Kitar Semula Makanan Dengan 5 Cara Kreatif Ini

Kitar semula makanan? Bukankah itu amalan tidak sihat dan meletakkan kesihatan anda dan juga ketahanan perut anda dalam risiko tinggi? Tidak kalau anda lakukannya dengan betul.

Pada awal bulan Ramadhan, badan kita akan menghadapi kesukaran untuk menahan lapar kerana pada kebiasaannya kita akan makan tiga kali sehari iaitu sarapan, makan tengahari dan makan malam. Setelah beberapa hari berpuasa, sistem badan kita akan menjadi biasa dengan rutin berpuasa iaitu tidak menjamah makanan di siang hari.

Walau bagaimanapun, kita masih akan berasa lapar lebih lebih lagi setelah seharian bekerja atau melakukan aktiviti luar ataupun di dalam rumah. Apabila kita berasa lapar, kita selalunya mempunyai selera pelbagai yang menjadi salah satu sebab kita tidak sengaja terbeli makanan yang banyak di bazar Ramadhan dan kerap kali, kita membazir makanan kerana terlalu kenyang untuk menghabiskan kesemuanya.

Nabi Muhammad SAW, sangat tidak menggemari pembaziran makanan dan ia adalah perkara yang perlu di elakkan terutama sekali di dalam bulan yang mulia ini. Bagi mereka yang ingin melakukan perubahan dengan mengurangkan pembaziran dalam bulan Ramadhan ini, terdapat beberapa cara kreatif  untuk anda kitar semula makanan anda supaya makanan yang masih boleh dimakan tidak dibuang.

 

Credit: lady-arween.blogspot.my

1. Ayam? Jadikan Sebagai Bahan Untuk Resepi Lain!

Ayam semestinya boleh didapati di bazar Ramadhan dalam pelbagai jenis cara dimasak seperti ayam goreng dan ayam percik. Jadi, apa yang boleh dibuat dengan ayam lebih itu? Kitar semula! Ayam ialah makanan kegemaran rakyat Malaysia dan ia selalu dimakan begitu sahaja atau bersama nasi putih panas.

Jika anda mempunyai lebihan ayam goreng atau ayam percik yang tidak habis semasa berbuka, anda boleh lah menggunakan ia sebagai bahan untuk masakan ketika sahur. Sebagai contoh, ayam goreng atau ayam percik lebihan tadi boleh digunakan sebagai inti yang boleh di bungkus dengan wrap yang diperbuat daripada roti atau boleh didapati di pasaran.

Selain itu, ayam goreng atau ayam percik ni juga boleh digunakan untuk dicampurkan dengan bahan lain supaya menjadi lauk seperti ayam masak kicap atau ayam cili dan boleh dimakan bersama nasi ketika bersahur.

Credit: jennybe11

2. Sambal? Dimakan Bersama Roti atau Digunakan Sebagai Bahan Untuk Kuih!

Sambal yang dibeli di bazar Ramadhan boleh di dapati dalam pelbagai jenis dan ia juga boleh terdapat dalam hidangan seperti nasi lemak. Anda boleh menggunakan sambal lebihan ini sebagai hidangan sampingan ketika bersahur dan ia boleh dimakan bersama roti.

Selain itu, sambal juga boleh digunakan dalam pembuatan kuih seperti pau sambal. Sambal diletakkan ditengah tengah roti dan ditambah timun yang kemudian di makan begitu sahaja! Namun begitu, jika anda nak kitar semula sambal, jangan sampai dua, tiga hari ya. Nanti asyik memerut pula di dalam tandas.

 

 

Credit: tastemade.co.uk

3. Roti Canai/Prata/Capati? Jadikan Wrap!

Hidangan berbuka selalunya terdapat pembuka selera seperti roti canai, prata dan capati. Hidangan pembuka selera pada kebiasaannya dimakan sebelum makan makanan utama seperti nasi dan lauk pauk.

Jika terdapat roti canai,prata atau capati yang berlebihan, anda bolehlah simpan untuk dimakan ketika moreh atau bersahur. Ketiga tiga makanan ringan ini boleh dijadikan wrap yang berintikan sambal, lauk pauk atau ayam. Tak susah, bukan nak kitar semula makanan?

 

 

Credit: rempahragam.blogspot.my

4. Minuman Berperisa? Boleh Dijadikan Dadih, Agar-Agar dan Ais Krim Malaysia!

Selain makanan, kita selalu terliur dengan air minuman yang pelbagai di bazar Ramadhan seperti milo dan sirap bandung. Disebabkan dahaga yang melampau kita selalunya membeli air dalam kadar yang banyak tanpa memikirkan tentang pembaziran yang akan berlaku. Apakah yang boleh dibuat bersama minuman lebihan yang tidak habis ketika berbuka ini? Jangan membazir!

Anda boleh menggunakan air berperisa lebihan untuk membuat dadih, agar-agar dan ais krim Malaysia. Dengan menambah sedikit bahan lain supaya ia menjadi bentuk dan ketumpatan yang tepat untuk dimakan, ia bukanlah hidangan yang sukar untuk dibuat dan sangat sedap dimakan ketika moreh atau bersahur.

Untuk kitar semula air berperisa, khususnya yang bersusu, pastikan air tersebut bukan air lebihan minuman dan sudah terkena kesan mulut dan air liur anda. Hal ini demikian kerana air bersusu yang sudah diminum boleh cepat basi. Bukan ais krim Malaysia yang anda dapat makan, tetapi punca nak sakit perut!

 

 

Credit: redhouseseafood.com

5. Mee Tak Habis? Boleh Di Makan Bersama Nasi…Nasi Ambang!

Terdapat pelbagai jenis mee yang boleh didapati di bazaar Ramadhan seperti mee goreng. Mee ialah salah satu bahan hidangan kegemaran rakyat Malaysia dan tidak hairanlah ramai berpusu pusu ke bazaar Ramadhan untuk membeli hidangan yang menyelerakan ini! Apabila anda tidak dapat menghabiskan mee goreng yang dibeli untuk berbuka pastikan anda menyimpan di peti ais supaya boleh dipanaskan dan dimakan ketika bersahur.

Anda boleh makan mee goreng yang dipanaskan bersama nasi dan lauk pauk atau nama lain ia nasi ambang, sejenis makanan yang lazat berasal Johor. Ini adalah salah satu cara untuk anda mempelbagaikan lagi hidangan ketika bersahur supaya anda mendapat tenaga yang cukup semasa menjalankan ibadah puasa.

 

Ini adalah 5 cara kreatif untuk anda ‘kitar semula makanan’ supaya dapat mengelakkan pembaziran pada bulan Ramadhan yang mulia ini. Marilah kita berubah ke arah yang lebih positif bagi mengingatkan kita bahawa membuang makanan ialah bukan jalan terbaik dalam memperbaiki diri kita dalam bulan yang baik ini.

 

Selamat Mencuba!

 

print
Ili Sakinah
Ili Sakinah

Ili Sakinah loves to lepak at mamak and definitely go with teh anytime, anywhere!

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Access Token is invalid, please get it again