Resepi Kek Karot Keluarga yang Cukup Menyelesakan

Easy Carrot Cake Recipe
Lembap dan gebu, serpihan kacang walnut membuat setiap gigitan lebih menyelerakan!

Nak tahu satu rahsia yang sudah bertahun menjadi sebahagian daripada jamuan keluarga saya? Rahsianya? Satu resepi kek karot yang begitu mudah tapi sudah cukup untuk membuat sesiapa sahaja gembira dan ceria selepas satu suapan. Itulah yang saya asyik saksikan sejak kecil. Saya merasakan ada sesuatu yang istimewa tentang kek=kek klasik begini. Ia tak kelihatan begitu cantik atau menyelerakan tapi apabila anda makan kek ini, perasaan yang terbit seindah pelukan nenek, betul tak?

Perasaan selesa yang hanya anda dapat rasakan selepas menikmati kek karot ini semestinya perlu dikongsi bersama dunia. Lagipun, makanan patut dikongsi dan saya betul-betul percaya bahawa air tangan ialah rahsia sebenar di sebalik keenakan setiap makanan.

Kek Karot Melembutkan Hati yang Keras

Lumrah bagi setiap yang disukai, pasti ada yang membenci. Begitulah nasib si kek karot ini tapi saya tahu kuasa kek karot ini. Walau sekeras manapun hati anda, satu gigitan kek ini pasti akan mencairkan anda. Kenapa, anda tanya? Kek ini sangat lembap tapi masih mempunyai tekstur yang membuat anda tak puas dengan satu gigitan!

Paling penting sekali, kek ini sesuai untuk dijadikan hidangan minum petang ataupun untuk majlis keramaian formal seperti kenduri kahwin. Dihias pula dengan krim keju yang lemak manis, percayalah apabila saya katakan kek karot ini tiada tandingannya. Dan ya, saya memang bersikap berat sebelah apabila berkata begitu.

Jangan terkejut kalau saya kata ada orang yang pelik di luar sana yang tak sukakan kek karot. Mungkin juga mereka berpendapat begitu kerana tak pernah cuba resepi mak saya ini. Saya sendiri tak suka membeli kek-kek karot yang anda boleh dapati di rantaian atau cawangan kafe makanan yang komersial. Hal ini demikian kerana perisa kek karot yang disediakan di rumah memang tiada tandingannya. Saya gembira nak berkongsi dengan anda satu berita baik. Resepi kek karot ini berjaya menukar pendapat ramai orang yang tak sukakan kek karot selama ini dan menjadi peminat resepi ini selepas mencuba.

Tekstur kek karot ini adalah seperti kek karot yang lain tetapi ia disediakan dengan meletakan parutan lobak merah yang banyak, segenggam kismis, serpihan kacang walnut yang ditabur untuk memberi kerangupan dan sedikit serbuk kayu manis untuk memberi bau kek yang mengasyikkan. Ditambah pula dengan krim keju berlemak sebagai hiasan, anda takkan cari kek lain apabila teringin nak makan sesuatu yang manis.

Nak Buat Senang, Nak Makan Lagi Senang

Apa yang saya sukakan tentang kek karot ialah kek ini cukup mudah untuk disediakan, khususnya menerusi resepi ini yang tak memerlukan anda membuat adunan menggunakan pengadun elektrik. Anda perlu berpeluh sedikit semasa menyediakan parutan lobak dan memotong kacang walnut. Tapi, langkah-langkah selepas itu mudah saja. Tak hilang kudrat anda pun. Mari kita sama-sama tengok resepinya!

Masukkan semua bahan kering

Bahan-Bahan:

a) Kek Karot

  • 250g (2 cawan) tepung serbaguna
  • 350g (1 3/4 cawan) gula
  • 330g (3 cawan) lobak merah, diparut
  • 120g (1 cawan) kacang walnut, dicincang
  • 75g (1/2 cawan) kismis (opsyenal)
  • 2 sudu teh serbuk kayu manis
  • 1 sudu teh garam
  • 4 telur sederhana besar
  • 225g (1cawan) minyak sayuran atau minyak jagung
  • 50g (1/4 cawan) susu
  • 2 sudu teh soda bikarbonat

b) Krim Keju

Sukatan untuk kek satu lapis sahaja. Gandakan ukuran kalau anda membuat kek berlapis atau bertingkat.

  • 100g krim keju penuh lemak, lembut tapi masih sejuk apabila disentuh
  • 100g mentega asin, lembut tapi masih sejuk apabila disentuh
  • 200g (2 cawan) gula aising
  • 1 sudu teh ekstrak vanila tulen

