Kahwin Campur: Apa yang Nak di Hidang?

Kahwin campur di Malaysia, fenomena yang luar biasa tetapi disambut meriah oleh seluruh Rakyat Malaysia!

Kredit: Wongs Jewellers

Perkahwinan merupakan sesuatu acara yang sentiasa disambut gembira oleh seluruh masyarakat kerana pertalian perkahwinan inilah yang akan menyatukan dua hati yang bercinta dan menukar status hubungan dua keluarga asing menjadi sebuah keluarga bahagia. Namun begitu, bagaimana pula dengan perkahwinan campur atau perkahwinan antara dua individu dari bangsa dan juga agama yang berbeza?

Cinta tidak mengenal kasta, rupa, bangsa dan juga darjat. Sesiapa sahaja boleh jatuh cinta dan jika cinta yang lahir itu tulus ikhlas, maka lebih baik disatukan dua insan tersebut daripada dipisahkan….Ewah, ayat puitis dan romantis sekali!

Baru-baru ini, seluruh negara begitu gembira menerima khabar bahawa anak dua tokoh usahawan berjaya di Malaysia, Chryseis Tan (puteri Tan Sri VIncent Tan) dan SM Faliq Nasimuddin, anak bongsu pengasas Naza TTDI, Allahyarham Tan Sri Nasimuddin Amin bakal melangsungkan perkahwinan mereka tidak lama lagi. Tahniah kepada kedua-dua merpati sejoli ini. Sama cantik dan sama padan mereka berdua ini!

Kredit: thestar.com.my

Di sebalik kegembiraan seluruh negara ke atas berita ini, pasti ramai yang tertanya-tanya, apakah hidangan yang akan disajikan nanti? Adakah makanan yang disajikan itu lebih ke arah sajian selera Melayu atau Cina atau buat masakan Barat sahaja? Masalah itu, kita serahkan saja kepada tuan punya badan. Kita boleh berharap persiapan mereka berjalan dengan lancar dan baik.

Namun begitu, kita masih boleh fikirkan jenis-jenis makanan yang mereka boleh hidangkan pada hari istimewa mereka nanti. Mana tahu, Butterkicap dan geng Butterkicap dapat membantu memberikan ilham kepada mereka.

Ayuh kita lihat senarai makanan yang sesuai untuk dihidangkan pada majlis istimewa dan merentasi jurang budaya ini.

1. Laksa Lemak

Kredit: Marmaduke Scarlet

Laksa lemak? Apa itu? Anda sudah biasa makan laksa Pulau Pinang, laksa Johor tapi laksa ini pasti akan membuatkan anda berasa ingin tahu dan teringin untuk makan laksa tersebut. Laksa lemak ialah variasi hidangan laksa versi Baba Nyonya yang jarang-jarang dijumpai pada zaman ini (kecualilah anda mempunyai ahli keluarga atau rakan Baba Nyonya).

Laksa lemak ini adalah unik kerana kuah laksa tersebut dimasak menggunakan santan yang direneh bersama isi ikan. Laksa ini merupakan gabungan laksa asam di utara dan laksa kari di selatan. Oleh itu, rasa hidangan ini sedikit unik dan berlainan berbanding laksa-laksa lain. Oleh itu, jika dihidangkan semasa kenduri kahwin atau majlis makan-makan yang intim, pasti tetamu-tetamu anda rasa teruja untuk mencubanya.

 

2. Rendang Ayam

Butterkicap/rendangayam

Rendang ayam untuk majlis perkahwinan atau majlis makan malam? Boleh saja! Walaupun rendang sering kali dihidang sebagai makanan rasmi perayaan seperti Hari Raya Aidlifitri dan Hari Raya Aidiladha tetapi rasanya yang kaya dan cukup enak sesuai untuk dihidang pada hari-hari istimewa lain seperti hari perkahwinan atau majlis istimewa anda. Pasti tetamu-tetamu anda akan menghargai pilihan anda untuk menghidangkan hidangan ini pada hari istimewa anda.

