10 Resepi Selain Ayam Goreng Kunyit Wajib Cuba

Kredit: sayaiday.com

Rakyat Malaysia dan masakan goreng kunyit memang tidak dapat dipisahkan. Mudah, ringkas dan menyelerakan, sesiapa sahaja sanggup untuk menikmati hidangan goreng kunyit setiap hari, sepanjang masa. Betul tak?

Walau saya cuba sesungguh hati untuk tidak memesan masakan goreng kunyit, saya akhirnya akan mengalah pada nafsu perut apabila terbayangkan ayam atau daging yang digoreng empuk bersama hirisan kacang panjang, lobak merah dan bawang. Oh, bawang yang memberikan rasa manis pada hidangan ini. Memang buat perut berkeroncong!

Bagi sesiapa yang tak suka masakan goreng kunyit wajib baca dan cuba resepi-resepi yang diberi. Satu peluang, satu minit untuk saya ubah pandangan anda. Bersedia untuk minda dibuka? Jom sambung baca!

 

Bukan Sekadar Ayam dan Daging

Selalunya, apabila kita bercakap tentang makanan goreng kunyit ini, kita hanya fikir tentang ayam dan daging goreng kunyit. Namun begitu, pernah tak kita berfikir tentang apa lagi yang boleh kita goreng kunyitkan?

Di sini, saya berusaha untuk kembangkan lagi daya imaginasi dan kreativiti anda untuk menyediakan makanan goreng kunyit. Bukan satu mahupun dua malah 10 resepi makanan goreng kunyit telah saya kumpul dan senaraikan untuk memudahkan anda lihat, cuba dan rasa sendiri (ini atas usaha anda sendirilah, ya).

Tak perlu sekejap ke artikel lain, selepas itu, kembali ke artikel ini. Haru-biru nanti!

 

Jom Masak

Kalau anda memutuskan untuk cuba resepi-resepi ini, siap-siap pakai apron, susun bekas garam dan kunyit, angkat kuali dan sudip dan ayuh mula memasak!

 

1.  Ayam Goreng Kunyit

Kredit: Apa Sahaja Azuwar…

Resepi goreng kunyit pertama yang disenaraikan semestinya ialah ayam goreng kunyit. Tidak sah atau dalam bahasa Inggerisnya, ‘legit’ artikel saya ini kalau saya tidak masukkan resepi ini. Resepi yang saya kongsikan ialah resepi yang berkuah kerana saya jenis yang tidak boleh makan kalau terlalu kering. Tidak pasal-pasal tercekik pulak. Kalau anda nak ayam goreng kunyit anda lebih kering, tak perlu letakkan sos tiram.

Bahan-Bahan:

  • 350g ayam, bahagian dada
  • 4 batang kacang panjang, potong 2 inci
  • 1 batang lobak merah, potong hirisan memanjang 2 inci
  • 1/2 sudu besar serbuk kunyit
  • 1/4 sudu besar serbuk kari ayam
  • 1/4 sudu besar tepung beras (opsyenal)
  • 1/2 sudu besar tepung jagung (opsyenal)
  • 1 biji bawang besar, hiris nipis
  • 3 ulas bawang putih, hiris nipis
  • 1 biji bawang merah, hiris nipis
  • 1 biji cili merah, hiris nipis
  • 1 sudu besar sos tiram (opsyenal)
  • 1/2 sudu teh lada sulah (opsyenal)

 

Cara-Cara:

  1. Potong dada ayam pada ketulan kecil. Gaulkan dengan serbuk kunyit, serbuk kari ayam, tepung beras, tepung jagung dan sedikit garam. Perap selama 5 minit.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng dada ayam  atas api sederhana besar. Kacau ayam supaya ayam masak secara konsisten. Biarkan ayam menggoreng selama 2-3 minit atau hingga isi ayam sedikit mengeras.
  3. Masukkan hirisan bawang merah dan putih. Teruskan mengacau.
  4. Masukkan sos tiram. Kacau rata.
  5. Apabila ayam sudah mula memerang, masukkan cili merah, bawang besar, hirisan lobak merah dan kacang panjang. Kacau rata selama 1 minit.
  6. Masukkan 1/2 sudu teh garam dan gula jika terasa tawar. Kacau selama 1 minit dan siap.

 

2. Daging Goreng Kunyit

Kredit: Air Tangan Cik Siti

Bagi peminat daging, jangan bersedih kerana saya tidak melupakan anda. Walaupun tidak sepopular ayam goreng kunyit tetapi masakan daging goreng kunyit mempunyai pengikut setianya.