Cara-Cara:

a) Kek Karot

  1. Panaskan ketuhar pada suhu 170C pada tetapan pemanasan konvensional (tiada kipas).
  2. Sediakan satu atau dua dulang bakar kek 9 inci, bergantung berapa banyak lapisan anda nak sediakan. Sapukan mentega dan tepungkan permukaan dulang kek.
  3. Parut lobak merah dan cincang kacang walnut. 3 lobak merah bersaiz besar dapat memberi anda 3 cawan parutan.
  4. Dalam mangkuk besar, masukkan lobak merah diparut, kacang walnut cincang, tepung serbaguna, gula, serbuk kayu manis dan garam. Anda juga boleh masukkan kismis juga. Kacau dengan sudip atau sudu besar hingga adunan kelihatan sekata.
  5. Pecahkan telur dalam mangkuk kecil berasingan. Pukul telur dengan garfu hingga sekata sebelum menuang telur ke dalam mangkuk berisi bahan kering. Kacau.
  6. Masukkan minyak dan kacau rata.
  7. Secara berasingan, masukkan soda bikarbonat ke dalam susu. Kacau hingga soda bikarbonar terlarut.
  8. Masukkan susu dicampur soda bikarbonat ke dalam adunan utama. Kacau rata.
  9. Tuang adunan ke dalam dulang kek yang disediakan. Untuk membakar satu adunan sahaja, bakar selama 60 hingga 70 minit, bergantung pada ketuhar anda. Kalau anda putuskan untuk bahagikan adunan anda kepada dua untuk menghasilkan kek karot berlapis, bakar selama 45 hingga 50 minit. Ingat, anda boleh periksa kek anda sudah siap masak atau tidak dengan mencucuk lidi di tengah-tengah kek anda. Kalau bersih, maksudnya, kek ada sudah siap dibakar.
  10. Apabila sudah siap, biar kek menyejuk sepenuhnya dan letakkan krim keju di atas sebelum menghidang.

b) Krim Keju

  1. Untuk menyediakan krim keju ini, gunakan pengadun elektrik untuk memukul krim keju dan mentega bersama pada kelajuan sederhana tinggi hingga halus, selama 2 minit.
  2. Masukkan gula aising dan ekstrak vanila. Teruskan memukul hingga adunan menjadi ringan dan gebu. Krim frosting ini mestilah lembut tapi masih boleh dibentuk. Kalau krim keju anda terlalu cair, mungkin anda, seperti kami, tinggal di negara beriklim khatulistiwa dan cuaca panas telah membuat krim anda tak jadi. Anda boleh simpan krim keju anda dalam peti sejuk selama 10 hingga 15 minit atau masukkan sedikit lagi gula aising. Kalau krim keju terlalu pekat, tambah satu sudu teh susu.
Kek karot dengan hiasan krim keju di atas. Cukup memikat!

Tip Tambahan:

  • Anda boleh menggunakan pengisar makanan untuk memarut lobak merah tapi saya cadangkan anda parut sendiri. Tekstur kek anda akan menjadi lebih baik.
  • Kalau anda alah dengan kekacang atau tak sukakan kacang, tak perlu masukkannnya ke dalam kek.
  • Kalau anda tak sukakan kacang walnut, anda boleh gantikannya dengan kacang pecan.
  • Kalau anda berasa terlebih rajin, anda boleh panggang kacang walnut atau pecan anda dulu untuk menjadikan kek anda lebih savouri. Ia dapat menyeimbangkan rasa kek yang manis dan gebu.
  • Kalau anda bercadang untuk membuat kek berlapis atau bertingkat dan sukakan nenas, cincang sedikit nenas dan masukkan ke dalam aising di lapisan di tengah. Begini, hantu nenas akan berasa lebih puas menikmati resepi kek karot ini. Kalau anda tak suka, tak perlu masukkan atau boleh buang semasa makan nanti.

Kek ini begitu versatil dan betul-betul mudah untuk disediakan. Dengan jumlah lobak merah yang diperlukan untuk resepi ini, peluangnya sangat tipis untuk anda mendapat kek yang kering. Paling penting sekali, anda dapat sediakan kek ini tanpa menggunakan sebarang peralatan canggih.

Kek yang Mewarnai Masa Silam dan Masa Depan Kita

Apabila saya menyediakan kek ini, saya teringat kali pertama saya cuba memahami tulisan mak saya dalam buku catatan beliau yang sudah lusuh. Saya teringat kenangan-kenangan saya membuat kek bersama mak semasa kecil dulu. Saya teringatkan setiap sambutan hari lahir, perkahwinan dan sesi membuat kek bersama anak-anak saya kini. Inilah kenangan saya yang akan saya simpan selamanya dan saya pasti kenangan saya dengan resepi ini akan lebih indah di masa hadapan nanti.

Kek ialah sebahagian daripada keluarga kami

Anda ada resepi keluarga yang diturun dari generasi ke generasi? Kalau anda sudi, berkongsilah dengan kami. Lebih daripada itu, saya ingin ketahui kisah di sebalik hidangan keluarga anda ini. Tanpa kisah ini, apalah signifikan resepi keluarga ini, betul tak?

Berkongsilah bersama saya resepi dan kisah anda ini agar kita sama-sama dapat berkenalan dan menyelami perasaan dan keistimewaan resepi yang anda kongsi. Anda boleh hantarkan kisah dan resepi anda di
Butterkicap profil Instagram and Facebook.

Sementara anda berada di sini, anda boleh cuba resepi kegemaran keluarga anda seperti Kek Nenas Upside Down saya ini atau resepi keluarga lain seperti Kek Marmar Nescafe Klasik oleh Salwah,

print
Elina Jasmi
Elina Jasmi

Elina aspires to eat well always, make healthy choices occasionally (hey, what is life without dessert), laugh as often as possible and discover more sinful eats to rave about.

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Access Token is invalid, please get it again