Muafakat Walau Berjauhan

Tahun ini merupakan tahun pertama saya beraya di perantauan. Sebabnya mudah saja, situasi tak membenarkan saya pulang dan kerja masih perlu diteruskan. Sebagai seorang kelana di bandar metropolitan Kuala Lumpur, tipulah kalau saya mengatakan saya tak pernah rasa sendirian atau tidak bersemangat. Jadi, apa yang boleh saya buat? Mencari klip iklan raya di Internet. Saya fikir, dapatlah hilang sedikit kerinduan yang disimpan dalam hati terhadap keluarga yang berada jauh di negeri Pulau Mutiara.

Dalam keasyikan saya mencari-cari klip yang sesuai, saya terpanggil untuk menonton klip video kisah Sang Kancil yang diterbit oleh PruBSN. Siapa yang tak kenal Sang Kancil? Saya membesar mendengar kisah keberanian dan kebijaksanaan Sang Kancil memperdaya musuh-musuhnya seperti Pak Belang, Sang Sawa dan Si Buaya yang sememangnya cukup mengagumkan.

Kali ini, kisah yang saya tonton tak seperti kisah yang saya sudah dengar ribuan kali dulu. Kali ini, Sang Kancil tak mengalahkan musuhnya dengan kebijaksanaannya tetapi menerusi bantuan dan pertolongan yang diberi oleh rakan-rakannya. Otak saya ligat berfikir dan terdetik suatu soalan, sejauh manakah kita pasti bahawa kisah-kisah kehebatan Sang Kancil bukan daripada sikap muafakat dan tolong-menolong haiwan-haiwan kecil lain yang juga menjadi mangsa watak jahat dalam kisah ini?

Kuat atau Lemah Sendirian?

Ada kata pepatah Melayu yang mengatakan, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Kita tahu maksudnya dan kita juga tahu tentang pengajaran ataupun mesej yang ingin disampaikan tetapi adakah kita benar-benar tahu signifikan di sebalik pepatah ini dalam kehidupan seharian kita?

Semua persoalan yang diutarakan di atas pastinya bermain-main di dalam fikiran anda. Lumrah sebagai manusia, perhubungan yang dijalin pasti ada pasang surutnya. Apatah lagi di negara berbilang kaum seperti Malaysia yang mana stereotaip, dan perbezaan budaya mempengaruhi pandangan kita terhadap orang lain. Di sebalik setiap persengketaan, setiap perselisihan faham yang berlaku, yang menjadi puncanya adalah satu perkara sahaja; sikap kita sendiri yang enggan menerima mahupun mengakui perbezaan yang wujud hingga menjarakkan sesama manusia. Apakah kita hidup lebih bahagia menjauhkan diri daripada orang yang tidak sekepala dengan kita? Ya. Adakah hidup kita sedikit sebanyak terkesan? Tidak.

Manusia mudah lupa. Kita lupa apabila kita berada di puncak. Lupa tentang waktu susah kita, orang yang bersama kita ketika waktu susah. Tetapi, hidup bak roda yang sentiasa berputar. Turun naik kehidupan membuatkan kita sentiasa berjaga-jaga. Walaupun sekuat manapun atau sejauh mana kita bersedia menghadapi hari-hari sukar, tanpa sokongan mahupun muafakat orang di sekitar, kita takkan dapat hadapi masalah dengan hati yang tabah.

Mungkin, kita sentiasa menganggap bahawa kitalah protagonis kisah masing-masing, sebagaimana kita melihat Sang Kancil dalam kisah-kisahnya. Kita tak pernah memikirkan bahawa watak protagonis juga penuh khilaf dan lemah hinggakan kita tidak sedar langsung bahawa Sang Kancil hebat kerana watak-watak sokongan dalam kisahnya yang tidak diceritakan sebelum ini.

Cipta Kisah Sang Kancil 2.0

Jadi, mari kita sama-sama mengubah naratif kisah Sang Kancil. Daripada mengagung-agungkan kehebatannya memperdaya watak jahat, kita tumpukan perhatian pada nilai-nilai muafakat dan bantuan yang diterima agar Sang Kancil dapat melepaskan diri daripada musuhnya. Mungkin untuk kita menyedari semua ini sudah terlambat tetapi untuk anak-anak kita, ini ialah peluang kedua mereka untuk membuang sifat penting diri yang baru mula berakar dalam minda mereka. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Usahlah kita bersengketa tentang perkara remeh, khususnya apabila menghadapi situasi buruk dan negatif. Belajar untuk ketepikan rasa ego, malu dan rendah diri. Belajar untuk menghulur dan menyambut bantuan yang diberi tanpa perasaan negatif. Ingat, anda tak pernah sendirian. Sebagai seorang kelana sendirian di bandar metropolitan Kuala Lumpur, saya sedar, bukan saya seorang saja yang menghadapi situasi ini. Bukan saya seorang saja yang merasai semua perasaan ini. Jadi, kenapa saya tak cuba mendekati individu senasib saya? Mungkin kisah Sang Kancil ini bukan apa-apa bagi anda tetapi kisah ini menimbulkan semangat dalam diri saya. Raya kali ini, saya mungkin sendirian secara fizikal, tetapi ingatan tulus ikhlas, hadiah dan makanan yang dihantar kepada saya, pada saat saya merasakan diri saya lemah, itulah yang memberi kekuatan dan sinar harapan bahawa hari-hari bahagia akan tiba yang mana saya dapat pulang ke rumah dan bersatu semula dengan keluarga.

Klik disini untuk menonton video.

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.