Resepi Roulade Ayam dan Rendang Cendawan Menawan Jiwa

Sebelum ini, saya telah berkongsi dengan anda satu resepi yang cukup enak dan menyelerakan yang tidak memerlukan anda untuk belanja banyak untuk dinikmati bersama pasangan anda ketika Hari Kekasih. Namun begitu, oleh sebab bahan penyediaan resepi tersebut yang ringkas, anda mungkin merasakan hidangan tersebut tidak cukup untuk menjangkaui harapan pasangan anda yang inginkan makan malam romantis.

Tak mengapa!

Saya masih ada satu lagi ‘senjata rahsia’ untuk anda gunakan bukan sahaja pada sambutan hari istimewa seperti Hari Kekasih malah pada saat-saat kecemasan untuk anda memujuk pasangan anda. Kenapa saya begitu pasti? Anda cubalah dahulu resepi roulade ayam dan rendang cendawan unik ini:

Bahan-Bahan

Roulade Ayam
  • 2 keping dada ayam (190g) yang dibuang kulit dan tulang, ditumbuk ke 1/8 inci tebal
  • Garam (secukup rasa)
  • Lada hitam (secukup rasa)
  • 1 sudu besar kicap pekat/ karamel masakan
  • 1 biji timun

 

Rendang Cendawan
  • 200g cendawan tiram
  • 2 helai daun kunyit
  • 3 helai daun limau purut ( dicarik )
  • 1 asam keping / 1 sudu teh asam jawa
  • 1/3 cawan santan
  • 2 sudu besar kerisik
  • 1/2 sudu besar gula Melaka
  • 2 sudu besar cili kisar
  • 1 sudu besar serbuk kari
  • Garam (secukup rasa)

Bahan kisar

  • 10 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 3 batang serai, dihiris nipis
  • 1/2 inci kunyit
  • 3 hiris lengkuas
  • 3 biji buah keras (dihiris)
  • 2 biji cili merah
  • 10 biji cili padi

 

Merenyahkan?

Apabila anda melihat ‘rendang’ pada nama hidangan ini, anda pasti sudah panik memikirkan  masa yang anda perlu habiskan untuk sediakan hidangan ini. Resepi rendang yang disediakan untuk hidangan ini sebenarnya sudah diringkaskan untuk disesuaikan dengan kesibukan warga kota seperti anda tetapi masih memberikan perisa dan rasa rendang yang kuat.

Apapun percayalah, masa yang anda luangkan untuk menyediakan hidangan ini cukup berbaloi setelah melihat senyuman masam mencuka pasangan anda yang memikirkan anda sudah melupakan hari istimewa atau ulang tahun bertukar menjadi senyuman manis dan menawan.

Jangan buang masa lagi dan ayuh kita mulakan!

 

Cara-Cara

Menyediakan Roulade Ayam
  1. Letakkan kepingan daging ayam di dalam mangkuk dan tuang bahan perapan yang diperbuat daripada garam, lada hitam dan sos karamel masakan pekat/kicap pekat.
  2. Perap ayam selama 30 minit.
  3. Setelah diperap, gulung kepingan daging ayam dan ikat menggunakan tali kapas. Tali ini diikat untuk pastikan bentuk gulungan ayam ini dikekalkan semasa dibakar.
  4. Letakkan gulungan ayam ke dalam ketuhar yang dipanaskan pada suhu 190 darjah Celsius. Bakar ayam selama 20 minit sehingga ayam menjadi perang keemasan dan masak sepenuhnya.
  5. Apabila ayam sudah masak, biarkan daging ayam rehat selama 10 minit sebelum tanggalkan tali menggunakan gunting.
  6. Hiris daging ayam menjadi 3-4 hirisan yang tebal.
  7. Gunakan alat hiris untuk menghiris timun menggunakan bilah racik helai (Julienne).
Sementara menunggu

Untuk menjimatkan masa dan memastikan kerja anda di dapur lebih efisien, anda boleh mulakan penyediaan rendang cendawan sementara menunggu gulungan ayam anda masak di dalam ketuhar.

Ayuh kita lihat cara-cara untuk menyediakan rendang cendawan yang sedap dan ringkas.

Rendang cendawan

  1. Bersihkan dan potong cendawan menjadi ketulan kecil jika saiz cendawan terlalu besar. Ketepikan cendawan tersebut.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali sederhana besar di atas api kecil.
  3. Tumis bahan kisar sehingga wangi selama 3-5 minit sebelum anda masukkan serbuk kari dan cili kisar ke dalam kuali. Kacau rata dan biarkan bahan tumis masak sehingga pecah minyak. Proses ini mengambil masa selama 10 minit.
  4. Masukkan santan dan daun limau purut. Kacau dan masak selama 1 minit di atas api kecil. Kemudian, masukkan kerisik dan asam keping. Biarkan kuah memekat.
  5. Apabila kuah sudah memekat, masukkan cendawan dan gula Melaka. Kacau selama 5 minit lagi sehingga kuah dipekatkan lagi.
  6. Apabila kuah rendang sudah siap, sendukkan kuah di dalam mangkuk dan hias dengan daun kunyit sebelum menghidang.

Menghidangkan roulade ayam
  1. Masukkan sesenduk kuah rendang di atas pinggan.
  2. Susun 3-4 hirisan ayam dan letakkan jaluran timun rangup di atas.

 


Hasilnya

 

Tidak begitu susah, bukan? Semuanya bergantung pada cara bekerja anda di dapur. Jika anda cukup efisien, hidangan ini dapat disediakan dalam masa sejam sahaja. Hidangan ini sememangnya cukup mewah dan kaya dengan perisa. Kini, anda tidak perlu berhabisan wang, merentasi jalan raya yang sesak dengan kereta dan menunggu lama untuk menikmati makanan yang istimewa dan menyelerakan kerana anda boleh hidangkan sendiri di rumah.

Gabungan kuah rendang cendawan dan ayam memang cukup mantap. Jadi, pastikan anda sediakan makanan lebih kerana saya pasti, anda dan pasangan tidak puas makan sekadar sepinggan sahaja.

 

Jika anda sudah mencuba resepi roulade ayam dan rendang cendawan ini, jangan lupa untuk berkongsi gambar bersama saya dan Butterkicap dengan meletakkan hashtag #butterkicap. Selamat mencuba dan raikan Hari Kekasih ini dengan rasa cinta dan penghargaan.

print
Ili Sulaiman

Bubbly and friendly, this Malaysian celebrity cook was the winner of the 2015’s Food Hero Asia competition on Asian Food Channel and has appeared on a few shows on television such as ‘Diari Mangkuk Tingkat’, which features some of her own delicious recipes.

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.