Temui Diana Chan, Rakyat Malaysia yang Mengungguli MasterChef Australia Musim 9

Diana Chan, MasterChef Australia
Diana Chan, pemenang MasterChef Australia musim sembilan

Para akauntan lazimnya tidak membesar dan bermimpi untuk menjadi seorang cef, apatah lagi menyertai pertandingan memasak yang cukup hebat dan paling ditontoni lalu memenangi pertandingan tersebut. Hal ini mungkin tidak akan berlaku jika nama anda bukan Diana Chan, seorang wanita yang namanya tidak dikenali rakyat Malaysia jelata selain daripada ahli keluarga dan sahabat handai beliau, kurang dari setahun lalu. Kami berminat untuk mengenali wanita dari Johor ini yang mengungguli pertandingan MasterChef Australia musim Sembilan dan telah menjalankan satu sesi temubual menerusi emel dengan Diana.

Membesar di Malaysia

Membesar di Johor, Diana selalu membantu orang tua beliau di dapur. “Saya pembantu dapur percuma untuk ibu bapa… lawak sahaja! Ia merupakan pengalaman yang bagus. Pada usia yang muda, saya sudah didedahkan dengan cara memasak dan diajar tentang asal-usul makanan. Kami mempunyai taman herba di rumah dan banyak menggunakan herba dalam masakan kami.

“Saya selalu diminta untuk mengupas bawang besar atau bawang putih, mengeluarkan ekor tauge (saya masih trauma dengan pengalaman itu), menumbuk pes sendiri dan membersihkan makanan laut.” Diana bersyukur kerana tugas dapur yang remeh temeh ini mengajar beliau asas dalam memasak dan banyak membantu beliau apabila beliau mula memasak sendiri selepas berpindah keluar daripada rumah keluarga beliau.

Hidangan pertama yang beliau dibenarkan untuk sediakan ialah spageti bolognaise, tetapi Diana betul-betul mula memasak untuk diri beliau apabila berpindah ke Australia semasa berusia 19 tahun untuk melanjutkan pelajaran di peringkat universiti. “Saya tak mampu untuk makan di luar dengan kerap sebagai seorang pelajar universiti. Jadi, saya membeli bahan segar dari pasar seminggu sekali dan memasak di rumah.”

Penemuan pasar-pasar tani telah membantu beliau membangunkan gaya masakan yang menggabungkan hasil tani Australia, penggunaan herba segar ibu beliau dan rasa cinta ayah beliau terhadap makanan laut. Hidangan klasik Malaysia kegemaran Diana yang telah diubahsuai olehnya ialah hidangan udang mil oat yang beliau sediakan dalam pusingan kedua Peringkat Akhir MasterChef. “Saya mahu tunjukkan warisan saya dalam cara yang moden.”

Menyertai MasterChef

Selepas empat tahun bekerja sebagai akauntan, Diana teringin membawa minat beliau dalam masakan selangkah ke hadapan dengan mencuba nasib dalam pertandingan MasterChef. “Saya fikir, apa salahnya? Saya tidak ada banyak komitmen, majikan saya sangat menyokong saya dan ia akan menjadi sukar untuk saya sertai pertandingan itu apabila saya mula membina keluarga saya sendiri.

Teman lelaki saya menggalakkan saya untuk sertai MasterChef dan saya pun sertailah. Saya tidak terfikir bahawa saya akan dipanggil untuk sesi uji bakat apatah lagi memenangi pertandingan ini. MasterChef semestinya menjangkaui jangkaan saya. Pertandingan ini ialah peluang seumur hidup dan saya betul-betul berseronok.”

Walaupun perakaunan dan memasak adalah dua kerjaya yang berbeza, pekerjaan tetap beliau sebagai seorang akauntan memberikan impak yang ketara semasa bertanding dalam MasterChef.

“Kemahiran dan pengalaman yang saya peroleh sebagai seorang akauntan menyediakan saya untuk menguruskan dan menghadapi pelbagai situasi berbeza dengan professional, tersusun dan pada masanya. Saya rasa apabila bekerja di firma yang besar, anda belajar untuk bekerja dalam situasi berbeza dan individu berbeza, khususnya apabila bekerja dalam kumpulan. Semua hal ini dapat digunakan bila saya melakukan cabaran berkumpulan dalam MasterChef.”

