9 Masalah Nutrien Penyebab Kemurungan

Kredit: becomegorgeous.com

Semakin hari kehidupan semakin mencabar dan menyebabkan tekanan yang dihadapi sehari-hari juga semakin tinggi. Kemurungan merupakan penyakit berkaitan otak yang disebabkan oleh perubahan yang terjadi terhadap bahan kimia otak. Banyak faktor yang menyumbang kepada terjadinya kemurungan dalam kehidupan seseorang. Apa yang kita selalu dengar adalah ia disebabkan faktor dalaman dan luaran seperti genetik, keadaan kesihatan, stress, kesedihan melampau atau keadaan persekitaran hidup yang sukar.

Tetapi, tahukah anda bahawa kemurungan turut boleh terjadi disebabkan kekurangan nutrien tertentu di dalam badan?

 

Nutrien 1: Omega 3

Asid lemak omega 3 merupakan asid lemak yang penting untuk tubuh badan manusia. Namun begitu, ia tidak dihasilkan secara semula jadi oleh tubuh manusia itu sendiri, sebaliknya perlu diambil di dalam makanan yang mengandunginya. Antara makanan yang kaya dengan asid lemak omega 3 ialah ikan seperti tuna dan salmon, beberapa jenis makanan laut dan tumbuhan yang lain, dan juga minyak kekacang.

Asid lemak omega 3 dikatakan penting untuk manusia kerana ia memainkan peranan yang khusus di dalam fungsi otak, dan juga bagi pertumbuhan yang normal. Omega 3 paling diperlukan oleh otak bagi fungsi kognitif, iaitu pencapaian dan memori otak. Sebaliknya, kekurangan asid omega 3 dalam gizi seharian anda boleh mendorong kepada kelesuan, kulit yang kering, masalah memori, perubahan mood yang ketara dan seterusnya, kemurungan.

Persatuan Jantung Amerika, AHA (American Heart Association) mencadangkan untuk memakan ikan (trutamanya ikan yang berlemak seperti mackerel, tuna, sardin, trout) sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

 

Nutrien 2: Iodin

Kredit: teninsider.com

Elemen yang larut air ini sebenarnya mempunyai fungsi yang penting untuk tubuh badan anda lebih daripada yang anda sangkakan. Paling utama, iodin bertindak sebagai bahan utama yang digunakan oleh kelenjar tiroid untuk menghasilkan bahan yang dipanggil hormon tiroid.  Bagaimana pentingnya hormon tiroid bagi tubuh manusia? Ia sebenarnya mempengaruhi banyak segi: tenaga, metabolisma, fungsi imun, suhu badan, tumbesaran, dan juga aktiviti otak (dari segi konsentrasi, memori dan banyak lagi).

Maka, apabila kurangnya iodin di dalam tubuh, inilah yang menyebabkan terjadinya kemurungan, bersama beberapa lagi masalah berkaitan kesihatan yang lain. Selain itu juga, tanda jelas yang boleh dilihat apabila seseorang itu kurang iodin di dalam badannya ialah goiter, keadaan di mana kalenjar tiroid (akan kelihatan di bahagian leher dan larinks) membengkak secara abnormal.

Bagi mengelakkan terjadinya kekurangan iodin bagi tubuh anda, anda boleh mengambil bekalan iodin dari bahan-bahan yang mengandunginya seperti garam yang telah diperkayakan dengan iodin, rumpai laut kering, udang, ataupun ikan kod. Namun begitu, ia harus diambil dalam kadar yang diperlukan oleh tubuh sahaja, iaitu anggaran sekitar 150 mikrogram sehari bagi seorang dewasa.

 

Nutrien 3: Zink

Di dalam tubuh manusia, zink paling banyak terkandung di dalam otak, maka tidak hairanlah apabila kurangnya zink akan boleh menyebabkan seseorang mengalami kemurungan, suatu penyakit yang berpunca daripada otak.

Sumber zink yang utama ialah di dalam kesemua jenis daging seperti daging lembu, ayam dan itik, dan tiram. Zink juga terdapat di dalam tanah, yang bermaksud ia akan turut terkandung di dalam tanaman kekacang dan bijirin bergantung kepada jumlah zink yang terdapat di dalam tanah tersebut.

Lebih 300 enzim di dalam badan manusia menggunakan zinc sebagai pembantu untuk menjalani tugasannya yang tertentu seperti membuat DNA, sintesis protein, pembahagian sel dan pelbagai lagi fungsi yang penting. Justeru dengan pengambilan zink dalam diet seharian mampu mecegah terjadinya simptom kemurungan, kekejangan, masalah dalam belajar dan juga memori. Disebabkan tubuh badan manusia tidak mempunyai sistem yang khas untuk menyimpan zink, maka adalah perlu untuk mengambil makanan yang mengandungi zink setiap hari.

 

Nutrien 4: Magnesium

Magnesium merupakan elemen kedua yang paling banyak terdapat di dalam sel tubuh badan manusia. Enzim ialah asas kepada semua kebolehan badan untuk berfungsi dan secara umumnya menjadi sokongan untuk sebuah kehidupan, namun enzim tidak akan dapat berfungsi tanpa adanya yang dipanggil faktor bersama, dan salah satunya ialah magnesium.

