Sediakan 8 Makanan Popular Ramadan di Rumah!


Kredit: Gambar stok oleh YSK1/Shutterstock

Sudah tiga minggu setelah umat Islam seluruh dunia menjalankan ibadah puasa dan dalam tiga minggu ini juga, ramai yang mengambil kesempatan untuk mengunjungi bazar ramadan untuk mencari makanan kegemaran mereka untuk berbuka.

Namun begitu, dalam banyak-banyak makanan yang anda, adakah anda tahu apakah makanan wajib cuba pada bulan Ramadan ini? Pasti anda sedang menggaru-garu kepala mencari jawapannya. Tak perlu sakit kepala fikir kerana itulah tujuan saya menulis artikel ini!

Makanan Kegemaran Bazar Ramadan

Entah kenapa, pada bulan Ramadan, makanan-makanan yang selalunya kita tidak akan beli atau kita lihat ada barisan panjang menunggu untuk membeli makanan tersebut akan menjadi cukup popular semasa bulan Ramadan.

Saya cuba untuk dapatkan penjelasan di sebalik kenyataan ini tetapi malangnya, tiada jawapan yang dapat ditemui. Kemungkinan makanan ini menjadi kegilaan atau rebutan semasa bulan Ramadan kerana pada masa inilah nafsu kita untuk makanan yang berat, berlemak itu cukup tinggi. Mestilah setelah berpuasa seharian, kita nak kumpul tenaga untuk keesokan hari pula, betul tak?

Malasnya Nak Bersesak-Sesak

Pernah tak anda betul-betul mengidam nak makan sesuatu yang hanya muncul pada bulan Ramadan tetapi setelah bersesak-sesak ke bazar Ramadan terdekat, penat cari tempat letak kereta, tengok-tengok gerai yang menjual makanan tersebut sudah tutup ataupun kehabisan makanan. Memang buat hilang mood sahaja.

Oleh sebab saya pun pernah rasai perasaan terkilan begitu, saya berazam nak kongsi dengan anda resepi-resepi makanan popular bulan Ramadan igauan anda yang cukup ringkas dan mudah sehinggakan boleh saja disediakan di dapur anda terus. Ha, terasa bersemangat balik tak? Kalau ya, teruskan membaca di bawah!

1.Ayam Percik

Tak perlu ada pemanggang. Guna periuk nasi pun boleh!

Siapa yang tak suka ayam percik? Kalau ada, inilah masa untuk ubah persepsi anda! Ayam percik, kalau disediakan dengan betul, memang cukup mantap apabila makan dengan nasi putih panas-panas. Tambah pula dengan kuah sambal percik, silap haribulan memang tak menyempat anda nak berdiet menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri!

Resepi yang saya nak kongsikan di sini, memang cukup senang. Anda tak perlu susah-susah cari pemanggang bagai. Memadailah ada periuk nasi elektrik. Tak percaya? Cuba dulu resepi di bawah.

Bahan-Bahan:

  • 1/2 ekor ayam (dipotong 8)
  • 1 inci halia, dihiris nipis
  • 4 ulas bawang putih, dihiris
  • 2 biji bawang besar, dihiris
  • 1 batang cili merah, dihiris
  • 3 batang cili kering, dipotong 3
  • 2 batang serai, dititik
  • 1 helai daun kunyit, dihiris nipis
  • 2 helai daun limau purut, dicarik
  • 1 cawan santan
  • 2 sudu besar gula merah
  • 1 sudu teh garam

Cara-Cara:

1. Bersihkan ayam dan cuci sebersih-bersihnya. Tuskan air lebihan dan ketepikan.

2. Masukkan ayam ke dalam periuk serbaguna. Masukkan bahan-bahan lain ke dalam periuk.

3. Hidupkan periuk dan tetapkan pada opsyen ‘tekanan tinggi’. Tutupkan periuk dan tekan punat untuk mula masak. Biarkan selama 30-45 minit.

4. Buka penutup dengan hati-hati dan biarkan sedikit laluan udara untuk pastikan wap keluar dahulu. Tunggu selama 2 minit sebelum membuka sepenuhnya.

