7 Sajian Kegemaran Tan Sri P. Ramlee yang Anda Tidak Tahu

Allahyarham Tan Sri Datuk Amar Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Putih ataupun lebih mesra dikenali dengan nama P. Ramlee merupakan seorang seniman yang tidak asing lagi kepada setiap rakyat Malaysia, Singapura dan juga seluruh dunia.

Dengan bakat beliau sebagai pelakon, pengarah, pelawak, penyanyi dan penulis lagu, beliau telah mengangkat arena perfileman dunia ke peringkat antarabangsa. Sehingga kini, terdapat ramai orang, baik dalam kalangan generasi baru mahupun yang lama masih terasa terkesan dek penangan mesej yang disampaikan menerusi karya beliau.

 

Selamat Hari Lahir, P. Ramlee!

Pada tanggal 22 Mac 1929, lahirlah seorang seniman paling agung yang pernah hidup di Malaysia. Jadi, sempena ulangtahun kelahiran P. Ramlee, Butterkicap mengambil kesempatan untuk berkongsi dengan anda 7 jenis sajian yang menjadi kegemaran P. Ramlee.

Bagi peminat-peminat setia P. Ramlee, inilah peluang untuk anda mengenali secara dekat seniman kegemaran anda ini dan boleh mencuba untuk menyediakan hidangan kegemaran beliau di rumah. Anda juga boleh menggunakan senarai tersebut untuk mendapatkan inspirasi sajian yang bertemakan filem atau lagu P. Ramlee.

Sebelum itu, ayuh kita lihat apakah hidangan yang diminati oleh beliau.

 

Puyuh Goreng Kunyit

Tidak ramai yang menggemari daging burung puyuh berbanding daging ayam. Kenyataan ini bukannya disebabkan burung puyuh tidak enak. Sebaliknya, burung puyuh mempunyai banyak manfaat khasiat seperti mencegah dan mengurangkan risiko penyakit jantung serta strok, menurunkan tekanan darah tinggi, meningkatkan jisim otot dan menguatkan tulang.

Patutlah P. Ramlee cukup sukakan daging puyuh!

Burung puyuh dapat dimasak menurut pelbagai cara. Namun begitu, cara yang paling ringkas tetapi menyelerakan untuk memasak burung puyuh ialah sajian kegemaran P. Ramlee iaitu burung puyuh dimasak kunyit. Penyediaan sajian ini mudah sahaja kerana memerlukan sedikit bahan sahaja.

Ikan Keli Berlada

P. Ramlee merupakan seseorang yang sangat merendah diri dan bersikap sederhana meskipun beliau terkenal. Sajian kegemaran kedua P. Ramlee menggambarkan personaliti beliau ini.

Ikan keli merupakan ikan yang sering menjadi menu utama bagi golongan yang tinggal di luar bandar, terutamanya di kawasan bendang. Namun begitu, ikan keli tidak begitu diminati kerana terdapat anggapan bahawa ikan keli adalah tidak bersih.

Jika anda berasa teragak-agak untuk mencuba kerana anggapan tersebut, sajian kegemaran P. Ramlee inilah yang paling sesuai untuk anda cuba dahulu. Percayalah, rasa ikan keli yang berlemak dan sedikit pedas akan membangkitkan selera anda.

 

Pucuk Paku Masak Lemak

Masyarakat Melayu sememangnya sangat menggemari masakan lemak tetapi tiada yang dapat menandingi masak lemak pucuk paku.

Pucuk paku masak lemak merupakan antara sajian kegemaran P. Ramlee kerana lauk tersebut begitu ringkas tetapi cukup kaya dengan rasa. Selain itu, tidak sahlah kalau mana-mana rakyat Malaysia menggelar diri mereka sebagai warganegara negara ini jika mereka tidak mencuba masakan kampung ini.

 

Bubur Pulut Hitam

Pada zaman dahulu, pencuci mulut ataupun manisan bukanlah suatu kemewahan sepertimana sekarang. Pencuci mulut tradisional, lazimnya adalah sangat berkhasiat dan dinikmati sebagai minum petang dan salah satu daripada pencuci mulut kegemaran pada ketika itu ialah bubur pulut hitam.

Bubur pulut hitam merupakan suatu hidangan pencuci mulut yang diperbuat daripada  pulut hitam dan santan kelapa. Rasa bubur yang lemak dan tidak terlalu manis memang cukup sesuai untuk dijadikan sebagai penutup selepas menikmati hidangan yang berat.

 

Kari Ikan Bawal Berbendi

Sebagai seseorang yang dilahirkan di Pulau Pinang, semestinya P. Ramlee membesar dengan sajian berkari seperti kari ikan. Kari ikan ini merupakan satu variasi kari yang merupakan gabungan masakan gulai Melayu dan juga kari India. Lazimnya, kari ikan ini dimakan dengan nasi panas ataupun roti, khususnya apabila kuah kari ini memekat.

Bagi sesiapa yang tidak pernah mencuba kari ikan ini, anda boleh mencuba sekarang dengan resipi kari ikan bawal berbendi Butterkicap.

 

Ikan Kering Masin

Ikan kering selalunya dilihat sebagai makanan pantang tetapi itu tidak bermakna ikan kering masin tidak menyelerakan. Sajian ini merupakan makanan kegemaran P. Ramlee kerana rasa ikan kering masin dan nasi panans memang sudah cukup untuk menaikkan selera makan anda. Dalam sekelip mata, anda akan habis tiga hingga empat pinggan.

Satu perkara tentang ikan kering masin ialah anda boleh menikmati ikan tersebut begitu sahaja ataupun dengan menjadikan dalam bentuk gulai. Untuk mendapatkan resepi gulai ikan kering masin untuk cuba disediakan di rumah, anda boleh klik di sini.

 

Cekodok Pisang

 

Perkara menarik tentang cekodok pisang ialah sajian ini sesuai dinikmati pada bila-bila masa, baik sebagai snek ataupun minum petang. Oleh sebab cekodok pisang ini begitu mudah untuk disediakan dan menyelerakan, pastinya hidangan tersebut dinikmati oleh semua termasuklah seniman agung P. Ramlee.

 

 

Adakah anda terkejut ataupun sudah tahu dengan senarai makanan kegemaran P. Ramlee ini? Adakah kami ada terlepas apa-apa makanan kegemaran P. Ramlee yang lain? Sila tinggalkan komen di bawah dan kongsilah artikel ini bersama rakan-rakan atau ahli keluarga anda.

Jika anda ingin menyediakan semua sajian ini, anda boleh mendapatkan resepi semua sajian kegemaran anda di artikel kami: 7 Classic Recipes of P. Ramlee’s Favourite Foods dan tontonilah filem-filem beliau sambil menikmati sajian-sajian ini.

Akhir kata, selamat ulangtahun Tan Sri P. Ramlee dan beliau sentiasa berada di dalam hati serta minda masyarakat Malaysia.

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.