 

3. Kari Kapitan

Kredit: The Essence of Penang

Tiada yang menunjukkan gabungan dua dunia dalam satu pinggan kecuali hidangan ayam kapitan. Ayam kapitan ialah hidangan kari Baba Nyonya yang menerapkan nilai-nilai masakan Cina dan Melayu. Kari ini lebih pekat berbanding kari-kari lain dan dimasak menggunakan serai, daun limau nipis dan kunyit, iaitu bahan-bahan yang tidak digunakan dalam masakan kari masyarakat India mahupun Melayu.

Hidangan ayam kapitan ini sedap dimakan dengan nasi mahupun roti jala. Pastinya, hidangan ini akan menjadi hidangan kegemaran tetamu kerana tidak begitu pedas dan cukup berlemak.

 

4. Bak Chang (Versi Halal)

Kredit: Cantonese Bak Chang

Majlis istimewa dan hari perkahwinan, khususnya yang melibatkan pencampuran dua budaya dilihat sebagai peluang untuk anda menyajikan makanan-makanan yang unik dan berlainan serta sukar untuk dijumpai. Oleh itu, hidangan bak chang ini cukup sesuai untuk dijadikan sebagai salah satu hidangan wajib pada majlis istimewa anda yang pasti membuatkan majlis anda unik dan menarik.

Bak Chang ialah makanan berpulut yang berintikan kacang dan daging untuk menyambut perayaan pesta bot naga masyarakat Cina. Tapi, Bak Chang bukan tak halalkah? Jangan risau! Terdapat resepi bak chang halal untuk anda sediakan menggunakan cendawan. Pastinya, sekali tetamu anda merasai hidangan pulut berkacang ini, mereka akan mahu lagi.

 

5. Ayam Keluak

Kredit: localbusiness.sg

Jika anda inginkan hidangan yang lebih menarik dan berbeza, hidangan ayam keluak ini pasti membuatkan ramai yang terpegun di meja makan melihat hidangan tersebut. Ayam keluak ialah sejenis kari Baba Nyonya yang dimasak bersama buah keluak. Buah keluak atau buah kepayang ialah buah yang tumbuh pada pokok kepayang.

Buah ini perlu melalui satu proses yang panjang dan rumit untuk mengeluarkan racun pada buah tersebut sebelum biji buah ini dikeluarkan dan dimasak dalam hidangan ini. Rasa buah keluak yang manis dan tekstur seakan-akan trufel menjadikan hidangan ini cukup unik dan eksotik untuk diletakkan dalam senarai hidangan istimewa yang melambangkan percampuran budaya dalam keluarga kahwin campur.

6. Daging Hitam

Kredit: azianhasan.com

Daging hitam ialah masakan kenduri atau perkahwinan yang wajib bagi orang Melayu. Hal ini demikian kerana pada zaman dahulu, daging adalah suatu kemewahan dan sukar untuk didapati. Oleh itu, pada majlis-majlis keraian sahaja daging akan disajikan. Masakan ini mungkin kelihatan ringkas dan kurang menarik tetapi kekayaan rasa rempah dan pedas sajian ini pasti membuatkan sesiapa sahaja bertambah nasi nanti.

 

Bagaimana dengan cadangan sajian di atas? Pasti menarik bukan jika terdapat majlis perkahwinan campur yang menghidangkan sajian-sajian tradisi kedua-dua mempelai. Bukan sahaja cadangan ini menyambut keunikan masakan kedua-dua kaum dan meraikan hubungan terjalin yang mendekatkan lagi jurang antara kedua-dua keluarga.

Jadi, tahniah kepada Chryseis Tan dan juga SM Faliq atas perkahwinan mereka yang bakal berlangsung. Semoga kekal sehingga ke anak cucu! Seperti butter dan kicap, perkahwinan anda diharap manis bermentega selalu.

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.