Kuih Raya Klasik Dengan Sentuhan Moden

 

Setelah sebulan berpuasa, para Muslimin di seluruh dunia akan menyambut hari raya Aidilfitri bagi menandakan kemenangan dalam menentang hawa nafsu. Di Malaysia, hari raya mempunyai auranya yang tersendiri. Meskipun perayaan yang disambut mungkin agak berbeza mengikut negeri malahan keluarga daripada segi juadah yang dihidang dan tradisi ketika hari ketupat, namun yang pasti: setiap rumah pasti akan mempunyai bekalan kuih raya!

Hari raya sudah tentu tidak terasa kemeriahannya tanpa dilengkapi dengan kuih raya sebagai kudapan untuk dihidang kepada para tetamu yang datang berkunjung ke rumah. Terdapat pelbagai jenis kuih raya yang popular di Malaysia, antaranya kuih Almond London, kuih batang buruk, biskut Arab, rempeyek dan aneka jenis lagi. Selain dibuat sendiri, biskut raya juga akan banyak dijual di merata tempat bak cendawan tumbuh selepas hujan seawal masuknya bulan Ramadhan lagi.

Justeru itu, para peniaga kini telah bijak mengolah resepi kuih tradisional yang sedia ada dengan nafas moden agar biskut raya yang dijual mereka mempunyai tarikannya yang tersendiri dan lain daripada yang lain.

Kuih Kapit Berinti

Kredit: http://www.kuali.com

Kuih kapit merupakan sejenis snek yang ringkas berbentuk bulat dan dilipat menjadi segitiga. Selain menjadi kudapan di hari-hari biasa, kuih kapit juga menjadi pilihan ketika hari raya sebagai salah satu pilihan kuih yang menjadi kegemaran.

Jika dahulu, yang mungkin anda biasa dapati di kedai-kedai adalah kuih kapit kosong tanpa inti di dalamnya, bukan? Seiring perubahan selera dan permintaan, kini terdapat kuih kapit yang mempunyai inti di dalamnya. Kuih kapit versi moden ini selalunya berintikan coklat, Nutella dan juga mentega kacang.

Biasanya berharga sekitar RM25 hingga RM30 sebalang, kuih kapit berinti ini dikatakan lebih sedap dek gabungan kerangupan kuih bersama inti coklatnya yang cair di mulut.


Popiah Gulung Cheese

Kredit: Lydsunshine

Apabila pergi beraya di rumah nenek kesayangan, kami yakin salah satu daripada pilihan kuih raya yang wajib ada di dalam balang di atas meja ialah popiah gulung mini yang berintikan sambal daging atau udang. Ini merupakan ‘kuih raya’ kegemaran sepanjang zaman bagi mereka yang telah berusia, mungkin kerana rasanya yang savori dan ringkas namun sedap.

Kini, berbanding popiah gulung atau simpul mini yang biasa, popiah itu sendiri telah ditukar rasanya menjadi lemak manis berkrim berbanding savori dengan cara meyalutnya dengan nestum mahupun gula dan susu tepung.

Selain nestum dan susu, terdapat juga popiah yang digulung dan disadur dengan tepung keju. Resepi yang terbaru ini mempunyai dua pilihan sahaja: sama ada anda menyukainya atau membencinya.

 

Semperit Aneka Perisa

Butterkicap/Semperit

Kuih semperit mempunyai peminatnya yang tersendiri. Meskipun hanya ringkas untuk dibuat menggunakan bahan-bahan asas seperti tepung, gula, telur dan mentega, ternyata hasilnya begitu lazat dan rangup.

Biskut semperit tradisional mempunyai rasa yang lemak dan cair di dalam mulut. Selalunya ia berwarna putih gading ataupun kekuningan dan dibuat dalam bentuk bunga daisi.

Hasil inovasi mereka yang kreatif, semperit yang biasa telah diubahsuai menjadi pelbagai perisa seperti semperit susu, strawberi, keju dan juga coklat.

 

Suji Badam & Coklat

Kredit: Resepi Citarasawan

Berbentuk putih, bulat dan comel, kuih suji selalunya antara kuih yang paling cepat habis apabila dihidangkan kepada para tetamu yang datang beraya. Ini kerana, rasanya yang lemak, cukup lembut dan tidak terlalu manis, membuatkan sesiapa sahaja tidak boleh berhenti memakannya pada kepingan pertama.

Biskut suji yang asli dan tradisional menggunakan mentega, tepung gandum, kuning telur, esen vanilla, tepung suji, tepung jagung dan gajus yang ditumbuk. Namun kini, terdapat biskut suji versi moden dimana berbanding biji gajus, ia sebaliknya diadun bersama kacang badam.

Selain badam, terdapat juga kuih suji yang diletakkan coklat di atasnya, berbeza daripada versi asli di mana ia diletakkan sebiji bunga cengkih ataupun ceri kering sebagai penghias di atasnya.

 

Kuih Bangkit Berperisa Variasi

Kredit: Lisa’s Lemony Kitchen

Kuih yang cair di mulut ini begitu disukai oleh ramai orang. Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat kuih bangkit yang mudah didapati dan tidak bermusim juga menjadikan ramai yang turut menyertakan kuih bangkit ke dalam senarai biskut yang mesti ada di pagi raya sebagai antara pelengkap kepada aneka pilihan biskut yang lain.

Setelah terbiasa dengan kuih bangkit yang moden, anda kini boleh mencuba kuih bangkit yang telah diinovasi dengan pelbagai bahan dan perasa yang lain seperti kuih bangkit nestum, kacang hijau, keladi malahan keju!

 

Tart Nenas Kepada Tart Beri Biru

Butterkicap/Tart Nenas

Tart nenas ternyata biskut raya yang tidak lapuk ditelan zaman dan tetap menjadi utama ketika hari raya. Disukai oleh pelbagai lapisan umur dan juga bangsa, tart nenas sememangnya mempunyai peminat tegarnya yang tersendiri dek kerana rasanya yang sempurna dengan gabungan biskut lembut berkrim yang bercampur dengan rasa masam manis jem nenas. Lebih sedap jika ia dibuat menggunakan jem nenas yang dibuat sendiri, berbanding jem yang telah diproses dan siap dibeli di kedai.

Mungkin cuba untuk mempelbagaikan lagi pilihan biskut raya yang ada, kini tart nenas juga telah menerima sentuhan moden iaitu tart beri biru. Hampir sama dengan tart nenas, cuma bezanya berbanding jem nenas, inti yang digunakan ialah jem yang dibuat menggunakan beri biru.

Itulah antara beberapa jenis kuih raya tradisional yang telah dimodenkan mengikut zaman dan selera masing-masing. Adakah anda pernah mencuba mana-mana kuih raya versi moden seperti yang telah disebutkan di atas? Jika ada, jangan lupa untuk berkongsi akan pengalaman anda tentang rasanya dengan kami!

 

print
Bibi Mokrat
Bibi Mokrat

Fresh-from-the-oven writer who actually takes pride in the quote 'Women belongs in the kitchen' because that's exactly where she wants to be - most of the time

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Something is wrong.
Instagram token error.
Load More