Nasi Lemak Chong Kok merupakan satu hidangan sarapan pagi wajib bagi kebanyakan penduduk di Jalan Stesen, Klang, tetapi bagi diri ini, hidangan tersebut mempunyai makna yang lebih mendalam berbanding sepinggan nasi lemak dilimpahi kuah sambal dan dihiasi taburan kacang goreng serta ikan bilis rangup.
Selama 28 tahun, aku mengenali nasi lemak tersebut dengan nama lain; nama yang lebih intim dan bersifat peribadi iaitu nasi lemak Tok Amin.
Setiap kali pulang beraya, itulah hidangan wajib yang perlu dirasai walaupun sekali kerana bagi Mama, itulah hidangan untuk beliau lepaskan rindu beliau kepada si Bapa yang hanya ditemui beberapa kali dalam setahun.
Dalam penulisan kali ini, perkara yang ingin dikongsikan adalah lebih beremosi kerana kisah ini membuktikan kuasa makanan yang merapatkan semula hubungan yang jauh.
Pengasas Nasi Lemak Chong Kok
Cinta Tok Amin terhadap makanan membawa beliau berhijrah dari kampung beliau di Perak ke kota Klang untuk mencari rezeki sebagai seorang peniaga pada tahun 1971.
Dengan berbekalkan resipi sambal sotong abang beliau dan kemahiran membuat nasi lemak, beliau membuka sebuah gerai kecil di hadapan sebuah kopitiam Cina di Jalan Stesen.
Benarlah Malaysia dahulu tidak sama seperti Malaysia sekarang. Semangat perpaduan berjaya mengatasi sempadan perbezaan agama dan bangsa yang memisahkan kita. Dengan sewa yang rendah, pemilik Kopitiam Chong Kok memberikan ruang di hadapan kedai beliau kepada Tok Amin untuk berniaga.
Ternyata, peluang yang diberi tidak disia-siakan , gerai Tok Amin semakin meraih perhatian. Bilangan pelanggan beliau bertambah dan tidak lama kemudian, riuhlah seluruh Klang tentang gerai nasi lemak yang sedap di Jalan Stesen.
Pertemuan Semula
Setelah 46 tahun berniaga, pucuk pimpinan gerai nasi lemak di luar Kopitiam Chong Kok beralih tangan; daripada Tok Amin ke Pak Usu Hadi.
Aku kembali ke gerai di Jalan Stesen untuk bertemu Pak Usu. Biasalah, sudah lama tidak bertemu, pasti banyak hal yang ingin dibualkan. Aku sesat. Malu aku untuk mengakuinya tetapi ya, aku sesat jalan semasa dalam perjalanan ke gerai tersebut. Mana tidaknya, aku sentiasa menjadi penumpang dan bukannya pemandu.
Walau apapun, aku sedar, pemandangan di kawasan sekitar Jalan Stesen langsung tidak berubah. Bangunan usang yang sama, suasana jalan yang lengang, apek-apek yang menunggang motor kapcai dan barisan pelanggan yang panjang mengular sehingga dua, tiga buah kedai di gerai nasi lemak Pak Usu.
Setelah bertegur sapa dan bertanya khabar, Pak Usu menghidangkan sepinggan nasi lemak dengan sambal sotong melimpah ruah di depanku. Perutku yang kosong terus menyanyi apabila aroma wangi nasi lemak dan rempah sambal menerobos rongga hidungku.
Penangan Sambal Sotong Tok Amin
Sambil menjamah hidangan nasi lemak di depanku, aku memandang barisan panjang yang menanti Pak Usu dan beberapa orang pembantunya melayan mereka. Pak Usu memang sibuk betul. Tak menang tangan dibuatnya. Setelah keadaan reda sedikit, Pak Usu datang duduk disebelahku dan bertanya sama ada nasi lemak yang aku makan itu cukup enak. Aku mengangguk laju.
Aku bertanya kepada Pak Usu, bagaimana setelah 46 tahun berlalu, Nasi Lemak Tok Amin masih dapat bertahan lama. Dengan ketawa kecil, Pak Usu memberitahuku ringkas, “Itulah penangan sambal sotong atuk!”.
