaitan perniagaan yang mereka jalankan.

Selain itu, sebagai orang muda, penggunaan media sosial amat penting kerana medium itu banyak membantu mengembangkan perniagaan yang diusahakan menerusi laman Instagram dan Facebook yang memaparkan lokasi dan jadual pergerakan trak makanan dari semasa ke semasa.

Minat untuk mulakan perniagaan food truck?, Bagaimana nak mula? Berikut adalah beberapa panduan am untuk memulakan perniagaan food truck. Selamat maju jaya dan selamat mencuba!!

 

1. Memilih niche pasaran

Terdapat pelbagai jenis makanan yang boleh ditawarkan untuk perniagaan food truck. Walaubagaimanapun, anda harus mengambil kira faktor ruang serta sumber dan perkakas yang terhad. Oleh itu, secara realistiknya, anda hanya akan boleh menawarkan beberapa jenis makanan yang berbeza mengikut kategori tertentu yang telah anda pilih.

Umpamanya, ada food truck yang menawarkan makan seperti tacos, pelbagai jenis burger, makanan Barat serta makanan pencuci mulut dan bermacam aneka jenis makanan dari pelbagai kategori. Selain daripada itu, ada juga yang menjual makanan tempatan seperti kacang pol, mi rebus, laksa dan sebagainya.

Yang paling penting, anda haruslah memilih sesuatu yang bersesuaian dengan kepakaran anda dan yang boleh menarik minat para pelanggan. Memberi tumpuan kepada satu kategori makanan adalah lebih menjimatkan masa daripada anda cuba menjual pelbagai jenis makanan berbeza di food truck anda.

Kredit: Anna Simmons, Kuala Lumpur map for National Geographic Traveller

 

2. Wujudkan menu anda yang tersendiri

Jangan tiru orang! Wujudkan menu yang menarik serta mempunyai kepelbagaian supaya para pelanggan anda mempunyai pilihan. Tetapi janganlah keterlaluan sehingga ianya membebankan anda dan pekerja anda. Anda juga harus membuat butiran lengkap tentang perbelanjaan barangan yang anda perlu keluarkan untuk menghasilkan menu tersebut. Selepas ini dilakukan anda bolehlah meletakkan harga yang sesuai pada setiap jenis makanan yang akan dijual. Harga barangan makanan di food truck anda perlulah berpatutan dan yang paling penting boleh memberi pulangan balik kos perbelanjaan anda.

Kredit: Jen Dillender, Pinterest

 

3. Berapa modal yang diperlukan?

Di sini kami sediakan sekali anggaran bagi pengiraan modal yang diambil dari Facebook Malaysian Food Truck:

  • Daftar SSM – RM100 (wajib ada).
  • Daftar bank – RM2,000 (wajib ada) kalau tak kukuh boleh disokong dengan penyata bank.
  • Lesen GDL – RM500 (bawah 3 tan wajib ada).
  • Deposit foodtruck 10% (harga on the road RM55K) – RM5,500 (untuk kurangkan bayar bulanan).
  • Bayaran bulanan – RM600.
  • Papan menu/bunting – RM300 (jika nak jimat guna white/black board).
  • Sticker food truck basic – RM500 (terpulang kepada citarasa anda).
  • Modal untuk pusing – RM3,000 (minima).
  • Kelengkapan – RM4,000 (bergantung pada perniagaan).
  • Stok barang mentah – RM2,000 (bergantung pada perniagaan).
  • Lesen niaga PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) – RM5,000 setahun (anggaran)
  • Penyelenggaraan – RM300

Anggaran: Lebih kurang dalam RM20,000 untuk foodtruck skala kecil (tetapi ia juga boleh cecah hampir RM100,000). 

 

 

 

Tak cukup modal? Kalau anda berminat nak buka food truck tapi modal masih tak cukup, anda tak perlu risau kerana kerajaan ada sediakan pinjaman seperti:

Mengikut SME Bank, tempoh pinjaman bergantung kepada grace period (berapa lama sebelum anda perlu bayar balik). Antara 5-7 tahun dengan grace period 1-2 tahun.“Sekiranya pemohon tidak memiliki Sijil Keusahawanan, pemohon perlu menyertai latihan keusahawanan yang dianjurkan oleh SME Bank dengan bayaran RM600 selama 3 hari” mengikut kata pegawai dari SME Bank.

Kredit: SME Bank Malaysia

 

 

4. Dapatkan trak anda

Pilihlah trak yang memiliki saiz yang boleh menampung semua peralatan dan perkakas yang anda perlukan dalam menjual barangan makanan anda. Lazimnya, anda perlu mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk mengubahsuai trak anda supaya ianya menepati kehendak dan citarasa anda dan yang paling penting mempunyai ruang yang selesa bagi untuk menjalankan perniagaan dengan teratur.