2. Roti John

Kredit: ohbulan.com

Walaupun tiada sesiapapun tahu dari mana sajian roti ini mendapat namanya tetapi roti John tetap menjadi buruan rakyat Malaysia setiap kali menjelangnya bulan Ramadan. Memang cukup memuaskan apabila kita dapat berbuka dengan roti yang padat dengan telur dan isi daging atau ayam bersama limpah sos cili, mayonis dan semestinya kuah keju. Wah, terliur terus saya selepas baca ayat tadi.

Namun begitu, kalau ada resepi untuk anda buat di rumah lagi bagus kerana memang anda akan pastikan roti John yang anda sediakan itu betul-betul kaw. Tiada istilah tak cukup isi atau tak cukup telur kalau anda sendiri yang buat. Berita baik untuk anda, saya ada satu resepi roti John yang 100 peratus akan buat anda mahu makan lagi dan lagi.

Bahan-Bahan:

  • 300g isi ayam/daging cincang
  • 1 biji bawang besar, dipotong dadu
  • 2 biji bawang merah, dipotong dadu
  • 1/2 sudu besar serbuk kari ayam, dibancuh dengan 1/2 cawan air
  • 1/4 sudu teh serbuk ketumbar
  • 1 sudu besar gula
  • 1 sudu teh garam
  • 4 biji telur, dipukul
  • 4 roti hotdog, dibelah tengah
  • 300g keju parut (campuran mozarella, cheddar dan parmesan)
  • 120g kobis parut


Cara-Cara:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak masak, masukkan 2 sudu bawang besar dan tumis hingga sedikit layu.

2. Masukkan bancuhan kari ayam dan serbuk ketumbar. Tumis kilas selama 2 minit.

3. Masukkan isi ayam, bawang besar dan bawang merah. Kacau rata dan masak selama 5 minit hingga bawang layu dan isi ayam masak.

4. Masukkan garam dan gula. Kacau rata dan padamkan api lalu ketepikan.

5. Masukkan sedikit telur yang sudah dipukul dan letakkan inti yang disediakan ditengah-tengah telur. Kacau sebati.

6. Panaskan kuali. Masukkan satu sudu besar minyak dan ratakan. Letakkan 3 sudu besar inti dan bentukkan mengikut saiz roti yang digunakan.

7. Letak sedikit hirisan kobis dan tabur keju secukupnya. Tunggu hingga keju cair dan inti masak. Angkat kuali dan tolak perlahan lapisan inti ke atas roti

8. Letakkan sos cili, mayonis dan sos keju. Lipat roti dan ulang langkah hingga kesemua roti digunakan.

3. Kebab

Kredit: Gambar stok oleh Food Impressions/Shutterstock

Satu sebab saya cukup suka makan kebab sebagai juadah berbuka adalah disebabkan sajian ini tidak begitu berat hinggakan akan membuat saya berasa terlalu kenyang sampai perlu melingkar seperti ular sawa baru makan.

Oleh sebab itulah, bukan sahaja saya, malah geng kaki kebab akan mencari sajian kegemaran mereka ini di setiap bazar yang dikunjungi. Namun begitu, tidak semua gerai kebab mampu menyediakan kebab sepertimana yang anda mahu. Cubalah resepi di bawah. Selepas ini, tak perlu susah-susah ke hulu dan ke hilir demi kebab idaman anda.

Bahan-Bahan:

  • 4 keping daging burger , dicincang kasar
  • 1 biji bawang Holland, dipotong dadu
  • 2 biji bawang merah, dipotong dadu
  • 3 ulas bawang putih, dipotong dadu
  • 1/2 biji kobis, diparut
  • 1/2 biji timun, diparut
  • 2 biji tomato, dipotong dadu
  • 2 batang cili merah, dihiris nipis
  • 4 batang cili padi, dihiris nipis
  • 4 keping roti pita, dibelah tengah
  • 300g keju parut
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam

Cara-Cara:

1.Panaskan dua sudu besar minyak di dalam kuali atas api sederhana besar. Masukkan bawang-bawang yang dipotong dadu dan hirisan cili lalu tumis hingga naik bau.

2. Masukkan daging burger yang dicincang kasar, goreng selama 3-5 minit. Masukkan tomato yang dipotong dadu. Kacau selama 2 minit. Perasakan dengan garam dan lada hitam. Setelah daging burger siap dimasak, angkat dan ketepikan.