Aku mencuit sikit baki sambal di pinggan untuk measai kuah sambal sotong istimewa Tok Amin. Pastilah aku ingin tahu apakah rahsia disebalik sambal istimewa nasi lemak ini. Pak Usu tidak mahu berkongsi banyak tetapi beliau ada menyatakan bahawa rahsia keenakan sambal sotong tersebut adalah berdasarkan kesegaran sotong itu sendiri. Menurut Pak Usu, Tok Amin langsung tak gunakan sebarang perapan dalam menyediakan sotong supaya rasa sotong itu dapat menyerap masuk ke dalam sambal dimasak.
Patutlah tak cukup sepinggan nasi lemaknya. Inilah hasil penangan sambal sotong Tok Amin!
Pengekalan Rasa dan Penyambungan Perniagaan
Untuk kekal popular dalam kalangan kelompok pelanggan yang asyik berubah selama 46 tahun adalah sesuatu yang menakjubkan, khususnya bagi sebuah gerai makanan yang kecil.
Bagi Pak Usu, kelangsungan sesebuah perniagaan bukan sahaja bergantung pada gimik mahupun kelainan yang ditawarkan. Sebagai seseorang yang membesar melihat cara pengoperasian perniagaan yang klasik, Pak Usu masih berpegang teguh pada kepercayaan bahawa rasa makanan yang konsisten membawa pelanggan setia kembali ke gerai makanan.
Oleh itu, Pak Usu cukup menitikberatkan rasa makanan khususnya, sambal yang disediakan adalah sama setiap hari. Pak Usu dilatih oleh Atuk semenjak kecil lagi dan didedahkan dengan pengurusan gerai nasi lemak. Oleh sebab itulah, pegangan Atuk masuk kuat dipegang dan dipertahankan oleh beliau sehingga kini.
Penyediaan masakan bermula seawal pukul 3 pagi dan Pak Usu akan pastikan setiap proses, langkah, perasa dan pembungkusan makanan dijalankan dengan penuh teliti dan berkualiti agar pelanggan yang datang setiap pagi tidak dikecewakan.
Itulah yang dikatakan sebagai dedikasi!
Kelangsungan Perniagaan Ahli Keluarga
Adalah lumrah untuk perniagaan dalam sesebuah keluarga, khususnya perniagaan makanan, untuk tutup atau tidak lagi meraih pelanggan selepas bertukar tangan. Oleh itu, terdapat kebanyakan gerai makanan yang diwarisi sukar untuk bertahan.
Pak Usu tidak mahu hal tersebut berlaku. Mestilah! Sudah 46 tahun Nasi Lemak Tok Amin menjadi sebutan ramai di Jalan Stesen, Klang dan mesti terus meraih perhatian ramai. Pak Usu melihat perniagaan ini sebagai peluang untuk mengukuhkan lagi pertalian keluarga di samping memberikan legasi yang boleh dibanggakan oleh ahli keluarga.
Pandangan ini ditonjolkan dalam Nasi Lemak Atok Amin bermatlamat untuk memberikan hidangan selesa untuk dinikmati bersama keluarga pada waktu hujung minggu ataupun masa senggang.
Masa Depan Nasi Lemak Chong Kok
Sebelum aku meminta diri untuk pulang, aku ingin mengetahui apakah rancangan yang Pak Usu ada untuk perniagaan nasi lemak ini. Walaupun perniagaan gerai laris dan ada kalanya, Pak Usu mengambil pesanan katering, tetapi Pak Usu masih menyimpan angan-angan untuk membuka restoran Nasi Lemak Atok Amin supaya jenama Nasi Lemak Atok Amin dapat disebar luas.
Meskipun begitu, Pak Usu tahu bahawa jenama Nasi Lemak Chong Kok itu terlalu kuat untuk dikikis dan jenama itulah yang memberikan nasi lemak Atok satu tempat istimewa dalam hati pelanggan setia nasi lemak Atok.
Bagi sesiapa yang belum pernah lagi merasai Nasi Lemak Chong Kok bolehlah berkunjung ke Kopitiam Chong Kok di Jalan Stesen, Klang ataupun hubungi Encik Hadi Amin untuk tempahan atau pertanyaan lanjut di 6017-5665006.