Alami Letusan Rasa Snek Klasik Kaum India Deepavali Ini

Rakyat Malaysia sememangnya kuat makan. Pagi, petang, siang, malam, mulut kita tak pernah berhenti mengunyah. Tambahan pula, kita sering mencari alasan tambahan untuk makan snek dan hari yang kita nanti-nantikan untuk menggunakan alasan tambahan tersebut bakal tiba dengan menjelangnya musim perayaan.

Di Malaysia, musim perayaan bukan sekadar menyambut signifikan keagamaan ataupun mengeratkan silaturahim. Musim perayaan diraikan dengan begitu besar sekali kerana ketika itulah terdapat lambakan makanan yang sedap-sedap untuk dinikmati sepanjang hari tanpa rasa bersalah.

Anda tambah berpinggan-pinggan ketupat dan rendang? Tiada masalah! Anda naik berat sebab asyik mengigit muruku dan kuih bangkit? Tiada sesiapapun kisah!

Kini, dengan perayaan Deepavali yang menjelang, Butterkicap merasakan sudah tiba masanya untuk anda dimaklumkan tentang beberapa snek yang anda harus dapatkan kini kerana ketika inilah, snek-snek yang dijual terasa lebih sedap, lebih enak, lebih syok untuk dimakan.

 

 

Samosa

Kredit: Youtube.com

Siapa yang tak pernah makan snek klasik yang diberi nama Samosa ini? Samosa ialah kuih berbentuk segitiga dan diletakkan inti ubi, sardin, daging ayam dan juga kambing. Kalay anda tak pernah tahu tekstur samosa ini, rasanya seperti gabungan popia goreng dan juga karipap. Samosa lazimnya digoreng dalam minyak panas sehingga bertukar perang keemasan.

Samosa merupakan snek minum petang yang cukup mengenyangkan kerana saiznya yang besar dan padat dengan inti. Satu samosa sudah cukup untuk buatkan anda terbaring kekenyangan tetapi hakikatnya, satu samosa memang tak memadai nak hilangkan keinginan anda untuk makannya berkali-kali!

 

Pakora

Kredit: thismuslimgirlbakes.blogspot.my

Pakora atau pakoda ialah versi India bagi snek klasik cucur udang orang Melayu.Pakora dan pakoda tidak dimasak menggunakan udang. Sebaliknya, disediakan menggunakan sayur seperti  bawang merah, terung, ubi, bayam, pisang, keju kotej, kobis bunga, tomato atau cili merah.

Pakora enak dimakan begitu sahaja ataupun dicicah dengan kuah cutni pudina yang pedas dan masam. Tambah-tambah pula kalau dimakan pada waktu hujan, memang betul-betul masyuk!

Pakora selalunya dijadikan sebagai pembuka selera di restoran-restoran India Utara di sini. Tapi, untuk rakyat Malaysia, pakora ini boleh dijadikan sebagai hidangan utama minum petang atau ketika perut lapar dan anda perlukan snek kerana beberapa biji pakora pun sudah cukup untuk membuatkan anda berasa kenyang dan bahagia.

 

Vadai

Kredit: Youtube.com

Vadai dan peminat makanan India Selatan tidak boleh dipisahkan. Setiap kali ke kedai makanan India Selatan, tidak sah kalau anda tak bawa pulang beberapa ketul Vadai untuk dinikmati kemudian. Vadai ialah kuih bergoreng yang diperbuat daripada ubi ataupun kacang dal.

Vadai boleh dimakan dengan yogurt atau begitu sahaja. Rasa vadai yang savouri dan bertekstur menarik membuatkan snek klasik ini pilihan ramai rakyat Malaysia untuk bersarapan mahupun untuk makan minum petang.

Di Malaysia, Vadai yang paling mudah untuk didapati ialah vadai masala atau parippu vada. Vada inilah yang diperbuat dengan campuran kacang dal, rempah dan cili merah. Sekali makan, memang pasti bertambah-tambah lagi!

 

Idli

Kredit: vegetarianindianrecipes.com

Kalau anda kenal vadai, pasti anda mengenali satu lagi snek klasik dari India Selatan iaitu Idli. Idli ialah kuih yang seakan-akan pau, berwarna putih dan gebu. Kegebuan idli ini membuatkan anda bertambah kagum lagi apabila melihat betapa senangnya kuih ini menyerap kuah dal yang dituang banjir di atasnya.

Idli diperbuat daripada nasi dan dal biji hitam. Ada kalanya, idli disediakan dengan menggunakan suji.Rasa idli adalah sedikit tawar jika dimakan begitu sahaja. Oleh itu, kuah sampingan seperti sambar ataupun dal perlu ditambah untuk membuatkan anda lebih berselera menikmatinya.

 

Gol Gappa

Kredit: thefractions.com

Siapa yang pernah tengok cerita Bollywood seperti Rab Ne Bana Di Jodi pasti tahu tentang snek klasik India ini. Tak ingat? Alah… Bahagian Shah Rukh Khan dan Anushka Sharma lawan makan selepas disenarai pendek untuk pertandingan menari itu. Ha! Itulah gol gappa ataupun pani puri.

Gol gappa ialah kuih pastri kosong rangup yang diperbuat daripada tepung ubi dan berbentuk bulat (Gol bermaksud bulat dalam bahasa Hindi). Kuih pastri ini akan dilubangkan di tengah-tengah dan diisi dengan air asam jawa, cutni asam, cili, chaat masala, ubi, bawang dan kacang kuda. Rasanya memang ooomph, menjiat jari!

Gol gappa perlu dimakan dalam satu suapan sekaligus supaya anda dapat merasai kompleksiti perisa yang ada. Gol gappa memang takkan membuatkan anda kenyang kalau makan satu sahaja. Anda perlu makan berkali-kali untuk betul-betul berasa kenyang.

Di Malaysia, malangnya, gol gappa sukar untuk dijumpai. Jangan bersedih, kerana masih ada beberapa kedai kecil dan restoran masakan India yang menawarkan snek istimewa ini bagi yang ingin mencuba.

 

Murukku

Credit: zdrav40.ru

Kalau anda tak pernah makan muruku, baik anda pergi ke kedai snek India terdekat sekarang! Memang malu kalau anda tak pernah makan muruku. Muruku ialah snek rasmi Masyarakat Malaysia.

Hal ini demikian kerana muruku merupakan snek klasik yang bukan sahaja dinikmati oleh kaum India sahaja malah kaum Melayu dan Cina juga. Muruku, dalam bahasa Tamil bermaksud ‘berliku’ dan pastinya anda tahu bahawa nama tersebut menerangkan bentuk kuih yang berliku-liku.

Makan muruku memang senang tetapi membuat snek klasik ini memang susah! Anda perlu ada skil yang tertentu, dari peringkat membuat adunan hinggalah ke peringkat membentuk kuih tersebut dalam kuali. Apapun, muruku yang dibuat itu haruslah sedap. Tak cantik tak apa, janji bunyi ‘kriuk kriuk’ apabila makan itu ada.

 

 

Ada banyak lagi sebenarnya senarai snek India yang boleh kita nikmati seperti adharasam (a.k.a kuih peneram), keseri dan macam-macam lagi. Tetapi, inilah antara snek wajib yang setiap rakyat Malaysia pasti cari baik semasa musim perayaan mahupun pada hari-hari biasa. Jika anda mahu edisi panjang snek India ini, komen di bawah snek klasik yang anda tahu dan kami akan sediakan untuk anda.

Salam Deepavali dan hati-hati di musim perayaan ini

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.