 

Bahan-Bahan:

  • 350g daging lembu, hiris menjadi ketulan kecil
  • 2 biji bawang besar, dihiris
  • 3 ulas bawang putih, dihiris
  • 2 batang cili merah, dihiris serong
  • 2 batang cili hijau, dihiris serong
  • 2sm kunyit hidup, tumbuk lumat
  • 5 batang kacang buncis, dipotong 2sm panjang
  • 1 batang lobak merah, dihiris panjang 2sm
  • 1 sudu besar serbuk kunyit
  • Garam dan gula secukup rasa

 

Cara-Cara:

  1. Rebus daging terlebih dahulu dalam periuk berisi air selama 5-6 minit. Pastikan daging betul-betul tenggelam di dalam air dan periuk diletakkan atas api sederhana besar.
  2. Setelah daging empuk, keluarkan daging dan perap dengan serbuk kunyit dan garam. Ketepikan selama 5 minit.
  3. Dalam kuali, masukkan minyak
  4. Kemudian masukkan minyak ke dalam kuali dan panaskan atas api sederhana besar. Masukkan daging dan goreng hingga daging memerang. Angkat daging dan ketepikan.
  5. Jika minyak banyak, kurangkan. Masukkan hirisan bawang cili dan kunyit yang ditumbuk lumat. Tumis hingga wangi.
  6. Masukkan daging dan sayur-sayuran yang dihiris dan goreng selama 2-3 minit. Perasakan dengan garam dan gula. Anda juga boleh masukkan sedikit lada hitam, jika mahu. Kacau seketika dan padamkan api.

3. Sotong Goreng Kunyit

Kredit: Random Awesomeness

Kadang kala, makan ayam dan daging setiap hari boleh membuatkan anda berasa bosan, betul tak? Saya akan rasa sedikit jelak kalau seminggu makan daging dan ayam. Dengan cuaca panas terik sejak belakangan ini, lagilah rasa semacam badan.

Jadi, kalau saya teringin juga nak makan makanan goreng kunyit, saya akan ganti ayam atau daging dengan sotong pula. Memang sedap dan bertambah nasi, khususnya kalau dimasak yang versi berkuah. ‘Memang padu!’, bak kata orang Utara.

 

Bahan-Bahan:

  • 5 ekor sotong, dibersihkan dan dipotong kepada hirisan 2sm tebal
  • 5 batang kacang panjang, dipotong pada 2sm panjang
  • 1 batang lobak merah, dihiris 2sm panjang
  • 2 biji bawang besar, dihiris
  • 6 ulas bawang putih, dihiris
  • 2 biji cili, dihiris serong
  • 5 helai daun limau purut, dicarik
  • 3 sudu besar serbuk kunyit
  • 3 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu teh garam
  • 1/2 sudu teh gula

 

Cara-Cara:

  1. Perap ketulan sotong dengan sos tiram, serbuk kunyit dan garam selama 10 minit.
  2. Panaskan minyak dalam kuali atas api sederhana besar. Apabila sudah panas, goreng sotong hingga garing. Angkat dan ketepikan.
  3. Masukkan hirisan bawang besar,bawang putih, carikan daun limau purut dan cili. Goreng hingga wangi dan masukkan hirisan sayur-sayuran. Goreng selama 2-3 minit dan masukkan sotong yang digoreng. Perasakan dengan garam dan gula jika terasa tawar.
  4. Kacau rata selama 1 minit dan padamkan api.

 

4. Udang Goreng Kunyit

Kredit: Firdaheaven

Tak suka sotong? Cubalah pula dengan udang pula. Gerenti tak menyesal cuba!

Bahan-Bahan:

  • 350g udang, dibuang urat
  • 3 batang kacang panjang, dipotong 2sm panjang
  • 3 ulas bawang putih, dihiris
  • 1 biji bawang besar, dihiris
  • 1 batang cili merah, dihiris serong
  • 2 inci halia, dihiris (opsyenal)
  • 2 helai daun limau purut, dicarik
  • Daun bawang, dihiris halus
  • 2 sudu besar serbuk kunyit
  • 2 sudu besar sos tiram (opsyenal)
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu teh gula
Cara-Cara:
  1. Perap udang dengan garam dan kunyit selama 10 minit.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali atas api sederhana besar dan tumis bawang putih sehingga wangi.
  3. Masukkan udang yang dilumur garam kunyit. Goreng selama 2 minit.
  4. Jika mahu sedikit kuah, masukkan sos tiram dan kacau rata.
  5. Masukkan kacang panjang dan digoreng sehingga agak lembut.  Masukkan daun limau purut, bawang besar dan cili merah. Kacau rata.
  6. Masukkan sedikit gula dan garam.
  7. Angkat dan hias dengan hirisan daun bawang sebelum dihidangkan.

5. Kobis Goreng Kunyit

Kredit: Hyderabad Food Guy

Kalau ke kedai nasi kandar, anda pasti biasa melihat pinggan kobis goreng berwarna kuning. Memang nampak tidak menyelerakan tetapi rasanya memang sedap! Tidak sahlah anda makan di kedai nasi kandar kalau tak ambil kobis goreng ini.