3. Dalam roti pita, masukkan dua sudu besar daging yang digoreng, sesudu kobis, sesudu timun dan sesudu keju parut yang ditabur di bukaan roti pita.

4. Masukkan roti pita yang siap ke dalam ketuhar gelombang pada suhu 180 darjah celsius selama 2 minit untuk keju mencair dan meleleh. Boleh letakkan apa-apa sos yang kena dengan citarasa anda.

4. Nasi Tomato

Kredit: Food52

Tidak sah pengalaman puasa saya tanpa hidangan nasi tomato. Siapa yang boleh menahan diri daripada menikmati sepinggan nasi gebu yang mempunyai rasa asid tomato yang diseimbangkan dengan wangian rempah-ratus yang digunakan? Dihidangkan pula dengan lauk ayam masak merah, memang tak bergeraklah saya dari meja makan.

Rahsia nasi tomato yang sedap bergantung pada jenis beras, jenis rempah dan sukatan tomato puri yang anda guna. Kalau nak jumpa resepi yang betul-betul ideal memang boleh makan masa bertahun. Untuk tolong anda jimat masa dan tenaga, saya kongsilah resepi nasi tomato kegemaran saya. Memang menjadi dan paling penting, sedap sampai satu pinggan pun tak cukup!

Bahan-Bahan:

  • 2 cawan beras Basmati
  • 4 cawan air
  • 4 sudu besar minyak sapi
  • 1 sudu besar minyak sayuran
  • 2 bji bunga lawang
  • 1 batang kulit kayu manis, dibelah dua
  • 1 sudu besar buah pelaga
  • 1/2 tin susu cair
  • 1 cawan susu segar
  • 1 tin puri tomato
  • 1 genggam daun ketumbar, dihiris nipis
  • 1 helai daun pandan, disimpul
  • 1 1/2 sudu teh garam

Bahan Kisar:

  • 5 ulas bawang putih
  • 1 biji bawang besar
  • 3 biji bawang merah
  • 1 inci halia

Cara-Cara:

1.Panaskan minyak dan minyak sapi dalam kuali atas api sederhana besar. Tumis bahan kisar hingga sedikit layu. Masukkan beras, bunga lawang, kulit kayu manis dan buah pelaga hingga garing dan naik bau. Angkat dan ketepikan.

2. Dalam periuk nasi, masukkan beras yang digoreng bersama-sama rempah ratus. Masukkan susu cair dan air. Kacau rata.

3. Masukkan garam dan daun pandan. Tutup periuk nasi dan tekan butang untuk masak.

4. Sesekali, buka dan kacau nasi. Apabila nasi sudah masak, tabur hirisan daun ketumbar.

5. Murtabak

Kredit: purrfectbliss.com

Murtabak, kalau disediakan dengan betul, memang sedap! Saya, sejujurnya, bukanlah peminat murtabak. Kalau tiada pun tidak mengapa kerana murtabak yang saya pernah cuba selama ni kurang memuaskan, Ada yang doh terlalu teballah, isi kuranglah, rasa telur tak cukuplah.

Jadi, saya pun berazam untuk cari resepi murtabak yang betul-betul boleh dipercayai agar saya dapat cuba dan nikmati hidangan ini pada bulan puasa kali ini. Nasib saya memang baik kerana saya terjumpa satu resepi murtabak yang akan membuatkan anda berhenti membeli murtabak di bazar kerana resepi ini menjadikan proses penyediaan murtabak begitu senang dan ringkas. Paling penting, anda boleh ubah sukatan isi agar sesuai dengan citarasa anda.