Pengubahsuaian juga tidak hanya perlu tertumpu kepada bahagian dalaman trak tetapi bahagian luaran trak juga tidak kurang pentingnya. Bahagian luar trak harus diberi penampilan menarik agar pelanggan berasa selesa untuk membeli makanan di food truck anda. Gunakan daya kreativiti anda agar trak anda tampak menawan dengan meletakkan papan tanda unik lengkap dengan nama perniagaan anda dan gambar-gambar menarik yang mempamerkan makanan jualan anda.

Kredit: Mobile Cuisine, Pinterest

 

5. Dapatkan peralatan dan perkakas yang anda perlukan

Anda juga perlu melabur dalam mendapatkan peralatan dan perkakas untuk menghasilkan makanan di food truck anda berdasarkan menu yang telah anda tetapkan. Anda akan memerlukan peralatan memasak yang padat seperti dapur memasak dan oven yang bersaiz kecil. Di samping itu, anda juga memerlukan perkakas untuk membungkus makanan dan peralatan mencuci.

Kredit: Fashion Viral, Pinterest

 

6. Para pembekal bahan-bahan keperluan untuk memasak

Anda harus mengenalpasti para pembekal bahan-bahan mentah yang diperlukan untuk memasak makanan di food truck anda. Pilihlah para pembekal yang menawarkan bahan-bahan yang berkualiti dengan harga yang berpatutan. Faktor harga adalah penting kerana anda tidak mahu menanggung kos pengeluaran yang terlalu tinggi.

Para pelanggan juga tidak akan bersedia membeli makanan yang mempunyai harga yang yang mahal dari food truck. Oleh itu pastikan kos pengeluaran anda tidak tinggi supaya anda tidak menanggung kerugian. Carilah pembekal yang menawarkan potongan harga atau tawaran istimewa supaya anda dapat menjimatkan belanja.

Kredit: Pj.labrado, Flickr

 

7. Bersedia untuk pemeriksaan dari bahagian kesihatan

Jangan fikir anda boleh mengelakkan diri daripada diperiksa oleh pegawai kesihatan hanya kerana anda menjalankan perniagaan makanan tanpa restoran. Pokoknya, anda masih lagi menjual makanan! Pastikan anda mengikut segala peraturan dan keperluan yang telah ditetapkan oleh bahagian kesihatan dalam penyediaan makanan di food truck anda.

Kadangkala, pegawai kesihatan akan lakukan pemeriksaan mengejut! Jadi sentiasa lah bersedia. Lazimnya, pemeriksaan akan dilakukan sekurang-kurangnya setahun sekali. Tak perlu rasa takut dan khuatir jika semua peraturan dipatuhi dan kebersihan dijaga.

Lencana rasmi yang digunakan oleh Penguatkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

8. Cari lokasi yang sesuai

Mahu jualan laku dan laris? Tentunya lokasi adalah penentu utama. Anda perlu bijak memilih tempat! Bawalah food truck anda ke lokasi yang mengadakan acara pameran dan sambutan perayaan tempatan. Sudah tentu anda boleh menarik ramai pelanggan dan mengaut keuntungan lumayan. Pilih juga lokasi-lokasi tetap supaya para pelanggan tahu bila mereka boleh membeli makanan dari food truck anda.

Jangan berasa terhad dalam pemilihan lokasi. Mungkin anda berasa khuatir untuk berjual di kawasan – kawasan yang hampir dengan jalanraya sesak. Tetapi lokasi seperti inilah yang ideal untuk mendapatkan pelanggan terutamanya jika food truck anda menjual barangan seperti pelbagai jenis kopi atau makanan ringan.

Secara amnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) masih mengkaji lokasi yang sesuai. Hanya beberapa tempat sahaja yang telah dikhususkan untuk perniagaan food truck.

Telah disarankan supaya PBT meluluskan tempat perniagaan tetap food truck agar para pengusaha food truck mudah beroperasi.

Terdapat 2 lokasi yang biasa digunakan:

  1. Berbayar
  2. Tidak berbayar

Tempat perniagaan berbayar
Lokasi berbayar biasanya mempunyai penganjur yang mana mengenakan caj tertentu. Biasanya acara atau ‘event’ akan mengenakan bayaran serendah RM0- ribuan ringgit bergantung kepada besarnya acara itu. Kebiasaan pulangan akan berlipat kali ganda. Dan ada juga yang hanya balik modal. Ada juga pihak menyediakan tempat perniagaan food truck dengan caj harian. Kebiasaan ia akan merangkumi elektrik/permit/promosi/iklan dan sebagainya. Oleh itu anda tidak perlu risau akan PBT.

Tempat perniagaan tidak berbayar
Kebiasaannya anda boleh meletakkan food truck anda di tepi jalan, tepi kedai, tepi bangunan, kawasan letak kereta. Risiko untuk disaman adalah tinggi memandangkan di Malaysia masih tidak banyak yang menyediakan tempat khusus. Gunakan jadual sering bertukar tempat jadi risiko untuk PBT jumpa adalah kecil.

