Kung Poh Ayam atau Kung Pao Chicken merupakan sajian klasik Cina yang kini mempunyai ikutannya sendiri. Kenapa saya kata begitu? Tengoklah drama-drama siri televisyen di Barat seperti Friends, How I Met Your Mother dan rancangan seangkatannya. Berapa banyak kali anda nampak watak-watak di dalam drama siri anda duduk bersama dan makan makanan Cina, khususnya sajian bernama Kung Poh Ayam ini? Memang banyak kali, kan?
Jadi, soalan seterusnya ialah, bagaimana sajian Cina ini menjadi begitu popular? Mari kita sama-sama melihat sejarah. Hidangan Kung Pao Ayam merupakan sajian yang berasal dari daerah Sichuan yang terletak di bahagian barat daya Cina. Daerah ini memang terkenal dengan makanan yang pedas.
Ada juga kisah yang mengatakan bahawa sajian ini dihasilkan kerana gabenor Sichuan bernama Ding Bao semasa pemerintahan dinasti Qing (1876-1886) yang sangat sukakan hidangan ayam bercili yang disediakan oleh tukang masaknya hingga dia menyuruh hidangan itu disediakan setiap hari. oleh sebab itulah hidangan auyam bercili ini dinamakan sempenanya.
Untuk membuat kung poh ayam memang mudah. Tak percaya? Cubalah resepi saya ini!
Bahan-Bahan:
a) Bahan Lain
- 84g dada ayam atau kepingan isi ayam (tanpa kulit dan tulang), dipotong menjadi kiub 1 cm.
- 3 sudu besar kacang gajus panggang
- 8 cili kering, dibuang biji dan dibelah dua.
- 4 sudu besar minyak masak
- 1 inci halia segar, dibuang kulit dan dihiris
- 3 ulas bawang putih, dicincang
- 1 batang daun bawang, dipotong panjang-panjang kira-kira 1 inci
b) Perapan
- 1 sudu besar tepung jagung
- 2 sudu teh kicap
- 1 sudu teh minyak
c) Sos
- 3 sudu besar kicap
- 2 sudu teh kicap pekat
- 2 sudu teh gula
- 1 sudu teh cuka hitam Cina
- 4 sudu besar air
- 1 sudu teh tepung jagung
Cara-Cara:
- Potongan kiub isi ayam dikeringkan menggunakan tisu dapur. Kemudian, perap selama 30 minutes.
- Masukkan semua bahan sos ke dalam mangkuk kecil. Kacau dan ketepikan.
- Panaskan 2 sudu besar minyak di dalam kuali atas api sederhana besar. Goreng ayam yang diperap hingga 80% masak. Keluarkan ayam dan ketepikan. Keluarkan minyak lebihan dan biar 2 sudu besar minyak di dalam kuali. Panaskan kuali hingga sedikit berasap. Masukkan hirisan bawang putih dan halia sebelum masukkan cili kering.
- Goreng cili kering hingga wangi dan bau tajam cili terbit. Masukkan ketulan ayam goreng. Kacau seketika sebelum masukkan kacang gajus panggang. Masukkan sos dan kacau hingga semua isi ayam disalut. Masukkan daun bawang dan kacau hingga sekata. Hidangkan sajian ayam kung poh bersama nasi panas atau mantao kukus.
Terpukau dengan Kung Poh Ayam
Resepi Kung Poh Ayam ini memang senang nak dibuat. Tak perlu berguru dengan sifu bertahun lamanya seperti nak belajar kungfu, betul tak? Kung Poh Ayam ini memang sesuai untuk dijadikan bekal mahupun hidangan ekspres apabila anda terkejar-kejar membuat kerja atau menguruskan rumah. Resepi ini sememangnya resepi kesukaan saya. Sudahlah senang nak dibuat, sedap pula itu!
Jangan lupa untuk kongsi dengan saya resepi mudah kegemaran anda dan jika anda ada permintaan resepi yang anda ingin saya dan Butterkicap kongsikan, silalah beritahu kami, ya. Kalau ada permintaannya, jangan lupa untuk mengikuti Butterkicap dan saya di laman Instagram. Senang untuk kami penuhi permintaan anda itu!