Bahan-Bahan:

a) Kulit Murtabak

  • 4 cawan tepung gandum
  • 1 biji telur
  • 1 sudu besar susu pekat
  • 2 sudu besar marjerin
  • 1 1/2 cawan air garam

b) Inti Murtabak

  • 300g daging kisar
  • 2 biji bawang besar. dicincang
  • 6 ulas bawang putih, dicincang
  • 4 sudu besar rempah kari daging

Cara-Cara:

a) Kulit Murtabak

  1. Masukkan semua bahan kering dalam mangkuk. Kacau rata.
  2. Masukkan susu pekat dan kacau rata. kacau hingga tepung tidak melekat di tangan.
  3. Masukkan air garam sikit demi sikit. Sukatan terbaik adalah 1/2 cawan air. Jika tidak, anda perlu bereksperimen agar dapat rasa masin yang anda mahu.
  4. Uli hingga doh lembut dan licin. Biarkan selama 10 minit lagi dan uli.
  5. Bulat-bulatkan dan sapu sedikit marjerin supaya doh tak melekat antara satu sama lain, Biar rehat selama 2-3 jam. Kulit lebih gebu dan lembut jika disimpan semalaman.

b) Inti Murtabak

  1. Untuk menyediakan inti, tumis bawang besar dan bawang putih yang dipotong dadu dalam kuali yang dipanaskan atas api sederhana besar. Tumis hingga naik bau.
  2. Masukkan daging cincang dan rempah kari daging. Untuk rasa daging yang lebih kuat. Perap daging cincang dalam rempah daging selama 30 minit sebelum masak. Kacau rata.
  3. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Kacau selalu selama 5 – 10 minit hingga daging sedikit kering. Jika anda sukakan murtabak mempunyai ini yang sedikit berkuah, boleh berhenti masak apabila air daging memekat. Ketepikan.

c) Membuat Murtabak

  1. Canaikan doh roti dengan menyapu sedikit minyak hingga menjadi doh nipis.
  2. Letakkan 3 sudu besar inti atau sebanyak mana anda mahu. Lipat menjadi bentuk segi empat tepat. Picit hujung doh untuk pastikan inti takkan terkeluar.
  3. Atas kuali leper atau kuali sederhana besar, minyakkan permukaan kuali dan panaskan kuali atas api sederhana besar.
  4. Letakkan murtabak dan goreng setiap bahagian selama 3-5 minit. Sesekali periksa jika bahagian yang digoreng sudah garing atau tidak. Jika ya, terbalikkan.

6. Popia Basah

Kredit: Resepi Viral

Popia basah, baik sebagai sajian berbuka mahupun moreh, memang sentiasa sedap dimakan, khusus sekali bila betul-betul disalut dengan kuah pedas manis yang diberi sekali. Memang tertutup mata apabila makannya!

Namun begitu, membeli popia basah di bazar, ada kalanya, tak memuaskan. Ada saja yang tak kena. Tak cukup isilah, tak cukup kuahlah. Macam-macam! Apa penyelesaiannya? Buat sendirilah.

Bahan-Bahan:

a) Kulit Popia

  • (120g) 2 cawan tepung gandum
  • 1 biji telur (telur putih sahaja)
  • (177ml) 3/4 cawan air
  • 2 sudu besar cuka
  • 1/2 sudu teh garam

b) Sos

  • 15 batang cili kering, dibuang biji, direbus dan dikisar bersama 1 cawan air.
  • 1 biji bawang besar, dihiris nipis
  • 5 ulas bawang putih, dicincang
  • 2 sudu besar gula perang
  • 1 sudu besar gula pasir (jika perlu)
  • 1 sudu teh kicap manis
  • 3 sudu besar minyak untuk menumis

c) Inti Popia

  • 250g sengkuang, dikupas kulit dan disagat memanjang.
  • 1 genggam taugeh, bersihkan dan buang akar
  • 1/2 biji kobis, diracik halus
  • 1 batang lobak merah, dihiris panjang
  • segenggam udang, dibuang kepala dan ekor lalu dihiris kecil
  • 1 biji bawang besar, dicincang halus
  • 4 ulas bawang putih, dicincang halus
  • 1 sudu teh udang kering, ditumbuk halus
  • 1 sudu teh garam
  • 3 sudu besar minyak

Cara-Cara:

a) Kulit Popia

  1. Masukkan semua bahan ke dalam sebuah mangkuk. Gaul sebati. Jika adunan pekat, tambah 1-2 sudu besar air. Tutup dan biar rehat sekurangnya, 30 minit.
  2. Selepas 30 minit, panaskan kuali leper atas api sederhana besar.
  3. Ambil segenggam adunan dan ratakan di atas kuali. Pastikan kuali tidak terlalu panas semasa membuat langkah ini.
  4. Biarkan kulit popia masak dalam 2-3 minit. Angkat perlahan-lahan kulit popia dari tepi.
  5. Ulang langkah ini hingga habis doh.

