Sejarah Lemang: Asal-Usul Hidangan Enak Raya

Sejarah lemang adalah suatu yang misteri bagi Rakyat Malaysia, tapi sebelum kita menelusuri asal-usul hidangan ini, saya belanja satu pantun untuk anda semua:

Makan nasi dengan sambal,
Makan perlahan macam siamang,
Jangan ingat anda kebal,
Bila atas meja ada lemang.

Lemang. Lemang semestinya makanan yang susah untuk ditolak jika dipelawa, lebih-lebih lagi di pagi Aidilfitri. Bentuknya yang silinder dan teksturnya yang melekit seakan-akan pulut tetapi ia berwarna putih berbanding pulut yang berwarna kuning. Lemang merupakan makanan tradisi yang dimasak ketika kenduri dan festival seperti Hari Gawai dan tidak lupa juga perayaan sebagai contoh, perayaan yang tidak asing lagi bagi umat Islam, perayaan Aidilfitri dan juga Aidil Adha. Jika tiada lemang di pagi Aidilfitri ia diibaratkan sebagai memakan nasi tanpa lauk-pauk.

Lemang lebih dianggap sebagai makanan yang melambangkan kemeriahan dan hubungan silaturahim antara sesama manusia. Ini kerana lemang bukanlah makanan biasa yang mudah untuk di masak ia memerlukan teknik dan cara yang tepat. Oleh itu, sifat tolong-menolong sesama kita haruslah ada untuk mendapatkan rasa dan tekstur yang memuaskan.

Di dalam sebatang lemang, jumlah tenaga yang terkandung di dalamnya dianggarkan sebanyak 3,778 kalori dan lemang juga tidak mengandungi dietari fiber. Selain itu,di dalam sebatang lemang, terdapat vitamin A yang bagus untuk tumbesaran, kalsium yang memberikan kekuatan kepada tulang dan zat besi yang bertindak sebagai bahan yang memproses protein di dalam badan kita.

Kredit: travelswithsheila.com

Sejarah Lemang di Malaysia

Lemang di Malaysia dipercayai berasal daripada orang asli di Malaysia yang menggunakan lemang sebagai makanan utama mereka. Makanan yang boleh didapati di seluruh Malaysia ini dipercayai sudahpun menjadi makanan utama Malaysia sejak tahun 1864.

Makanan yang menjadi salah satu simbol tradisi Malaysia ini dikatakan berasal dari orang asli di Kelantan, Malaysia yang dipanggil orang asli Negrito. Orang asli Negrito atau dikenali juga sebagai Orang Semang. Orang Negrito ialah penduduk yang terawal di Kepulauan Melayu dan mereka ialah salah satu kaum orang asli di Malaysia. Sejarah menyatakan Orang Semang sudah wujud sejak 1000 SM dengan bukti penerokaan arkeologi di Gua Cha, Kelantan. Selain di Kelantan, Orang Negrito juga mendiami Borneo, Sarawak, penerokaan ini dinyatakan oleh pedangan British suatu ketika dahulu.

Sejarah Lemang di Nusantara

Sejarah lemang ini bukan sahaja menunjukkan asal-usul di Tanah Melayu sahaja malah di Indonesia juga mempunyai cerita dan sejarah lemang yang tersendiri. Indonesia mempunyai pelbagai kumpulan etnik yang mengamalkan budaya yang berbeza ini kerana terdapat pengaruh budaya dari luar seperti budaya Melayu. Budaya Melayu tersebar luas di Indonesia terutamanya di Sumatera dan Borneo. Budaya Melayu telah mempengaruhi budaya Indonesia dalam pelbagai aspek terutama sekali dalam aspek makanan. Salah satu hidangan yang diadaptasi daripada budaya Melayu dan dijadikan sebagai sebahagian daripada makanan keraian Indonesia ialah Lemang. Beberapa daerah di Indonesia menyediakan lemang di upacara-upacara tradisi seperti di Bengkulu, Jambi, Sumatera Barat, Sumatera Utara dan Borneo Selatan.

Walaupun setiap daerah menggunakan kaedah yang sama untuk memasak, mereka mempunyai fungsi, penggunaan dan sebab mengapa mereka menggunakan lemang. Di Indonesia, memasak lemang dianggap aktiviti merapatkan hubungan silaturrahim kerana mereka menggunakan cara tradisional yang memerlukan tenaga dan masa yang banyak. Walaubagaimanapun, kaedah tradisional untuk memasak lemang mengambil masa yang lama dan kualiti lemang tidak boleh dijangka kerana untuk mendapatkan kualiti yang baik, mereka hendaklah mempunyai skill yang baik dalam mengawal api yang digunakan.