Nak buat sajian kobis goreng kunyit ini mudah sahaja. Tak percaya? Tengoklah resepi di bawah.

 

Bahan-Bahan:

  • 1/2 biji sayur kobis, hiris kasar
  • 1 batang karot, potong 2sm memanjang
  • 1/2 sudu teh biji sawi
  • 3 tangkai daun kari
  • 3 batang cili kering, potong 2sm memanjang
  • 2 batang cili merah, hiris serong
  • 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • 3 ulas bawang putih, ditumbuk lumat
  • 1/2 inci halia, ditumbuk lumat
  • 1 sudu teh garam
  • 1/2 sudu teh gula

 

Cara-Cara:

  1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali atas api sederhana besar. Masukkan bahan yang ditumbuk dan biji sawi. Tumis selama 2 minit.
  2. Apabila bahan tumis sudah memerang dan biji sawi mula meleting, masukkan daun kari, cili kering dan cili merah. Kacau hingga wangi.
  3. Masukkan parutan kubis dan kunyit. Biar kubis masak hingga layu dan masukkan garam dan gula. Boleh tambah sedikit lagi garam jika masih tawar.

 

6. Kupang Goreng Kunyit

Kredit: dari dapur orang kampung

Saya masih lagi ingat semasa kecil, saya dan sepupu sepapat akan berjalan ke tepi pantai berdekatan rumah nenek di Pulau Pinang untuk mengutip kupang dan lala. Selalunya, nostalgia memori ini akan membawa saya kembali ke meja makan yang mana sepinggan lala atau siput goreng kunyit wangi mengharum akan dinikmati bersama. Sehingga kini, jika saya merindui rumah, hidangan inilah yang akan saya cari atau sediakan.

Bukan sahaja kupang, anda boleh gunakan resepi ini untuk menyediakan masakan goreng kunyit dengan siput sedut, kerang, lala atau apa sahaja makanan laut bercangkerang yang anda mahu.

Bahan-Bahan:

  • 350g kupang, dicuci bersih dan isi dikeluarkan
  • 1/2 sudu besar serbuk kunyit
  • 1 biji kentang, dipotong baji
  • 1 biji bawang besar, dihiris
  • 4 ulas bawang putih, dihiris
  • 2 inci halia, dihiris
  • 2 batang cili hijau, dihiris serong
  • 1 batang cili merah, dihiris serong
  • 6 biji cili padi, dihiris (opsyenal)
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1/2 sudu teh gula

 

Cara-Cara:

  1. Perap kupang dengan garam dan kunyit selama 10 minit.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali atas api sederhana besar. Masukkan kentang dan goreng hingga berwarna kuning keemasan. Proses ini mengambil masa selama 4 minit.
  3.  Masukkan kupang dan kacau rata. Tutup kuali selama 3 minit.
  4. Masukkan hirisan bawang besar, bawang putih,  halia, cili hijau, cili merah dan cili padi. Kacau rata dan tutup kuali selama 1 minit. Perasakan dengan garam dan gula jika tawar.

 

7. Telur Ikan Goreng Kunyit

Kredit: Cikza

Hidangan ini memang istimewa bagi saya. Bukan senang nak dapat telur ikan. Masa kecil, memang berebutlah nak makan. Bagi yang tidak pernah cuba makan telur ikan (ruginya), rasa telur ikan ini manis dan mempunyai tekstur berbiji. Di rumah saya, selalunya telur ikan dimasak dalam kari tetapi goreng kunyit pun cukup sedap, tambah-tambah lagi kalau makan dengan nasi panas dan telur goreng kicap cili padi. Memang tak cukup sepinggan.

 

Bahan-Bahan:

  • 500 gm telur ikan, bersihkan
  • 1 biji bawang besar, dihiris
  • 3 ulas bawang putih, dihiris
  • 2 inci halia, dihiris
  • 1 batang cili merah, dihiris serong
  • 1 batang cili hijau, dhiris serong
  • 6 batang cili padi, dihiris
  • 1 sudu besar kunyit
  • 1/2 sudu besar serbuk cili
  • 1 sudu teh garam
  • 2 tangkai daun kari

 

Cara-Cara:

  1. Gaulkan telur ikan bersama garam, serbuk cili dan kunyit. Perap selama 5 minit.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali atas api sederhana besar. Masukkan telur ikan dan goreng sehingga garing. Keluarkan dan ketepikan.
  3. Kurangkan minyak di dalam kuali hingga tinggal 2 sudu besar minyak. Masukkan hirisan bawang, halia, daun kari dan cili lalu tumis selama 2 minit hingga wangi.
  4. Masukkan telur ikan yang sudah digoreng dan kacau selama 2 minit.