b) Sos

  1. Kisar bawang besar dan bawang putih hingga halus. Panaskan minyak dalam periuk atas api sederhana besar. Tumis bahan kisar hingga wangi.
  2. Masukkan cili dan masak hingga pecah minyak. Proses ini mengambil masa selama 10 minit. Masukkan gula dan kicap manis. Kacau dan biar mereneh hingga pekat.
  3. Masukkan garam dan kacau rata. Padamkan api dan ketepikan.

c) Inti Popia

  1. Panaskan dua sudu besar minyak dalam periuk atas api sederhana besar. Tumis udang, bawang besar dan bawang putih hingga wangi.
  2. Masukkan kobis dan lobak merah. Goreng hingga layu.
  3. Masukkan taugeh, sengkuang, udang kering dan garam. Kacau rata. Padamkan api dan ketepikan.

7. Ikan Bakar

kredit: cookpad.com

Semasa berbuka puasa, anda mahu makanan yang panas-panas disediakan. Baru berselera semasa berbuka nanti. Antara makanan kegemaran yang dicari semasa bulan Ramadan ialah ikan bakar.

Pada masa inilah, ikan bakar senang didapati pada harga yang berpatutan. Kalau pada hari biasa, memang tak dapatlah ikan bakar RM 10. Namun begitu, kalau setiap hari belanja RM10 untuk ikan bersaiz kecil. Lebih baik anda sediakan sendiri. Lagi murah, lagi bersih, lagi puas.

Bahan-Bahan:

a) Ikan Bakar

  • 1 ekor ikan siakap, dicuci, dibuang sisik dan dibelah tengah
  • 1 sudu teh pati asam jawa, dicampur dengan 1/4 cawan air.
  • 1 batang serai, diketuk
  • 1 inci halia, dihiris

Bahan Kisar:

  • 3 cili merah
  • 3 cili kering
  • 3 cili api
  • 3 biji bawang merah
  • 1 ulas bawang putih
  • 1 batang serai
  • 1 sudu teh garam

b) Air Asam Jawa

  • 1 biji bawang besar, dipotong dadu
  • 1 biji tomato, dipotong dadu
  • 4 batang cili padi hijau, dihiris
  • 1 biji limau nipis, diperah jus.
  • 1 sudu teh garam

Bahan Kisar:

  • 3 biji bawang merah
  • 3 batang cili padi
  • 2 batang cili merah
  • 2 sudu besar pes asam jawa, dibancuh 1/2 cawan air.
  • 1 inci belacan, dibakar dahulu
  • 1 sudu besar gula

Cara-Cara:

a) Ikan Bakar

  1. Bersihkan ikan dan cuci ikan dengan sedikit garam kasar dan asam jawa. Sapu di bahagian luar dan dalam ikan. Boleh juga menggunakan buah limau. Ini untuk menghilangkan bau hanyir ikan
  2. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam kuali atas api sederhana besar. Masukkan bahan kisar. Tumis selama 5-10 minit hingga naik minyak.
  3. Masukkan serai, 1 sudu teh garam, halia dan air asam jawa. kacau seketika. Padam api dan ketepikan.
  4. Lapikkan dulang pembakar dengan kertas aluminium. Letakkan ikan di atas kertas. Tuang sambal yang disediakan pada seluruh ikan.
  5. Panaskan ketuhar pada suhu tinggi atau 200 darjah selsius. Boleh panaskan ketuhar awal semasa mencuci ikan dan menyediakan sambal.
  6. Masukkan ikan ke dalam ketuhar dan bakar selama 25-30 minit.

b) Air Asam Jawa

  1. Kisar semua bahan kisar secara kasar. Masukkan bahan yang dikisar kasar ke dalam sebuah mangkuk.
  2. Masukkan buah tomato dan bawang besar yang dipotong dadu serta hirisan cili hijau.
  3. Masukkan perahan jus limau nipis. Jika terlalu pekat, masukkan 1 sudu besar air masak. Kacau rata.

