Snek Malam Raya Pertama Pilihan Keluarga

Snek malam Raya pertama yang mana anda nak cuba dulu?

Kredit: Fox News

Selepas penat menikmati dan mengunjungi jamuan raya yang berat pada pagi Aidilfitri, perkara wajib yang sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat Malaysia pada malam hari raya pertama ialah menonton televisyen secara berjemaah di ruang tamu rumah anda. Ini kerana, banyak stesen-stesen televisyen di Malaysia menyajikan pelbagai filem-filem menarik dan klasik yang mengimbau kembali kenangan masa lalu. Filem-filem seram komedi Melayu seperti Zombie Kampung Pisang dan Mak Limah Balik Rumah menjadi kegemaran rakyat Malaysia pada malam Raya pertama.

Pada kebiasaannya, kita akan mengunyah snek sambil menonton filem-filem kegemaran kita lebih-lebih lagi cerita seram yang memerlukan banyak tenaga untuk kita fokus dengan sebarang kemungkinan yang akan terjadi(adegan hantu yang menakutkan. Oleh disebabkan itu, ini adalah 5 cadangan snek malam raya yang harus anda nikmati sambil menonton filem-filem kegemaran anda!

Kredit: shoppedeamie.blogspot.my

1. Kerepek

Kerepek ialah sejenis kudap-kudapan yang rangup dan mempunyai banyak perisa. Snek ini telah menjadi kegemaran ramai rakyat Malaysia kerana bukan sahaja mengenyangkan, malah mudah untuk disediakan. Anda bolehlah memasak sendiri kerepek yang anda mahu seperti kerepek kentang atau lebih mudah, anda boleh mendapatkan kerepek-kerepek yang berperisa ini di kedai-kedai pada harga yang berpatutan. Terdapat tempat-tempat yang terkenal menjual kerepek-kerepek yang lazat seperti di Johor dan Terengganu! Antara kerepek yang menjadi kegemaran ramai ialah kerepek ubi dan kerepek ini boleh didapati dalam pelbagai variasi seperti kerepek ubi pedas dan kerepek ubi putih. Jika anda tidak begitu berminat dengan kerepek ubi, anda boleh cuba kerepek pisang yang tebal tetapi rangup.

 

Kredit: veronteokitchen.blogspot.my

2.  Bahulu

Snek malam raya seterusnya sesuai untuk mereka yang menyukai tekstur yang lembut dan halus berbanding yang rangup. Jika anda mahu snek yang manis dan lembut untuk dimakan,  kuih bahulu adalah pilihan yang tepat untuk anda, khususnya ketika menonton filem romantik kegemaran anda pada malam Raya pertama! Kuih tradisional ini boleh dibuat sendiri di rumah dan juga boleh didapati di kedai-kedai yang berhampiran rumah anda. Resepi untuk membuat kuih bahulu ini senang sahaja. Anda hanya memerlukan telur, tepung gandum, gula pasir, sedikit minyak masak/minyak sapi. Bahulu juga boleh didapati dalam beberapa jenis dengan pelbagai bentuk seperti bahulu cermai, bahulu lapis dan bahulu gulung.

 

Kredit: tirto.id

3.  Dodol

Anda lebih sukakan makanan tradisional untuk dijadikan snek malam raya anda, dodollah untuk anda! Makanan tradisional turun-temurun yang juga boleh dianggap snek ini mempunyai kaedah yang sukar untuk menyediakannya. Ia mengambil masa berjam-jam untuk mendapatkan kualiti dan rasa yang tepat dan lazat. Dodol mempunyai tekstur yang licin dan ia juga melekit apabila anda mula merasainya. Dodol yang dipercayai berasal daripada Indonesia ini juga boleh dinikmati pada bila-bila masa selain Aidilfitri tetapi ia sangat dikenali dan dikehendaki pada Aidilfitri. Snek ini sesuai dimakan ketika menonton filem-filem klasik Melayu seperti filem P.Ramlee yang sangat kelakar dan mempunyai stail yang tersendiri.

Kredit: Youtube: maxres

4.  Muruku

Snek perayaan kaum India ini juga menjadi kegemaran rakyat Malaysia merentasi umur, kaum dan agama. Muruku mempunyai rasa berempah dan rangup yang sangat sesuai untuk kanak-kanak atau orang dewasa yang tidak menggemari kerepek pedas atau snek manis kerana rasanya yang cukup dan tidak berlebihan. Muruku boleh dimasak di rumah dan ia juga boleh didapati di dalam pek plastik di kedai runcit/kedai kerepek berhampiran rumah anda. Muruku yang diperbuat daripada tepung beras dan urad dal ini boleh dinikmati ketika anda menonton filem-filem Hindustan yang ditayang oleh stesen-stesen televisyen tempatan pada malam Raya pertama.

 

Kredit: ardianita

5.  Jagung
Selain menjadi pilihan snek yang berkhasiat, jagung juga sangat lazat dan boleh dinikmati dalam pelbagai cara. Jagung yang mudah untuk ditanam ini boleh dimasak dalam pelbagai kaedah seperti bakar dan rebus. Kebanyakkan di antara kita suka akan jagung yang direbus. Selain itu, ia juga boleh ditukar menjadi snek berperisa yang menjadi kegemaran anak muda ketika di panggung wayang, iaitu bertih jagung. Biji bertih jagung boleh dibeli di pasar raya dengan harga yang berpatutan dan cara memasaknya sangat mudah. Anda tidak perlulah membeli mesin bertih jagung yang mahal kerana ia sudah memadai dengan menggunakan ketuhar untuk menukarkan biji bertih jagung tadi menjadi bertih jagung yang lazat. Bertih jagung boleh didapati dalam beberapa perisa seperti karamel atau mentega kacang. Snek ini sesuai untuk dimakan ketika anda mononton filem-filem misteri seperti Sherlock Holmes.

Senarai snek malam raya ini sangat lazat di makan beramai-ramai lebih-lebih lagi pada hari Raya yang  bermakna ini. Nikmatilah bersama orang yang tersayang dan ambil masa untuk berehat pada malam Raya pertama daripada kerja-kerja dan masalah-masalah yang dihadapi kerana anda perlukan ia! Selamat menjamu selera sambil menonton filem kegemaran semua!

 


Artikel Lain:

Mejaraya: Meriahkan Sambutan Lebaran Anda

Elak Drama Sinetron di Pagi Raya dengan Makanan Ini

print
Ili Sakinah
Ili Sakinah

Ili Sakinah loves to lepak at mamak and definitely go with teh anytime, anywhere!

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Access Token is invalid, please get it again