Seribu Satu Khasiat dan Keunikan Rasa Nasi Lemuni

Peminat nasi lemak sekalian, anda pasti seronok untuk ketahui ada satu hidangan lain yang sama enak seperti nasi lemak tetapi mempunyai nilai khasiat yang tinggi juga. Jadi, jika anda teringin makan nasi lemak tetapi bimbang tentang berat badan anda, inilah nasi untuk anda.

Sebelum kami dedahkan nama hidangan ini, anda perlulah tahu keunikan nasi ini yang menjadikan hidangan ini lebih sihat berbanding nasi lemak. Nasi ini dikatakan mempunyai nilai kesihatan yang lebih tinggi kerana dimasak dengan sejenis daun herba yang cukup baik untuk kesihatan wanita, khususnya. Nak tahu nama hidangan ini, bacalah bahagian artikel seterusnya.

Kredit: oldstock.blogspot.my

Apakah itu Nasi Lemuni?

Nasi lemuni ialah nasi yang terkenal di utara tanah air kerana daun lemuni, elemen utama hidangan ini, mudah diperoleh di negeri-negeri di utara seperti di Pulau Pinang dan Kedah. Nasi lemuni ini dimasak menurut cara yang sama seperti nasi lemak. Namun begitu, santan yang digunakan dalam nasi lemak diganti dengan jus daun lemuni.

Nasi yang ditanak akan menyerap khasiat daun lemuni yang menjadikan hidangan ini satu hidangan yang sihat. Antara khasiat perubatan daun ini adalah mengurangkan demam, batuk dan mengeluarkan kahak.

Nasi lemuni lazimnya, dimakan bersama sambal ikan bilis yang pedas dan telur rebus. Nasi lemuni berwarna hijau kehitaman dek jus daun lemuni yang dimasukkan semasa nasi ditanak. Hidangan ini menjadi kegemaran masyarakat di negeri-negeri utara dari zaman ke zaman. Malangnya, nasi ini sukar ditemui di negeri-negeri lain di Malaysia kerana tidak begitu dikomersialkan dengan meluas.

Di samping itu, nasi ini juga merupakan salah satu makanan pantang bagi wanita yang baru lepas bersalin.

 

Kredit: ruangrindu-teman.blogspot.my

Khasiat Daun Lemuni

Daun lemuni diperoleh daripada pokok herba jenis renek yang berkayu. Pokok lemuni boleh dibahagi kepada dua spesies iaitu spesies pokok Lemuni Putih dan Lemuni Hitam. Pokok ini dikenal pasti dengan setiap satu tangkai daun yang memegang 5 helai daun yang tirus dan berkilat di bahagian atas.

Daun pokok lemuni hitam yang digunakan oleh masyarakat tempatan di utara tanah air sebagai ulam-ulaman dan bahan campuran ketika memasak nasi lemak Lemuni. Selain daun, akar pokok lemuni juga boleh dijadikan sebagai air rebusan untuk wanita yang sedang berpantang.

Disamping itu, daun lemuni ini juga boleh digunakan untuk merawat luka terbakar. Cara menyediakannya mudah saja. Hanya perlu panaskan daun dalam periuk panas tanpa air. Kemudian, tekapkan daun panas pada kawasan luka.

Selain itu daun pokok lemuni juga boleh digunakan untuk merawat penyakit beri-beri, rheumatik dan cirit-birit. Di Malaysia, daun ini ditumbuk bersama bawang putih, lada hitam, kunyit dan nasi untuk dijadikan sapuan bagi merawat sakit kepala, mata berair dan menggalakkan pertumbuhan janggut.

 

Resepi Nasi Lemuni

Setelah melihat betapa uniknya dan sihatnya daun lemuni ini, pasti anda teringin untuk cuba gunakan daun ini dalam masakan anda. Oleh itu, jika anda berkesempatan untuk turun ke negeri di sebelah Utara Semenanjung Malaysia, dapatkanlah daun lemuni ini untuk sediakan resepi nasi lemuni ini dibawah. Resepi ini dibawa khas oleh Resepi Bonda.

 

Bahan-Bahan:

Nasi

  • Beras – cuci dan tos
  • Santan – sama banyak dengan beras (1 beras : 1 santan)
  • Pucuk daun lemuni -dikisar & tapis untuk ambil airnya
  • Serai – dititik
  • Halia – dihiris
  • Halba
  • Bawang merah – dikisar
  • Garam secukup rasa
*Masukkan daun pandan untuk bau nasi wangi.

 

Kredit: Youtube.com

Cara-Cara:

1. Masukkan semua bahan kecuali beras ke dalam periuk nasi
2. Masakkan hingga mendidih.
3. Masukkan beras dan kacau biar sebati dengan bahan-bahan lain.
4. Tutup periuk dan biarkan hingga masak.

 

Sambal Ikan Bilis

Bahan-Bahan:

Bahan Kisar

  • Cili kering
  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Bawang besar
  • Belacan

 

Bahan lain

  • Ikan bilis – digoreng
  • Asam keping / Air asam jawa
  • Sos tiram
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa

Bahan tumis

  • Bawang merah – dihiris
    Bawang putih – dihiris

Cara-Cara:

1. Kisar cili kering, bawang merah, bawang putih, bawang besar dan belacan.
2. Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bawang merah dan bawang putih sehingga naik bau.
3. Masukkan bahan yang dikisar.
4. Masukkan asam keping, sos tiram, gula dan garam secukup rasa.
5. Masak hingga garing bahan-bahan tadi.
6. Masukkan ikan bilis yang digoreng ke dalam sambal. Kacau hingga rata.

 

 

Jadi, itulah dia sedikit sebanyak cerita di sebalik hidangan berkhasiat nasi lemuni ini. Walaupun tiada banyak maklumat yang diperoleh tentang sejarah kewujudan nasi ini, tetapi dengan adanya perkongsian seperti ini, kita dapat sampaikan dan peliharakan resepi nasi lemuni dari generasi ke generasi.

print
Write Your Comment
Azrene Jasmine
Azrene Jasmine

Azrene Jasmine is a Penangite with a stomach of gold. Though currently she is in a love/hate relationship with the weighing scale, Azrene truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Spoon with us. Get bite-sized recipes, stories and favorite Malaysian childhood food memories delivered right to your inbox.

Sign up for HERE'S Salon & Spa Giveaway

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Load More
Something is wrong. Response takes too long or there is JS error. Press Ctrl+Shift+J or Cmd+Shift+J on a Mac.