5 Sajian Malaysia Wajib Ada Di Bufet Hotel

Kredit: gfycat

Bufet di hotel sememangnya satu syurga bagi peminat makanan atau foodie. Apa saja anda mahu pasti ada di sana dan yang paling penting sekali, anda boleh makan sebanyak mana anda boleh pada harga yang berpatutan.

Namun begitu, apabila ada begitu banyak pilihan, pasti rambang mata anda memikirkan makanan apa anda patut makan dahulu. Jangan fikir terlalu banyak nanti tak sempat nak cuba kesemua makanan kegemaran anda.

Apabila makan secara bufet, anda tidak boleh terus ‘menyerang’ kawasan bufet tanpa sebarang perancangan. Ingat, walaupun anda bayar untuk makan sebanyak mana anda boleh, itu tidak bermakna anda boleh membazir makanan begitu saja, ya.

Makanan Malaysia Dicari

Walaupun makanan antarabangsa yang lebih popular seperti sajian segar Jepun, hidangan berempah Arab dan Timur Tengah mahupun hidangan klasik pasta Itali, jikalau anda anak jati Malaysia, di mana jua anda berada, anda akan mencari makanan Malaysia juga.

Meskipun makanan ataupun hidangan negara lain mempunyai tarikan masing-masing, sejujurnya, sajian tersebut tidak dapat menandingi sajian tradisional Malaysia. Baik dari segi rasa dan tekstur, makanan Malaysia mempunyai keunikan tersendiri yang mana sajian tersebut boleh dinikmati dengan pelbagai lauk-pauk lain. Lain pula dengan sajian-sajian dari negara lain yang tidak boleh dicampur-aduk dengan makanan lain kerana khuatir dapat mengubah rasa makanan tersebut.

Secara peribadi pula, saya seorang yang kena makan nasi walau sekali dalam sehari. Kalau tak makan nasi, saya rasa hari saya tak sempurna. Jadi, tempat pertama saya akan serbu apabila makan secara bufet di hotel, bahagian makanan Malaysialah tempat saya pergi dulu! Kalau anda seperti saya, saya yakin anda faham maksud saya.

Makanan Wajib Ada!

Sebagai seorang penulis, tambah-tambah lagi untuk laman web makanan seperti Butterkicap, memang tidak menghairankan jika saya asyik makan bufet di hotel. Di kebanyakan bufet hotel yang saya kunjungi, rata-rata daripada variasi hidangan sajian yang ditawarkan, pasti ada beberapa sajian wajib yang disediakan.

Saya tak tahu jika sajian-sajian ini memang disenaraikan sebagai makanan tetap ataupun makanan popular dalam kalangan pelanggan hinggakan pihak hotel takkan terlepas daripada menyediakannya, tetapi saya rasa bersyukur dengan adanya sajian-sajian ini kerana inilah pilihan utama saya untuk mengisi perut.

Anda sudah bersedia untuk ketahui apakah gerangannya lima jenis sajian Malaysia wajib dihidangkan di setiap bufet hotel? Leretlah ke bawah!

1. Asam Pedas


Sajian pertama yang saya senaraikan ialah sajian atau masakan asam pedas. Sajian ini, khususnya semasa bufet bulan Ramadan memang cukup popular. Masakan asam pedas, bagi saya, merupakan masakan yang “fail-safe”. Maksudnya, masakan ini takkan pernah tak menjadi. Selalunya, hasil yang disediakan memang cukup memuaskan dan kena dengan selera saya.

Di samping itu, pilihan pihak hotel untuk menyediakan masakan ini juga mungkin disebabkan sifat sajian ini yang tidak memerlukan teknik atau skil tertentu seperti masakan berkari untuk disediakan. Kalau anda di rumah pun dan tiada idea untuk masak, saya pasti hidangan asam pedas ini ada dalam senarai masakan kecemasan anda. Cepat, ringkas dan paling penting, sedap!

2. Siput Sedut Lemak Cili Api

Sajian kedua yang disenaraikan ialah sajian lemak cili api. Sajian tradisional Negeri Sembilan ini memang cukup popular dalam kalangan tetamu hotel yang menjamu selera, khususnya jika masakan lemak cili api tersebut memaparkan bahan yang unik dan sukar untuk ditemui di luar seperti masakan siput sedut lemak cili api.

Jika anda terlambat, memang terlepaslah nak merasa! Seperti masakan asam pedas, sajian ini juga tidak dapat dirosakkan kecualilah orang yang menyediakannya memang tidak mempunyai skil masakan.

3. Kari Kepala Ikan

Dalam kebanyakan makanan yang disediakan di bufet hotel, sajian berkari merupakan satu sajian yang agak tidak konsisten. Ada kalanya, kari begitu bersantan hingga membuatkan anda berasa muak ataupun rempah karinya tidak masak hingga terasa kepahitannya. Masalah masakan berkari khususnya sajian kari kepala ikan adalah dua itu sahaja.

Saya faham jika sajian ini tidak disediakan dengan baik khususnya di hotel kerana terdapat terlalu banyak hidangan yang perlu mereka sediakan. Jika anda merasai kari kepala ikan yang disajikan di bahagian bufet mengalami masalah yang saya nyatakan di atas, silalah letakkan senduk dan ke sajian lain yang tidak akan buat anda sakit perut nanti.

4. Kari Ayam


Sajian wajib keempat ialah kari ayam. Kari ayam merupakan hidangan yang cukup versatil. Baik anda menikmatinya dengan roti mahupun dengan nasi, kari ayam ini hanya akan membuatkan selera anda bertambah-tambah lagi. Kari ayam yang menyelerakan mestilah pekat dan mempunyai gabungan rasa lemak masin. Jika kari ayam disediakan terlalu cair, hilanglah segala rasa rempah dalam kuah setelah direneh lama.

5. Nasi Ulam

Sajian kelima dan terakhir ini memang cukup popular dalam kalangan golongan yang ingin menikmati sajian bufet tetapi masih mahu menjaga diet mereka. Nasi ulam merupakan hidangan nasi yang sihat dan lebih menyelerakan berbanding pilihan sajian sihat yang lain seperti salad. Nasi ulam ini merupakan sajian yang cukup popular di Utara tanah air dan mempunyai rasa ulam-ulaman tempatan seperti kacang panjang, serai dan ulaman lain yang segar dan menyegarkan.

Memang sesuai untuk dijadikan sebagai pembuka selera. Mungkin sebab itulah sajian ini sentiasa dihidangkan dalam bufet hotel. Sesiapa saja yang menikmatinya pasti menaikkan selera anda untuk menikmati makanan lain yang disediakan.

Apa Hidangan Bufet Wajib Anda?

Adakah anda mempunyai hidangan wajib untuk dinikmati setiap kali anda menikmati hidangan bufet di hotel? Jika ya, jangan lupa untuk komen dan berkongsi dengan kami makanan kegemaran anda di bufet hotel.

Jika anda ingin menikmati hidangan bufet yang menyediakan kesemua sajian ini dengan sempurna di samping menawarkan sajian lain yang cukup menyelerakan dan memuaskan pada harga yang berbaloi, anda bolehlah mengunjungi Utara Coffeehouse, Hotel Armada Petaling Jaya. Saya pasti anda akan berasa puas menjamu selera bersama keluarga di sana!

print
Azrene Jasmine
Azrene Jasmine

Azrene Jasmine is a Penangite with a stomach of gold. Though currently she is in a love/hate relationship with the weighing scale, Azrene truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Something is wrong.
Instagram token error.
Load More