3 Resepi Ekspres Untuk Nikmati Durian Semasa Bercuti

Kredit: Pinterest.com

Saat bercuti dalam kumpulan besar khususnya bersama keluarga sentiasa penuh dengan pelbagai cabaran dan dugaan.

Mana tidaknya? Anda perlu bersabar dengan bermacam-macam jenis ragam. Itu tak termasuk yang terlupa baranglah, yang asyik nak berhenti di kawasan rehatlah dan semestinya, bagi yang ada anak kecil, pergaduhan tarik rambut kerana berebut tempat duduk memang wajib berlaku.

Oleh itu, dalam kepeningan anda menguruskan semua masalah ini, memang cukup fahamlah kalau kebetulan anda terjumpa perkara-perkara kecil seperti makanan yang anda teringin nak makan ataupun makanan kegemaran anda semasa dalam perjalanan.

Raja Buah, Raja Hati Rakyat Malaysia

Bagi peminat buah-buahan tempatan, musim yang paling dinanti-nantikan semestinya ialah musim buah durian. Jadi, memang cukup seronoklah golongan ini apabila dengan mudahnya dapat menikmati buah berduri berisi lemak manis ini dek lambakan gerai-gerai di tepi jalan yang menjual pelbagai jenis buah durian. Pilihlah mana saja yang anda mahu!

Kebetulan pula, musim buah durian kali ini jatuh pada musim cuti. Lagi bergandalah keseronokan anda apatah lagi jika anda terjumpa durian semasa dalam perjalanan ke destinasi percutian anda. Bak orang mengantuk disorong bantal!

Terubat jugalah rasa pening kepala dan sakit hati akibat melayan kerenah ahli keluarga mahupun rakan-rakan, betul tak?

Nikmati Durian Bila-Bila Masa!

Nak makan durian begitu saja dalam kuantiti yang banyak memang satu risiko besar, tambah-tambah lagi jika anda terbeli semasa bercuti. Kalau anda tak muak, anda mungkin akan terlebih makan sampai badan panas-panas.

Akhirnya, hasrat untuk makan durian banyak-banyak terbantut dan percutian terbantut. Jadi, makan berpada-pada dan caranya adalah dengan bajetkan kadar pengambilan durian anda sepanjang percutian anda.

Untuk jadikan, sesi makan durian anda lebih menarik, ada 5 resepi ekspres yang anda boleh buat di tempat penginapan anda yang tak merenyahkan mahupun memerlukan banyak bahan. Menarik, kan? Jom kita tengok apakah resepi-resepi tersebut.

1. Cucur Durian

Kredit: Kuali.com

Resepi cucur durian ini bolehlah nak dibuat kalau tempat penginapan anda ada periuk elektrik dan tak melarang anda untuk membawa balik durian. Tapi, kalau anda nak juga makan pastikan anda beli durian yang sudah siap dibalut dalam bekas tapi itu atas risiko sendirilah ya. Saya tak menyokong mahupun melarang anda.

Resepi cucur durian ini cukup ringkas dan hasilnya memang menyelerakan. Sajian ini sesuai dibuat snek semasa anda keluar bersiar-siar ataupun sebagai bekalan berkelah jika anda bercadang untuk menjalankan aktiviti luar seperti berkelah.

Bahan-Bahan:

  • 1 paket tepung cucur manis segera
  • 1/2 cawan isi durian, dilecek hingga halus
  • 2 cawan air panas
  • 1 sudu teh garam

Cara-Cara:

  1. Campurkan air panas dan tepung cucur. Gaul rata.
  2. Masukkan isi durian dan garam. Gaul rata.
  3. Dalam periuk elektrik, isikan minyak hingga 1/4 periuk. Tunggu hingga wap naik dan buih mula terbentuk.
  4. Sudukan 1/2 sudu adunan dan goreng dalam periuk selama 3-5 minit hingga adunan menjadi kuning keemasan. Ulang hingga semua adunan habis.