Tip daripada Diana untuk mengimbangkan waktu kerja dan memasak

Diana masih bekerja sebagai akauntan sepenuh masa dan menggunakan cara tersusun yang sama beliau amalkan di dapur MasterChef di dapur beliau sendiri, “Saya rasa apabila bekerja sepenuh masa, terdapat keperluan untuk merancang makanan yang hendak dimasak.”

Jadi, bagaimanakah beliau menyeimbangkan waktu kerja dan memasak? “Saya biasanya akan masak dengan banyak pada waktu hujung minggu dan bekukan makanan menurut saiz hidangan individu, atau saya akan sediakan sesuatu yang mudah dan ringkas untuk makan malam pada hari bekerja.

Biasanya, pada hari bekerja, saya akan sediakan kari untuk satu hari dan hari seterusnya, salad pula. Pada musim sejuk, saya sediakan sup atau stu. Makanan bergoreng senang untuk disediakan dan mungkin ayam panggang di atas pemanggang, sedikit salad serta sayur salai.”

Pada hujung minggu, beliau betul-betul melepaskan gian. “Saya ke pasar dan mendapat inspirasi daripada hasil bermusim. Saya akan membeli banyak bahan dan masak beberapa sajian berbeza untuk dibekukan. Saya juga akan masak hidangan yang mengambil masa lama seperti laksa, kari, stu, masakan rendidih dan makanan panggang.”

Sajian beliau yang popular ketika jamuan keluarga dan rakan-rakan ialah hidangan perut khinzir rangup dengan sos pekat, jeruk dan mayonis wasabi. “Itulah hidangan penyertaan pertandingan MasterChef saya dan sememangnya diminati ramai.”

Namun begitu, langit tidak selalu cerah. Apabila ditanya tentang hidangan atau sajian ciptaan beliau yang gagal, dengan jujurnya Diana menjawab, “Ya, sepanjang masa. Resipi ialah panduan sahaja. Untuk memahami resipi itu, anda perlu memahami intipati hidangan tersebut dan proses yang terlibat. Sebab itulah anda perlu cuba dan uji satu-satu resipi untuk pastikan resipi tersebut berkesan.”

Kembara kulinari masa hadapan

Jadi, selepas beliau memenangi pertandingan MasterChef Australia, adakah ahli keluarga dan sahabat handai meminta beliau memasak dengan lebih kerap lagi? “Ya dan tidak. Mereka faham bahawa saya sangat sibuk selepas MasterChef dan cukup menghormati masa saya. Saya masih suka melayan mereka dan tidak berkira memasak untuk rakan-rakan dan ahli keluarga saya apabila ada masa lapang.”

Namun begitu, apabila kembali ke Malaysia, beliau berusaha untuk keluar makan sekerap yang boleh untuk mendapatkan inspirasi masakan beliau.

Apabila ditanya jika beliau mempunyai nasihat atau tip untuk sesiapa yang ingin menceburi bidang kulinari, Diana hanya menjawab, “Ya, lakukan sahaja! Jangan rasa takut untuk mencuba. Memasak adalah sama seperti profesion yang lain. Semakin anda berlatih, semakin kemahiran anda diasah.

Lama-kelamaan, anda akan berasa terbiasa dan akan mengejutkan diri anda tentang hidangan atau sajian yang anda dapat sediakan. Selain itu, tonjolkan perisa bahan-bahan masakan anda. Ingat, hidangan terbaik datang daripada bahan-bahan tersegar dan terbaik.”

Apakah yang kita dapat jangka daripada kembara kulinari Diana yang seterusnya? “Saya berasa teruja untuk mengembara dan memaparkan makanan yang hebat dan budaya Malaysia. Saya akan terus mengembara dan meneroka idea-idea baru.” Beliau juga sedang merealisasikan konsep makanan beliau sendiri untuk diumumkan tahun depan dan kami tidak sabar untuk lihat kejutan beliau nanti!

 


Jika anda ingin mencuba masakan Diana, terdapat beberapa resipi kegemaran beliau yang dikongsi bersama kami. Silalah cuba dan beritahu kami pendapat anda!

Ayam Varuval

Asam Pedas Kukup Merah

Ayam Percik

Sambal Sotong Kurita

Kek Yogurt Lemon Tanpa Tepung

print
Butterkicap Team
Butterkicap Team

We're just a small group of friends who love food, culture and Malaysia. We saw the rise of mediocre food, deteriorating relationships and missed the good old days of Malaysia where food was good, homes were warmer and full of friends and family. So we rolled up our sleeves, and made Butterkicap with the hope that it will bring people and flavors home.

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Something is wrong.
Instagram token error.
Load More