 

8. Ketam Goreng Kunyit

Kredit: Deskgram

Kaki ketam pasti seronok melihat resepi ini termasuk dalam senarai goreng kunyit saya ini. Resepi ketam goreng kunyit ini memang rangup, sedap dan sememangnya diminati semua. Dengan setiap ‘kruk, kruk’, anda akan berasa puas.

 

Bahan-Bahan:

  • 4 ekor ketam, bersihkan
  • 2 inci halia,dihiris
  • 2 biji bawang besar, dihiris
  • 2 biji bawang merah, dihiris
  • 6 ulas bawang putih, dihiris
  • 1 sudu besar serbuk kunyit
  • 1 batang cili merah, dihiris serong
  • 2 batang cili kering, dihiris serong
  • 2 tangkai daun kari
  • 2 sudu teh garam

 

Cara-Cara:

  1. Gaulkan ketam bersama garam dan kunyit. Perap selama 5 minit.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali atas api sederhana besar sehingga wap naik. Masukkan ketam dan goreng sehingga garing. Keluarkan dan ketepikan.
  3. Kurangkan minyak di dalam kuali hingga tinggal 2 sudu besar minyak. Masukkan hirisan bawang, halia, daun kari dan cili lalu tumis selama 2 minit hingga wangi.
  4. Masukkan ketam yang sudah digoreng dan kacau selama 2 minit.

 

9. Cendawan Goreng Kunyit

Kredit: adamdidam

Bagi yang nak idea sajian sayur yang ringkas dan melazatkan, inilah resepi yang anda patut cuba. Cepat dan cukup ringkas, memang sesuai untuk digunakan semasa waktu ‘kecemasan’ apabila anda terburu-buru balik dan tak tahu nak masak apa.

 

Bahan-Bahan:

  • 2 paket cendawan tiram
  • 4 ulas bawang putih, dihiris
  • 1 biji bawang besar, dihiris
  • 1 biji bawang Holland, dihiris
  • 2 batang cili merah, dihiris serong
  • 6 batang cili padi, dihiris
  • 1/2 sudu besar serbuk kari ayam (opsyenal)
  • 1 sudu besar kunyit
  • 1 sudu teh garam
  • 1 biji telur

 

Cara-Cara:

  1. Gaul cendawan dengan garam, kunyit dan serbuk kari.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali atas api sederhana besar. Masukkan semua hirisan bawang dan cili. Tumis selama 2 minit hingga naik bau.
  3. Masukkan cendawan dan goreng selama 4 minit hingga cendawan layu.
  4. Masukkan telur dan kacau rata selama 3 minit.
  5. Perasakan dengan sedikit garam dan gula jika tawar.

 

10. Hati Goreng Kunyit

Kredit: Anis’ Diary

Resepi terakhir dan kesepuluh dalam artikel goreng kunyit ini ialah hati goreng kunyit. Saya suka makan organ dalam. Bukan selalu tetapi sekali sekala memang terasa nikmat makan paru, lidah, hati ataupun perut. Mungkin kerana rasanya sedikit lain berbanding ayam dan daging. Adakah anda sama seperti saya? Jika ya, anda pasti sukakan resepi ini.

 

Bahan-Bahan:

  • 350g hati ayam, dicuci
  • 1 biji bawang besar, dihiris
  • 3 ulas bawang putih, dihiris
  • 1 batang cili merah, dipotong serong
  • 5 batang cili padi, dihiris
  • 1/2 sudu besar tepung gandum
  • 1/2 sudu besar tepung jagung
  • 1/4 sudu besar pes asam jawa
  • 1/4 sudu besar serbuk kari ayam
  • 3 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 sudu teh garam

 

Cara-Cara:

  1. Perap hati ayam bersama tepung gandum, tepung jagung, asam jawa, serbuk kari ayam, serbuk kunyit dan garam. Perap selama 10 minit.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali atas api sederhana besar. Masukkan hati ayam dan goreng sehingga garing. Keluarkan dan ketepikan.
  3. Kurangkan minyak di dalam kuali hingga tinggal 2 sudu besar minyak. Masukkan hirisan bawang dan cili lalu tumis selama 2 minit hingga wangi.
  4. Masukkan hati ayam yang sudah digoreng dan kacau selama 2 minit.

 

Sudah Muak atau Nak Lagi?

Itulah 10 resepi goreng kunyit yang saya rasa anda patut simpan dalam buku resepi anda dan pelbagaikan masakan goreng kunyit anda selain daripada ayam dan daging. Jika anda nak lagi resepi-resepi goreng kunyit lain atau nak kami masak dan kongsi video dengan anda, komen di bawah atau ikuti kami di Facebook dan Instagram untuk maklumkan kami.

Kalau anda sudah cuba resepi-resepi di atas, jangan rasa segan untuk berkongsi gambar hasil masakan anda bersama kami!

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.