Senarai Makanan Harus Dibekal Setiap Kaki Melancong

Trend melancong ke luar negara dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meluas. Mana tidaknya? Dengan tambang yang murah, diskaun yang ditawarkan dan juga pengaruh media massa membuatkan sesiapapun gatal kaki untuk membeli tiket tambang murah untuk ke destinasi idaman masing-masing.

Walaupun begitu, semangat tersebut tidak kekal lama. Memanglah, sesiapapun akan berasa teruja untuk ke luar negara tetapi jika perjalanan anda itu adalah lebih dari 3 hari, keterujaan anda itu mungkin akan semakin lenyap. Bagi rakyat Malaysia, melancong di luar negara bukanlah seindah gambar-gambar yang dikongsi di Instagram.

Anda perlu mempunyai ketahanan mental dan perut yang kuat untuk memendam kerinduan anda terhadap makanan Malaysia seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik kerana di luar negara, anda mungkin tidak akan menjumpai makanan tersebut atau harga makanan tersebut akan mematikan selera anda.

Bagi, pelancong beragama Islam, nikmat melancong di luar negara khususnya di negara yang sukar untuk anda mencari makanan halal disebabkan majoriti penduduk di negara tersebut bukan beragama Islam ataupun sifat was-was yang terlalu kuat. Kalau sampai seminggu makan roti dan sayur, mahu naik mengamuk nanti.

 

Jadi, apa penyelesaiannya?

Gunakan senarai semak makanan Butterkicap ini untuk pastikan bahawa pengembaraan anda seterusnya adalah lebih menyeronokkan dan semestinya, mengenyangkan perut Malaysia anda itu.

 

 

Maggi

Ramen mungkin menjadi mee segera kegemaran dunia sekarang dek cabaran ramen Samyang berapi yang tular beberapa tahun lalu. Walaupun begitu, mee segera jenama Maggi masih lagi mempunyai tempat yang istimewa dalam hari rakyat Malaysia, khususnya Maggi Asam Laksa yang hanya boleh didapati di Malaysia.

 

Perencah Segera Brahim’s

Kredit: brahims.com.au

Bagi yang tidak biasa mendengar jenama ini,  ketahuilah bahawa Brahims ialah makanan penyelama bagi rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara seperti pelajar-pelajar Malaysia untuk mencipta semula rasa makanan kampung halaman. Brahim’s mempunyai pelbagai rangkaian produk seperti perencah segera ke makanan sejuk beku yang dapat memuaskan hati anda yang kempunan makanan Malaysia yang mengambil masa berjam-jamuntuk disediakan dalam 15 minit sahaja.

 

Sos Lingham

Kredit: Youtube.com

Rakyat Malaysia memang kaki makan pedas. Lagi berasap telinga, lagi kuat penangannya. Ramai yang menyangka bahawa mereka boleh hidup berhari-hari tanpa makanan pedas ataupun memikirkan sos sriracha dan wasabi sudah cukup untuk mereka. Hakikatnya, sos-sos itu tak cukup ‘kick‘. Jadi, bawalah sebotol kecil sos cili Lingham yang dijamin membuatkan mata anda begitu berair sehingga anda berasa seperti berada di Malaysia.

 

Sambal Kering

Kredit: lancarberkahgrosir.blogspot.my

Kalau anda rasa sos Lingham tak cukup ‘power’ untuk buat anda berasa puas dengan kepedasan dalam makanan anda, bawalah sambal kering untuk dinikmati. Selain daripada makan dengan nasi, anda boleh menikmati sambal ini dengan roti ataupun dimasak sekali dalam maggi anda. Keistimewaan sambal kering ini ialah sambal ini dapat bertahan lama dan tidak cepat basi.

Ikan Sardin/Tuna dalam Tin

Kredit: sarfaeiz.blogspot.my

Makan makanan berdaging semasa melancong di luar negara pasti menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat Malaysia beragama Islam. Iyalah, takut termakan daging yang salah ataupun makan daging yang tidak disembelih secara Islam. Jadi, sebagai pengganti makanan berdaging semasa merantau di negara orang, jangan lupa untuk bawa beberapa tin sardin atau tuna untuk anda sediakan sandwic ataupun nasi goreng sardin. Anda pun kenyang, duit pun tak habis,

 

Tepung Segera

Kredit: farin-onlineshoppe.blogspot.my

Sama ada anda sukakan jenama Adabi atau apa-apa jenama lain, pastikan anda membawa sekali tepung segera semasa melancong. Tepung segera ini merupakan satu produk yang sesuai untuk golongan yang melancong dengan menyewa rumah atau bilik studio yang dilengkapi dapur.

Tepung ini akan banyak membantu anda kerana pada hari anda tidak tahu nak makan apa atau nak menjimatkan wang, anda boleh sediakan cucur ringkas ataupun tempura untuk anda makan bersama maggi anda.  Tak adalah naik muak makan maggi setiap hari, betul tak?

 

Kicap

Kredit: Pasartap.com

Rakyat Malaysia dan kicap memang tidak dapat dipisahkan. Kalau diikutkan hati, mahu saja kita letakkan kicap dalam semua masakan kita. Oleh itu, anda perlu menyimpan sebotol kicap di dalam bagasi anda walaupun hanya anda berada di luar negara selama sehari sekalipun. Orang luar mungkin akan menganggap anda pelik tetapi sekali mereka rasa keenakan nasi panas, telur goreng dan kicap, mereka pasti nak lagi!

 

Roti Canai Beku

Kredit: srirasafrozen.blogspot.my

Penggemar roti canai pasti akn menggelupur pada beberapa hari selepas berada di luar negara kerana tidak dapat bersarapan dengan sepinggan roti canai kuah banjir seperti kelazimannya di Malaysia. Dapatkan jenama roti canai sejuk beku Seri Melur Jaya atau Kawan. Mereka menawarkan roti canai terbaik dan rasa sama seperti anda membawa mamak roti canai anda sendiri.

 

Bawang Goreng

Kredit: tokopedia.com

Di Malaysia,  kewujudan bawang goreng mungkin tidak dipandang langsung kerana boleh didapati di mana-mana sahaja. Namun begitu, di luar negara, bawang goreng dimakan dengan tangisan kegembiraan kerana bawang gorenglah menjadi pelengkap rasa bagi hidangan ringkas seperti sup ataupun maggi goreng.

 

Lepa Kaya

Kredit: Wikipedia.org

Sapuan lepa seperti mentega kacang dan jem boleh membuatkan anda muak jika makan setiap hari. Anda juga tidak boleh makan tuna setiap hari juga. Mahu kembang tekak dibuatnya. Sebagai variasi, bawalah lepa kaya untuk anda nikmati di suasana musim sejuk di luar negara. Rasa kaya yang lemak manis, sebenarnya, adalah seribu kali lebih menyelerakan daripada rasa mentega kacang dan jem luar negara.

 

 

Itulah dia! Inilah semua makanan yang anda perlu masukkan dalam senarai semak anda sebelum keluar melancong. Namun begitu, pastikan anda periksa dahulu peraturan kastam negara yang anda ingin kunjungi sebelum mula mengemas bagasi anda dengan semua makanan di atas. Nanti putih mata pula melihat makanan anda diambil oleh pihak kastam.

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.