Nasi Daun Pisang: Pilihan Makanan Brunch Rakyat Malaysia

Nasi daun pisang untuk makan tengah hari? Boleh saja! Untuk makan malam pun boleh…

Kredit: Urban Palate by Hilary Ho

Nasi daun pisang. Siapa yang tak tahu tentang hidangan masyarakat India yang menjadi kegemaran ramai ini? Sudah boleh terbayang hidangan nasi dan tiga jenis lauk sayur sampingan yang diletakkan begitu cantik di atas sehelai daun pisang dan dilengkapi dengan semangkuk dal dan raita di tepi. Pasti ramai yang dah kecur air liur melihat deskripsi ringkas makanan kegemaran semua ini.

Namun begitu, janganlah kita tahu makan sahaja dan langsung tidak mengetahui apa-apa berkenaan dengan makanan yang kita makan. Kalau orang luar tanya, termangu-mangu kita nak menjawab nanti. Jadi, untuk elakkan situasi yang kekok apabila anda membawa rakan anda menjamah nasi daun pisang, anda bolehlah kongsi maklumat tentang asal-usul nasi daun pisang Butterkicap ini dengan mereka!

 

Asal-Usul Nasi Daun Pisang

Kredit: Travelling Spoon

Hidangan istimewa ini berasal dari India Selatan dan dibawa ke Malaysia apabila penduduk-penduduk tinggal di India Selatan berhijrah ke Tanah Melayu semasa tempoh penjajahan British di Tanah Melayu. Hidangan tersebut merupakan hidangan vegetarian atau hidangan bersayur yang sering kali dihidangkan di kuil-kuil selepas upacara sembahyang atau semasa pesta keraian atau perayaan.

Setelah berhijrah ke Malaysia, masyarakat India telah menjadikan hidangan nasi daun pisang ini sebagai hidangan makan tengah hari mereka semasa bekerja di ladang-ladang. Penggunaan daun pisang ini adalah sebagai pengganti pinggan dan bukannya untuk dimakan. Penggunaan daun pisang ini adalah kerana  terdapat banyak pokok pisang yang boleh didapati, baik di India mahupun di Tanah Melayu selain daripada meningkatkan lagi kepelbagaian penggunaan pokok pisang. Selain itu, makan dengan daun pisang tidak memerlukan anda mencuci pinggan anda dan tidak mencemarkan alam sekitar apabila dibuang.

 

Lauk-Lauk Nasi Daun Pisang

Kredit: My Kitchen Trials

Nasi daun pisang biasanya dihidang dengan nasi putih atau nasi parboil dan diletakkan bersama tiga pilihan lauk bersayur yang sering kali terdiri daripada peria, labu air dan labu disamping acar, raita atau rasam. Namun begitu, terdapat juga hidangan berdaging seperti ayam, kambing dan makanan laut seperti udang, ketam serta ikan.

Hidangan nasi daun pisang disediakan sebanyak dua kali, yang mana hidangan nasi yang pertama disertakan bersama lauk pauk dan kuah kari, dal atau sambar untuk anda nikmati. Hidangan nasi yang kedua pula disertakan dengan semangkuk kecil yogurt atau raita yang bertindak untuk membersihkan palet anda.

 

Etika Makan Nasi Daun Pisang

Kredit: Time Out

Makan nasi daun pisang memerlukan anda untuk mematuhi beberapa etika. Hal ini demikian kerana makan makanan hidangan ini merupakan satu seni dan jika tidak mematuhi etika yang ditetapkan, anda mungkin, dengan tidak sengaja menghina pelayan anda. Anda perlulah makan dengan tangan kanan. Anda boleh sahaja makan dengan sudu dan garfu tapi rasa nikmat makan tersebut akan hilang. Selain itu, anda perlulah melipat daun pisang anda selepas makan sebagai tanda anda sudah selesai makan. Anda juga perlu melipat daun pisang anda itu ke arah anda sebagai tanda anda menghargai makanan yang dihidangkan dan anda menikmati pengalaman makan nasi daun pisang tersebut. JANGAN lipat daun pisang ke hadapan! Itu tanda anda tidak sukakan makanan tersebut dan tidak akan datang lagi untuk makan. Di samping itu, lipat ke hadapan juga tanda mengucapkan takziah.

 

Itulah sedikit sebanyak sejarah nasi daun pisang yang kita ketahui di Malaysia. Jadi, apabila anda keluar makan nanti pada waktu hujung minggu ini, anda bolehlah berbual tentang sejarah dan asal-usul makanan tradisi ini nanti.

 

print
Azrene Jasmine
Azrene Jasmine

Azrene Jasmine is a Penangite with a stomach of gold. Though currently she is in a love/hate relationship with the weighing scale, Azrene truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Access Token is invalid, please get it again