Kredit: wego.co.id

 

Bahan-Bahan Lemang

Bahan-bahan mentah yang digunakan untuk memasak lemang termasuklah beras pulut, santan, garam, daun pisang, dan juga bahan yang paling penting sekali, buluh. Bahan-bahan ini perlu dimasukkan secara berperingkat ini kerana buluh berbentuk silinder dan mempunyai ruang yang kecil. Buluh juga memainkan peranan penting dalam memudahkan proses memasak, jika anda menggunakan cara tradisional untuk memasak lemang, pastikan anda memilih buluh yang nipis dan bukan yang tebal kerana buluh yang nipis lebih cepat masak dan mudah menyerap haba berbanding dengan buluh tebal yang kemungkinan mengambil masa berjam-jam dan tidak mustahil boleh mencapai jangka masa memasak selama sehari!

Sebelum memasukkan bahan-bahan asas ke dalam buluh, buluh haruslah dibersihkan. Jadi, selepas buluh dibersihkan, daun pisang dipotong mengikut bentuk silinder dan dimasukkan ke dalam buluh. Seterusnya, beras pulut dimasukkan, diikuti dengan garam yang sudah digaulkan dengan santan. Santan digunakan di dalam lemang bagi mewujudkan rasa lemak yang menyelerakan.

Lemang boleh dinikmati bersama-sama hidangan sampingan lain seperti rendang, kuah kacang, ayam masak merah, lodeh, serunding dan macam-macam lagi! Lemang sama seperti nasi, anda boleh menikmatinya dengan pelbagai jenis lauk dan ia juga mengenyangkan kerana lemang diperbuat daripada beras pulut yang mengandungi kandungan kabohidrat yang tinggi.

Kredit: orangkecilorangbesar.blogspot.

 

Jenis-Jenis Lemang

Lemang boleh didapati dalam pelbagai jenis, yang pertama sekali ialah lemang yang biasa kita makan iaitu lemang yang menggunakan beras pulut biasa yang berwarna putih dan menggunakan bahan-bahan mentah asas tanpa bahan tambahan.

Kedua ialah lemang pulut hitam. Lemang pulut hitam mempunyai resepi yang sama dengan lemang biasa, cuma perbezaannya ialah jenis beras pulut yang digunakan ialah beras pulut hitam. Apabila dimasak, warna lemang akan menjadi hitam tetapi rasanya tidak lah begitu ketara dengan rasa lemang yang biasa.

Jenis lemang ketiga ialah lemang jagung. Lemang jagung menggunakan bahan yang sama seperti lemang biasa, cuma perbezaannya ialah tambahan jagung yang menambahkan rasa manis di dalam lemang. Warna dan tekstur lemang juga akan kelihatan sedikit berbeza kerana beras pulut dicampur dengan jagung. Selain jagung, anda juga boleh menggantikan jagung dengan bahan lain mengikut kesukaan anda, contohnya seperti durian atau nanas.

Kredit: beritadaerah.co.id

 

Cara Memasak Lemang

Lemang mempunyai dua cara masakan, yang pertama ialah cara tradisional dan yang kedua ialah cara moden.

Cara tradisional untuk memasak lemang memerlukan tenaga dan masa yang banyak, ini kerana ia perlu dipantau setiap minit dan dikawal apinya supaya lemang-lemang yang di masak tidak terlalu masak(yang boleh bertukar menjadi hangus) atau terlalu mentah. Lemang yang dimasak menggunakan cara masak tradisional haruslah mempunyai dua bahan yang utama iaitu langgai dan api. Langgai digunakan untuk mendirikan lemang-lemang dan kedudukan lemang-lemang tersebut haruslah strategik supaya semua bahagian lemang dikenakan api yang membuatkan ia mudah dan cepat masak. Arang diletakkan di bawah langgai dan kemudiannya, api dipasang.

Cara moden yang digunakan di dalam pembuatan lemang ini lebih mudah dan tidak memakan masa yang lama dalam proses menunggu lemang masak. Mesin yang dinamakan Mesin Memasak Lemang direka oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) ini tidak mewajibkan anda menggunakan buluh dan api untuk memasak lemang. Buluh yang digunakan untuk memasak lemang digantikan dengan silinder keluli tahan karat. Proses memasak kemudiannya dijalankan menggunakan ketuhar dengan suhu 160 darjah selsius dan dimasak dalam masa 2 jam sahaja. Jika dibandingkan dengan cara memasak tradisional, lemang yang dimasak dengan cara moden lebih berkualiti kerana ia masak dengan sekata.

 

Jadi, itulah dia sedikit sebanyak coretan saya tentang sejarah lemang dan perkara-perkara lain berkaitan lemang. Semoga perkongsian ini dapat menjadi bahan bualan dan perbincangan yang bernas semasa anda menikmati lemang bersama rendang pada hari Lebaran nanti!

 


Artikel Lain:

Sejarah Ketupat: Nama, Keenakan dan Kepentingan

Sejarah Rendang di Malaysia: Sajian Meraikan Kegembiraan

Ketupat Sotong, Bagaimana Ketupat dan Sotong Bersatu?

print
Ili Sakinah

Ili Sakinah loves to lepak at mamak and definitely go with teh anytime, anywhere!

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.