Untuk makluman anda, lokasi adalah faktor yang ditentukan oleh apa yang anda jual. Sebagai contoh anda jual cendol jadi carilah kawasan riadah, tempat letak kereta yang sentiasa ada orang. Waktu tentulah tengah hari panas terik.

Contoh lain seperti nasi berlauk sesuai dijual di kawasan pejabat-pejabat kerana para pekerja gemar membeli makanan yang dibungkus atau ‘take away’. Carilah lokasi yang tidak ganggu lalulintas.

Western food pula sesuai untuk dijual pada waktu malam. Ini adalah kerana makanan asasi selalunya dimakan sebelah siang.

Untuk food truck yang menjual kopi adalah sesuai dijual pada waktu pagi. Disesuaikan dengan ‘sandwich’ yang beroperasi di bangunan pejabat.

 

9. Jangan lupa untuk wujudkan akaun facebook dan twitter untuk food truck anda!

Untuk menyenangkan para pelanggan mencari lokasi anda, pamerkan pergerakan food truck anda di media sosial. Kemaskinikan akaun facebook dan twitter supaya pelanggan setia senang untuk membeli serta memberi maklum balas tentang barangan makanan anda. Pamerkan gambar-gambar makanan food truck anda di laman web dan juga facebook untuk menarik pelanggan.

Wujudkan akaun social media untuk bisnes anda

 

10. Pelihara trak anda

Anggap trak anda sebagai teman istimewa dan jaga ia dengan baik. Pastikan anda mempunyai mekanik yang boleh dipercayai untuk menyelenggara trak anda. Proses penyelenggaraan harus dilakukan selalu agar trak anda berjalan dengan lancar. Ini penting kerana trak yang kerap rosak akan menjejaskan perniagaan dan pendapatan anda.

 

11. Promosikan food truck anda

Popularkan food truck anda!

Anda boleh lakukan dengan memberi sumbangan makanan dari food truck anda bagi acara tertentu agar ramai yang boleh menikmati makanan anda.

Boleh juga iklankan perniagaan food truck anda dan beramah mesra dengan komuniti di mana saja anda melakukan jualan. Sungguhpun anda tidak membuka restoran, itu tidak bermakna anda tidak perlu melakukan pemasaran untuk jualan anda. Kaedah pemasaran yang baik akan menarik lebih ramai pelanggan setia dan menjana untung yang banyak.

 

Kelebihan berniaga food truck

Menurut Facebook Malaysian Food Truck, antara kelebihan berniaga food truck dari restoran atau cafe biasa ialah peniaga boleh buat pinjaman bayaran secara bulanan (sama seperti pembelian kereta atau motosikal). Mengikut peniaga food truck juga, perniagaan food truck ini lebih praktikal dan mudah dibawa ke mana-mana tapak perniagaan. Di samping itu, kos penyelenggaraan untuk perniagaan ini juga jauh lebih murah. Ramai yang menceburkan diri dalam perniagaan ini mengakui bahawa keuntungan yang diperolehi sangat lumayan.

Sungguhpun begitu, mereka yang terlibat dalam perniagaan ini berkata perniagaan ini memerlukan komitmen yang tinggi daripada pengusaha bagi memastikan ia dapat digerakkan secara berterusan. Strategi perlu diatur dengan baik agar perniagaan dapat terus berkembang dan dapat bertahan dapat tempoh masa yang lama. Perniagaan ini diyakini dapat menampung kehidupan dan pada masa membawa keuntungan yang memberansangkan jika diusahakan dengan baik.

 

Halangan

Bila peniaga disoal mengenai cabaran dan kesukaran yang dihadapi ketika menjalankan perniagaan trak makanan, ramai yang setuju bahawa komuniti dan persatuan pengusaha trak makanan perlu diperbanyakkan dan diwujudkan bagi mengatasi sebarang masalah yang dihadapi dalam kalangan peniaga.

Cabaran utama peniaga adalah terpaksa berdepan dengan kekangan dari pihak tertentu yang memberi kesukaran besar buat peniaga yang memerlukan sokongan pihak berwajib untuk memajukan perniagaan ini. Walaupun kini sudah wujud pergerakan atau komuniti peniaga trak makanan, namun ia masih tak didaftarkan.

Para pengusaha food truck juga perlu berdepan dengan faktor “cuaca”. Jika anda mempunyai food truck, anda boleh mengawal kualiti makanan dan strategi jualan tetapi anda tidak mungkin dapat mengawal cuaca. Sukar untuk mendapat pelanggan di hari hujan lebat umpamanya dan di musim hujan dan banjir tentunya pergerakan food truck anda akan terjejas.

print
Feedadooda
Feedadooda

Contributor

Feedadooda is a Malaysian who lives in Osaka, Japan. A researcher by training, she loves to travel and is passionate about food. Her teaching and research takes her around the world where she could experience different food cultures. In her free time, she writes about her experience overseas and share tips on how to survive without sambal belacan and kicap manis with hungry audiences. Other than that, feedadooda also shares her knowledge on various cooking topics and food related businesses.

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Access Token is invalid, please get it again