Dibawa ke UK dengan Hidangan Fish & Chips di Laughing Fish

Bersedia untuk dibawa ke UK?

Nak merasa melancong ke luar negara tetapi secara berbajet?

Kami ada tempat paling ideal untuk anda. Perkara paling menarik ialah anda tak perlu bawa passport mahupun mohon visa untuk ke sana kerana tempat yang kami ingin bawa anda terletak nun di puncak Genting Highlands.

 

The Laughing Fish, Harry Ramsden

Tahukah anda yang anda boleh melancong ke England melalui makanan? Dengan restoran the Laughing Fish di Sky Avenue Genting, anda akan dapati perkara ini tidak mustahil!

Restoran ini merupakan restoran pertama dalam francais Harry Ramsden yang dibuka di Asia. Untuk pengetahuan anda, Harry Ramsden merupakan antara restoran Fish & Chips yang terkenal di England untuk perisa tradisi dan asli sajian kegemaran rakyat Britain sejak tahun 1928 lagi.

Jadi, jika anda selalu ingin ke England tetapi tidak berkesempatan ke sana, inilah peluang untuk anda merasai perisa fish & chips sebenar di Malaysia.

 

Harry Ramsden Memelihara Kualiti

Untuk kekal menjadi restoran fish & chips kegemaran dari generasi ke generasi bukanlah sesuatu yang mudah. Harry Ramsden kekal sebagai restoran yang dipercayai dan diyakini oleh pelanggan setianya adalah kerana sajian yang dihidangkan mengekalkan kualiti hidangan semenjak dari awal penubuhan restoran tersebut.

Daripada memilih jenis ikan hinggalah ke penyediaan adunan tepung untuk fish & chips, semuanya disediakan menggunakan resepi tradisi. Kualiti inilah yang dipelihara dan dibawa ke semua cawangan restoran Harry Ramsden termasuklah the Laughing Fish, Genting Highlands.

 

Makanan Tradisi UK Patut Dicuba

Antara makanan yang disajikan kepada kami di Laughing Fish, semestinyalah ialah hidangan fish & chips. Kami diberi dua pilihan ikan iaitu haddock dan cod. Kedua-dua ikan ini merupakan ikan yang lazimnya digunakan dalam penyediaan fish & chips tradisional kerana perisa ikan yang manis.

Satu perkara yang cukup menarik tentang hidangan fish & chips yang ditawarkan di Laughing Fish ialah saiz hidangan yang besar dan cukup untuk anda kongsi bersama dua orang rakan anda pada harga RM 53 (ikan kod) dan RM 58 (ikan haddock) sepinggan. Memang berbaloi!

Nak kongsi atau makan sendiri?

Selain itu, anda juga boleh memilih untuk makan fish & chips anda bersama kuah klasik ataupun kuah kari yang disediakan khas bagi memenuhi citarasa pelanggan Harry Ramsden di Malaysia. Bagi saya, kuah klasik terasa sedikit hambar, mungkin kerana sudah terbiasa dengan makanan tempatan pedas penuh berperisa. Namun begitu, itu tidak bermakna anda tidak patut mencubanya. Tepuk dada, tanya selera.

Hidangan seterusnya yang membuatkan saya masih lagi terbayang-bayangkannya sehingga ke hari ini ialah sajian brie bakar dengan bawang putih dan daun sej bersama roti.

Sedapnya keju brie!

Rasanya begitu menyelerakan! Rasa lemak masin keju yang dibakar dan bau wangi herba yang digunakan  memang cukup untuk anda terus menyuap tanpa henti.

Satu lagi sajian yang cukup menarik selera dan perhatian saya ialah hidangan patti ikan. Ya, saya tahu tiada apa-apa yang begitu menarik apabila melihat patti ikan tetapi jangan begitu cepat menghakimi hidangan ringkas ini! Setiap gigitan membawa satu letusan rasa yang begitu kompleks tetapi begitu menyelesakan. Tak rugi mencuba sajian ini.

Patti Ikan Igauan Ramai

Terdapat juga sajian lain seperti pai makanan laut dan koktel udang yang anda boleh cuba di Laughing Fish tetapi pastikan anda memesan sajian brie bakar itu ya. Memang wajib dicuba!

 

Jangan Lupa Pencuci Mulut!

Brownie Coklat Klasik

Selepas makan hidangan utama, tidak sahlah kalau anda tidak pesan pencuci mulut. Terdapat empat hidangan pencuci mulut yang ditawarkan di Laughing Fish. Namun begitu, yang mencuri perhatian kami ialah hidangan Eton Mess. Disediakan dengan lapisan meringue, krim putar, buah strawberi segar dan taburan daun basil, saya merasakan saya telah membuat pilihan yang tepat dengan memilih untuk mencuba pencuci mulut tersebut.

Segar, manis, masam dan cukup ringan, Eton Mess merupakan pencuci mulut terbaik untuk anda, khususnya setelah menikmati makanan bergoreng dan berminyak.

Eton Mess

Jika anda lebih tradisional, anda boleh memilih untuk menikmati hidangan brownie coklat lembap dengan cedokan aiskrim vanila atau kek puding tofi, pencuci mulut klasik di England. Bagi yang menyukai kek gula hangus, anda pasti akan menyukai kek puding tofi ini.

Puding Tofi Manis dan Penuh Karamel

Nak sesuatu yang ingin dikongsi semua? Anda boleh mencuba Super Sundae Laughing Fish yang cukup untuk dikongsi bersama 6 orang. Super Sundae ini dilapis dengan kek brownie coklat, aiskrim vanila, krim putar, jem strawberi dan buah strawberi segar. Kalau anda betul-betul mengidam nak makan sesuatu yang cukup mewah seperti ini, saya yakin anda boleh habiskannya seorang diri.

 

Kunjungi Laughing Fish by Harry Ramsden, Genting Highlands

A: Tingkat 4, High Line Roof Top Market, SkyAvenue, Resorts World Genting, 69000 Genting Highlands, Pahang
W: http://harryramsdens.co.uk/

print
Butterkicap Team

We're just a small group of friends who love food, culture and Malaysia. We saw the rise of mediocre food, deteriorating relationships and missed the good old days of Malaysia where food was good, homes were warmer and full of friends and family. So we rolled up our sleeves, and made Butterkicap with the hope that it will bring people and flavors home.

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.