Menurut kajian yang dijalankan, kekurangan magnesium akan menunjukkan dua simptom, secara fisikal dan juga mental. Simptom fisikal termasuklah sawan, keresahan, rentak jantung yang tidak sekata dan kejang otot. Manakala simptom bagi mental dan emosi pula ialah sakit kepala atau migrain, insomnia, kelesuan melampau dan juga kemurungan.

Bagi mengelakkan kekurangan magnesium di dalam tubuh, anda boleh mengambil makanan yang tinggi kandungan magnesium seperti sayuran hijau, contohnya bayam, kekacang dan bijirin, ikan mackerel, beras perang dan avokado.

 

Nutrien 5: Vitamin D

Kredit: watchfit.com

Vitamin D boleh dikatakan terkandung di dalam kesemua makanan harian yang kita ambil seperti ikan, telur, susu yang diperkaya dan juga minyak ikan kod.

Meskipun tidak memainkan peranan yang besar kepada terjadinya kemurungan, kekurangan vitamin D tidak dinafikan boleh menjadi faktor penyumbang. Kajian yang dijalankan ke atas sekumpulan wanita mengenai kaitan vitamin D dan kemurungan mendapati semakin rendah kandungan vitamin D di dalam tubuh mereka, lebih cenderung untuk mereka mengalami kemurungan dalam tempoh 5 minggu kajian.

 

Nutrien 6: Selenium

Selenium merupakan sumber mineral yang penting bagi fungsi kognitif dan sistem imun yang sihat. Ia tidak memerlukan kuantiti yang banyak di dalam tubuh, dan kes kekurangan selenium adalah sangat jarang dan mengambil masa sehingga bertahun untuk menampakkan kesan, namun kekurangan selenium ternyata memberi kesan yang besar kepada tubuh.

Seperti  iodin, selenium juga penting kepada penghasilan hormon tiroid. Kajian yang dijalankan mendapati mereka yang rendah kandungan selenium menunjukkan mood yang rendah dan tanda-tanda depresi.

Makanan yang boleh diamalkan bagi mengekalkan jumlah selenium di dalam tubuh ialah kekacang, roti, ikan, daging ayam dan juga telur dan kacang Brazil dinyatakan antara yang mempunyai kandungan selenium tertinggi.

 

Nutrien 7: Zat besi

Adalah sangat penting untuk mengekalkan kandungan zat besi di dalam tubuh kerana fungsi utama zat besi ialah membawa oksigen ke seluruh salur darah di dalam badan.

Simptom psikologi akan terjadi sekiranya tubuh tidak mendapatkan bekalan zat besi yang cukup seperti kegelisahan, gangguan mental dan seterusnya kemurungan. Meskipun kekurangan zat besi bukanlah penyumbang utama kepada depresi, tetapi sedikit sebanyak ia akan menunjukkan simptom yang sama seakan-akan depresi seperti kurang selera, kelesuan melampau, sakit kepala dan perubahan mood.

Makanan yang boleh anda ambil bagi memastikan bekalan zat besi sentiasa cukup di dalam tubuh ialah daging merah dan pelbagai jenis daging lain, sayuran berdaun hijau gelap, buah-buahan kering seperti kismis dan apricot, kekacang dan juga bijirin yang telah diperkayakan dengan zat besi.

 

Nutrien 8: Vitamin B kompleks

Kaitan antara vitamin B kompleks dan depresi adalah vitamin B kompleks membantu pertumbuhan saraf dengan baik, membaiki hubungan antara sel-sel saraf, mempunyai efek menenangkan untuk memberi keseimbangan kepada mood dan juga membekalkan tenaga emosi dan mental.

Makanan yang kaya dengan vitamin B kompleks termasuklah legum, brokoli, biji bunga matahari, kekacang hijau, bayam, pisang, bijirin penuh, keju dan bijirin penuh.

 

Nutrien 9: Vitamin C

Akhir sekali, vitamin C juga tidak kurang hebatnya dalam menghalang terjadinya kemurungan. Vitamin C yang juga turut dikenali sebagai askorbik asid boleh mencegah atau membalikkan simptom keresahan, depresi dan juga kecelaruan bipolar.

Selain dirawat menggunakan Prozac, vitamin C yang diambil bersama mampu meningkatkan lagi keberkesanan ubat tersebut yang diambil bagi merawat depresi.

Kandungan vitamin C paling tinggi di dalam buah-buahan dan sayur-sayuran seperti oren, limau, jambu batu, betik, sayuran berdaun hiijau gelap seperti bayam, brokoli, bunga kubis dan juga tomato.

Depresi atau kemurungan merupakan suatu penyakit serius yang harus dicegah sebelum parah. Selain mengamalkan gaya hidup yang betul, makanan juga memainkan peranan penting dalam memastikan minda yang sihat.

 

 

print
Bibi Mokrat
Bibi Mokrat

Fresh-from-the-oven writer who actually takes pride in the quote 'Women belongs in the kitchen' because that's exactly where she wants to be - most of the time

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Something is wrong.
Instagram token error.
Load More