8. Ayam Penyet

Kredit: goblock.com

Saya memang hantu ayam penyet. Dalam seminggu, memang wajib makan 2-3 kali. Memang tak sihat tapi macam mana saya nak tolak godaan ayam berisi lembap dan berkulit rangup dilimpahi sambal berapi? Bukan saya seorang saja berasa begitu. Ramai lagi yang berada di bawah pukauan hidangan enak ini.

Keinginan saya untuk makan ayam penyet semakin memuncak sejak berpuasa. Boleh terasa di tekak rasa panas sambalnya. Daripada asyik membeli di luar, saya cuba sediakan di rumah dan resepi yang saya nak kongsi ini memang resepi terbaik untuk dibuat bila mengidam nak makan ayam penyet. Cepat dan senang nak dibuat.

Bahan-Bahan:

a) Ayam

  • 1 ekor ayam, dipotong 8
  • 1/2 sudu besar jintan manis
  • 1/2 sudu besar jintan putih
  • 2 sudu besar ketumbar
  • 1 sudu besar serbuk kari ayam
  • 1 sudu besar serbuk kunyit
  • 4 ulas bawang putih, dihiris
  • 1 inci halia, dihiris
  • 1/4 cawan air
  • 1 sudu teh garam
  • 1/2 cawan tepung beras
  • 1 biji telur

b) Sambal Penyet

  • 10 batang cili padi
  • 10 batang cili merah
  • 5 biji bawang merah, dibelah 4
  • 10 ulas bawang putih, dihiris
  • 5 biji tomato, dibelah 4
  • 3 inci belacan, dibakar
  • 2 sudu besar ikan bilis
  • 3 sudu besar gula
  • 3 biji limau nipis, diperah jus

Cara-Cara:

a) Ayam

  1. Cuci ayam bersih-bersih dan rebus dalam periuk atas api sederhana. Rbus ayam selama 20 minit hingga empuk.
  2. Apabila ayam sudah empuk, angkat keluar ayam dan letak di dalam besen.
  3. Dalam kuali atas api kecil. tumis darat jintan manis, jintan putih dan ketumbar hingga wangi. Ketepikan.
  4. Masukkan bahan yang ditumis ke dalam pengisar dan masukkan serbuk kari, serbuk kunyit, lada sulah, halia, bawang putih dan garam.
  5. Masukkan sedikit air dan kisar hingga halus.
  6. Lumurkan rempah yang dikisar atas ayam yang direbus. Perap ayam selama 2 jam.
  7. Apabila sudah lama disimpan, keluarkan ayam dan sediakan celuran.
  8. Dalam mangkuk, masukkan tepung beras dan telur. Kacau rata. Masukkan 1 sudu teh garam, jika perlu.
  9. Celupkan ayam dalam campuran tepung dan telur lalu goreng dalam kuali berisi minyak atas api sederhana besar.
  10. Goreng ayam sehingga menjadi kuning keemasan.

b) Sambal

  1. Masukkan 3 sudu besar minyak dalam kuali yang dipanaskan atas api sederhana besar. Goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan ketepikan.
  2. Masukkan cili merah, cili padi, bawang merah dan tomato. Tumis hingga lembut. Angkat dan biarkan sejuk selama 2 minit.
  3. Masukkan ikan bilis, bahan ditumis dan belacan ke dalam pengisar dan kisar hingga halus.
  4. Dalam kuali yang sama, masukkan bahan kisar dan tumis hingga harum.
  5. Masukkan gula dan garam. Masukkan jus limau. Kacau rata. Angkat dan ketepikan.

Bazar di Rumah!

Anda semangat tak nak sediakan kesemua makanan ini? Oleh sebab minggu ini ialah minggu terakhir kita berpuasa, jangan lepaskan peluang untuk menikmati puas-puas kesemua makanan ini. Nanti kena tunggu bulan puasa tahun depan pula supaya dapat rasa perasaan berbuka dengan makanan ini. Kalau tidak, sediakan saja pada bila-bila masa anda teringin nak makan.

Selamat mencuba!

print
Azrene Jasmine
Azrene Jasmine

Azrene Jasmine is a Penangite with a stomach of gold. Though currently she is in a love/hate relationship with the weighing scale, Azrene truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Something is wrong.
Instagram token error.
Load More