Pesta Ka’amatan: Sejarah, Makanan & Signifikasi

Kredit: https://upload.wikimedia.org

Uniknya Malaysia, ia tidak hanya sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian masyarakat, budaya dan makanan, tetapi juga sebuah negara yang mempunyai banyak perayaan untuk disambut bagi setiap tahun. Dalam setahun, mereka yang tinggal di Malaysia berpeluang merasai beberapa kali perayaan, yang meskipun disambut oleh masyarakat daripada kaum dan etnik yang berbeza, tetap juga boleh dirasai kemeriahannya bersama-sama.

Salah satu perayaan yang paling ditunggu-tunggu, terutamanya bagi masyarakat Sabah saban tahun pada 30 dan 31 Mei ialah Pesta Ka’amatan. Pesta Ka’amatan, atau turut dikenali sebagai Tadau Ka’amatan bagi penduduk setempat, merupakan sebuah perayaan yang disambut khusus oleh masyarakat Kadazandusun. Disebabkan padi merupakan tanaman utama di Sabah, Pesta Ka’amatan merupakan suatu perayaan yang begitu signifikan dan penting untuk kesemua rakyat Sabah juga umumnya.

Menelusuri sejarah Tadau Ka’amatan secara mendalam, ternyata akan memberi suatu perasaan yang berbaur dek kerana asal usul wujudnya Pesta Ka’amatan terjadi kerana menghormati pengorbanan Hominodun, satu-satunya anak kepada Tuhan Kinoingan yang dikorbankan bagi memastikan kelangsungan hidup masyarakat Kadazandusun melalui padi yang tumbuh setelah Hominodun dikorbankan. Namun begitu, secara amnya, Pesta Ka’amatan disambut setelah habis musim menuai bagi menghormati semangat padi dan juga sebagai hari kesyukuran di atas rezeki yang diberikan.

Pelbagai sambutan menarik yang akan dilakukan pada hari Pesta Ka’amatan, yang merangkumi kesemua budaya masyarakat Kadazandusun yang unik dan istimewa bermula daripada pakaian, hiburan, kesenian sehinggalah ke makanannya.

Hari tersebut tidak akan lengkap tanpa dimulai dengan ‘Magavau’, salah satu upacara penting pada hari Pesta Ka’amatan di mana Semangat Padi akan diseru dan tanpanya, pesta tersebut tidak dapat dijalankan. Secara tradisionalnya, upacara Magavau akan dijalankan di sawah padi pada bulan penuh yang pertama setelah habis musim menuai. Sekumpulan penduduk kampung yang akan diketuai oleh seorang pahlawan lelaki akan membacakan mantera sambil perlahan-lahan berarak kearah sawah padi sambil menyembahkan makanan yang terbaik – daging ayam yang paling berkualiti, telur, tembakau dan juga wain beras yang terbaik. Namun kini, upacara ini hanya dijalankan di dalam rumah sebelum bermulanya perayaan.

Kredit: www.sayangsabah.com

Aktiviti yang wajib pada hari pesta sudah semestinya persembahan dan pertandingan tarian Sumazau, Unduk Ngadau dan juga Sugandoi. Tarian Sumazau ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan digerakkan umpama kipasan sayap burung dan akan diiringi paluan gong. Gerakannya yang begitu berseni dan lemah gemalai, ditambah dengan pakaian tradisional yang dipakai ketika menari tarian ini pasti akan memukau sesiapa sahaja.

Unduk Ngadau pula ialah sebuah pertandingan ratu cantik dan merupakan acara yang paling ditunggu-tunggu ketika Pesta Ka’amatan. Pemilihan awal akan diadakan bagi mencari wakil peserta Unduk Ngadau di setiap daerah Sabah, yang seterusnya akan mewakili daerah mereka ke kemuncak acara Unduk Ngadau Ka’amatan yang bertempat di Hongkod Koisan Kadazandusun Cultural Association (KDCA), Sabah. Manakala Sugandoi pula ialah aktiviti menyanyi ataupun pertandingan karaoke yang diadakan bagi memeriahkan suasana pesta.

Bercakap mengenai makanan ketika Pesta Ka’amatan, masyarakat Kadazandusun mepunyai beberapa menu makanan dan minuman istimewa yang hanya disajikan ketika hari istimewa ini:

Hinava

Kredit: http://1.bp.blogspot.com

Hinava merupakan sejenis resepi istimewa dari Sabah yang tidak menggunakan apa-apa kaedah masakan. Selalunya isi ikan tenggiri digunakan untuk membuat hinava, dengan cara memerah asam limau ke atas isi ikan yang telah ditumbuk dan setelah itu digaul bersama beberapa lagi bahan lain seperti bawang merah, bawang putih, halia dan juga garam. Terdapat beberapa versi hinava, bergantung kepada kesukaan si pembuatnya seperti dimasukkan bahan-bahan lain seperti peria, daun kesum, biji bambangan dan juga cili padi.

Noonsom

Nonsoom ataupun dipanggil nonsoom bambangan ialah sejenis makanan jeruk yang diperbuat daripada buah bambangan separuh masak yang dicampur bersama biji buah bambangan kering yang diparut dan ditambah garam, dan dibiarkan untuk menajdi jeruk selama beberapa minggu sebelum dimakan.

Ambuyat

Kredit: http://www.mamadarwiish.com

Ambuyat ialah makanan yang berasal daripada batang rumbia ataupun sagu. Cara membuatnya agak rumit dan boleh mengambil masa dua hingga ke tiga hari untuk dibuat. Selalunya dimakan bersama sambal atau pelbagai jenis lauk pauk.

Kinomol

Diperbuat daripada tapai beras yang diperam, kinomol ialah sejenis minuman beralkohol yang selalunya dihidangkan ketika Pesta Ka’amatan.

Selain makanan dan minuman yang disebutkan, terdapat beberapa jenis lagi hidangan tradisional yang biasa dihidang ketika Pesta Ka’amatan seperti pinasakan, bosou, sup manuk lihing, tapai, bahar dan juga montoku. Ini menjadikan Pesta Ka’amatan begitu ditunggu-tunggu oleh masyarakat yang meyambutnya.

Ternyata Pesta Ka’amatan ataupun Tadau Ka’amatan merupakan suatu tradisi perayaan yang unik di Malaysia daripada setiap segi. Selain menjadi sebuah perayaan adat resam yang istimewa, Pesta Ka’amatan juga secara tidak langsung mampu mempromosikan Malaysia di mata pelancong luar dengan mengetengahkan budaya yang tidak terdapat di tempat lain secara amnya dan juga mampu membawa mesej keharmonian, rasa syukur dan kebersamaan bagi seluruh rakyat Malaysia khususnya.

Bagi yang menyambut Pesta Ka’amatan, ‘Kopivosian Tadau Ka’amatan’ kami ucapkan!

print
Bibi Mokrat
Bibi Mokrat

Fresh-from-the-oven writer who actually takes pride in the quote 'Women belongs in the kitchen' because that's exactly where she wants to be - most of the time

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Access Token is invalid, please get it again