2. Durian Onigiri

Kredit: star2.com

Kalau anda peminat tegar pulut durian dan wajib sediakan hidangan tersebut setiap kali anda nak nikmati durian, inilah resepi ekspres yang anda wajib, ya, wajib ingat apabila nak pergi bercuti. Manalah tahu ternampak gerai durian dalam perjalanan.

Nak menyediakan resepi ini mudah saja. Tak merenyahkan dan paling penting, dapat memberi kepuasan yang sama seperti anda menikmati pulut durian.

Bahan-Bahan:

  • 2 cawan beras pulut
  • 4 cawan santan cair
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 sudu besar gula
  • 10 ulas durian, dibuang biji
  • 10 helai daun pandan

Cara-Cara:

  1. Cuci beras pulut sebersih-bersihnya. Dua bilasan mencukupi.
  2. Masukkan beras pulut ke dalam periuk nasi elektrik. Masukkan santan, garam dan gula. Kacau rata dan tekan punat untuk masak. Selang 5 minit, buka dan kacau pulut agar pulut masak secara sekata.
  3. Sementara pulut masak, lenyekkan isi durian hingga menjadi krim.
  4. Apabila pulut sudah masak, biarkan pulut menyejuk sepenuhnya.
  5. Lapikkan papan potong dengan plastik, ambil sedikit pulut dan ratakan di atas plastik.
  6. Letakkan satu sudu besar krim durian di tengah dan ratakan. Anda boleh letakkan lebih banyak lagi jika anda mahu.
  7. Letakkan sedikit pulut di atas dan ratakan agar menutupi lapisan krim durian yang anda sapu. Kemudian bentukkan pulut dalam bentuk segi tiga sama kaki.
  8. Ambil sehelai daun pandan dan potong menjadi dua. Ambil satu bahagian yang dipotong dan balut bahagian bawah onigiri durian anda.

Nota:

Jangan lupa untuk memakai sarung tangan semasa menyediakan onigiri anda supaya pulut anda tak basi dengan cepat.

3. Ais Pop Durian

Kredit: anakdaracun

Resepi ekspres terakhir untuk anda cuba adalah resepi pencuci mulut kegemaran rakyat Malaysia yang cukup nostalgik. Ya, betul tekaan anda! (Dah tulis pun di tajuk kecil di atas)

Perkara yang menarik tentang resepi ekspres ini ialah saya akan berkongsi resepi aiskrim Malaysia durian yang hanya menggunakan dua bahan sahaja.

Bahan-Bahan:

  • 10 ulas durian, dibuang biji
  • 500ml susu segar
  • 2 sudu besar gula

Cara-Cara:

  1. Dalam periuk besar, masukkan isi durian, susu dan gula. Panaskan atas api sederhana besar. Kacau semua bahan hingga rata dan sebati. Kacau hingga mula mendidih selama 5-10 minit.
  2. Sejukkan cecair sepenuhnya dan masukkan dalam tiub plastik panjang sehingga 3/4 penuh dan ikat menggunakan getah ataupun simpulkan saja. Ulang langkah ini hingga semua cecair habis.
  3. Simpan dalam peti beku sekurang-kurangnya 4 jam sebelum menikmatinya.

Percutian Durian Terunggul

Bagaimana dengan resepi-resepi di atas? Anda mesti dah tak sabar nak mencubanya. Sempena musim cuti yang bakal kunjung tiba, ambillah kesempatan ini untuk mencuba resepi-resepi tersebut sebagai bekalan anda.

Jika anda masih tak tahu nak bercuti ke mana, apa kata anda merancang percutian di pergunungan sejuk Genting Highlands. Kebetulan pula, pihak Genting mengadakan pesta durian khas untuk para pencinta durian yang berkunjung ke sana.

Jadi, ambillah peluang ini untuk bercuti sambil menikmati buah kegemaran anda! Layarilah laman web Genting Highlands untuk hubungi pihak Genting tentang pesta durian ini!

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.