Sejarah Bubur Lambuk dan Bulan Ramadan di Malaysia

Umat Islam di seluruh Malaysia akan menyambut ketibaan bulan Ramadhan yang mulia pada hari Sabtu ini dan keterujaan mereka sudah boleh dirasai dan dikongsi bersama rakyat Malaysia berlainan agama. Bulan Ramadhan bukanlah sekadar satu bulan penuh keberkatan dan suci bagi umat Islam malah dilihat sebagai bulan penyatuan dan perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini. Lazimnya, bahan penyatuan dan perpaduan ini pastilah makanan kerana siapa yang ada masa untuk bertelingkah jika sibuk menikmati hidangan?

Antara makanan bulan Ramadhan yang disukai ramai seperti ayam percik, ikan bakar, lemang dan sebagainya, bubur lambuk adalah satu hidangan yang wajib ada sepanjang bulan Ramadan, khususnya di kawasan-kawasan tertentu seperti di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Tapi, sebelum itu, apakah sejarah dan asal usul bubur kegemaran semua setiap bulan Ramadhan di negara ini?

 

Bubur lambuk
Kredit: Koleksi resepi emak

 

Sejarah Bubur Lambuk

Bubur Lambuk dikatakan wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15, apabila Parameswara ataupun nama baginda selepas memeluk agama Islam, Sultan Iskandar Shah, menerima kunjungan Maharaja Hun Jen dari Kemboja yang mahukan sejenis makanan yang mudah untuk ditelan tetapi sedap dan berkhasiat. Namun begitu, sumber ini mungkin agak kabur dan terlalu jauh untuk dikaitkan dengan hidangan bubur lambuk pada bulan Ramadhan.

Satu lagi sumber mengatakan bahawa bubur lambuk mula dihidangkan di Malaysia, di kawasan Kampung Baru, Kuala Lumpur oleh Said Bank pada tahun 1950-an dan sukatan rempah ratus yang digunakan dalam penyediaan bubur lambuk ini.

Adakah sejarah ini tepat? Mungkin terdapat kebenaran dan fakta yang membentuk sejarah penghasilan bubur lambuk yang kita sedia ketahui pada hari ini, tetapi masih tidak dapat dibuktikan asal-usul dan kepentingan hidangan ini yang hanya disediakan sekali dalam setahun.

 

Cara Penyediaan Bubur Lambuk

Lazimnya, bubur ini diperbuat daripada beras dan campuran rempah serta sayuran pucuk paku miding. Namun begitu, cara masakan bubur lambuk adalah berbeza-beza mengikut negeri. Misalnya di Terengganu, kerepok keping mentah dan budu juga ditambah bagi menambah perisa.

Di samping itu, ubi keledek, udang kering dan isi daging atau ayam dimasukkan. Di negeri-negeri di utara pula, rasa lemak manis pada bubur tersebut diberi dengan masukkan santan dan kulit kayu manis. Walau bagaimanapun cara bubur tersebut disediakan, bubur lambuk masih menjadi makanan pilihan untuk dimasak di masjid-masjid di seluruh negara.

 

Ramuan bubur lambuk
Kredit: Liyasyamel

 

Ramuan bubur lambuk
Kredit: Liyasyamel

 

Bubur lambuk menjadi lambang perpaduan dan kesatuan bagi penganut agama Islam setiap kali bulan Ramadhan menjelang adalah kerana penyediaan bubur itu sendiri dilakukan secara bergotong-royong di masjid-masjid sebelum waktu berbuka puasa sepanjang bulan Ramadhan berlangsung. Adalah menarik untuk dilihat cara satu hidangan mudah seperti semangkuk bubur mampu mengeratkan silaturrahim antara individu dalam sesebuah masyarakat.

Selaras dengan matlamat bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat serta mengajar erti kesyukuran dan simpati dengan golongan  yang kurang berkemampuan, penyediaan bubur lambuk membawa pelbagai makna dan perspektif serta patut diangkat sebagai makanan rasmi pada bulan Ramadhan ini. Bagi anda yang tinggal di kawasan Kuala Lumpur, jangan ketinggalan daripada merasa hidangan bubur lambuk istimewa Masjid Jamek Kampung Baru pada bulan Ramadhan tahun ini. Barisan yang beratur menanti bubur tersebut boleh menjadi panjang tetapi nikmat makan bubur tersebut tidak terkira!

 

Anda nak tahu makanan lain yang khusus dihidangkan pada bulan Ramadhan sahaja? Bolehlah ketahui di sini.

 

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.